19 Rejab 1432H. [MOD] -
SUNGAI PETANI 20 Jun - Dua pesakit termasuk seorang wanita mengandung nyaris maut apabila ambulans yang membawa mereka terbabas lalu terbalik di persimpangan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 8.45 pagi selepas sebuah kereta dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui jalan itu lalu merempuh ambulans berkenaan.
Cubaan pemandu ambulans itu untuk mengelak, menyebabkan kenderaannya yang dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, terbabas lalu terbalik.
Turut sama mengiringi pesakit itu ialah seorang pembantu kesihatan, namun kesemua mangsa terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah HSAH, Dr. Harif Fadzilah Che Hashim berkata, ambulans itu bertolak dari HSAH pada pukul 8.30 pagi dan semasa hendak memasuki persimpangan lampu isyarat di Plaza Tol Sungai Petani Utara, sebuah kereta dari arah Sungai Lalang tiba-tiba merempuh kenderaan terbabit.
"Dua pesakit berada di dalam ambulans itu mengalami kecederaan dan terpaksa keluar dari pintu belakang. Pesakit terbabit kemudian dikejarkan ke HSAH dengan bantuan ambulans lain untuk mendapatkan rawatan.
"Keadaan kedua-dua pesakit berusia 20-an itu kini dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius. Kandungan salah seorang pesakit juga selamat," katanya.
utusanmalaysia/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan