19 Rejab 1432H. [MOD] -
Kehangatan media dan perbualan rakyat berkaitan himpunan BERSIH pada 9 Julai ini semakin memuncak. Pelbagai kemungkinan akan berlaku pada tarikh tersebut. Ada yang menyokong dan menentangnya, kesemuanya ada hujah dan pandangan tersendiri. Itupun hak dan kebebasan dalam demokrasi.
Persoalan pokoknya ialah apa matlamat akhir yang ingin dicapai BERSIH? Sangat sukat untuk dijawab secara objektif, namun secara mudahnya ialah untuk memastikan pilihanraya dalam Negara ini berjalan dengan penuh integriti dan diwarnai dengan suasana penuh demokrasi.
BERSIH 2.0 ini juga menjadi penanda aras kepada kesedaran rakyat kepada keseriusan rakyat dalam menentukan masa depan Negara. Jika ada yang meminta BERSIH mengadakan rundingan dan perbincangan sahaja untuk menyampaikan 8 tuntutannya, maka awal-awal lagi sikap angkuh Pengerusi SPR yang menolak mentah-mentah agenda yang dibawa menjelaskan lagi kenapa rakyat perlu turun bersama dengan BERSIH.
Pilihanraya bersih menjadi objektif kita bersama kerana tidak ada guna kempen, ceramah dan kesedaran rakyat sekiranya proses pilihanraya dijalankan secara tidak adil. Pihak kerajaan sepatutnya menghormati hasrat dan kemahuan rakyat untuk berhimpun yang dijamin oleh perlembagaan Negara. Signifikan daripada itu juga menunjukkan rakyat masih percaya dengan sistem pilihanraya tanpa perlu dianjurkan himpunan ‘tahrir square’ di Malaysia untuk menukar kepimpinan negara, cumanya perlu diperbaiki sistem yang jelas nampak kelompangannya.
Rakyat pada hari ini sudah tidak takut dengan ancaman yang diberikan. Harga keadilan dan demokrasi cukup mahal untuk dibayar dengan beberapa ribu kerugian ekonomi yang dimomokkan. Sekiranya himpunan BERSIH boleh berjalan dengan aman tanpa ada provokasi dan halangan yang dilakukan, maka dunia akan melihat bahawa Malaysia merupakan Negara yang menghormati pandangan dan kehendak rakyat dan akhirnya boleh menarik pelancong untuk datang melawat ke dalam Negara. Bukankah ini boleh menjadi keuntungan ekonomi kepada kita? Pelancong hadir untuk menyertai kebebasan demokrasi yang ada.
Kehadiran ratusan ribu rakyat nanti juga bakal menggambarkan bahawa keharmonian dan perpaduan kaum dalam Negara yang turun berjalan bersama tanpa mengira warna kulit dan agama, tetapi mereka berjalan dalam satu semangat rumpun bersama menuntut keadilan. Penyerahan memorandum kepada YDP Agong juga nanti menunjukkan bahawa seluruh rakyat mendokong YDP Agong sebagai Ketua Negara yang menjadi ‘ayah’ kepada rakyat. Apa salahnya untuk ‘anak’ berjumpa dengan ‘ayah’ secara beramai-ramai?
PERKASA cukup lantang menyatakan bantahan kepada himpunan ini. Sekiranya PERKASA boleh membuat himpunan dan laporan kepada polis tanpa ada gangguan orang lain, kenapa mereka mahu menghalang untuk rakyat berhimpun dan berjumpa denga YDP Agong? Adakah kebebasan berhimpun dan membuat laporan hanya untuk PERKASA?
Pihak Polis perlu menjadi perunding yang baik. Mereka seharusnya bersikap lunak dengan orang awam kerana rakyat merupakan pelanggang mereka. Sejarah BERSIH tahun 2007 banyak menunjukkan bahawa ramai juga anggota yang bersikap terbuka hingga memberikan kerjasama yang baik sepanjang himpunan. Tak kurang juga ada yang berdoa bersama peserta himpunan dan menunjukkan laluan keluar untuk peserta himpunan! Sebenarnya rakyat sudah lali dengan semburan air ‘water canon’ mahupun bedilan gas pemedih mata. Tindakan sebegini tidak pernah memadamkan semangat rakyat, bahkan meninggikan lagi amarah kepada pihak berkuasa. Polis hanya perlu mengawal peserta himpunan yang ingin timbulkan provokasi, bukannya semua orang awam.
Semoga himpunan BERSIH ini dapat membersihkan sistem pilihanraya, sistem sosial dan juga ekonomi yang ada pada hari ini. Apabila semuanya bersih, maka tidak akan puak yang ekstrim membela kumpulan dan bangsa tertentu hingga menzalimi bangsa yang lain, sebaliknya BERSIH juga akhirnya dapat menjadikan kita sebagai warga Malaysia yang harmoni dan menghormati prinsip antara satu sama lain.
Riduan Mohd Nor,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat
1 ulasan:
Melambangkan lampu hijau supaya semuanya berjalan lancar. Tak payahlah nak susah2kan keadaan melayan rakyat seperti pengganas.
Hormatlah sama suara rakyat, suara orang2 keramat.
Tak malu kat negara2 asing pun, malulah sama pada diri sendiri. Berbaloikah aku melawan takdir. Mereka bukan keluar dengan pedang dan parang panjang.
Sekadar menzahirkan suara supaya semua bertindak BERSIH.
Catat Ulasan