16 Mei 2011

Anwar diarah Bela Diri

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 16 Mei: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, berdasarkan bukti beliau mendapati ada kes prima facie sekaligus mengarahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membela diri.

Bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan seketika sebelum menentukan tarikh untuk Anwar berbuat demikian.

Anwar berkemeja putih berkot, dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kira-kira jam 8.45 pagi.

Beliau diiringi isteri, Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail serta anak sulungnya, Nurul Izzah.

Antara pimpinan yang turut hadir termasuklah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua, Exco Selangor Ronnie Liu dan barisan pimpinan Angkatan Muda Keadilan.

Sementara itu, hampir 500 penyokong termasuk petugas media berkumpul di perkarangan mahkamah sejak awal pagi.

Mereka membuat gimik menarik orang ramai berkumpul dengan bersarapan nasi lemak beralaskan akhbar Umno, Utusan Malaysia - antara akhbar yang kuat dikecam PKR - ekoran sikap akhbar itu yang sering menjadikan Anwar sebagai sasaran penghinaan.

Sebelum ini, pihak pendakwa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa profil DNA “lelaki Y” yang ditemui di dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik Ketua Pembangkang itu.

Beberapa kain rentang turut direntangkan menuntut Anwar dibebaskan di samping laungan "bebas Anwar".

Laungan "mana Saiful Bukhari" juga kedengaran ekoran Mohd Saiful tidak kelihatan hadir hari ini.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Peguam bela utama Karpal Singh dalam hujahnya sebelum ini juga berkata pihak pendakwa telah gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu, tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Katanya saksi utama Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008 bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.

Tiada ulasan: