17 Syaaban 1432H. [MOD] -
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang penulis blog membayar ganti RM300,000 kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof juga memerintahkan Amizudin Ahmat membayar kos RM100,000 kepada Rais.
Pada 1 Jan lepas, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin (kanan), 42, yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah berkata bahawa setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.
Katanya fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan sahaja reputasi Rais akan terjejas di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga.
Hakim Zabariah berkata bahawa dalam menetapkan jumlah ganti rugi itu, mahkamah mendapati tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan.
"Apa yang jelas ialah defendan ini berada dalam kem politik yang berlainan," katanya.
Beliau berkata fitnah itu melibatkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini merupakan satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.
Hakim Zabariah berkata tuduhan itu juga tidak sihat daripada segi hubungan diplomatik dan ia menambah lagi kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes warga negara berkenaan didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.
Katanya artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja termasuk di luar negara.
Hakim Zabariah berkata bahawa daripada keterangan yang ada, perbuatan Amizudin mengeluarkan artikel itu dahulu sebelum memastikan kesahihannya, merupakan satu tindakan yang cuai.
"Ini jelas daripada keterangannya bahawa dia telah pergi ke Jakarta untuk menyiasat hanya selepas dia mengeluarkan artikel itu dalam blognya. Dia berada di sana selama tiga hari dan gagal mendapatkan pengesahan terhadap dakwaannya itu daripada wanita yang dikatakan mangsa," katanya.
Selepas itu Amizudin tidak lagi mengambil apa-apa tindakan dan ini menunjukkan bahawa dia tidak kisah tentang kesahihan artikelnya terhadap Rais, kata Hakim Zabariah.
Di luar mahkamah Rais, yang diiringi isterinya Datin Seri Masnah Rais, ketika ditanya pemberita, berkata keputusan mahkamah itu merupakan satu pengajaran kepada masyarakat, khususnya mereka yang hanya meluangkan masa menulis tentang orang lain, supaya berhati-hati.
"Hari ini hari yang hebat (kerana) ia satu lambang sebenar tentang keyakinan terhadap badan kehakiman kita," katanya.
Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala Amizudin diwakili peguam William Leong.
Dalam samannya itu, Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.
Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa beliau tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu.
Bernama
1 ulasan:
jgn biarkan blogger ini berseorangan dia perlu dibantu dgn menubuhkan tabung guaman, ahli2 PKR gitu jugak ahli pakatan rakyat juga ramai seorang rm 10 sudah lebih dari mencukupi, bertindak sekarang.
Catat Ulasan