19 Julai 2011

Aktivis Bersih sangkal dakwaan Utusan

17 Syaaban 1432H. [MOD] -

Dakwaan sebuah akhbar milik Umno hari ini bahawa protes menuntut pembaharuan pilihan raya boleh mendedahkan negara kepada campurtangan kelompok pro-Yahudi, hari ini disangkal oleh aktivitis pilihan raya.

Lidah pengarang Utusan Malaysia hari ini menyebut: "Ketika gendang atas nama hak asasi manusia semakin kuat dipalukan ia memberikan kesempatan terbaik kepada kelompok pro-Yahudi untuk campurtangan di mana-mana juga negara Islam."

"Umat Islam dan rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan mana-mana pihak terutamanya puak Yahudi mencampuri urusan negara secara halus," tulis akhbar milik parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebarang dakwaan penglibatan Yahudi adalah isu yang sangat sensitif di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

Lidah pengarang tersebut dikecam oleh BERSIH 2.0, yang mengadakan perhimpunan di ibunegara yang menarik ribuan peserta pada 9 Julai lalu.

Polis bertindak menahan lebih 1,700 orang dan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan yang disokong oleh pembangkang bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Sambil menyangkal dakwaan tersebut, seorang wakil BERSIH, Andrew Khoo (kanan) berkata ia menunjukkan percubaan berulang kali oleh sesetengah pihak dalam masyarakat untuk memecahbelahkan negara mengikut garis kaum dan agama.

"Dan kita mahu tegaskan bahawa pada akhir hari berkenaan, pada 9 Julai, rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama tampil menyokong tuntutan pembaharuan pilihan raya."

Sebelum perhimpunan tersebut, Utusan melaporkan dakwaan bahawa protes itu disokong oleh kumpulan Kristian.

Menurut Khoo, akhbar berkenaan patut berhenti membuang masa memburuk-burukkan perhimpunan tersebut.

BERSIH menuntut beberapa perubahan dalam pilihan raya, seperti memperkenalkan dakwat kekal untuk menghalang pengundian lebih daripada sekali dan untuk menghapus perbuatan membeli undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya pula berkata pilihan raya di negara ini berjalan secara adil dan telus.

-AFP

Tiada ulasan: