21 Jun 2011

SPR dan Gabungan BERSIH boleh bincang cari penyelesaian terbaik untuk semua

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Merujuk kepada kenyataan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
yang mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia mengadakan
pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan
syarat gabungan tersebut membatalkan perhimpunannya pada 9 Julai ini.

Kita mengalu-alukan permintaan SPR untuk berjumpa dengan BERSIH
walaubagaimanapun Pengurusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) janganlah
mengenakan syarat terlebih dulu sebelum berjumpa dengan Gabungan
Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Sepatutnya beliau sedia berjumpa dan berbincang serta cari
penyelesaian yang terbaik dulu sebelum memberi kata putus samaada
perlu atau tidak demostrasi BERSIH diteruskan atau tidak.

Sementara itu, Aziz berkata, SPR bercadang menggunakan sistem
biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara
elektronik, pada pilihan raya umum akan datang.

Ini juga cadangan yang baik kalau ianya benar-benar membantu
menyelesaikan sebahagian daripada masalah pengundi dari mengundi 2
kali tetapi pastikan tidak ada berlaku penyelewengan semasa proses
mengundi nanti disebabkan sistem biometric boleh terjejas disebabkan
oleh masalah terputusnya bekalan elektrik atau “server down”. Adakah
SPR bersedia menggunakan sistem biometric ini ke kawasan pendalaman
seperti di Sabah dan Sarawak dimana alat penghubungan di Sabah dan
Sarawak masih jauh ketinggalan.

Adakah alat atau sistem ini boleh berfungsi dengan baik dimana bekalan
elektrik sukar didapati dalam kawasan yang jauh di pendalaman kalau
dibanding dengan menggunakan dawat yang boleh dibawa atau digunakan
pada bila-bila masa tanpa had.

Walaubagaimana pun sistem biometric ini sesuai dalam kawasan Bandar
dan juga boleh digunakan oleh pengundi POS dimana mereka akan dapat
dikesan dengan baik melalui senarai nama yang ada dalam pendaftaran
penggundi POS yang layak menggundi agar mereka tidak dapat mengundi
berulang kali di kawasan lain.

Kalau sistem biometric ini diguna dan dikawal dengan sebaik mungkin,
kita yakin masalah penyelewengan semasa proses mengundi dapat
dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya disebabkan yang mengenalinya
adalah manusia yang sudah pasti ada kelemahan terkecuali mereka yang
mengurus dan menjaga alat ini benar-benar amanah dan jujur. Apa yang
penting mereka yang diamanahkan untuk menjaga dan mengurus alat ini
mestilah mereka yang jujur dan amanah tanpa mengira fahaman politik.

Kalau SPR yakin boleh mengenalinya dengan baik dan dipersetujui oleh
semua pihak tanpa sebarang keraguan maka perkara ini boleh dibincang
semasa pertemuan dengan pihak yang berwajib dan dengan pihak yang
berkenaan

Kita mahu SPR menjalankan sistem pilihanraya dalam Malaysia ini
dijalankan dengan adil, jujur, amanah dan bersih agar rakyat Malaysia
dapat menerima keputusan pilihan raya umum nanti dengan hati yang
terbuka tanpa sebarang keraguan. Diharap perkara ini boleh dibincang
dengan terperinci lagi dikalangan mereka yang diamanah untuk
mengenalinya.

PAS Miri
Jofri Jaraiee
19 Rejab 1432H. [MOD] -
PROJEK Jalan Kalabakan-Sepulut bernilai RM565 juta adalah projek tenat dan bukti nyata kerajaan Barisan Nasional menggali kubur sendiri di Sabah, terutama membazirkan sejumlah RM270 juta lagi untuk menaiktaraf jalan berkenaan yang kini lebih teruk daripada Jalan Pembalakan di era 70-an.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menyatakan sedemikian setelah muak dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh Jabatan Kerjaraya Malaysia dan terkesima dengan ribuan keluhan rakyat yang disampaikan kepada beliau melalui surat, email atau sms.

Kata Patrick, walaupun ada pihak telah membuat Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008, tetapi hanya ibarat mencurah air ke daun keladi, mungkin disebabkan SPRM tidak berminat untuk menyelongkar sampah yang disapu ke bawah permaidani UMNO.

Mengikut tinjauan dan pemantauan yang beliau lakukan sebelum bertolak ke London untuk menemui Queen Counsel, terdapat lebih 15 kawasan yang sukar dilalui kenderaan di sepanjang jalan tanah merah sejauh 145 kilometer tersebut.

“Ini bukan lagi Trunk Road yang dijanjikan tetapi sudah layak digelar ‘Drunk Road atau Shrunk Road,” kata Patrick yang merujuk kepada kontrak HQ.57/2004(F) iaitu Kontrak Membina Jalan Sapulut-Kalabakan yang bernilai RM 565 juta.

Kontrak tersebut kata Patrick telah diberikan ‘secara silap’ kepada Gamuda Berhad dan juga syarikat Konsortium F.A Irama Duta Sdn. Bhd. (untuk kerja penyukatan dan penyiasatan tanah) dan beberapa sub-kontraktor kecil-kecilan lain.

Jangkaan tempoh pembinaan dan penyiapan projek bermula pada 2001 dan siap pada 2007 dan dikatakan ‘telah siap’ pada tahun 2008.

Gamuda Berhad, milik anak Sultan Perak, Raja Dato’ Seri Eleena binti Raja Azlan Shah yang pemegang saham terbesarnya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Generasi Setia Sdn.Bhd dan Dato Lin Yun Ling, kata Patrick, telah gagal menyiapkan projek berkenaan ke tahap jalan berturap, namun tidak disenaraihitamkan.

Dalam pada itu, mengikut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2008, pihaknya mengesan banyak kelemahan ketara pada projek tersebut, terutama tidak melaksanakan kerja penyiasatan tanah dengan sempurna.

“Banyak bahan yang tidak sesuai seperti kayu balak yang digunakan untuk membuat jalan oleh syarikat konsesi pembalakan tidak dapat dikesan. Kualiti kerja juga tidak memuaskan di beberapa lokasi kerana terdapat lubang pada permukaan jalan, permukaan jalan mendap, bahu jalan ternaik, longkang rosak, perlindungan tebing sungai terhakis serta penahan tembok runtuh,” katanya.

Menurutnya, pembinaan jalan tersebut, turut menggunakan jajaran jalan pembalakan digunakan dua syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan dengan aktif di situ.

Melalui semakan audit terhadap bancian yang dilakukan perunding di tiga lokasi, mendapati purata kekerapan lori balak adalah 27 kali sehari di lokasi CH:82000, 97 kali sehari di CH109000 dan 101 kali sehari CH:128000 dengan muatan lori balak antara 42.54 tan hingga 62.08 tan.

Ambrin berkata, lori balak yang kerap menggunakan jalan tersebut adalah juga faktor yang melambatkan proses pembinaan dan menyebabkan kerosakan jalan baru dibina, sedangkan kapasiti jalan ini hanya dibina untuk muatan sehingga 30 tan saja.

Projek yang dipantau Cawangan Lebuh Raya di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah dan seorang jurutera daripada Jabatan Kerja Raya Tawau bertujuan menghubungkan Pekan Sapulut di Daerah Keningau dengan Kalabakan di Tawau dan beberapa penempatan yang sebelum ini penduduknya menggunakan sungai untuk ke pekan atau pusat pentadbiran kerajaan.

Ambrin turut mengesyorkan JKR supaya memohon lagi peruntukan kewangan tambahan yang mencukupi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk menyambung kerja-kerja penurapan aspal jalan berkenaan.

Sementara itu, anak kepada wartawan Sabahkini.Net Wilayah Sandakan, Sugyanto S Jumadi (gambar) yang baru beberapa hari lalu menggunakan jalan tersebut untuk menziarahi keluarganya dengan menaiki kereta sewa pacuan empat roda turut terkejut dan cemas melihat keadaan jalan seteruk itu sehingga ada rakannya yang pitam dan muntah-muntah kerana lantunan dan hentakan kenderaan pada permukaan jalan yang tidak rata.

“Camel Trophy pun tidak seteruk yang kami rasakan. Cukuplah. Serik sudah saya lalui jalan Sepulut-Kalabakan ini. Tidak tahulah macam mana Ahli Parlimen dan Adun boleh tidur lena tengok kesengsaraan rakyat,” ujar Sugyanto S. Jumadi yang kesal kerana rakyat Sabah terpaksa menanggung kesusahan akibat kerajaan negeri terlalu menjaga kebajikan kontraktor, termasuk menambah kos RM270 juta untuk menyiapkan lebuhraya termahal di Malaysia.

Bersih dan masa depan kita

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Kehangatan media dan perbualan rakyat berkaitan himpunan BERSIH pada 9 Julai ini semakin memuncak. Pelbagai kemungkinan akan berlaku pada tarikh tersebut. Ada yang menyokong dan menentangnya, kesemuanya ada hujah dan pandangan tersendiri. Itupun hak dan kebebasan dalam demokrasi.

Persoalan pokoknya ialah apa matlamat akhir yang ingin dicapai BERSIH? Sangat sukat untuk dijawab secara objektif, namun secara mudahnya ialah untuk memastikan pilihanraya dalam Negara ini berjalan dengan penuh integriti dan diwarnai dengan suasana penuh demokrasi.

BERSIH 2.0 ini juga menjadi penanda aras kepada kesedaran rakyat kepada keseriusan rakyat dalam menentukan masa depan Negara. Jika ada yang meminta BERSIH mengadakan rundingan dan perbincangan sahaja untuk menyampaikan 8 tuntutannya, maka awal-awal lagi sikap angkuh Pengerusi SPR yang menolak mentah-mentah agenda yang dibawa menjelaskan lagi kenapa rakyat perlu turun bersama dengan BERSIH.

Pilihanraya bersih menjadi objektif kita bersama kerana tidak ada guna kempen, ceramah dan kesedaran rakyat sekiranya proses pilihanraya dijalankan secara tidak adil. Pihak kerajaan sepatutnya menghormati hasrat dan kemahuan rakyat untuk berhimpun yang dijamin oleh perlembagaan Negara. Signifikan daripada itu juga menunjukkan rakyat masih percaya dengan sistem pilihanraya tanpa perlu dianjurkan himpunan ‘tahrir square’ di Malaysia untuk menukar kepimpinan negara, cumanya perlu diperbaiki sistem yang jelas nampak kelompangannya.

Rakyat pada hari ini sudah tidak takut dengan ancaman yang diberikan. Harga keadilan dan demokrasi cukup mahal untuk dibayar dengan beberapa ribu kerugian ekonomi yang dimomokkan. Sekiranya himpunan BERSIH boleh berjalan dengan aman tanpa ada provokasi dan halangan yang dilakukan, maka dunia akan melihat bahawa Malaysia merupakan Negara yang menghormati pandangan dan kehendak rakyat dan akhirnya boleh menarik pelancong untuk datang melawat ke dalam Negara. Bukankah ini boleh menjadi keuntungan ekonomi kepada kita? Pelancong hadir untuk menyertai kebebasan demokrasi yang ada.

Kehadiran ratusan ribu rakyat nanti juga bakal menggambarkan bahawa keharmonian dan perpaduan kaum dalam Negara yang turun berjalan bersama tanpa mengira warna kulit dan agama, tetapi mereka berjalan dalam satu semangat rumpun bersama menuntut keadilan. Penyerahan memorandum kepada YDP Agong juga nanti menunjukkan bahawa seluruh rakyat mendokong YDP Agong sebagai Ketua Negara yang menjadi ‘ayah’ kepada rakyat. Apa salahnya untuk ‘anak’ berjumpa dengan ‘ayah’ secara beramai-ramai?

PERKASA cukup lantang menyatakan bantahan kepada himpunan ini. Sekiranya PERKASA boleh membuat himpunan dan laporan kepada polis tanpa ada gangguan orang lain, kenapa mereka mahu menghalang untuk rakyat berhimpun dan berjumpa denga YDP Agong? Adakah kebebasan berhimpun dan membuat laporan hanya untuk PERKASA?

Pihak Polis perlu menjadi perunding yang baik. Mereka seharusnya bersikap lunak dengan orang awam kerana rakyat merupakan pelanggang mereka. Sejarah BERSIH tahun 2007 banyak menunjukkan bahawa ramai juga anggota yang bersikap terbuka hingga memberikan kerjasama yang baik sepanjang himpunan. Tak kurang juga ada yang berdoa bersama peserta himpunan dan menunjukkan laluan keluar untuk peserta himpunan! Sebenarnya rakyat sudah lali dengan semburan air ‘water canon’ mahupun bedilan gas pemedih mata. Tindakan sebegini tidak pernah memadamkan semangat rakyat, bahkan meninggikan lagi amarah kepada pihak berkuasa. Polis hanya perlu mengawal peserta himpunan yang ingin timbulkan provokasi, bukannya semua orang awam.

Semoga himpunan BERSIH ini dapat membersihkan sistem pilihanraya, sistem sosial dan juga ekonomi yang ada pada hari ini. Apabila semuanya bersih, maka tidak akan puak yang ekstrim membela kumpulan dan bangsa tertentu hingga menzalimi bangsa yang lain, sebaliknya BERSIH juga akhirnya dapat menjadikan kita sebagai warga Malaysia yang harmoni dan menghormati prinsip antara satu sama lain.

Riduan Mohd Nor,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Kanak-kanak dipaksa pakai jaket pengebom berani mati

19 Rejab 1432H. [MOD] -

ISLAMABAD 21 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan mendakwa dia diculik sekumpulan anggota militan dan dipaksa memakai jaket pengebom berani mati untuk meletupkan sebuah pondok polis di daerah Lower Dir, barat laut Pakistan, semalam.

Kanak-kanak tersebut, Sohana Javaid, 8 tahun, ditemui polis kira-kira 50 kilometer dari pondok polis di pinggir bandar Taimargara, daerah Lower Dir berhampiran sempadan Afghanistan.

“Dia (Sohana) memakai jaket pengebom berani mati seberat lapan kilogram dan tingkah lakunya mencurigakan,” kata ketua polis Lower Dir, Qazi Jamil-ur-Rehman. – AFP/Reuters

JPJ laksana sistem e-Tukar

19 Rejab 1432H. [MOD]

ANTARA pengusaha penjualan kereta mewah terpakai yang terdapat di sekitar Ampang.

GENTING HIGHLANDS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka melaksanakan sistem e-Tukar yang akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat berkaitan pembelian dan penjualan kereta secara online pada November ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata maklumat online itu dibangunkan oleh eAuto Sdn. Bhd. dan disokong penuh JPJ, akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat mengenai kereta yang mereka mahu beli, terutamanya butiran mengenai pemilik asalnya dan butiran penting yang lain.

Menerusi sistem itu, seseorang boleh mengesan rekod dan status kewangan pemilik asal dan status kenderaan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) 2011 di sini.

kosmo/-

Ibu dalam pantang bersama bayi berusia 34 hari nyaris maut dalam kebakaran

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu yang masih dalam pantang bersama bayinya berusia 34 hari serta tiga anaknya nyaris maut dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kampung Kubang Lembek, Manir di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi tadi, Rozita Abdul Rahim, 29, sedang tidur bersama bayinya itu dan anaknya yang lain yang berusia lapan dan sembilan tahun sebelum dikejutkan oleh suaminya untuk menyelamatkan diri.

Suaminya, Hamdan Hussain, 37, berkata, semasa kejadian dia mendengar suara bising jiran-jiran mereka di luar rumah di samping terdengar bunyi letupan dari bahagian atas rumah mereka.

"Mulanya saya ingat ada orang bergaduh. Saya naik ke tingkat atas rumah saya untuk melihat tetapi terlihat api yang sedang marak. Saya terus mengejutkan isteri dan anak-anak saya untuk menyelamatkan diri di luar rumah kedai itu.

"Selepas berjaya menyelamatkan mereka, saya bergegas pula masuk ke dalam dan berjaya menyelamatkan dokumen penting," katanya.

Penolong Penguasa Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Roslan Mat Din berkata, tiga jentera bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 3.50 pagi.

"Bomba yang tiba ke tempat kejadian pada pukul 4.20 pagi dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000.

Hampir 80 peratus rumah kedai lima pintu yang didiami tiga keluarga itu musnah termasuk sebuah premis pemprosesan minuman berkabornat dan premis alat ganti barangan motosikal.

sinarharian/-

Ketika rakyat susah jom kita tinjau apa Menteri dapat ?

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Ini apa yang Menteri dapat ? betul ke ? renungkan lah .....

1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara
- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dll boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dgn telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.(perdana sebagai kereta rasmi semata-mata)

7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

Jadi, tunggu apa lagi, semua pakat turun pada 9 Julai ini - ajak semua kawan-kawan dan saudara mara.

cheguBard

Proton Perdana Bawa Lembu Di dalamnya

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Alor Gajah: Taktik tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum mencuri seekor lembu jantan di Simpang Guthre, Tebong, dekat sini, kecundang apabila seorang daripada mereka ditahan polis, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi, tiga lelaki berusia 40-an itu memberhentikan kereta Proton Perdana V6 dinaiki mereka selepas menyumpit lima ekor lembu di dalam pagar rumah penduduk dikenali sebagai P Bakachander, 47.

Jurucakap polis berkata, mangsa menyedari gerak-geri tiga suspek itu yang berlegar-legar di persekitaran rumahnya sebelum menyumpit lima lembu dan memasukkan seekor daripadanya ke dalam kereta dan melarikan diri.

Mangsa kemudian menghubungi polis sebelum anggota peronda yang meronda di sekitar Alor Gajah serta berdekatan mengesan dan mengepung kereta terbabit di setiap penjuru jalan raya ke arah Bukit Bulat.

“Bertindak atas maklumat itu, enam kereta peronda bergegas ke lokasi sebelum terserempak dengan kereta suspek bergerak laju ke arah Hutan Percha, Kemuning kemudian ke Solok Menggong sebelum berpatah balik dan berselisih dengan sebuah kereta peronda.

“Anggota peronda kemudian mengejar kereta suspek yang memecut laju dan berjaya menghalangnya ketika kereta itu membelok ke arah Machap,” katanya.

Menurutnya, ketika kenderaan suspek dikepung, mereka cuba melarikan diri dengan keluar menuju ke arah ladang kelapa sawit berhampiran, namun seorang daripada mereka tidak bernasib baik apabila kakinya terbolos ke dalam longkang sebelum ditangkap.

“Dua suspek lagi gagal dikesan kerana melarikan diri di dalam ladang sawit dan pemeriksaan ke atas kereta menemui satu sumpit menggunakan bahan PVC dan pelekat lambang polis,” katanya.

Sementara itu, Balachander berkata, ketika kejadian dia berada berdekatan lembunya di dalam kawasan berpagar selepas menyedari sebuah Proton Perdana V6 di depan rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

“Beberapa minit selepas itu lima ekor lembu saya tumbang tanpa menyedari ia disumpit tiga lelaki dari dalam kereta tadi sebelum mereka mendekati saya sambil mendakwa anggota polis.

“Pakaian mereka ada lambang polis dan saya melihat seekor lembu rebah berhampiran pagar manakala empat lagi di dalam pagar sebelum mereka mengangkat dan memasukkan lembu di tempat duduk belakang dan terus beredar.

“Saya pelik apabila mereka memasukkan lembu yang pengsan ke dalam kereta yang diubah suai sedangkan pada mulanya mendakwa anggota polis,” katanya. -HM

Lagi gempa bumi di Chile, tiada kerosakan, tiada tsunami

19 Rejab 1432H. [MOD] -

WASHINGTON 21 Jun – Satu gegaran kuat berukuran 6.3 skala Richter melanda utara Chile, malam tadi.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi pada kedalaman 111.3 kilometer dan 90 kilometer dari timur laut bandar Calama, wilayah Antofagasta itu berlaku pada pukul 8.35 malam waktu Malaysia.

Gempa tersebut bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan dan tiada amaran tsunami dikeluarkan. – AFP

Perkahwinan pasangan lesbian pertama di Nepal

19 Rejab 1432H. [MOD] -

COURTNEY MITCHELL (kanan) menyarungkan cincin perkahwinan kepada pasangan lesbiannya, Sarah Welton dalam majlis perkahwinan sesama jantina di sebuah kuil Hindu di Katmandu, Nepal semalam.

KATMANDU - Seorang peguam wanita dan profesor wanita dari salah sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS) merupakan pasangan lesbian yang pertama berkahwin di Nepal semalam.

Nepal baru-baru ini telah mengiktiraf hak-hak lelaki homoseksual dan menggubal undang-undang untuk menamatkan diskriminasi seksual.

Pasangan itu, Courtney Mitchell, 41, dan Sarah Welton, 48, dari Denver, Colorodo diraikan dalam persandingan tradisi Hindu di kuil Dakshinkali yang terletak di selatan Katmandu, ibu negara Himalaya.

Ahli Parlimen Nepal, Sunilbabu Pant, seorang aktivis hak gay berkata, ia merupakan perkahwinan awam pertama daripada pasangan lesbian di negara konservatif.

Di Nepal, perkahwinan sejenis tidak menyalahi undang-undang. - AP

BERSIH 2.0 : Apa Saja Ancaman, Rakyat Tekad Turun Ke Jalan-AMK

19 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan rakyat tetap akan turun ke jalan pada 9 Julai ini, biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman, tegas Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

“Biar apa jua keadaan yang mendatang, AMK akan terus berada di barisan hadapan untuk membawa rakyat merempuh sistem pilihanraya yang tidak telus melalui Perhimpunan Bersih 2.0 kelak,” tegasnya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Khairul berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat secara berangkai oleh Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa dan pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, yang jelas menunjukkan kedangkalan dan sikap tidak matang mereka berdepan suara rakyat.

Khairul yang juga dikenali sebagai Jonah mengingatkan perhimpunan Bersih 2.0 adalah hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan telus, selaras peruntukan perlembagaan.

“AMK menyarankan kepada Pemuda Umno dan Perkasa agar tidak membuang masa dengan mengugut rakyat. Jangan memperbodohkan rakyat dengan sistem yang menindas, sebaliknya belajarlah berhadapan dengan kuasa rakyat secara bermaruah,” katanya.

Tegasnya, perhimpunan itu bertujuan untuk memperbaiki sistem Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan menuntut kerajaan supaya lebih peka terhadap keperluan perjalanan pilihanraya yang adil untuk semua pihak.

“AMK ingin membalas semua ‘kerisauan’ yang ditimbulkan oleh Umno, Perkasa, dan Polis ini dengan satu pertanyaan sahaja: “mengapa mereka perlu takut denganperhimpunan Bersih 2.0 sekiranya mereka yakin sistem Pilihanraya yang diselenggara oleh SPR di Malaysia benar-benar telus dan bersih?,”soalnya.

Malah, sistem pilihanraya yang adil dan telus bukan untuk menguntungkan PKR ataupun rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menguntungkan rakyat kerana suara mereka diterjemahkan dengan betul tanpa sebarang manipulasi.

Pemuda Umno dan Perkasa sebelum ini menyatakan hasrat untuk turut sama mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama bagi menyokong sistem pilihan raya di negara ini.

Ia disusuli dengan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang memberi amaran kepada kaum Cina supaya ‘membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah’ jika perhimpunan itu tidak dihentikan.

Malah pertubuhan pelampau itu turut memberi ancaman kepada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan menyatakan beliau sebagai ‘Wanita Hindu yang berbahaya’.

sinarharian/-

NATO mengaku sebabkan kematian penduduk awam Libya

19 Rejab 1432H. [MOD] -

BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), semalam buat pertama kali mengaku bahawa serangan bom yang dilancarkannya di Tripoli kelmarin menyebabkan kematian penduduk awam.

Serangan itu juga berlaku dalam tempoh 24 jam selepas NATO mengumumkan pesawatnya tersilap membedil kedudukan pemberontak yang memerangi rejim Muammar Gaddafi.

NATO dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab menyebabkan kematian orang awam dalam satu pengeboman di Tripoli yang meragut sembilan nyawa, termasuk dua kanak-kanak kecil.

"NATO kesal dengan kehilangan nyawa penduduk awam.

"Meskipun kami masih menyiasat punca kejadian ini, tanda-tanda menunjukkan kegagalan sistem senjata mungkin menyebabkan insiden ini," kata Komander NATO bagi misi di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bouchard.

Kematian penduduk awam itu akibat serangan NATO, adalah yang pertama disahkan dan ia memalukan perikatan tersebut kerana kempen pengebomannya di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi.

Insiden itu juga berlaku sehari selepas NATO mengaku pesawat perangnya tersilap membedil sepasukan tentera pemberontak di kawasan Brega pada Khamis lalu, antara beberapa serangan yang tersasar.

Selepas menyiasat dakwaan kerajaan Gaddafi mengenai kematian orang awam, NATO berkata, sistem senjatanya dipercayai gagal mengenai sasaran yang dimaksudkan.

Wartawan dibawa ke daerah Al-Arada di Tripoli sebelum pukul 1 pagi semalam (7 pagi semalam waktu Malaysia) untuk melihat pasukan penyelamat dan orang awam bertungkus-lumus mencari mangsa di celah-celah runtuhan sebuah blok rumah dua tingkat.

Media kemudian dibawa ke sebuah hospital di Tripoli dan mayat seorang wanita dan dua kanak-kanak kecil, dikatakan tiga beranak yang maut dalam serangan itu, ditunjukkan kepada mereka. - AFP

Retreat Pemuda PAS Perak bincang persiapan PRU

19 Rejab 1432H. [MOD] -

(PARIT) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah melaksanakan program 'Retreat' di dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke - 13 nanti untuk menyusun langkah persiapan jentera Pemuda PAS.

Program yang diadakan di Kampung Selebuh, Parit telah menghimpunkan semua pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan seluruh Negeri Perak bagi membincangkan persiapan jentera Pemuda PAS di semua peringkat dalam PRU 13 ini nanti.

Dalam ucapan perasmian pembukaan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss meminta agar Pemuda PAS bekerja secara koletif bersama Pemuda Pakatan Rakyat (PR) untuk berdepan dengan Umno / Barisan Nasional (BN).

Manakala di dalam ucapan perasmian penutup pula oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan meminta agar kemahiran bersepadu daripada Pemuda PAS nanti agar dapat mencapai kemenangan PR dalam PRU 13 nanti.

Program bermalam tersebut telah meluluskan resolusi agar Pemuda PAS Perak perlu menjadi tonggak kemenangan PR dalam PRU 13 dengan cemerlang dan memastikan setiap sentuhan kepada pengundi muda dapat dicapai.

safarizal saleh

Ketua Puteri Umno Jerlun ditiduh berkhalwat

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Ketua Puteri Umno Bahagian Jerlun, Kedah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Jitra, Kedah atas tuduhan khalwat dengan seorang lelaki.

Menurut laporan TV Selangor, Yusmawati Yaacob, 31 tahun didakwa mengikuti Seksyen 9(1) Akta Kanun Acara Jenayah Syariah Kedah 1988 manakala pasangannya, Mohd Jasmi Ismamil, 47, dituduh mengikut Seksyen 9(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua- duanya sekali.

Kedua- dua pasangan itu ditahan sepasukan Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu dalam sebuah rumah di Taman Tengku Sarina, Jitra, jam 1:20 pagi, 11 Mei lalu.

Kedua-dua pasangan itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Sheikh Kamaruslan Mustapha menetapkan 4 Julai depan, tarikh sebutan semula kes.

Ini kerana peguambela tertuduh, Sukri Zakaria dan pendakwa syarie, Juliana Ramli perlu mengemukakan hujah masing- masing kepada mahkamah dalam tempoh dua minggu.

malaysiakini/-

Dun Kelantan lantik Dr Johar Mat sebagai senator

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Jun: Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Datuk Dr Johari Mat (gambar) dipilih sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) bagi menggantikan Senator Rosli Ibrahim bermula awal Julai ini.

Perlantikannya diumumkan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dalam Sidang Dun Kelantan semalam setelah ianya dicadangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cadangan itu disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan mendapat sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri yang lain selepas diundi.

Dr Johari Mat yang dilahirkan pada 28 April 1952, merupakan anak jati negeri Kelantan.

Johari ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana memilihnya menggantikan kekosongan itu.

Katanya, beliau akan membawa hasrat kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.

“Ianya adalah sebahagian asas yang dipertanggungjawabkan oleh setiap
pemimpin yang beragama Islam,” ujarnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan (1960 – 1961), kemudiannya ke Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah, Kelantan (1963 – 1969) dan seterusnya ke Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan (1970 –1971).

Beliau mendapat BA Syariah dan Undang-Undang di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan (1972 – 1975) dan seterusnya MA Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia (1978 – 1982) (Pengkhususan : Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Beliau memperolehi Ph.D Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia(1990 – 1994) (Pengkhususan: Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai tutor, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) 1976 – 1981

1981 - 1983 - Tutor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

1983 – 1999 - Pensyarah, Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

1999 - 2001 – Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur

2001 – 30/4/2003 - Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kelantan.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1983 – 1985), Penyelaras Pendidikan Islam, Universiti Malaya (1984 – 1985).

Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1985 – 1990)

Pemangku Ketua Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (1987)
Ketua Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (1996 – 1999).

harakahdaily/-