16 Mei 2011

Anwar terkejut hakim buat hukuman awal

13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperintahkan untuk membela diri dalam kes fitnah II hari ini melahirkan rasa terkejut kerana hakim telah menjatuhkan hukuman awal.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hakim Datuk Mohd Zabidin seolah-olah terikat dengan hujah pendakwaan.

“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes ini dan menjangkaui kes prima facie,” kata beliau kepada pemberita di perkarangan mahkamah selepas selesai mendengar keputusan hakim hari ini.

Hakim Mohd Zabidin hari ini berkata, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Anwar telah disifatkan sebagai “saksi yang benar dan berwibawa”.

Pengakuan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika memerintahkan Anwar supaya membela dirinya.

Anwar mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya doktor hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium Desa Damansara.

“Saya telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini tiada asas,” katanya yang juga ketua pembangkang di parlimen.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.


Cabar Najib hadir sebagai saksi

Sementara itu, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar hadir ke mahkamah sebagai saksi kerana beliau merupakan saksi yang sangat relevan dalam kes ini.

Ini kerana katanya, Saiful sendiri mengaku bertemu dengan Najib selepas beliau didakwa diliwat Anwar.

Beliau juga memberi amaran kepada Najib agar tidak mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan hadir ke mahkamah meskipun beliau salah seorang saksi pening dalam kes liwat pertama dahulu.

"Kita nak tengok keberanian Datuk Najib untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan kerana beliau orang yang pertama bertemu Saiful.jadi beliau sangat relevan sebagai saksi.

"Saya ingin cabar Perdana Menteri supaya jangan guna alasan seperti mana yang digunakan Tun Mahathir dalam kes pertama untuk mengelakkan diri dari hadir ke mahkamah. Kita nak selesaikan di mahkamah," katanya yang juga ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.

Shamsul turut 'terkejut' dengan keputusan mahkamah yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar.

"Ini keputusan yang telah kita jangka dan saya yakin peguam bela Anwar akan menyusun strategi dan mengumpul seramai mungkin saksi kerana mentaliti pemikiran hakim sebentar tadi lebih menjurus kepada memutuskan Anwar telah bersalah walaupun sebelum mendengar keseluruhan kes.

"Ini agak meranjatkan kerana pada masa ini bukan hakim kena buat keputusan yang muktamad siapa yang bersalah, hanya perlu buat keptusan samaada Anwar perlu membela diri atau tidak," katanya.

Beliau turut mendakwa BN akan menggunakan sepenuhnya mahkamah untuk mengherat Anwar ke penjara kerana isu video seks dilihat bukan lagi 'peluru yang berkesan' untuk menjatuhkan Anwar.

"Saya yakin akan ada lagi sokongan rakyat kerana kes ini digunakan sepenuhnya untuk mengekang kemaraan Anwar kerana isu video seks ini bukan lagi peluru yang berkesan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada Anwar bagi memastikan keadilan terlaksana di Malaysia.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: