13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 16 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh hakim kesnya Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah telah menjatuhkan ‘prahukuman’ meskipun beliau belum lagi melangkah ke proses bela diri.
Ketua Pembangkang berusia 63 tahun ini berkata, meskipun beliau sudah menjangkakan keputusan hari ini, tetapi terkejut dengan alasan-alasan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menerima hujah pihak pendakwa bulat-bulat meskipun telah dibantah oleh pembela terhadap kredibiliti pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga saksi utama.
“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes ini dan menjangkaui kes prima facie,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.
“Ini membuat kedudukan pembela lebih bahaya,” kata Anwar kepada pemberita selepas mahkamah memerintah beliau agar membela diri dalam kes liwat keduanya ini dalam 13 tahun.
Anwar mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya doktor hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium Desa Damansara.
“Saya telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini tiada asas,” kata Ketua Umum PKR ini.
The Malaysian Insider difahamkan pasukan pembela akan memanggil 30 saksi.
Kes peringkat pembelaan akan bermula 6 Jun ini.
Antara saksi yang akan dipanggil ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Mumtaz Jaafar.
“Kami akan mempertahankan kedudukan kami. Kami akan memanggil kesemua saksi termasuk Najib, Rosmah, Musa Hassan dan Mumtaz.
“Adalah jelas dalam keterangan sebelum ini, Najib, Rosmah, bekas Ketua Polis Negara terlibat dalam kes ini,” kata Anwar.
Salah seorang peguam pasukan pembela Sankara Nair berkata, mereka juga akan membawa saksi pakar untuk memberi keterangan.
“Kami kecewa dengan keputusan dipanggil membela diri,” kata beliau sambil menambah, tertuduh seharusnya telah dibebaskan.
Beliau juga mengesahkan Anwar akan menjadi saksi pertama pembela untuk memberi keterangan.
“Beliau perlu (jadi saksi utama),” katanya.
Anwar, 63, dituduh meliwat Saiful, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Perbicaraan bermula awal tahun lepas dan pendakwa menamatkan kes mereka bulan lepas.
1 ulasan:
Kes ini adalah talian hayat UMNO. Bersalah sebelum dibicarakan pada hari pertama dahulu lagi. UMNO kena menang. Kalau UMNO kalah hilanglah kuasa. Hakim terpaksa ikut skrip yang disediakan. Kalau tidak tak akan naik pangkat. Sebiji macam hakim gula-gula Hacks Augustine Paul dulu.
Catat Ulasan