13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
LONDON - Malang Chelsea berterusan selepas seri 2-2 dengan Newcastle United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge malam tadi.
Keputusan seri itu telah memusnahkan impian para peminat skuad The Blues untuk menyaksikan pasukan itu meraih tiga mata penuh pada perlawanan terakhir di laman sendiri bagi musim ini.
Kelmarin, Chelsea terpaksa melepaskan gelaran juara liga kepada pencabar terdekat, Manchester United.
FERNANDO TORRES (kanan) gagal menjaringkan gol ketika Chelsea seri 2-2 dengan Newcastle United di Stamford Bridge malam tadi
United berjaya meraih gelaran liga yang ke-19 selepas seri 1-1 dengan Blackburn Rovers ketika saingan musim ini masih berbaki satu perlawanan.
Manakala Chelsea bakal melengkapkan perlawanan liga yang ke-38 musim ini dengan bertandang ke Everton pada Ahad ini.
Pada aksi malam tadi, Chelsea yang tampil buat pertama kali dengan memakai jersi baru musim depan bermula garang apabila mendahului seawal minit kedua hasil sepakan jarak dekat Branislav Ivanovic.
Begitupun, Newcastle tidak menunggu lama apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jonas Gutierrez pada minit ke-10.
Gol kedua Chelsea hasil tandukan Alex selepas penjaga gol Newcastle, Tim Krul gagal membaca tepat sepakan percuma Frank Lampard pada minit ke-83 yang hampir memberikan tuan rumah tiga mata penuh.
Bagaimanapun ia dihampakan tandukan Taylor hasil daripada sepakan sudut untuk gol penyamaan Newcastle ketika masa kecederaan tiga minit yang diberikan pengadil hanya berbaki seminit.
Keputusan ini telah mencetuskan spekulasi bahawa ia adalah perlawanan terakhir bagi Carlo Ancelotti di Stamford Bridge selaku pengurus Chelsea.
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan