19 Julai 2011

Temui bayi di tangga

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang wanita terkejut apabila menemui bungkusan yang mengandungi seorang bayi berusia dua bulan ditinggalkan di tangga rumahnya di Kampung Hilir Masjid Kota, Pintu Geng dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, berkata, bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 7.25 malam oleh pemilik rumah berkenaan berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pegawai tadbir.

Menurutnya, wanita berkenaan menyedari kewujudan bayi dipercayai berketurunan Melayu tersebut ketika dia keluar dari rumahnya untuk mengangkat pakaian yang dijemur di halaman rumahnya.

“Bayi seberat 4.8 kilogram itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dibalut dengan tuala, malah ketika itu pemilik rumah berkenaan mendapati bayi itu tidak menangis, lalu membawanya masuk ke dalam rumah.

“Wanita tersebut juga menyerahkan bayi ini kepada adiknya seorang guru di Kuala Krai dan kemudiannya ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat urusan mengambil bayi sebagai anak angkat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azham berkata, selepas memaklumkan kepada JKM, dia dinasihatkan membuat laporan polis berikutan penemuan tersebut.

Katanya, selepas dua hari penemuan tersebut, wanita itu membuat laporan polis kira-kira jam 6.05 petang kelmarin di Balai Polis Kota Bharu sebelum menyerahkan semula bayi kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, bayi tersebut terus dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sampel darah bayi tersebut akan diambil untuk mengesan ibu bapanya dan kesihatan bayi kini dilaporkan baik.

“Selepas ini bayi ini akan diserahkan kepada JKM untuk urusan seterusnya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2003,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

sinarharian/-

Tiada ulasan: