16 Mei 2011

Idea Najib hantar askar pengaman ke Bahrain diselar


13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, : Seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat menyelar idea Perdana Menteri yang bersetuju untuk menghantar tentera tempatan di atas nama memelihara kestabilan serta keselamatan di Teluk untuk membantu kerajaan Bahrain, yang kini dikecam dari semua pelosok antarabangsa kerana kekejaman ke atas rakyat dan barisan pembangkang.

Dalam lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menghantar pasukan pengaman ke Bahrain, jika diminta berbuat demikian oleh kepimpinan Bahrain.

"Malaysia menyokong penuh semua keputusan berdaulat yang diambil oleh Arab Saudi dan negara-negara anggota GCC (Majlis Kerjasama Teluk) untuk memelihara kestabilan serta keselamatan wilayah ini dalam tempoh yang mencabar ini,” kata Najib Jumaat lalu di Arab Saudi, menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau.

Kenyataan tersebut turut menambah bahawa Malaysia menyokong proses dialog nasional yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Salman bin Hamad Al-Khalifa untuk “menangani aspirasi penduduk Bahrain dan meredakan ketegangan” di negara berkenaan.

“Mengambil kira hakikat ini, Perdana Menteri Najib berbesar hati mengumumkan bahawa Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pengaman ke Bahrain, jika diminta berbuat demikian oleh kepimpinan Bahrain,” tambah kenyataan itu lagi yang turut menyifatkan jemputan daripada kerajaan Bahrain sebagai satu penghormatan yang besar untuk menawarkan bantuan dalam usaha murni ini.

Sebagai reaksi balas kepada pendirian Najib, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Liew Chin Tong memberikan amaran bahawa perdana menteri sedang mengambil risiko untuk berada di tempat yang salah di sisi sejarah dengan menyatakan bahawa usaha memberikan bantuan kepada keganasan regim Bahrain sebagai satu usaha yang murni.

“Saya cukup terkejut bahawa kerajaan Malaysia menyifatkan tindak balas kejam daripada kerajaan Bahrain untuk menentang orang awam yang mengambil peluang untuk menyatakan hasrat mereka sebagai satu usaha yang murni.

Saya tertanya-tanya apakah Najib faham dengan kenyataan sedemikian, beliau sedang mengambil risiko untuk berada di tempat yang salah di sisi sejarah,” kata Liew dalam satu kenyataannya hari ini.

Liew turut menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Dzirhan Mahadzir, seorang journalis pertahanan yang pro Angkatan Bersenjata Malaysia (MAF) di Twitter, di mana beliau menyifatkan idea Najib sebagai idea terburuk dan memberikan amaran bahawa penghantaran tentera pengaman negara akan hanya menyebabkan MAF muncul sebagai penindas rakyat Bahrain, dan bukannya pembela nasib mereka.

“Kepada PM Najib Razak, ia adalah satu idea buruk untuk pasukan tentera kita melibatkan diri di Bahrain. Angkatan Bersenjata Malaysia membela orang awam, bukannya menindas mereka, dengan menghantar mereka ke Bahrain, kita akan terlibat dengan penindasan.

"Bukankah menjadi prinsip bahawa Malaysia tidak akan bercampur tangan dalam hal-ehwal negara asing, dengan menghantar tentera ke Bahrain, kita sedang melanggar prinsip ini. Jika National Security Division (Jabatan Keselamatan Negara) berkata semuanya ok untuk hantar tentera ke Bahrain, ingatlah mereka adalah orang yang sama yang menyatakan bahawa semuanya ok di Mesri,” kata Dzirhan kepada Najib di Twitter.

Sementara itu, Liew turut menyoal mengapa tiba-tiba Malaysia bersemangat untuk melibatkan diri dalam kemeluk di Teluk.

“Bukan saja kerajaan Malaysia, yang menggelar dirinya sebagai pencetus idea di kalangan di dunia Islam, langsung tidak memberikan sokongan kepada kebangkitan demokrasi di dunia Arab pada awal tahun ini, bahkan sekarang bersedia untuk berdiri di sebelah diktator dengan menghantar tentera untuk menindas aspirasi demokrasi rakyat Bahrain,” selar Liew.

Bahrain berada di dalam kemelut semenjak pihak polis negara tersebut melancarkan tindakan keras dan kejam terhadap para penunjuk perasaan yang inginkan kerajaan yang dipilih secara demokratik di ibu kota negara tersebut, yang mengakibatkan 3 orang terbunuh dalam serangan menggunakan pemedih mata, peluru getah dan buckshot pada Februari 17 yang lalu.

Berdasarkan maklumat terbaru daripada Human Rights Watch, terdapat bukti baru bahawa ramai penunjuk perasaan yang telah ditangkat telah diseksa dan tidak dapat dihubungi setakat ini.

“Satu perkara yang paling membimbangkan di Bahrain ialah kita menyaksikan lebih 1,000 orang ditangkap, dengan 600 masih di tahanan, selepas berminggu lamanya mereka ditahan. Kita tidak tahu di mana mereka berada. Peguam juga tidak tahu di mana mereka berada, keluarga pun tidak tahu di mana mereka berada.

Mereka telah ditahan tanpa dapat dihubungi, dan inilah situasi di mana penyeksaan akan berlaku,” Joe Stork daripada Human Rights Watch dipetik sebagai berkata.

Mengikut pihak penguasa Bahrain, setakat ini, 24 orang termasuk 4 polis terkorban dalam kemelut di negara ini yang kini dikecam hebat oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi antarabangsa kerana keganasan regim itu terhadap para penunjuk perasaan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pemimpin dalam Angkatan Bersenjata Malaysia tidak cenderung dengan keputusan ini kerana ia bukan tugas mereka untuk membunuh orang awam, lagi-lagi orang awan di negara asing,” tambah Liew.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: