16 Mei 2011

RON95 : Dijangka Naik Lagi

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 16 MEI : Kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” katanya dipetik Bernama Online.

Ismail Sabri berkata kenyataannya sebelum ini bahawa tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

“Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu,” kata beliau.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya, kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17 bilion.

Kenaikan harga petrol RON95 telah dibincangkan semasa mesyuarat pasca-kabinet Rabu lepas, namun tiada keputusan dicapai berhubung perkara itu.

Tv Selangor/-

Perbicaraan Kes Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Jalan Duta

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Perbicaraan Kes Liwat yang dihadapi beliau:

7.00 pagi - Polis mula mengawal ketat keadaan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Kira-kira 100 penyokong turut kelihatan.

9.09 pagi - Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mula membacakan penghakiman mahkamah sebelum membuat keputusan kes berkenaan dibuang atau dibawa ke peringkat pembelaan.

Sinar Harian/-

Ketua IMF ditangkap Laku serangan seks

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn ditangkap polis kelmarin atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di sebuah hotel di sini.

Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata, Strauss-Khan, 62, yang berketurunan Yahudi ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini selepas dia menaiki sebuah pesawat Air France ke Paris.

Dia yang merupakan Pengarah Urusan IMF ditangkap 10 minit sebelum pesawat itu berlepas setelah melakukan serangan seks ke atas pekerja wanita yang berusia 32 tahun tersebut.

Strauss-Kahn yang beristeri merupakan bakal calon presiden yang akan bertanding bagi mewakili parti Sosialis dalam pilihan raya Presiden Perancis pada April tahun depan.

Dia merupakan calon pilihan yang paling popular untuk menjadi Presiden Perancis.

IMF merupakan agensi yang memberi pinjaman kewangan sehingga berbilion-bilion dolar kepada negara-negara yang memerlukan pinjaman.

Menurut Browne, pekerja wanita itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia memasuki bilik Strauss-Kahn di Hotel Sifotel pada Sabtu lalu.

Pekerja wanita tersebut memberitahu dia diarahkan supaya membersihkan bilik ketua IMF itu yang berharga AS$3,000 (RM9,007) satu malam selepas diberitahu bilik berkenaan sudah kosong.

Wanita itu menyatakan, Strauss-Kahn muncul dalam keadaan bogel di bilik itu selepas dia memasukinya sebelum mengejar dan menjatuhkannya.

Menurutnya, ketua IMF itu menariknya ke bilik mandi dan memaksanya melakukan seks oral selain cuba menanggalkan seluar dalamnya.

Wanita itu kemudian berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan memberitahu pekerja hotel.

Pekerja hotel tersebut kemudian menghubungi polis.

Namun, selepas beberapa detektif tiba, Strauss-Kahn didapati sudah meninggalkan hotel itu tetapi telefon bimbitnya tertinggal.

Menurut Browne, ketua IMF itu didapati tergesa-gesa meninggalkan hotel tersebut.

Polis kemudian mendapat maklumat Strauss-Kahn berada di lapangan terbang.

Pihak polis kemudian menghubungi pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk meminta bantuan supaya ketua IMF itu ditangkap di kabin kelas pertama pesawat Air France.

Pekerja wanita yang menjadi mangsa Strauss- Kahn itu dibawa polis ke sebuah hospital dan dirawat kerana mengalami kecederaan kecil.

Menurut peguam ketua IMF itu, William Taylor, Strauss-Kahn tidak akan mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atasnya.

Ketua IMF itu dilahirkan dalam keluarga Yahudi yang kaya di pinggir Paris pada 25 April 1949 dan menghabiskan masa kanak-kanaknya di Maghribi.

Dia memperoleh ijazah doktor falsafah ekonomi dari Universiti Paris X.

Strauss-Kahn menjadi ketua IMF dengan kontrak selama lima tahun sejak 2007 dengan gaji AS$420,930 (RM1.2 juta) setahun. 

Agensi

Laungan "bebaskan Anwar" bergema di luar mahkamah

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Mahkamah Tinggi hari ini akan memutuskan sama ada akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membela diri atau membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkemeja putih berkot, dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kira-kira jam 8.45 pagi.

Beliau diiringi isteri, Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail serta anak sulungnya, Nurul Izzah.

Antara pimpinan yang turut hadir termasuklah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua, Exco Selangor Ronnie Liu dan barisan pimpinan Angkatan Muda Keadilan.

Sementara itu, hampir 500 penyokong termasuk petugas media berkumpul di perkarangan mahkamah sejak awal pagi.

Mereka membuat gimik menarik orang ramai berkumpul dengan bersarapan nasi lemak beralaskan akhbar Umno, Utusan Malaysia - antara akhbar yang kuat dikecam PKR - ekoran sikap akhbar itu yang sering menjadikan Anwar sebagai sasaran penghinaan.

Sebelum ini, pihak pendakwa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa profil DNA “lelaki Y” yang ditemui di dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik Ketua Pembangkang itu.

Beberapa kain rentang turut direntangkan menuntut Anwar dibebaskan di samping laungan "bebas Anwar".

Laungan "mana Saiful Bukhari" juga kedengaran ekoran Mohd Saiful tidak kelihatan hadir hari ini.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Peguam bela utama Karpal Singh dalam hujahnya sebelum ini juga berkata pihak pendakwa telah gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu, tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Katanya saksi utama Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008 bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah

PAS Miri Ucapan Selamat Hari Guru

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

“Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.”

PAS Miri ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei nanti kepada semua guru-guru. Merujuk kepada pendidik profesional peranan dan tugas utama guru pada umumnya adalah mendidik, mengajar, membimbing, mengarahkan, melatih dan menilai anak didiknya.

Peranan guru sangat luas lebih-lebih lagi dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Pihak yang berwajib patut memberi perhargaan kepada guru-guru yang telah mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna untuk bangsa dan Negara. Di antara masalah guru yang patut diberi perhatian oleh pihak berwajib:

Seperti memberi kemudahan asas dan tempat tinggal yang selesa kepada guru-guru yang mengajar di kawasan luar bandar dan di ulu pendalaman.

Kerajaan perlu menpertimbangkan permintaan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ketika ini dengan keperluan dan kekosongan supaya tidak timbul masalah yang timbul sekiranya sistem pengurusan itu baik, tiada masalah yang timbul. Jangan biarkan masalah berpanjangan kalau perlu diselesaikan dengan segera

Kepada guru-guru sandaran sekolah menengah yang tidak terlatih kita minta Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menunaikan janjinya terhadap mereka agar mereka diberi latihan perguruan dan dilantik semula seperti mana guru di Sekolah agama Islam dan Sekolah Rendah Kebangsaan.

Kita berharap pihak yang berwajib dapat memberi perhatian yang serious masalah guru ini agar semua pihak yang terlibat dapat bekerja dengan selesa dan dapat mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin.

Harapan kita dengan adanya guru yang terlatih dan professional anak didik yang bakal memimpin Negara di masa hadapan akan dapat memimpin dengan baik, amanah, adil dan dapat membangun Negara dengan lebih teratur dan bebas dari unsur-unsur negative seperti rasuah dan penyelewengan.

Tanpa Guru yang mendidik dan mengajar kita semasa kita kanak-kanak dulu, siapalah kita pada hari ini. Terima kasih Gikgu.

Dari PAS Miri

Lelaki Uganda ditahan bawa 15.8kg heroin, ganja

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



ALOR SETAR - Seorang lelaki Uganda dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa diberkas bersama heroin dan ganja sebanyak 15.8 kilogram (kg) bernilai RM353,000 di sebuah stesen minyak di Tanah Merah, Jitra dekat sini malam kelmarin.

Dalam tangkapan pada pukul 11.55 malam itu, sebanyak 43 kapsul berisi 806 gram heroin bernilai RM300,000 ditemui di dalam beg sandang suspek.

Polis turut menemui 15 ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 15kg bernilai kira-kira RM53,000 di dalam beg pakaian warna hitam yang dibawa suspek sama.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika dia menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur.

"Suspek ditahan ketika mundar-mandir di stesen minyak itu sebelum cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis yang mahu menahannya," kata beliau.

Menurut beliau, kapsul dadah berisi heroin yang ditemui itu dipercayai baru dikeluarkan melalui proses buang air besar oleh seseorang kerana warnanya yang kekuningan serta berbau busuk.

Hakim akan umum keputusan - keadaan tegang

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Beberapa anggota pemuda PKR bertengkar dengan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini.

Seorang daripada mereka menuntut supaya polis menghentikan sekatan itu dan mendakwa sebagai pembayar cukar, rakyat berhak masuk ke kawasan berkenaan dengan bebas.

Beberapa rakannya yang lain cuba mententeramkan ahli itu dan menariknya ke tepi. Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'.

Sementara itu, selepas 59 hari perbicaraan yang bermula awal tahun lalu, Anwar akan mengetahui sama ada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memerintahkannya untuk membela diriu ataupun melepaskan daripada tuduhan liwat.

Ketika ini, kompleks Mahkamah, Jalan Duta di Kuala Lumpur dikawal ketat.

Penyokong Anwar mula tiba seawal jam 4.30 pagi ini dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu.

Mereka juga sempat bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan aklhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.

Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak.

Ketika ini, Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sedang membacakan penghakimannya dengan merujuk kes yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan juga pembelaan.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Malaysiakini/-

Dua Maut Kereta Terjunam dalam Sungai

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat salah seorang daripada mangsa yang maut selepas kereta Proton Iswara yang dinaiki terbabas ke dalam sungai di Alor Gajah, Melaka 

ALOR GAJAH - Hasrat tiga sahabat pulang ke rumah selepas bersantai bersama lima lagi rakan di pantai Klebang di sini tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dan seorang lagi parah apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai di Lebuh AMJ berhampiran Sungai Petai semalam.

Pada kejadian pukul 7.35 pagi itu, P. Siva Kumar, 19, dari Taman Pengkalan Indah di sini dan R. Raman, 33, dari Jalan Jasin, Selandar yang dipercayai memandu kereta tersebut maut di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera parah pula ialah C. Velu, 21, dari Taman Pengkalan Indah dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan pulang ke Pengkalan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Dihukum Gantung Kerana Kekasih

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


RIDZUAN bersalaman dengan ahli keluarga selepas dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar

ALOR SETAR - Demi kekasih, seorang pemuda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah tertuduh didapati bersalah membunuh neneknya selepas mangsa enggan menyerahkan wang RM50 kepada tertuduh yang mahu membawa kekasihnya keluar makan.

Hakim Datuk Mohamad Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati Ridzuan Taib, 21, bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Che Basah Ahmad, 75, di Taman Berlian, Jitra dekat sini antara pukul 9 pagi dan 3.15 petang 11 Mei 2008.

Dalam penghakimannya, Mohamad Azman berkata, peguam Sharif Mat yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan hujah pembelaan juga adalah penafian semata-mata.

"Pihak pembelaan hanya meletakkan kesalahan kepada bekas kekasih tertuduh.

"Pembelaan ini tidak dicadangkan di peringkat pendakwaan," katanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan Mohamad Azman bertanyakan kepada tertuduh, apakah firasatnya.

Ridzuan kemudian menjawab, dia menyerahkan kepada Tuhan dan pasrah dengan hukuman yang bakal dikenakan.

Mohamad Azman kemudian mengeluarkan kata-kata: "Kerana wang abang disayang, tiada wang abang melayang."

Skuter Elektrik Tanpa Pencemaran Berharga RM8,944

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -




BERLIN - Sebuah skuter elektrik buatan Jerman yang dijual pada harga 2,112 euro (RM8,944) tidak mengeluarkan sebarang pencemaran, lapor sebuah akhbar semalam.

Skuter itu sepanjang 139 sentimeter (sm), tinggi 62sm dan lebar 35sm selain menggunakan sebuah bateri mudah alih.

Pembeli boleh mengecaj skuter itu di kedai kopi dan di tempat kerja kerana ia menggunakan bateri mudah alih.

Skuter itu berjenama TP yang bermaksud Tante Paula atau ibu saudara Paula dalam bahasa Melayu.

Kelajuan skuter itu ialah 19 kilometer sejam. 
  
Agensi

Lembu Jantan Rempuh Cermin Kedai

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SAO JOSE DO RIO PRETO, Brazil - Seekor lembu jantan merempuh cermin pameran sebuah kedai di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Lembu jantan itu memasuki kedai pakaian tersebut selepas ia terlepas dari sebuah trak haiwan yang terlibat dalam satu nahas jalan raya baru-baru ini.

Haiwan itu yang telah memasuki kedai berkenaan berdiri di tepi cermin kedai tersebut di tepi beberapa patung pameran.

LEMBU itu kemudian merempuh cermin kedai di Sao Jose Do Rio Preto, Brazil

Beberapa orang yang ditugaskan untuk menangkap haiwan itu berdiri di luar kedai tersebut dengan tujuan untuk menangkapnya.

Namun, selepas berdiri buat seketika, lembu itu merempuh cermin kedai pameran menyebabkan beberapa orang yang mahu menangkap haiwan cuba mengelak daripada terkena kaca.

Para penangkap lembu itu kemudian menggunakan tali yang dibaling ke arah kepala haiwan tersebut sebelum mereka berjaya menangkapnya semula. 

Agensi

Selamat Hari Guru

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Perjalanan seorang guru itu amat jauh. Jika ikhlasan bersamanya pasti banyak perkara yang akan dilaluinya. Perjalanan aku mengenali insan bernama guru bermula dengan satu perkataan iaitu cikgu. Kemudian ku kenali pula istilah ustaz dan ustazah. Tidak pasti, bila masanya istilah guru mula bertahta di hati.

Perjalanan awal aku bersama insan bernama cikgu bermula di Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) FELDA Trolak Utara. Aku tak pasti juga sama ada semasa itu TADIKA tersebut telah dikenali sebagai TADIKA KEMAS atau belum. Tapi, yang pastinya ianya TADIKA. Bukan TABIKA, bukan, TASKA, bukan TASKI, dan bukan PASTI. 

Berkenalan dengan Cikgu Siti dan Cikgu Azizah merupakan detik permulaan mengenali insan bernama cikgu. Bila disuruh ucapkan selamat pagi, aku menurutinya, disuruh makan dengan tertib, dipatuhi, semuanya tetap dengan arahan. Betapa lembutnya mereka memberikan pendidikan awal dengan penuh kasih sayang.

Di TADIKA juga, selain mengenali huruf, tulis dan baca, aku mula seronok bermain dengan permainan yang disediakan. Utamanya main pasir, dah menjadi aktiviti harian bermain pasir. Di TADIKA itu juga disediakan permainan seperti buaian dan papan gelongsor.

Selesai mengikuti pendidikan awal di TADIKA, langkah pendidikan mengenali cikgu ke Sekolah Kebangsaan Trolak Utara. Berkenalan aku dengan guru kelas Darjah 1 ketika itu Cikgu Rabitah. Banyak perkara yang berlaku di sini. Enam tahun di sekolah ini memberikan pelbagai ilmu. Di sini mula aku mengenali ustaz dan ustazah. Istilah yang diberi kepada guru yang mengajar pendidikan agama. Biarpun di ketika itu ustazahnya masih belum serupa sekarang pakaiannya.

Di sekolah ini juga aku mulai mengenali cikgu garang dan sebaliknya. Gambaran guru yang berteman rotan sentiasa menakutkan jiwa. Bertambah keruh jiwa, jika guru tersebut turut menaburkan jasa di kelas sendiri. Darah gemuruh bercampur baur akan berganding ketika tugasan yang diberi, tidak dapat diselesaikan, soalan yang diajukan, tiada balasan untuk persembahkan.

Pernah juga sekali sekala, aku menikmati betapa nikmatnya apabila roti melabuhkan tugasnya dipinggul. Rasa macam nak demam dan sebagainya. Memang serik ketika itu, tetapi betul kata Tun Mahathir, "Melayu mudah lupa". Perkara yang sama pasti berulang kepada yang sering lupa.

Masa berubah dan berlalu pergi. Cikgu juga mengajar aku betapa sibuknya dunia di peringkat pendidikan rendah. Selesai menimba ilmu akademik, aku mula mengenali pendidikan agama secara formal di Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurul Hidayah, FELDA Trolak Utara. Di situ jiwa dibentuk menjadi lebih mengenali bidang agama. Pengkhususan pengajaran yang berfokus kepada keagamaan menjinakkan diri untuk dekat kepada Yang Maha Kuasa. Tahulah diri peranan kepada Maha Pencipta.

Semakin jauh pendidikan diredahi, semakin ramai cikgu yang aku kenali. Pendidikan peringkat menengah bermula di Maahad Irsyadiah Diniah, Batu 26, Bagan Datuh Perak Darul Ridzuan. Pendidikan Pondok yang luar dari kebiasaan memang memberi kejutan kepada jiwa. Semuanya perlu berdikari. Tiada lagi, masakan dan belaian emak ketika itu. Namun perjalanan di sana tidak lama. Jiwa dirasa tidak sesuai, berterus terang kepada abah emak, jalan yang dipilih menempatkan aku ke Sekolah Menengah Trolak. Sekolah baru yang terletak di kawasan tanah rancangan bersebelahan tempat kediaman aku.

Pendidikan di sini, rupanya semakin mencabar, apabila usia semakin meningkat, kematangan mengajar erti kebenaran. Bertemu dengan cikgu di peringkat ini berlain temanya di peringkat rendah. Aku mula menggunakan batang pen, sebagai alat tulis utama. Jika sebelumnya hanya pensel yang menemani aku ketika belajar.

Selain cikgu, rakan-rakan semakin bertambah ramai. Berbagai ragam yang berlaku. Mulalah terdedah dengan pelbagai jenis penguatkuasaan untuk melengkapkan peraturan sekolah. Kisah di sekolah menengah menukar corak kisah di skeolah rendah. Cikgu-cikgu yang lebih tegas mula tampil dengan wajah dan kriteria yang dipilih.

Mujurnya aku tidak bertemu dengan senior di sekolah ini, kerana sekolah ini baru dibuka dan rakan-rakan seangkatan merupakan pelajar pertama di sekolah ini. Dalam perjuangan mencari ilmu, terdengar juga keluhan cikgu-cikgu terpaksa. Cikgu-cikgu yang beranggapan sekolah di kawasan FELDA ini, bagaikan tempat buangan. Sedih sekali...

Dunia pendidikan mula dirasakan berubah corak. Pergaulan rakan semakin bertukar. Pengajaran cikgu pelbagai rancangannya. Peperiksaan sebagai penilaian menjadi matlamat. Mula berdepan dengan buku yang semakin banyak dan tebal.

Tamat peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Bertemu pula dengan istilah pensyarah di peringkat pendidikan tinggi. Di Maktab Perguruan Kota Bharu, permulaan perkenalan dengan insan yang bernama pensyarah. Mereka tetap cikgu. Dunianya amat berbeza. Mula belajar dengan tampil ke hadapan kelas sebagai pembentang. Pendidikan di sini pelbagai tugasan diberikan.

Panggilan istilah cikgu, mula terhakis di sini. Panggilan Encik, Cik, Puan, Tuan Haji, dan Hajah mula menggantikan istilah cikgu. Bertambah pula penglibatan dalam mengendalikan acara-acara dan program yang terpikul di bahu pelajar. Semakin berlainan cara pendidikannya.

Selangkah kemudian istilah berganti istilah yang menempatkan cikgu. Istilah Dr., Professor dan tutor, mula menjadi bicara dibibir, apabila diri ditempatakan ke pendidikan yang lebih tinggi. Cara persembahan yang hampir sama tetapi penuh dengan tugasan yang bertali arus. Penggunaan istilah-istilah dan bahasa asing sebagai medium utama pengantaraan menambahkan ilmu dalam diri.

Semua yang dilalui mengajar erti istilah cikgu. Merekalah sebenarnya cikgu atau guru yang mendidik kita secara formal. Namun, kita rupanya terlupa, bahawa insan paling rapat dan paling menyayangi kita juga merupakan cikgu dan guru kepada kita. Mereka ialah emak dan abah kita. Merekalah yang mengajar banyak perkara dalam kehidupan kita. Pendidikan kasih sayang merupakan pendidikan yang paling berguna yang diajar kepada kita. Dengan belaian dan kasih sayang kita mula dapat mengenali semuanya, erti KEHIDUPAN. SELAMAT HARI GURU.

Sumber: Aku Budak Trolak

Ferguson Idam Gelaran Eropah

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson masih belum berpuas hati meskipun berjaya memenangi gelaran juara Liga Perdana England kali ke-19.

Pengendali dari Scotland itu berkata, masih ada misi yang perlu dilaksanakan di pentas Eropah.

Kelmarin, Ferguson membuktikan kredibiliti selaku pengurus apabila berjaya meletakkan skuad The Red Devils sebagai kelab paling berjaya di England.

Kejayaan itu diperoleh selepas United seri 1-1 dengan Blackburn Rovers di Ewood Park.

WAYNE ROONEY (dua dari kiri) meraikan kejayaan United meraih gelaran Liga Perdana England kali ke-19 bersama rakan-rakan sepasukan yang lain di Ewood Park 

Dengan hanya berbaki satu perlawanan musim ini, satu mata yang dikutip skuad The Red Devils itu sudah memadai buat anak-anak buah Ferguson untuk mengesahkan status selaku juara apabila mengumpul 77 mata daripada 37 perlawanan.

Begitupun, Ferguson yang mula membimbing United sejak 1986 mengakui kejayaan itu masih belum cukup untuk memuaskan hatinya.

"Saya rasa, ia merupakan sesuatu yang kami (United) perlu lakukan dengan lebih baik. Kami perlu lebih banyak menjadi juara dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Pada saya, aksi Liga Juara-Juara sentiasa tinggi. Oleh sebab itu, saya mahu meletakkan United sama taraf dengan kelab-kelab besar di Eropah yang lain seperti Real Madrid, AC Milan, Bayern Munich, Ajax Amsterdam dan Liverpool.

"Kami perlu menyamai rekod kelab-kelab tersebut dan itu adalah keutamaan kami ketika ini," jelas Ferguson.

United berpeluang untuk melebarkan rekod kejuaraan dalam saingan Liga Juara-Juara apabila dijadual berdepan kelab Sepanyol, Barcelona pada aksi final di Stadium Wembley, 28 Mei ini.

Pertemuan kedua-dua kelab itu juga diibarat sebagai aksi ulangan final musim 2009 yang berkesudahan Barcelona menang 2-0 ke atas United.

Untuk rekod, United baru tiga kali menjuarai saingan Liga Juara-Juara iaitu pada musim 1967/1968, 1998/1999 dan 2007/2008. 

Reuters

Chelsea ditimpa Malang

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


LONDON - Malang Chelsea berterusan selepas seri 2-2 dengan Newcastle United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge malam tadi.

Keputusan seri itu telah memusnahkan impian para peminat skuad The Blues untuk menyaksikan pasukan itu meraih tiga mata penuh pada perlawanan terakhir di laman sendiri bagi musim ini.

Kelmarin, Chelsea terpaksa melepaskan gelaran juara liga kepada pencabar terdekat, Manchester United.

FERNANDO TORRES (kanan) gagal menjaringkan gol ketika Chelsea seri 2-2 dengan Newcastle United di Stamford Bridge malam tadi

United berjaya meraih gelaran liga yang ke-19 selepas seri 1-1 dengan Blackburn Rovers ketika saingan musim ini masih berbaki satu perlawanan.

Manakala Chelsea bakal melengkapkan perlawanan liga yang ke-38 musim ini dengan bertandang ke Everton pada Ahad ini.

Pada aksi malam tadi, Chelsea yang tampil buat pertama kali dengan memakai jersi baru musim depan bermula garang apabila mendahului seawal minit kedua hasil sepakan jarak dekat Branislav Ivanovic.

Begitupun, Newcastle tidak menunggu lama apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jonas Gutierrez pada minit ke-10.

Gol kedua Chelsea hasil tandukan Alex selepas penjaga gol Newcastle, Tim Krul gagal membaca tepat sepakan percuma Frank Lampard pada minit ke-83 yang hampir memberikan tuan rumah tiga mata penuh.

Bagaimanapun ia dihampakan tandukan Taylor hasil daripada sepakan sudut untuk gol penyamaan Newcastle ketika masa kecederaan tiga minit yang diberikan pengadil hanya berbaki seminit.

Keputusan ini telah mencetuskan spekulasi bahawa ia adalah perlawanan terakhir bagi Carlo Ancelotti di Stamford Bridge selaku pengurus Chelsea. 

Agensi

Amal Doa Pagi, Petang Atasi Masalah Jiwa

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Mengapa orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu? Sedangkan orang sekarang, boleh dikatakan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa masih terasa kosong.

Apakah yang dikatakan penyakit jiwa?

Penyakit jiwa adalah satu istilah yang merangkumi gangguan-gangguan jiwa yang mengakibatkan perubahan ragam, tingkah laku dan pemikiran seseorang. Perkataan ‘gila’ adalah satu ungkapan hodoh dan tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa dan memberi gambaran seorang yang ganas dan merbahaya. Walhal keganasan lebih kerap dilakukan oleh orang mabuk jika dibandingkan dengan pesakit jiwa.

Kita semua mempunyai gangguan emosi dalam menjalani liku-liku hidup ini tetapi mampu mengatasinya mengikut arus masa. Kerana beberapa sebab tertentu sebilangan daripada kita tidak mampu berbuat demikian dan ini akan memberi kesan terhadap kefungsian sosial di tempat kerja atau di rumah. Jika ini berlanjutan, golongan ini memerlukan bantuan dan mungkin menghidapi sejenis penyakit jiwa.

Apakah yang menyebabkan perkara sebegini berlaku?

Lazimnya tidak ada suatu punca khusus yang menyebabkan penyakit jiwa. Biasanya sebab-sebab penyakit ini berpelbagai dan saling berkaitan. Antara lain mungkin:-

1. Sebab-sebab fizikal

Contoh-contoh termasuk meminum terlalu banyak arak, salah guna naji dadah, kemalangan dan ketidakseimbangan biokimia dalam otak kita.

2. Keturunan

Sebahagian penyakit jiwa mungkin diwarisi misalnya; terdapat 1:100 peluang untuk mengidap penyakit skizofrenia dalam masyarakat umum dibandingkan dengan nisbah 1:10 peluang jika salah seorang daripada orang tua anda mempunyai skizofrenia.

Apakah jenis-jenis penyakit jiwa?

Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa dengan kelangsungan masing-masing. Ada yang boleh sembuh seperti sediakala dan ada yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

1. Kegelisahan (Neurosis)

Rasa mudah naik darah, tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, merasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.

2. Penyakit kepiluan (Depression)

Kadangkala kita merasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, merasa lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan yang teruk atau kehilangan (misalnya kematian orang yang disayangi).

Jika ini berlaku keterlaluan atau muncul tanpa sebab dan memberi kesan terhadap kefungsian harian kita, kita memerlukan bantuan.

3. Psikosis

Ini merupakan yang paling teruk. Walaubagaimanapun ianya jarang berlaku jika dibandingkan dengan jenis-jenis penyakit jiwa yang lain. Dalam kes ini, pesakit hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya, dia mungkin mempunyai kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas, mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.

Apakah yang harus dilakukan jika kita mempunyai tanda-tanda masalah jiwa/emosi?

Pertama, hadapilah sendiri masalah berkenaan, cuba cari puncanya. Jika ianya masalah yang dapat diatasi sendiri, teruskan.

Jika tidak, jangan merasa malu. Dapatkan pertolongan daripada seseorang yang sanggup mendengar seperti rakan, ahli keluarga, ahli agama atau perunding cara. Dengan meluahkan masalah sudah dapat mengurangkan sebahagian bebannya.

Jika ini gagal atau anda merasakan bahawa masalah berkenaan adalah di luar keupayaan anda, mungkin doktor keluarga nada boleh membantu. Jika dia merasa bahawa anda memerlukan bantuan lanjut anda mungkin akan dirujuk kepada Pakar Sakit Jiwa di hospital-hospital berdekatan dengan tempat tingga anda. Rawatan mungkin di dalam bentuk kaunseling, terapi rundingan, pengubatan, terapi gerakan elektrik atau tinggal buat seketika di hospital sehingga tanda-tanda sakit beransur hilang.

Masalah jiwa menurut Islam

Menurut ustaz Zahazan Mohamed, Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.”

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.

Amal doa pagi dan petang untuk mengatasi masalah jiwa

Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu: “Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannyadalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.”

Semoga dengan amalan ini, kita dapat menghindari daripada mengalami masalah jiwa.

Wallahua‘lam.

Sumber: Bawang Goreng