13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson masih belum berpuas hati meskipun berjaya memenangi gelaran juara Liga Perdana England kali ke-19.
Pengendali dari Scotland itu berkata, masih ada misi yang perlu dilaksanakan di pentas Eropah.
Kelmarin, Ferguson membuktikan kredibiliti selaku pengurus apabila berjaya meletakkan skuad The Red Devils sebagai kelab paling berjaya di England.
Kejayaan itu diperoleh selepas United seri 1-1 dengan Blackburn Rovers di Ewood Park.
WAYNE ROONEY (dua dari kiri) meraikan kejayaan United meraih gelaran Liga Perdana England kali ke-19 bersama rakan-rakan sepasukan yang lain di Ewood Park
Dengan hanya berbaki satu perlawanan musim ini, satu mata yang dikutip skuad The Red Devils itu sudah memadai buat anak-anak buah Ferguson untuk mengesahkan status selaku juara apabila mengumpul 77 mata daripada 37 perlawanan.
Begitupun, Ferguson yang mula membimbing United sejak 1986 mengakui kejayaan itu masih belum cukup untuk memuaskan hatinya.
"Saya rasa, ia merupakan sesuatu yang kami (United) perlu lakukan dengan lebih baik. Kami perlu lebih banyak menjadi juara dalam saingan Liga Juara-Juara.
"Pada saya, aksi Liga Juara-Juara sentiasa tinggi. Oleh sebab itu, saya mahu meletakkan United sama taraf dengan kelab-kelab besar di Eropah yang lain seperti Real Madrid, AC Milan, Bayern Munich, Ajax Amsterdam dan Liverpool.
"Kami perlu menyamai rekod kelab-kelab tersebut dan itu adalah keutamaan kami ketika ini," jelas Ferguson.
United berpeluang untuk melebarkan rekod kejuaraan dalam saingan Liga Juara-Juara apabila dijadual berdepan kelab Sepanyol, Barcelona pada aksi final di Stadium Wembley, 28 Mei ini.
Pertemuan kedua-dua kelab itu juga diibarat sebagai aksi ulangan final musim 2009 yang berkesudahan Barcelona menang 2-0 ke atas United.
Untuk rekod, United baru tiga kali menjuarai saingan Liga Juara-Juara iaitu pada musim 1967/1968, 1998/1999 dan 2007/2008.
Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan