20 Julai 2011

Anak Datuk antara ditahan cuba seludup manusia

18 Syaaban 1432H. [MOD] -


ANGGOTA APMM menyelamatkan 46 PATI apabila bot mereka hampir karam di perairan Kota Tinggi malam kelmarin.

KOTA TINGGI - Tiga lelaki termasuk seorang anak Datuk ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia menerusi perairan Kota Tinggi baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika berkonvoi dengan empat buah kereta membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sungai Rengit kira-kira pukul 8 malam Ahad lalu.
Katanya, suspek anak Datuk berusia 21 tahun itu menggunakan kereta Perodua Myvi miliknya yang mempunyai pelekat orang kenamaan untuk membawa PATI ke lokasi berkenaan.
Menurutnya, suspek itu adalah seorang pelajar universiti tempatan dan menggunakan kesempatan masa cuti semester untuk menyeludup PATI.
"Kami menerima maklumat mengenai aktiviti kumpulan ini sejak beberapa bulan lalu dengan membabitkan lima suspek.
"Bagaimanapun, ketika serbuan, dua daripada mereka berjaya meloloskan diri. Kami berjaya menahan tiga suspek bersama 15 PATI warga Indonesia termasuk dua wanita," katanya kepada pemberita semalam.

Hiburan: Umno bersandiwara di sebalik isu moral

18 Syaaban 1432H. [MOD] -



Umno dan kerajaan BN jelas kelihatan amat tidak ikhlas dalam mengawal persoalan hiburan di kalangan rakyat, sebaliknya hanya bersandiwara dalam menjaga persoalan moral dan agama dalam sistem pentadbirannya.
Perkara itu jelas terbukti apabila diteliti sikap para pemimpin Umno dan BN terhadap langkah baik yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mengenai larangan berhibur pada bulan Ramadhan, tetapi ditentang oleh mereka dari segala sudut.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa(gambar) menegaskan, lebih ketara lagi, di sebalik tentangan mereka terhadap langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu, mereka tidak pula membantah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh berhibur sehingga jam 3.00 pagi.
Menurut beliau, pada hal tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu, selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Kedah ketika berada di bawah kepimpinan BN dahulu, yang telah pun membuat peraturan itu pada bulan Ramadhan.
Katanya, bezanya, kerajaan BN Kedah dahulu hanya sekadar meluluskan peraturan itu sahaja, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan, manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam erti kata sebenarnya demi kepentingan agama dan seluruh rakyat negeri itu.
"Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mahu melaksanakannya, para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan tiba-tiba bangkit menentangnya, seolah-oleh peraturan itu adalah sesuatu yang asing kepada mereka, pada hal ia telah diluluskan oleh kerajaan Kedah semasa berada di bawah BN dahulu.
"Jika mereka ikhlas, kenapa mereka tidak menentang ketika kerajaan BN Kedah meluluskan peraturan itu dahulu, tetapi hanya menentang apabila Kerajaan Pakatan Kedah yang mahu melaksanakannya?
"Ini jelas memperlihatkan sikap double standard di kalangan para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan dalam perkara ini yang pasti dapat dilihat dengan jelas oleh setiap pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Amat menyedihkan, menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu sememangnya amat baik bagi orang ramai terutama di kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan.
Katanya, namun disebabkan kepentingan politik, para pemimpin Umno dan BN sanggup menentangnya, walaupun ia pasti akan mendatangkan kesan amat buruk kepada masyarakat.
Lebih dikesali oleh beliau, ketika Kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk mendidik rakyat agar menjadi lebih berakhlak, bermoral dan mematuhi ajaran agama, kerajaan BN Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Ali Rustam telah mengambil langkah lebih tidak bertanggungjawab.
"Ini amat jelas kelihatan apabila kerajaan Melaka telah melanjutkan pembukaan pusat hiburan di Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.
"Tetapi tindakan kerajaan Melaka itu tidak pula ditentang oleh para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan yang begitu bersungguh-sungguh menentang langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu.
"Jadi amat jelas, mereka sebenarnya hanya bersandiwara dengan rakyat. Mereka sebenarnya bertindak sedemikian bukanlah untuk kepentingan moral rakyat, tetapi hanyalah untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja," ujarnya.
Dalam dalam hubungan ini, beliau memuji langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kerana mengambil pendekatan tepat setelah mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP yang menentang larangan hiburan pada bulan Ramadhan.
"Tindakan DAP itu sebenarnya berpunca dari ketiadaan kefahaman para pemimpin DAP mengenai perkara itu. Setelah diadakan perbincangan, pemimpin DAP dan pengusaha-pengusaha pusat hiburan di Kedah sendiri akhirnya bersetuju untuk melaksanakan larangan itu di kalangan umat Islam.
"Setelah diberikan kefahaman, orang-orang bukan Islam sendiri turut memberikan komitmen untuk menguatkuasakan larangan itu. Ini kerana larangan memasuki pusat-pusat hiburan pada bulan Ramadhan itu sendiri bukanlah untuk orang bukan Islam, tetapi hanya untuk orang Islam.
"PAS sebenarnya tidak menyekat orang bukan Islam berhibur, tetapi PAS menyekat orang Islam dari berhibur sehingga keterlaluan, lebih -lebih lagi pada bulan puasa dan ini tentunya berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam sendiri dalam menyambut Ramadhan," katanya.
Dari kejadian itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar secara jelas menegaskan perbezaan Pakatan Rakyat dan BN, apabila para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata lebih bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjaga isu moral.
"Ini jelas terbukti apabila para pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa mengambil sikap berterus terang, berbanding para pemimpin Umno dan BN yang sering bermuka-muka dengan rakyat untuk menjaga kepentingan politik masing-masing," tegas beliau. 

PAS Terengganu tolak hiburan melampau

18 Syaaban 1432H. [MOD] -


PAS Terengganu tetap meneruskan tradisinya menyekat hiburan melampau di kalangan rakyat, terutama pada bulan Ramadhan, walaupun tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negeri.
Antara usaha yang akan dilakukan, termasuk dengan menghidupkan lagi aktiviti di markas-markas PAS di seluruh negeri dengan kegiatan keagamaan dan bercirikan keilmuan.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani (gambar)menjelaskan, semasa memerintah negeri dulu, PAS sememangnya mempunyai kuasa untuk menyekat hiburan melampau di negeri itu terutama pada bulan Ramadhan, dengan menguatkuasakan undang-undang larangan umat Islam memasuki pusat-pusat hiburan di seluruh negeri.
Menurut beliau, kini walaupun tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negeri, usaha menyekat rakyat agar tidak terlibat dengan hiburan melampau di negeri itu tetap diteruskan, walaupun dengan skop yang amat terhad.
Katanya, tumpuan PAS dalam hal itu, sesuai dengan kemampuan yang ada yang hanya sebagai pembangkang, terutama dengan menyuburkan aktiviti-aktiviti berfaedah kepada orang ramai di markas-markas PAS.
"Selain itu, PAS Terengganu akan melipatgandakan lagi usaha-usaha membuat kebajikan kepada orang ramai terutama kepada anak-anak yatim," katanya ketika menjawab soalan peserta pada majlis tazkirah di surau ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.
Usaha melaksanakan kerja-kerja kebajikan itu, menurut beliau, akan dilakukan secara berterusan sama ada pada bulan Ramadhan dan di luar Ramadhan, tetapi akan dilipatgandakan lagi sempena ketibaan bulan yang mulia itu.
"Dengan itu, ia pasti akan membolehkan sesiapa sahaja akan melihat keindahan ajaran Islam termasuk di kalangan mereka yang bukan Islam bagi menarik golongan bukan Islam kepada Islam," katanya.
Ketibaan bulan Ramadahan sepatutnya disambut oleh setiap umat Islam dengan peningkatan amal kepada Allah, namun dalam hubungan ini, beliau amat kesal apabila kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak pernah mempedulikan perkara itu.
"Semua itu bergantung kepada niat seseorang. Apakah niat seseorang itu dalam menyambut ketibaan Ramadhan? Kepada Ali Rustam, yang dilihat ternyata hanyalah dari segi kebendaan.
"Untuk menarik pelancong, Ali Rustam sampaikan sanggup melanjutkan tempoh pembukaan pusat-pusat hiburan di negeri Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.
"Apa yang dilakukan oleh Ali Rustam itu ternyata merupakan sesuatu yang amat jahat kepada rakyatnya terutama kepada umat Islam kerana ia dengan jelas boleh merosakkan lagi moral rakyat termasuk umat Islam sendiri, di samping jelas tidak menghormati ketibaan bulan Ramdhan yang dimuliakan Allah," ujarnya.
Sebelum itu ketika menyampaikan tazkirahnya, beliau antara lain mengingatkan setiap umat Islam agar benar-benar berpegang dengan ajaran Allah dalam melakukan sebarang tindakan ketika hidup di dunia ini.
Dalam hubungan ini, beliau meminta umat Islam agar yakin dengan setiap ayat-ayat Allah yang terdapat di dalam Al-Quran kerana setiap ayat-ayat itu mempunyai hikmah yang tersendiri.
"Islam adalah agama yang maha sempurna dan maha indah. Di dalam Al-Quran sendiri sudah terdapat pelbagai ayat yang mempunyai hikmah tersendiri jika diamalkan yang melibatkan pelbagai bidang termasuk perubatan, perekonomian, politik, kenegaraan, kasih sayang, perlindungan diri, keluarga, masyarakat dan pelbagai aspek lain lagi.
"Jika kita amalkan dan yakin dengan ayat-ayat yang kita amalkan itu dengan dilengkapi keikhlasan kepada Allah, insya Allah semuanya pasti menjadi, termasuk untuk melepaskan diri dari halangan musuh," ujar beliau.
Antara contoh yang diberikan oleh beliau, termasuk penggunaan sebahagian ayat dalam surah Yaasin yang dibaca dan dihembuskan kepada pasir yang berada di dalam genggaman, boleh menyebabkan pihak musuh tidak sedar jika kita melalui di hadapan mereka.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh sebahagian ayat yang terdapat dalam surah Yusuf yang boleh mengeratkan lagi kasih sayang antara suami isteri jika dibaca dan dihembuskan di belakang pasangan, termasuk di kalangan pasangan suami isteri yang bermasalah. 

Pulau ada istana dijual RM2.25 juta

18 Syaaban 1432H. [MOD] -


PULAU THORN FORT terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales.

PEMBROKESHIRE, Wales - Sebuah pulau yang mengandungi sebuah istana yang terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales menanti pembeli dengan harga jualan £750,000 (RM2.25 juta).
Ia yang dikenali sebagai Pulau Thorn Fort mempunyai sebuah istana yang mengandungi sembilan bilik tidur selain dapur, bilik makan dan bilik permainan.
Kubu yang terdapat di pulau itu dibina pada 1850-an bagi menghalang serangan tentera Perancis.
Pulau itu mempunyai pemiliknya sejak tahun 1930-an dan kemudian dijadikan sebuah hotel.
Ia kemudian dibeli oleh kumpulan hotel Von Essen 10 tahun lalu dan pada 2001 sebuah keluarga menjadi penjaga pulau berkenaan selepas memenangi satu pertandingan. - Agensi

Makcik BERSIH cuba sembunyikan dirinya...

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Sebelas hari setelah diangkat sebagai wirawati kerana pembabitannya dalam perhimpunan BERSIH 2.0, Makcik Anne Ooi kini cuba menyembunyikan dirinya.

Ooi, 65, berkata beliau terpegun dengan tumpuan orangramai setelah laman Facebook yang didirikan untuknya telah mendapat lebih 40,000 peminat atau mereka yang menyukainya.

Di alam siber, beliau kini dilabel sebagai 'Makcik BERSIH' ataupun 'Lady of Liberty' Malaysia.

Bagi bekas guru ini yang menjalani kehidupan ringkas, beliau langsung tidak mempunyai pengetahun luas mengenai media sosial dan tumpuan ke atasnya kini ibarat satu kejutan budaya.

"Saya begitu takut dengan semua 'kegilaan' di Facebook," katanya ketika ditemui pada malam Isnin lalu.

"Saya hidup tanpa TV, tanpa akhbar dan benda-benda mengarut. Saya hanya baca buku yang baik. (Sekarang) saya juga tidak berani pulang ke rumah. Semua kegilaan ini cukup menakutkan saya. Semua ini terlalu sukar dipercayai,”

Ooi, yang menjadi guru bahasa Inggeris selama 35 tahun berkata rumah anak perempuannya kini menjadi tempat perlindungannya dan beliau tidak berani keluar ke tempat awam kecuali ke gereja.

Beliau juga meluahkan hasrat supaya hidupnya tidak diganggu dan meminta orang ramai memberinya masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

"Tolong beri saya masa,” katanya.

Ooi mencuri tumpuan apabila antara ribuan gambar dan video yang merakamkan BERSIH 2.0 - satu yang agak menonjol - iaitu gambarnya yang berpakaian kuning tetapi basah kuyup sambil memegang sejambak bunga kekwa putih dan berjalan lesu mengelak kemaraan polis.

Wanita itu turut terkena pancutan air berkimia polis di luar bangunan Hospital Tung Shin di ibu negara Sabtu lalu dan tidak mampu melarikan diri apabila diminta bersurai.

malaysiakini/-

Durian Saka Segamat

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Selama 200 tahun tak pernah berhenti berbuah

JAM di tangan menunjukkan pukul 6.30 pagi. Titisan embun jantan belum lagi kering, kabut pagi juga masih menyelubungi hening sisa subuh di Kampung Gelang Chin-Chin, Segamat, Johor.

Sungguhpun tanah belum cerah, Abdullah Md. Isa, 58, sudah bersedia dengan sebuah raga rotan yang disandang di bahunya. Memulakan perjalanan dengan langkah kanan, Abdullah terus menuju ke deretan pokok durian yang terdapat di sekeliling rumahnya. Sambil berjalan, matanya sempat mendongak ke pucuk pokok yang kelihatan sayup dari bawah. Tatkala telinganya menangkap bunyi durian gugur, dia berlari anak ke tepi semak.

Dengan tangan yang bersarung, buah tadi dipungut dan dibelek sebelum dimasukkan ke dalam raga. Selesai mengelilingi perdu pokok yang paling tinggi itu, dia berpindah ke kawasan lain.

SEBATANG durian saka yang mencecah usia ratusan tahun boleh menghasilkan sebanyak 1,500 biji buah semusim.

Usai kerja memungut dan memastikan tiada durian yang tertinggal, Abdullah menyandang raga rotan yang sarat dengan isi menghala ke rumahnya. "Setiap kali musim durian, inilah rutin harian saya. Waktu awal pagi dan petang diluangkan untuk meninjau pokok-pokok durian ini.

"Kalau ada buah yang gugur, saya akan kutip dan simpan. Bolehlah menjamu anak cucu yang balik kampung hujung minggu nanti," katanya yang mesra disapa dengan panggilan Pak Lah. Bagi sesetengah orang, pengalaman mengutip buah durian bukan suatu yang pelik apatah lagi jika dibesarkan dalam suasana kampung.

Namun, bagi penulis dan jurugambar, Mohd. Naim Aziz, menunggu durian gugur dalam persekitaran desa yang dilatari Bukit Gelang Chin-Chin, ia sudah pasti menyuntik kelainan dan keterujaan.

KETIKA musim durian, pekan Segamat meriah dengan kedatangan lori-lori dari negeri lain yang ingin mendapatkan bekalan durian kampung.

"Ada 10 batang pokok durian yang ada di sekitar rumah ini, termasuk pokok besar di seberang paya itu. Semua pokok durian tua usianya melebihi 130 tahun. "Dek kerana umurnya yang mencecah ratusan tahun itu, kebanyakan penduduk menggelarkannya durian saka," jelas Pak Lah sambil membersihkan daun-daun kering yang melekat pada buah durian dengan dibantu isterinya, Rafiah Mustapa, 57.

Menurut Rafiah yang merupakan anak jati Kampung Gelang Chin-chin, pokok-pokok durian tersebut ditanam oleh datuknya. "Kalau ditanya usia sebenar pokok ini, saya kurang pasti kerana ia sudah ada sebelum saya lahir lagi," katanya.

Dahan dipucuk

KEENAKAN durian kampung terletak pada rasanya yang lembut dan padat.

Pokok durian saka yang dimaksudkan pasangan suami isteri ini memang kelihatan berbeza daripada pokok durian yang biasa dilihat. Untuk mengetahui pokok itu sama ada tua atau muda, Pak Lah memberitahu, pokok durian yang masih muda mempunyai kanopi yang berbentuk seperti kon sementara bagi pokok matang, kanopinya berbentuk bulat dan merendang di bahagian pucuknya.

Ditanam menggunakan biji, pokok durian saka lebih tinggi berbanding durian kacuk atau durian kahwin yang lebih rendang. Pokoknya tinggi menjulang malah boleh mencecah ketinggian 50 meter iaitu hampir sama dengan bangunan 13 tingkat. Durian seperti ini banyak ditemui di kampung-kampung di daerah Segamat.

Sesetengah pokok durian saka membesar dengan perdu yang dikukuhkan dan akar keras berselirat. Ada juga yang gah dengan banir sebesar tiga pemeluk orang dewasa. Kalau diperhatikan, dahan durian saka ini juga lebih panjang. Apa yang lebih menarik, ia hanya terdapat di bahagian pucuk.

"Dalam setahun ada dua musim durian yang utama iaitu di antara bulan Jun sehingga Ogos dan November hingga Januari. "Bagi pokok yang mempunyai dahan yang panjang, jika musim menjadi, sebatang pokok saka boleh menghasilkan 1,000 hingga 1,500 biji durian. "Kalau musim kurang menjadi, hasilnya boleh menurun kepada hanya 100 atau 200 biji sepokok," jelas Rafiah.

MENIKMATI durian saka yang baru gugur dalam persekitaran kampung sudah tentu memberi keterujaan kepada penggemar raja buah.



Datang dengan saiz dan bentuk yang pelbagai, buah durian boleh mencapai ukuran sehingga 18 sentimeter (sm) lebar dan 20 hingga 32 sm panjang. Kulitnya yang berduri tajam pula biasanya berwarna hijau, hijau keperangan hingga kuning keperangan. Pada permukaan kulit, terdapat empat hingga lima garisan pangsa yang sering dijadikan panduan untuk mengopek buah durian.

"Sebiji durian boleh menempatkan di antara empat hingga enam pangsa. Satu pangsa boleh mengisi di antara satu hingga lima ulas durian di dalamnya," ujar Pak Lah. Menikmati durian yang baru gugur dari pokok memang cukup mengasyikkan. Isinya tebal berwarna oren kekuningan dan hadir dengan aroma unik.

Seni rasa

Tekstur isinya lebih halus manakala rasanya cukup berlemak, tidak begitu manis dan ada rasa pahit di hujungnya. "Durian kampung mempunyai rasa yang tersendiri. Setiap pokok tidak akan memberi rasa yang sama.

"Malah, dalam sebatang pokok pun, kita masih berpeluang menikmati rasa durian yang berlainan," jelas Pak Lah. Pendapatnya itu disokong oleh seorang peraih durian, Sahad Dinan, 64. "Durian kampung terutamanya saka mempunyai pelbagai rasa, berbeza dengan durian kahwin yang hanya mempunyai satu rasa. "Senang kata, kalau anda beli durian D24 di mana-mana pun, rasanya adalah sama tetapi jika beli durian kampung, mungkin sebiji rasanya manis, sebiji rasanya pahit," katanya.

SEGAMAT sememangnya terkenal dengan durian kampung malah baka durian terbaik dikatakan datang dari daerah ini.

Berpengalaman dalam jual beli durian selama 44 tahun, Sahad sudah boleh kenal rasa dan bau berdasarkan warna kulit, saiz dan bau yang terbit daripada buah tersebut. Malah, dia juga tahu pokok mana yang menghasilkan durian itu. "Saya akan rasa dahulu buah durian sebelum membeliya daripada penduduk.

"Jika rasanya bagus, saya akan kenal pasti buah dan lokasi pokok bagi memudahkan saya membelinya lagi pada musim yang akan datang," katanya. Setiap kali musim durian, Sahad akan berada di pondok jualannya yang terletak di Jalan Segamat-Kuantan untuk membeli durian dan menjualnya kepada pengguna di laluan sibuk itu.

"Untuk musim yang kurang menjadi, setiap hari saya akan membeli kira-kira satu tan durian daripada penduduk tempatan. "Kalau musim menjadi, biasanya tiga hingga empat tan durian dapat dijual sehari," katanya yang meletakkan rasa durian yang manis, lemak dan pahit sebagai rasa durian kampung yang terbaik.

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Aziz Ali, 76, dia memiliki pokok durian berumur lebih 200 tahun yang ditanam oleh moyangnya. "Walaupun pokok itu sudah lebih 200 tahun, ia masih lebat berbuah.

"Cuma kali ini musim durian kurang menjadi, buah pun kurang, mungkin juga ia berkait dengan faktor umur. "Begitupun, pokok yang lebih muda masih berbuah seperti biasa," katanya yang menjual duriannya kepada Sahad untuk mengelakkan lambakan. Selain Sahad, seorang lagi peraih durian,

Desa Sharif, 66, menyifatkan durian kampung dari Segamat adalah antara durian terbaik. Desa yang sudah hampir 20 tahun menjadi peraih durian memberitahu dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang tinggi terhadap buah itu setiap kali musimnya tiba.

"Setiap hari urus niaga durian boleh mencecah lima tan. Kebanyakan durian yang dijual di sini adalah durian kampung dan ia didapati dari kampung sekitar daerah ini," katanya. Selain pasaran tempatan, durian saka Seamat juga laris di Kuala Lumpur dan Kuantan malah ada peraih dari Kemaman yang membeli durian daripadanya.

"Setiap hari, sepanjang musim durian, kira-kira dua bulan, saya dan tujuh pekerja akan berkampung di sini. "Seawal pukul 6 pagi sudah ada orang datang untuk menjual dan membeli durian," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Buloh Kasap. Selain rasanya yang sedap, durian mempunyai khasiat pemakanan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan buah-buahan yang diimport.

Dalam beberapa kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan, durian mengandungi protein, lemak, karbohidrat, kalsium, serta vitamin A dan C yang lebih tinggi berbanding epal, pir dan anggur. Selain itu, ia juga kaya dengan pitonutrien dan antioksidan yang dapat menurunkan kadar kolesterol, membersihkan darah serta mengelakkan jangkitan kulat.

selatanonline

Sorok mayat suami

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

MELAKA: Akibat mematuhi pesanan arwah suami supaya kematiannya tidak dihebahkan, seorang pengawal keselamatan didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah terhadap tuduhan menyembunyikan kematian dan tidak mendaftarkan kematian suaminya pada Oktober tahun lalu.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zaini Malek , 48, dan mengarahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda.

Zaini mengaku bersalah terhadap tuduhan bahawa dia sebagai isteri kepada Abd Halim Manan, 70, pada masa kematiannya atau merawati ketika sakitnya adalah orang yang layak untuk memberikan maklumat kepada pendaftar kelahiran dan kematian berikutan kematian itu di Lot 282, Batu 4 1/2, Jalan Kampung Batu Berendam, pada 3 hingga 6 Oktober 2010.

Bagi pertuduhan itu, Zaini didakwa mengikut Seksyen 35(e), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian yang memperuntukkan hukuman denda RM250.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mempertimbangkan pengakuan salahnya dan dia sebatang kara serta perlu membayar sewa rumah.

“Mohon hukuman dikurangkan kerana saya tidak mempunyai anak dan tinggal seorang, mungkin masa kejadian saya fikir macam-macam. “Sebelum meninggal, suami pesan jangan beritahu sesiapa. Saya tahu jenazahnya perlu disempurnakan, tetapi mungkin ketika itu saya dirasuk syaitan,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus.

Muhammad Hazri yang mempertimbangkan pengakuan salah tertuduh kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM250 dan jika gagal dipenjara tiga hari.

my metro/-

19 Julai 2011

PR tidak tolak pembangunan, tetapi PR tolak penyelewengan.

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA PEJABAT ADUN TITI SERONG/
PEJABAT SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT PERAK

Saya ingin menjelaskan kepada BN bahawa mereka perlu cermin wajah sendiri terlebih dahulu, supaya BN dapat melihat sendiri betapa hodohnya wajah mereka sebagai sebuah parti yang sarat dengan taktik dan strategi kotor dalam berpolitik.

Saya menafikan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang mengatakan sudah menjadi lumrah Pakatan Rakyat untuk tidak menerima apa jua pembaharuan yang diperkenalkan kerajaan kerana tidak mahu negara maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata tidak berpaksi kepada realiti,

Pakatan Rakyat positif terhadap sebarang kemajuan khususnya untuk rakyat, akan tetapi dakwaan beliau nampaknya sekadar untuk menlindung segala kelemahan pentadbiran negara lebih 50 tahun ditangan BN..

Sebetulnya Pakatan Rakyat menolak sebarang pembangunan UMNO-BN yang merugikan rakyat,apalagi disebabkan oleh amalan salah guna kuasa BN terhadap wang rakyat.

Kebanyakan projek mega yang dilaksana oleh UMNO-BN memang dengan alasan dan bermatlamat untuk menyenangkan rakyat sebagaimana tertera dalam setiap objektif proposal tender yang dikemukakan, akan tetapi tidak ramai rakyat yang tahu wujud “tangan bawah meja” yang menyapu wang rakyat secara tidak sah.

Malah terlalu banyak tender yang diagihkan tidak melalui proses yang telus dengan mengabaikan polisi tender terbuka yang boleh menjamin wang rakyat secara selamat.

Sebagai contoh, negara memperuntukkan RM111 juta untuk projek Permata Negara kendalian Isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansur, siapa yang untug melalui bajet ini? Sedangkan telah wujud program yang sama iaitu tadika KEMAS yang juga melibatkan penyaluran dana yang besar dalam setiap kali bajet dibentang..

Di ibu kota misalnya, rakyat telah “disajikan” dengan pemandangan besar Menara Berkembar Petronas, tidak cukup dengan pembaziran tersebut,rakyat akan disajikan lagi dengan menara warisan pula, adakah rakyat dapat manfaat dari RM5 bilion untuk bina menara tersebut?

Realitinya UMNO-BN sering kali membawa suatu yang tidak diperlukan rakyat, itulah rasionalnya mengapa Pakatan menolak sebilangan besar projek mega oleh umno-bn.

Sebenarnya masih banyak program yang melibatkan kepentingan ramai dan rakyat bawahan , namun sering diabaikan kerana tidak menguntungkan kroni dan pihak tertentu.

Semuga harapan itu dapat dilaksanakan sekiranya rakyat memberi harapan dan kemenangan kepada Pakatan Rakyat sebagai kerajaan pusaT dalam PRU ke 13 akan datang.

DRS, KHALIL IDHAM LIM
Parit Buntar, 19 julai 2011

Penganut Kristian Nyata Kebimbangan Pertemuan Najib-Pope

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 365 rakyat Malaysia penganut Katolik menulis surat kepada Ketua Gereja Katolik, Pope Benedict XVI menyatakan kegusaran mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Vatican semalam.

Surat itu disampaikan kepada wakil Pope Benedict di Singapura, delegasi Apostolik His Grace Archbishop Leopoldo Girelli.

Najib bertemu Pope Benedict XVI di Rom semalam bagi meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama dengan Wisma Putra.

Perkara itu didedahkan oleh penulis, Anil Netto dalam laman web Aliran.com semalam.

Ia menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan Najib sendiri berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat dalam negaranya.

Antara lain mereka menyebut tentang keganasan Najib menangani himpunan aman Bersih, manipulasi sentimen etnik dan keagamaan yang diamalkan Najib untuk kekal berkuasa, dan kekangan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.

Mereka juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah Sarawak.

“Kami risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke Vatican ini.

“Akhir sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013,” tulis mereka dalam surat itu yang dipetik Keadilan Daily.

Justeru, mereka meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib

“Kami berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia,” kata mereka.

Akhbar arus perdana hari ini menyiarkan berita hubungan diplomatik yang baru termeterai di antara Vatican dan kerajaan Malaysia selepas Najib bertemu Pope Benedict XVI di istana musim panasnya di Castel Gandolfo.

Lawatan itu dibuat Najib selepas beberapa minggu sebelumnya membuat kenyataan terbuka kononnya himpunan aman Bersih yang berlangsung 9 Julai lalu didalangi dan dibiayai gerakan Kristian luar negara.

tv selangor/-

Bersih 2.0 : Rakyat Lebih Tahu Apa Yang Berlaku..

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 19 JULAI: Pakatan Rakyat secara konsisten mengalu-alukan tindakan polis mendedahkan salah laku peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang didakwa melakukan provokasi terhadap anggota polis.

Namun menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, bukti itu tidak cukup untuk mengubah persepsi rakyat bersabit kekasaran yang dilakukan agensi itu kepada masyarakat yang berhimpun secara aman pada 9 Julai lalu.

Justeru beliau menganggap kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) akan terus terputus hubungan dengan rakyat jika berterusan menunding jari ke arah kumpulan yang rata-rata terdiri daripada golongan pertengahan dan rendah menuntut reformasi pilihan raya.

"Yang terus terhantuk ini BN sebab sampai sekarang masih belum jumpa satu jalan bagaimana untuk goncang keyakinan rakyat bahawa Bersih ini berjalan dalam keadaan aman dan berhasrat baik," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Rafizi tidak menolak usaha pihak tertentu mencari jalan mencemuh imej perhimpunan Bersih seraya menutup tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh anggota polis pada hari kejadian.

"Hakikatnya semua orang tahu yang turun (perhimpunan) Bersih itu berniat berjalan dengan aman. Kalau tidak kerana polis mengambil pendekatan keras dan kasar, perhimpunan hari itu adalah aman dan akan diingati sebagai perhimpunan yang berbilang kaum," tambah beliau.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini meminta polis menyegerakan siasatan rakaman video untuk mempertahankan tindakan kasar agensi itu terhadap orang awam ketika perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu.

Katanya, gesaan itu dibuat bagi menangkis kecaman masyarakat termasuk media alternatif dan asing yang mendakwa polis bertindak kejam ke atas peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.

Muhyiddin sebaliknya menunding jari ke arah rakyat yang dianggap mencetuskan provokasi terhadap anggota polis selain melontarkan kata-kata kesat.

Akhbar-akhbar pro kerajaan sehingga ke hari ini turut memainkan peranan menuduh peserta Bersih yang juga anggota Unit Amal, Abdul Razak Endut membawa pisau ketika himpunan itu dan bertindak membaling batu ke arah anggota polis menerusi sekeping foto pada 10 Julai lalu.

Namun gambar itu ternyata satu manipulasi apabila Razak sendiri tampil menceritakan apa yang berlaku pada hari tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada akhbar terbabit.

Mengulas hal itu, Rafizi berpendirian, taktik kuno Umno-BN dengan memanipulasi fakta dan imej untuk menghalalkan perbuatan kasar polis gagal memberi impak kepada rakyat.

Ini kerana menurut beliau rata-rata masyarakat terdedah kepada sumber maklumat internet yang meluas sekaligus mampu menilai antara kesahihan dan penipuan.

Katanya lagi, video yang disiarkan di laman Youtube merupakan hasil rakaman peserta-peserta yang hadir dan kebanyakkannya terdiri daripada rakyat jelata.

"Sebab itu seperti saya sebut tadi kita tidak takut dengan propaganda BN sebab ceritanya terus bertukar tanpa bukti yang dibawa kepada rakyat," katanya.

Jelasnya, walaupun terdapat segelintir masyarakat yang masih mempercayai propaganda Umno-BN namun ianya tidak akan merubah landskap politik Malaysia.

Ini kerana menurut beliau, hampir 60 peratus pengundi atas pagar bergantung kepada maklumat alternatif selain media arus perdana.

"Ada pepatah Inggeris berkata kita beri mereka lebih banyak tali, akhirnya mereka akan gantung diri sendiri. Dengan cara yang mereka buat sekarang, rakyat makin tidak yakin dengan BN sebab mereka menegakkan benang yang basah dengan jelas melalui media mereka," tambahnya lagi.

malaysiakini/-

11 Maut Serangan Bom Kereta di Iraq

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

TIKRIT: Sekurang-kurangnya 11 terbunuh apabila sebuah kereta yang membawa bom meletup ketika sebuah kereta peronda polis melalui pusat bandar Tikrit di utara Baghdad, awal pagi Selasa.

Pegawai keselamatan berkata, beberapa pegawai polis terkorban ketika serangan 9.19 malam waktu tempatan di bandar kelahiran bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Walaupun tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun ia ada kaitan dengan ikrar Al-Qaeda sebelum ini yang mahu membalas serangan Amerika Syarikat (AS) selepas kematian pemimpin rangkaian itu, Osama bin Laden, 2 Mei lalu.

Serangan itu adalah yang terbaru selepas kejadian pertumpahan darah antara Al-Qaeda dan AS, 29 Mac lalu yang mengakibatkan 58 orang terbunuh. - AFP

Buru 60 buaya di Sungai Seblak

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUCHING: Lebih 2,000 penduduk yang menghuni empat rumah panjang Iban dan dua perkampungan Melayu sepanjang Sungai Seblak di Kabong, kira-kira 500 kilometer dari sini, diarah menghentikan semua aktiviti di sungai selama lima hari berikutan operasi besar-besaran untuk menangkap 60 buaya yang dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk kawasan itu.

Operasi itu yang membabitkan kira-kira 30 anggota daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC), polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Ketua Penyelaras Operasi, Nazari Bujang, berkata larangan turun ke sungai itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan penduduk ketika anggota yang terbabit dalam operasi itu menjalankan rondaan.

"Kita bimbang penduduk terkena peluru sesat kerana anggota yang terbabit dalam operasi pasti akan melepaskan tembakan jika terserempak buaya.

"Kita akui, sungai menjadi nadi utama kehidupan harian penduduk kawasan itu, tetapi kami berharap dalam tempoh operasi mereka mematuhi arahan tidak turun sungai dan jika mahu ke pekan, mereka perlu gunakan jalan darat dari Kampung Emplam," katanya kepada Berita Harian.

Nazari yang juga Pegawai Tadbir Kanan, Pejabat Daerah Kabong, berkata larangan aktiviti sungai itu bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam, sepanjang tempoh operasi.

berita harian/-

Kastam KLIA Rampas Dadah Bernilai RM1 Juta

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

SEPANG: Dua cubaan penyeludupan dadah ke negara ini melalui mel dan kurier dapat dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh kurang seminggu, yang membabitkan tujuh kilogram dadah bernilai hampir RM1 juta.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M. Govinden berkata untuk kes pertama iaitu Rabu lalu, dua bungkusan berisi skrol lukisan daripada China yang dialamatkan kepada dua alamat berasingan di Subang dan Sepang, Selangor disyaki mengandungi dadah setelah melalui imbasan di Pusat Mel dan Kurier KLIA.

"Pemeriksaan kemudian mendapati empat kilogram ketamin yang dianggarkan bernilai RM72,000 disembunyikan dalam lubang tujuh skrol lukisan tersebut, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Govinden berkata dengan kerjasama Pos Malaysia, bungkusan itu dihantar kepada penerima yang seterusnya membolehkan dua suspek ditangkap, iaitu lelaki berumur 21 dan 49 tahun.

Beliau berkata pihaknya juga menemui sebuah beg di rumah salah seorang suspek itu yang mengandungi syabu seberat 300 gram, selain mempunyai bahagian tersembunyi di bawah beg yang dipercayai pernah digunakan untuk menyeludup dadah sebelum ini.

Bagi kes kedua, Govinden berkata pada Sabtu lalu, satu bungkusan dari India yang diikrarkan sebagai kotak barang kemas yang kosong dan dialamatkan kepada sebuah syarikat multinasional di Selangor disyaki mengandungi dadah setelah melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sebanyak tiga kilogram dadah disembunyikan di bahagian bawah lima kotak barang kemas tersebut, dengan nilai dianggarkan sebanyak RM750,000.

"Penerima bungkusan itu iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang juga merupakan pekerja biasa di syarikat tersebut telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Secara keseluruhannya, Govinden berkata untuk tahun ini sehingga semalam, sebanyak 64.37 kilogram dadah pelbagai jenis dirampas melalui 15 kes membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5.623 juta.

Beliau berkata daripada 15 kes tersebut, lima kes melibatkan dadah jenis syabu, lima lagi melibatkan dadah jenis ketamin, tiga kes melibatkan dadah jenis Eramin 5 dan masing-masing satu untuk dadah jenis ganja dan heroin.

"Pada tahun ini banyak rampasan dadah membabitkan penyeludupan dadah melalui mel dan kurier, kebanyakan dari China dan India dipercayai kerana tidak banyak proses pengimbasan dilakukan oleh negara pengeksport dan lebih mudah untuk sesiapa sahaja menerima bungkusan yang dihantar," katanya. -BERNAMA

Temui bayi di tangga

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang wanita terkejut apabila menemui bungkusan yang mengandungi seorang bayi berusia dua bulan ditinggalkan di tangga rumahnya di Kampung Hilir Masjid Kota, Pintu Geng dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, berkata, bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 7.25 malam oleh pemilik rumah berkenaan berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pegawai tadbir.

Menurutnya, wanita berkenaan menyedari kewujudan bayi dipercayai berketurunan Melayu tersebut ketika dia keluar dari rumahnya untuk mengangkat pakaian yang dijemur di halaman rumahnya.

“Bayi seberat 4.8 kilogram itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dibalut dengan tuala, malah ketika itu pemilik rumah berkenaan mendapati bayi itu tidak menangis, lalu membawanya masuk ke dalam rumah.

“Wanita tersebut juga menyerahkan bayi ini kepada adiknya seorang guru di Kuala Krai dan kemudiannya ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat urusan mengambil bayi sebagai anak angkat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azham berkata, selepas memaklumkan kepada JKM, dia dinasihatkan membuat laporan polis berikutan penemuan tersebut.

Katanya, selepas dua hari penemuan tersebut, wanita itu membuat laporan polis kira-kira jam 6.05 petang kelmarin di Balai Polis Kota Bharu sebelum menyerahkan semula bayi kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, bayi tersebut terus dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sampel darah bayi tersebut akan diambil untuk mengesan ibu bapanya dan kesihatan bayi kini dilaporkan baik.

“Selepas ini bayi ini akan diserahkan kepada JKM untuk urusan seterusnya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2003,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

sinarharian/-

Dr Lo' Lo': Perjuanganmu akan diteruskan

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalung al Faatihah buat al Marhumah YB Dr Lo' Lo' Dato' Hj Ghazali yang telah kembali ke rahmatillah. Semoga ruhnya tergolong dari kalangan hamba Allah yang solehah. Jua takziah buat keluarga al Marhumah, mudah - mudahan tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Sungguh, bukan hanya keluarga terdekat merasai kehilangan tetapi ia turut dirasai oleh ahli jamaah [PAS], rakan - rakan seperjuangan dari Pakatan Rakyat malah pemergiannya jua merupakan satu kehilangan besar bagi Parlimen Malaysia dan seluruh rakyat, khasnya yang diwakili beliau dari kawasan parlimen Titiwangsa.

2. Dr. Lo' Lo' adalah antara nama besar dipersada politik tanahair. Mewakili PAS membawa risalah perjuangan Islam guna membebaskan ummah dari belenggu kezaliman dan penindasan regim sang penguasa yang rakus di takhta. Lantang, berani dan tegas antara sifat beliau sepanjang beliau menggalas amanah perjuangan ini. Namun uniknya, sifat keibuan terus terserlah, membuatkan kehadhiran beliau ke tengah medan perjuangan ini sangat dirasai dan kini pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar dan sukar dicari ganti.

3. Saya mempunyai rekod peribadi yang sangat menarik sepanjang saya mengenali beliau di pentas perjuangan ini. Kesimpulan yang boleh saya rumuskan di sini ialah beliau seorang pejuang yang sungguh berdisiplin dan gigih serta tegas dengan prinsip perjuangan. Perjuangannya mesti diteruskan dan ia menjadi teladan istemewa buat generasi muda menongkah arus jahiliah moden hari ini.

4. Isu Kampung Baru yang gigih dan teguh diperjuangkan oleh beliau antara isu yang melonjak nama beliau ke peringkat nasional dan mula dihormati oleh masyarakat meskipun dari luar parti. Kesungguhan beliau bagaikan tiada tara dan sempadan. Bahkan saat bergelut dengan penyakit yang mengancam nyawanya, beliau tega menyembunyikan resah dan derita diri sendiri untuk terus menampilkan wajah ceria, berani dan serius memperjuangkan hak rakyat agar bebas dari belenggu penderitaan dan kesengsaraan akibat kerakusan sang tirani.

5. Biarpun berkerusi roda, biarpun beliau mengetahui perkelanaan beliau di bumi fana ini telah berada di perhentian akhir, beliau terus tabah dan menggagah diri untuk hadhir ke Muktamar PAS ke 57 baru - baru ini yang berlangsung di Dewan Hj Fadzil Mohd Noor, KUIZM Taman Melewar. Ia melambangkan peribadi beliau sebagai seorang pejuang, seorang serikandi yang sukar untuk mengalah sekalipun berdepan dengan situasi yang sedemikian.

6. Perjuangan beliau mesti diteruskan. Kesungguhan beliau mesti diteladani. Kelantangan beliau mesti dicontohi. Keberanian beliau mesti diwarisi oleh anak - anak muda hari ini untuk mendepani cabaran dan halangan sebuah perjuangan. Al Faatihah buat al marhumah.

Nasrudin Hassan