18 Oktober 2011

Pensyarah, Umno resah manifesto PAS T’ganu

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 18 Okt: Pemimpin Umno BN termasuk ahli akademik menjadi resah apabila PAS Terengganu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’, Sabtu lepas.

Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno, PR Ganti BN itu seperti berikut:

1. Melaksanakan pengecualian cukai kediaman

2. Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN

3. Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami

4. Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan

5. Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin

“Manifesto ini amat menyentuh kepentingan rakyat Terengganu yang berada di dalam keadaan yang dhaif kerana pengagihan kekayaan yang tidak adil selama ini,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Tiba-tiba, katanya Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pensyarah Kanan Bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM),

Dr. Azeem Fazwan berkata, manifesto itu hanya bersifat populis, yang tidak mengambil kira kesan selepas pelaksanaannya dengan janji untuk menghapuskan cukai.

Soalnya, bagaimana dua pensyarah yang berada di Pusat Pengajian Tinggi memberi kenyataan yang tidak mempunyai fakta yang kukuh sedangkan PAS pernah memerintah Terengganu pada tahun 1999-2004 ianya terbukti dan teruji.

“Kenapa mereka berdua mengeluarkan kenyataan seolah-olah rakyat akan menderita jika PAS kembali berkuasa di Terengganu?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, jika hendak mengampu janganlah memalukan dunia akademik kerana hendak mencari keuntungan dunia yang tidak seberapa.

Katanya, sebagai ahli akademik sepatutnya boleh melihat kembali pencapaian PAS mengurus kerajaan Trengganu ketika memerintah suatu ketika dahulu.

“Bukankah Terengganu di bawah PAS telah menunjukkan pencapaian yang baik walaupun sebahagian besar pendapatan kerajaan negeri hilang apabila royalti ditarik?” tanya beliau lagi.

Namun, jelasnya PAS berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua kepada nombor empat tetapi selepas PAS tewas, Terengganu kembali miskin di tempat kedua.

Justeru, ujarnya kenapa PAS mampu mentadbir walaupun royalti minyak dirompak, jawapannya pemimpin PAS menjalankan tugas dengan amanah, adil tanpa mengira ideologi politik.

Soalnya lagi, apakah kedua-dua pensyarah itu menganggap pencapaian BN yang memerintah negeri itu adalah pemerintahan yang terbaik sehingga Terengganu hari ini digelar sebagai ‘Negeri Runtuh’.

Katanya, kenapa mereka tidak komen mengenai stadium di Gong Badak yang berharga RM292 juta runtuh dan kos hendak membaikinya RM25 juta, bumbung Masjid Batu Putih, Kemaman RM2.1 juta runtuh, perhentian bas Kuala Berang yang berharga RM4.2 juta runtuh setelah 80% siap, kolam renang di Batu Buruk berharga RM18 juta rosak setelah setahun digunakan.

“Kenapa mereka tidak pertikai kenapa Terengganu masih lagi miskin walaupun ada hasil minyak?” soalnya.

Beliau berkata, mungkin mereka berdua tidak nampak kerana mata mereka ‘terlalu biru’ sehingga tidak mampu untuk melihat data dan fakta.

harakahdaily/-

PAS: Tiada seorang pun manusia yang maksum

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Berlandaskan ajaran Islam, tidak ada manusia, termasuk kerabat diraja di negara ini yang bebas daripada kecenderungan untuk melakukan kesilapan, kata timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

"Dasar PAS ialah, tiada seorang pun manusia yang maksum (sifat yang dikhaskan untuk nabi dan dipelihara oleh Allah daripada melakukan dosa). Ini termasuklah sultan.

“Terutamanya dalam raja berpelembagaan, sultan ada tugas-tugas seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Dia tak boleh melebihi atau melampaui lebih dari itu.

"Ini bukan monarki mutlak, kalau monarki mutlak, raja akan membuat undang-undang, dan baginda boleh buat ikut apa dia nak," kata Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen bagi mengulas kenyataan yang dibuat oleh pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari, berhubung titah Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja Ogos lalu.

Pemeriksaan itu dilakukan kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa ada cubaan untuk memurtadkan orang Islam dan semasa tindakan berkenaan, 12 umat Islam dikesan berada di premis gereja itu.

malaysiakini/-

19 orang cedera, lapan kenderaan berlanggar

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BEGINILAH keadaan beberapa buah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Taman Bukit Mas, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seramai 19 orang cedera selepas lapan buah kenderaan terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Bukit Mas di sini semalam.

Jurucakap polis berkata, kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi itu berlaku selepas sebuah kereta jenis Mercedes dari arah Seremban telah merempuh sebuah lori yang datang dari arah Tampin.

“Ekoran perlanggaran itu, lima buah kereta dan sebuah van turut terbabit dalam kemalangan kerana kesemua pemandu gagal memberhentikan kenderaan masing-masing akibat jarak yang dekat antara satu sama lain,” katanya di sini semalam.

kosmo/-

Senyum Seorang Istri

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Senyum seorang istri begitu tulus dan indah sekalipun hatinya perih terluka. Air matanya telah mengering. Sebagai seorang istri, hatinya terpukul ketika mengetahui suaminya memiliki cinta pada perempuan yang lain.

Meskipun suaminya menyadari kesalahan dan telah bertaubat serta meminta maaf namun rasa perih terluka, marah dan kecewa masih berkecamuk dihatinya. Itulah sebabnya rumah tangga yang dibina seperti api dalam sekam. Terlihat harmonis dari luar, tetapi di dalam berlangsung perang dingin.

"Setiap teringat penyelewengannya, hati saya bagai tersayat perih. Bila dia tersenyum, saya membayangkan senyuman itu dilontarkan untuk perempuan lain. Setiap dia membelai, saya terbayang suami saya membelai perempuan lain, Emosi saya tertahan dan setiap saat meledak." tuturnya ditengah rasa sakit hati yang terluka. Ditengah kegalauan, dirinya berkenan bershodaqoh ke Rumah Amalia, memohon kepada Allah agar diberikan ketenangan hati.

Allah menjawabnya, tiba-tiba dirinya merasa bersyukur bahwa cobaan untuk keluarganya datang dari sang suami sehingga bila dia memaafkan bukan hanya keluarga yang menjadi utuh tetapi dia juga mendapatkan pahala.

Dirinya teringat bagaimana Rasulullah yang begitu mulia, mau memaafkan kesalahan orang lain. Keikhlasannya untuk memaafkan dan menerima ketetapan Allah, tiada cobaan yang diberikanNya melainkan untuk kebaikan baginya dan keluarganya. Serta tidak ada cobaan yang diberikan oleh Allah yang tak akan sanggup dijalaninya.

Akhirnya hubungan dirinya dan suaminya telah pulih kembali, sebagai seorang istri, dia bersyukur bahwa Allah telah memberikan petunjuk pada suaminya sehingga menyadari kesalahannya dan mau bertaubat. "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan kebaikan." (QS. an-Nur :22).

Wassalam,
M. Agus Syafii

Himpun: Keputusan PAS malam ini

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Sama ada PAS menyertai atau tidak Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan Sabtu ini akan diputuskan malam ini.

Keputusan itu akan dibuat pada Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat yang akan diadakan malam nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

Semalam, PAS Selangor menyeru penganjur Himpun supaya menjauhkan dari sebarang usaha melaga-lagakan penganut agama hanya disebabkan dakwaan tanpa bukti mahkamah.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, biarpun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme.

"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi.

"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di Shah Alam.

Himpunan tersebut dijadual diadakan pada 22 Oktober di Stadium Shah Alam bermula jam 2.00 petang.

harakahdaily/-

Warga Kanada maut nahas

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MAYAT dua lelaki yang ditemui lemas selepas kereta yang dinaiki terjunam dalam Sungai Bunos, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing termasuk seorang rakyat Kanada menemui ajal apabila kereta yang dinaiki bersama seorang teman terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Bunos berhampiran Jalan Ampang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, seorang pelajar kolej swasta, Sau Cheng Fun, 20, dari Jinjang Utara di sini terselamat dengan kecederaan di tengkuk.

Ketika kejadian, ketiga-tiga pemuda itu dalam perjalanan dari arah Jalan Sultan Ismail ke Jalan Munshi Abdullah.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika kereta jenis Honda Accord berwarna putih yang dipercayai dipandu salah seorang mangsa hilang kawalan ketika melalui kawasan tersebut sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai itu.

kosmo/-

KERABAT: Bantuan dan Sumbangan Jejak Kasih.

ADUN Semanggol, YB Hj Ramli Tusin, selaku penaung (KERABAT) Cawangan Taman Mewah sedang menyampaikan sumbangan.

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Saidi Sabri.

TAMAN MEWAH; Taiping, 12 Okt 2011 – Seramai 7 orang balu Angkatan Tentera disini, yang mengharapkan bantuan untuk menyara diri dan keluarga telah menerima sumbangan berupa 2 kampit beras, hamper, kain batik dan sepasang telekung beserta wang zakat sebanyak, RM100.00 daripada sebuah badan NGO (Badan Amal dan Kebajikan Al-Jauhar) disalurkan menerusi Penganjur, Kebajikan Rangkaian Bekas AngkatanTentera Negeri Perak, (KERABAT.) Bantuan ini telah disampaikan kepada penerima oleh, ADUN Semanggol, YB Hj Ramli Tusin, selaku penaung (KERABAT) Cawangan Taman Mewah.

Pengerusi KERABAT Negeri Perak, berkata; “kami menyelami penderitaan seorang balu angkatan tentera, Siti Aminah bt Ahmad 38, beliau seorang warganegara Indonesia yang tidak diberikan taraf kerakyatan oleh kerajaan, kesempitan hidup bersama anak-anak dilaluinya dengan penuh sabar, beliau hanya menerima pencen berjumlah, RM120.00 sebulan untuk menyara anak-anak sejak kematian suaminya akibat kemalangan jalanraya, 3 tahun lalu.”

“Jumlah pencen yang diterima sebanyak RM120.00 sebulan, adalah tidak mencukupi untuk balu yang bergantung hidup dengan jumlah yang sedemikian bagi menanggung keperluan sebuah keluarga pada zaman ini.” Ujarnya lagi.

Kata Siti Aminah; “tanggungjawab untuk menyara hidup bagi membesarkan 2 orang anak yang masih bersekolah rendah bertambah sukar, kerana tidak dapat bekerja disebabkan menjaga seorang anaknya yang cacat serta tidak dapat mencari pekerjaan yang boleh menjamin masa depan keluarganya kerana tidak memiliki taraf warganegara, walaupun beliau sudah menjadi balu seorang Angkatan Tentera Malaysia.”

"Sekarang ini, saya hanya mengambil upah mengasuh 2 orang anak jiran yang bersimpati dengan nasib saya dan dapatlah saya menyara anak-anak dengan pendapatan RM300 sebulan.” Ujarnya.

Oleh kerana kemiskinan hidup, dengan berat hati, ibu kepada 3 orang anak ini terpaksa berpisah dengan seorang anaknya yang diserah kepada jagaan ibubapa mertuanya yang kini menetap di Sarawak, demi memastikan masa depan anak-anaknya tidak terabai disebabkan tidak mampu lagi menampung beban kemiskinan yang menimpa dirinya.

Katanya lagi, “Dalam tempoh itu tidak ada sebarang bantuan diterima daripada agensi-agensi kerajaan bagi meringankan beban yang kami tanggung walaupun sudah beberapa kali mengisi borang memohon bantuan daripada pihak-pihak yang berwajib.”

Kesemua penerima menzahirkan rasa syukur dan gembira menerima bantuan seperti ini, sekurang-kurangnya sumbangan yang diterima dapatlah mengurangkan derita yang ditanggung.

YB Hj Ramli Tusin, dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Badan Amal Kebajikan Al-Jauhar, kerana memberikan sumbangan dan bantuan serta perihatin terhadap masalah kemiskinan yang dihadapi oleh balu angkatan tentera.

Jelas beliau, sebenarnya agensi kerajaanlah yang sepatutnya mengambil berat keatas golongan ini. Tetapi malangnya, pihak-pihak berwajib tidak mengambil apa-apa tindakan segera keatas aduan yang dibuat oleh balu angkatan tentera supaya pihak-pihak bertanggungjawab dapat menyampaikan terus bantuan yang sewajarnya kepada mereka. Beliau menuntut, pihak-pihak yang bertanggungjawab tampil segera turun padang, supaya melihat kesusahan rakyat yang berada dibawah pada ketika ini.

Menurut beliau lagi, peruntukan kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat juga telah disekat oleh pihak kerajaan, yang mana akhirnya, wakil rakyat dari Pakatan Rakyat sukar menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sangat-sangat memerlukan seperti golongan ini.

Katanya, masih terdapat ramai lagi golongan miskin ini sedang dijejaki oleh KERABAT, semoga usaha murni Badan Amal dan Kebajikan (Al Jauhar) akan berterusan agar menyalurkan bantuan ini melalui KERABAT, supaya dapat disampaikan terus kepada balu angkatan tentera yang selama ini telah terabai kebajikan mereka.

Darth Vader dapat anugerah penjahat utama

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SATU imej video dipancarkan untuk menghasilkan satu watak daripada filem Piranha 3D dalam Anugerah Scream di Los Angeles pada Sabtu lalu.

UNIVERSAL CITY, Amerika Syarikat (AS) - Harry Potter, Darth Vader, Pee Wee Herman, Nicolas Cage dan Robert Downey, Jr. menerima penghormatan pada anugerah Scream Awards yang dianjurkan oleh saluran televisyen AS, Spike TV.

Anugerah tahunan itu berlangsung di pekarangan studio perfileman Universal Studios di sini pada Sabtu lepas bagi meraikan filem seram, fantasi, sains fiksyen dan adi wira.

Francais lapan filem Harry Potter menerima anugerah utama Ultimate Scream yang disifatkan oleh penyampainya, Chloe Grace Moretz 'filem paling menakjubkan dan paling menggegarkan di alam semesta.

Pencipta Star Wars, George Lucas pula menyampaikan anugerah penjahat paling hebat untuk antagonis Star Wars, Darth Vader.

Lucas turut mengumumkan bahawa peminat boleh menonton watak jahat Sith Lord di layar perak dalam bentuk tiga dimensi (3-D) pada Februari tahun depan.

Herman yang dicipta oleh pelakon Paul Reubens memenangi anugerah visi, Visionary.

Cage menerima anugerah Maverick manakala Downey pula memenangi anugerah Hero.

Acara Scream Awards ditayangkan di televisyen AS hari ini. - Agensi

Tentera rejim NTC tawan kubu terakhir Gaddafi

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANI WALID 18 Okt. - Tentera rejim baru Libya menguasai sepenuhnya Bani Walid semalam selepas menumpaskan tentera setia Muammar Gaddafi yang bertahan selama enam minggu, kata seorang komander.

"Bandar Bani Walid dibebaskan sepenuhnya," kata Saif al-Lasi, komander Brigade Zliten, satu daripada unit tentera Majlis Peralihan Kebangsaan yang dikerah melancarkan serangan terakhir di bandar itu kelmarin.

Katanya, jalan kini dibuka di arah timur ke Sirte, selatan ke Sabha dan barat ke Tripoli. - AFP

UMNO yang hipokrit dan pandai berlakon

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Salam di pagi Selasa, semuga hari ini terlebih baik dari hari kelmarin..

Saya ingin membuat kenyataan media bahawa pembela yang dikatakan wujud disekitar orang Melayu sekarang ini sebenarnya adalah golongan yang tidak menyenangi kuasa Raja-Raja suatu ketika dahulu.

Kita semua jangan sesekali lupa akan jasa UMNO yang hipokrit dan pandai berlakon kononnya dia pembela kepada intutusi raja dan pembela Melayu.

Pada 1993, Dr Mahathir Mohamad telah melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan beliau sendiri yang mahu diwujudkan satu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas.

Nampaknya semakin lama UMNO-BN menerajui Malaysia, semakin parah dan tenat keadaan negara, penipuan berleluasa, fakta dan sejarah terus menjadi bahan yang berjaya diseludup dari pengetahuan rakyat.

Semakin lama juga BN menerajui pusat semakin meningkat hutang negara, rakyat kini telah merasai kesan meningkatnya jenayah rasuah dan situasi bahaya yang terkini iaitu makin meningkatnya warga asing yang mendapat Maykad Segera.Jawapan yang menyakin dari pihak kerajaan masih belum muncul sehingga sekarang.

Rakyat yang sepatutnya wajib tahu situasi sebenar negara, di mana negara yang semakin tenat adalah akibat pemimpn UMNO-BN yang telah menyalahgunakan kuasa secara berleluasa, rakyat perlu lakukan sesuatu untuk menggembeleng perubahan kepimpnan negara menjelang PRU 13 nanti.

Menyokong dan memenangkan Pakatan Rakyat berati anda telah menyelamatkan Malaysia dari kehancuran yang berterusan akibat kerakusan pemimpin BN yang sentiasa mengaut keuntungan dari jawatan dan amanah yang telah dikhianati sekian lama.



Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 18 Oktober 2011

Hutang negara mencecah RM437.2 bilion

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Hutang kerajaan persekutuan mencecah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga 30 Jun tahun ini.

Angka yang mengerunkan itu diperoleh daripada jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta menteri kewangan menyenaraikan negara luar yang memberi hutang kepada Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan, sebahagian besar hutang kerajaan adalah daripada hutang dalam negara yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang.

Manakala bakinya RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.

Dewan Rakyat juga diberitahu bahawa sumber hutang, pinjaman dalam negara itu diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Dalam pada itu hutang luar negara kerajaan persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Euro, Dolar Kanada serta Dinar.

Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

malaysiakini/-

Kelar bayi dalam asrama

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BETONG: Hanya kerana teman lelaki tidak mahu menerima anak luar nikah dalam kandungannya, seorang pelajar berusia 16 tahun mengelar bayi perempuan baru dilahirkannya sehingga mati dan perut terburai di bilik asrama sekolahnya di sini, semalam.

Kejadian menggemparkan itu berlaku kira-kira jam 7.40 pagi dan pelajar tingkatan empat terbabit dikatakan melahirkan bayi cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.

Sumber berkata, sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Menurutnya, sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.

“Terdapat sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran pada belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu sehingga menyebabkan isi perut terburai.

metro/-

Pesawat Ringan Mendarat Cemas, Juruterbang dan Pelatih Terselamat

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sebuah pesawat ringan jenis Scoata TB-10 Tabago GT yang dipandu oleh juruterbang bersama pelatihnya mendarat cemas di kawasan paya bakau di Kampung Assam Jaya, Kuala Selangor, dekat sini, pada Isnin setelah mengalami masalah mekanikal.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, juruterbang berkenaan Abdul Rais Saad, 45, dan pelatih juruterbangnya, Parvinder Pal Singh, 21, telah terselamat dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan dan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata pesawat milik ESB Aeroclub Subang itu dalam penerbangan pulang ke pangkalannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, selepas melakukan sesi latihan penerbangan di kawasan Sekinchan.

Beliau berkata juruterbang itu sempat menghubungi Bilik Gerakan Pusat Kawalan Bukit Aman bagi memaklumkan kedudukan mereka apabila pesawat itu mengalami masalah.

Katanya pesawat itu telah melakukan pendaratan cemas, dan kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri setelah muncung pesawat berkenaan terbenam hingga ke bahagian kokpit ke dalam kawasan paya bakau itu.

"Kedua-dua mangsa berjalan kaki sejauh 500 meter ke arah kolam penternakan udang yang terletak berhampiran lokasi kejadian sebelum dibantu pekerja kolam penternakan itu," katanya.

Pihak polis yang tiba kemudian membawa mereka ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan dan rawatan, katanya. - BERNAMA

19 rumah rosak ribut sejam

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEORANG warga emas, Leha Endut mengemas bahagian dapur rumahnya selepas dilanda ribut di Arau, Perlis semalam.

ARAU – Sebanyak 19 buah rumah di Kampung Stesen di sini mengalami kerosakan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut yang berlaku hampir sejam bermula pukul 5.30 petang kelmarin.

Salah seorang mangsa, Norlaila Lazim, 45, berkata, dia menyedari bumbung rumahnya diterbangkan ribut selepas mereka sekeluarga pulang daripada melawat ahli keluarga di kampung berdekatan.

“Tiada siapa memberitahu rumah kami kena ribut, semasa masuk ke kampung, saya dah risau tengok beberapa buah rumah sudah tiada bumbung.

“Sangkaan itu ternyata benar apabila rumah saya sendiri rosak teruk dilanda ribut menyebabkan saya pada mulanya tidak berani masuk ke dalam rumah kerana bimbang terkena renjatan elektrik,”

katanya kepada pemberita semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut menyerahkan bantuan segera seperti beras dan makanan termasuk wang saku.

Kosmo

Bayi terbuang tidur ditemani kucing

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PARIT PANJANG – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan atas kerusi di hadapan rumah seorang penoreh getah di Kampung Charuk Bakap, semalam. Ketika ditemui, bayi malang berkenaan hanya ditemani seekor kucing.

Penoreh getah, Maimunah Bidin, 55, berkata, dia mendengar tangisan bayi kira-kira jam 12 tengah malam namun tidak mempedulikannya kerana menyangka ia adalah tangisan bayi jirannya yang berusia lapan bulan.

“Kira-kira jam 3 pagi, sekali lagi tangisan bayi itu didengari namun saya tidak memeriksa keadaan di luar rumah kerana bekalan elektrik terputus.

“Bagaimanapun, sewaktu anak saya bersiap-siap untuk ke sekolah, bunyi tangisan bayi masih lagi kedengaran menyebabkan saya terus mengambil lampu suluh dan keluar mencari sebelum terlihat kaki bayi terjulur keluar dari kain pelikat yang membaluti badannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Maimunah yang lebih dikenali sebagai Mak Tam berkata, ketika dia menemui bayi berkenaan, kucing kesayangannya kelihatan tidur di sebuah lagi kerusi, seolah-olah menemani bayi yang tidak berdosa itu.

Kira-kira jam 7.50 pagi semalam, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Panjang membawa bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim. - SH Sungai Petani/ROSNANI SAAD & RIZAL ABDULLAH.

sinar harian/-