07 Januari 2012

RM190,000 milik kedai pengurup wang lesap dalam kejadian samun

13 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Seorang pekerja dan pengawal keselamatan sebuah kedai pengurup wang cedera dalam kejadian samun membabitkan wang tunai RM190,000 berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata ketika kejadian, mangsa berada di dalam sebuah kereta Honda Accord yang turut dinaiki oleh dua lagi pekerja syarikat itu, yang dalam perjalanan ke pusat beli-belah berkenaan.

"Kereta mangsa dilanggar dari belakang oleh suspek yang membawa kereta jenis Proton Waja, manakala sebuah lagi kereta jenis Naza Citra menghalang kereta mangsa dari hadapan.

"Sementara itu, sebuah lagi kereta jenis Naza Citra dan sebuah motosikal turut mengepung kereta mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mangsa, yang mencederakan pengawal keselamatan yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam tadi, suspek melarikan wang yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang selepas memukul kepala pekerja kedai pengurup wang tersebut dengan sebatang besi.

"Seramai enam hingga tujuh suspek dipercayai terbabit," kata Arjunaidi.

Bagaimanapun, kesemua suspek berjaya melarikan diri dengan menggunakan sebuah Naza Citra dan motosikal.

Suspek meninggalkan Proton Waja dan Naza Citra yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit. - BERNAMA

11 terbunuh apabila belon udara panas terlanggar tiang elektrik

13 Safar 1433H. [MOD] -

WELLINGTON: Seramai 11 pelancong yang menaiki belon udara panas terbunuh apabila ia terlanggar tiang talian elektrik berdekatan bandar pedalaman di New Zealand awal pagi tadi, kata saksi dan polis tempatan.

Insiden itu adalah yang terburuk dalam sejarah nahas udara di New Zealand selepas hampir 50 tahun.
Dua daripada mangsa yang terbunuh melompat keluar daripada bakul belon kerana terdesak sebelum belon yang marak dengan api itu terjatuh di tanah ladang sambil kedengaran bunyi kuat.
Belon itu terhempas berdekatan bandar Carterton, wilayah yang terkenal dengan belon udara panas.

Komander Polis Wilayah Wellington, Superitendan Mike Rusbatch, berkata juruterbang dan lima pasangan pelancong berasal dari kawasan Wellington, kira-kira 150 kilometer selatan kawasan kejadian, terbunuh.

Beberapa mayat mangsa didapati terbakar dengan teruk. - AP

Gunung Berapi Etna Meletus


13 Safar 1433H. [MOD] -LAHAR muntah dari kawah besar Gunung Berapi Etna yang dilitupi salji di kepulauan Sicily, selatan Itali, awal pagi tadi. Gunung berapi tertinggi di Eropah itu kembali aktif dan mula melepaskan abu panas ke udara. - Foto AFP

Aziz Bari: Dewan Negara jadi 'pintu belakang' menteri kalah

13 Safar 1433H. [MOD] -

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari menekankan keperluan membaiki sistem Dewan Negara yang didakwa menjadi "pintu belakang" kepada menteri yang kalah.

Tegasnya, Dewan Negara tidak akan berjalan dengan baik sekiranya amalan sama terus berlaku.

Berucap dalam ceramah jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya malam tadi, Dr Abdul Aziz membangkitkan isu wang zakat digunakan untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dikaitkan dengan isu projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Bukan salah lantik menteri kalah jadi anggota Dewan Negara. Tetapi janganlah ramai sangat.

"Ini yang ada dalam Dewan Negara sekarang ini," sindir bekas pensyarah undang-undang kanan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Sementara itu, Anwar pula dalam ucapannya berkata bukti berbentuk dokumen bagi membuktikan dakwaan berlakunya penyalahgunaan wang zakat Jamil Khir akan didedahkan pada masa terdekat.

"Bukti pembayaran pun ada. Kita ada keluarkan dalam masa sehari dua lagi," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jamil Khir pada 31 Disember dilaporkan menafikan berlaku penyelewengan wang zakat bagi pembayaran kos guamannya dalam kes tuntutan qazaf Anwar.

Sebaliknya, menteri itu mendakwa, wang yang digunakan bukan daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas kerajaan untuk pembayaran kos guaman.

Manakala semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail pula berkata jika sekalipun wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman, ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Dr Muhammad Yamin berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bil 2/2009 yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 3 September 2009 yang memperakukan Anggaran Belanjawan MAIWP 2010 termasuk penggunaan wang zakat bagi maksud bayaran khidmat guaman.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa undang-undang harus dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu.

"Islam tidak membezakan antara miskin dan kaya. Islam tidak membezakan kelas. Ini tidak, orang kaya terlepas, orang miskin dihukum," katanya.

Sambil membacakan laporan akhbar berhubung kes amil di Johor memulangkan wang zakat sebanyak RM19,510 dan dihukum penjara empat tahun dan tiga sebatan, Anwar mendakwa, wujud dua undang-undang di negara ini.

"Saya tak terima ini! Ini salah," katanya sambil menghempas akhbar itu ke atas rostrum menyebabkan orang ramai bersorak.

Turut berucap pada malam tadi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan aktivis Hishamuddin Rais.

Malaysiakini/-

Anwar amat yakin Pakatan akan rampas Putrajaya

Safar 1433H. [MOD] -

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jarang bercerita mengenai anak lelaki beliau, Ehsan yang kini menuntut di peringkat sarjana di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Ketika diwawancara Malaysiakini semalam, Anwar bagaimanapun terus membuka bicara dengan menceritakan telatah anak lelaki tunggalnya itu yang kini berada di dalam negara untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.

anwar ibrahim interview with malaysiakini 4Dengan berjenaka, Anwar mengambil peluang itu untuk menceritakan mengenai Ehsan yang telah dijadikan sebagai modal untuk menyerang beliau berhubung perbicaraan kes Liwat II yang bakal diputuskan minggu depan.

Awal-awal pagi lagi anaknya itu sudah mengajaknya untuk bersenam, kata Anwar yang mengharungi jadual sibuk saban hari sehingga beliau terpaksa pulang ke rumah pada jam dua pagi.

Mengulas mengenai keputusan mahkamah pada Selasa, Anwar turut melihat perkembangan itu memihak kepada Pakatan Rakyat.

Malah ada di kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan yang berpendapat mereka akan meraih sokongan lebih besar sekiranya mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Walau apa jua keputusan 9 Januari, Anwar dengan penuh optimis berkata Pakatan akan berjaya mara dengan lebih jauh dalam pilihan raya umum akan datang, malah "cukup untuk mengambil alih Putrajaya."

Negeri Perak, Negeri Sembilan akan tumbang ke tangan Pakatan, kata Anwar yang menambah beliau menghadapi saingan sengit BN untuk menembusi negeri Johor dan Melaka.

Namun, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di negeri tersebut, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah, kata Anwar lagi.

Dalam sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini berikut, Anwar turut mengulas mengenai kedudukan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mungkin menjadi masalah kepada PAS Kelantan berikutan faktor umur dan kesihatan.

Malaysiakini (MK): Negeri manakah yang menjadi satu masalah kepada Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang?

Anwar: Ianya negeri-negeri di Selatan – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Lebih-lebih lagi Melaka dan Johor kerana kita menghadapi banyak masalah untuk menyampaikan (mesej kepada rakyat).

Bukannya orang tidak datang. Di Muar, 4,000 orang hadir, itu satu jumlah yang besar bagi Muar. Tapi ada pengecualian. Kita tidak boleh mendapat tempat berhampiran bandar, di mana orang boleh berhimpun. Seperti di Ledang, ada jumlah yang selesa tapi susah untuk masuk. Kita perlu bekerja lebih keras.

anwar ibrahim interview with malaysiakini 5Adakah kita lebih baik berbanding 2008? Sudah tentu. Bukan sahaja PKR, tetapi rangkaian DAP di kawasan bandar di Johor juga lebih baik sekarang. PAS telah memasuki kawasan baru. Jentera PKR selepas (ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua) Jui Meng ambil alih benar-benar meningkat, dari segi sumber dan juga jentera, jauh lebih baik berbanding 2008.

Kemudian kita ada Sabah dan Sarawak. Di Sarawak ada kawasan majoriti Cina dan juga tiga atau empat kawasan kumpulan Dayak. Boleh kita dapat majoriti kerusi? Tidak. Tidak. Secara realistik, kita boleh dapatkan 30 atau 40 peratus daripada kerusi. Sabah itu cerita lain.

MK: Adakah Datuk Seri yakin dapat tawan Melaka dan Johor?

Anwar: Tidak, saya tidak kata begitu. Johor perlukan lebih banyak usaha. Di Melaka, kita akan dapat lebih banyak dan Negeri Semabilan lebih senang. Moodnya baik.

MK: Datuk Seri akan dapat tawan Negeri Sembilan?

Ya.

MK: Adakah Pulau Pinang seteguhnya akan kekal bawah Pakatan?

selangor dap congress 2011 lim guan engYa, kukuh. Bermakna (peluang) kita bertambah di Pulau Pinang. Itu maksud saya.

Fokus utama orang jenis PERKASA-Umno ialah untuk maki dan tuduh (ketua menteri, Lim) Guan Eng. Ia tidak menjadi. Saya sering ke Pulau Pinang. Tidak seperti tempat lain yang saya kunjungi sebagai pemimpin nasional, bila saya ke Pulau Pinang, saya duduk, saya pergi ke masjid. Tiada impak. Guan Eng telah berjaya dari segi itu.

Orang Melayu... tahu dia seorang Cina, dia seorang DAP. Saya tak anjurkan supaya mereka setuju dengan apa saja yang dia kata dan juga dasar DAP, tapi mereka lihat dia sebagai pemimpin yang berkredibiliti.

MK: Bagaimana dengan Kedah, Kelantan?

Anwar: Saya akan ke Kelantan hari ini (semalam, Khamis). Ada beberapa isu dan kerajaan negeri perlu menanganinya sekarang. Ia perlu dijalankan sekarang, Isu air. Isu tanah di beberapa kawasan. Saya akan bercakap dengan Tok Guru Nik Aziz (Menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) untuk nasihat supaya ini dapat diselesaikan segera.

MK: PAS juga telah memerintah terlalu lama di Kelantan. Mungkin rakyat rasa perlu bertukar?

pakatan ceramah shah alam 041211 nik azizAnwar: Tok Guru Nik Aziz ada cara dia sendiri. Orang kata dia tua, dia dah lama. Tapi dia bersih, tidak tipu kita dalam masyarakat dan sistem politik yang ada ramai sangat penipu yang merompak kekayaan...

Tapi orang kata dia semakin uzur dan dia patut merancang (untuk bersara), dan pasukan yang mewakilinya itu penting.

Saya akan berkongsi dengan dia beberapa pandangan secara tertutup hari ini kerana orang mahu lihat pasukan yang menyokong beliau dipersembahkan dalam pilihan raya umum ini. Ia mesti dilihat sebagai pasukan yang berkredibiliti.

Malaysiakini

10 syarat bagi perhimpunan 9 Januari

13 Safar 1433H. [MOD] -

Polis kini mengenakan 10 syarat kepada penganjur perhimpunan 9 Januari bagi menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antaranya tidak membenarkan ucapan awam dan membawa sepanduk bertulis 'Bebaskan Anwar 901' atau 'Bebaskan Anwar'.

Syarat-syarat yang dikenakan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan itu, disiarkan di laman Facebook polis.

NONESyarat-syarat tersebut bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh
timbalan presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang akhbar sebelum ini.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

10. Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

Rakyat tetap bangkit walau pemimpin PR dipenjara

13 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Kalau semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dipenjarakan sekalipun, rakyat akan tetap bangkit menyelamatkan negara ini dari cengkaman kekuasaan Umno, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau menegaskan perkara itu ketika pelbagai ramalan menyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipenjarakan.

"Kebencian terhadap Umno yang semakin berapi-api dengan laungan bersama 'asal bukan Umno' tidak peduli lagi sama ada pemimpin atau tidak ada pemimpin.

"Zaman telah berubah dan 'asal bukan Umno' menjadi pembakar semangat bersama dan faktor kepimpinan hanya faktor nilai tambah dan bukan lagi penyebab utama kebangkitan rakyat hari ini," kata beliau.

Dengan kes masing-masing yang biasanya dikaitkan dengan apa yang didakwa sebagai perhimpunan haram, kata Mohamad, ramai pemimpin PR kini menghadapi perbicaraan di mahkamah.

"Saya sendiri menghadapi pelbagai perbicaraan berkaitan dakwaan kononnya menghadiri perhimpunan haram dan apa sahaja mungkin berlaku termasuk hukuman penjara.

"Tetapi sama ada saya bebas di luar untuk berjuang bersama rakyat atau dipenjarakan, semua itu tidak relevan lagi kepada sebahagian yang amat besar rakyat yang terlalu sakit hati dan bencikan Umno dan mahu menghancurkan segera cengkaman kekuasaan parti yang semakin sebati dengan panggilan parti perasuah itu," kata beliau.

Beliau juga memberi contoh peristiwa yang berlaku ketika Operasi Lallang pada tahun 1987 dahulu.

"Walaupun ramai pemimpin barisan hadapan ditangkap, tetapi semangat dan gerakan rakyat melawan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak mampu dipadamkan malah semakin geram dan membara," kata beliau.

Contoh diluar negara pula, kata Mohamad, ialah kebangkitan rakyat di Tunisia yang berjaya menggulingkan pemerintah kejam di negara itu baru-baru ini.

"Ramai pemimpin pembangkang yang terpaksa lari keluar negara dan rakyat tidak mempunyai 'central figure', tetapi seperti yang diakui sendiri oleh Rashid Ghannushi yang memimpin parti An-Nahdhah yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negara itu baru-baru ini, kebangkitan tanpa pemimpin itulah yang berjaya menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang kejam itu," tegas beliau.

Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'asal bukan Umno' yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.

Mengenai perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari ini, beliau menegaskan: "Ahli dan penyokong PAS boleh mengiringi Presiden dan Timbalan Presiden untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini".

Harakahdaily/-

901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS

13 Safar 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-

KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.

Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.

Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.

"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.

"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.

"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.

Bersama Presiden


Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.

Zalim kepada mahasiswa

Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.

"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.

"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.

"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya.

Thailand rampas kulit, tulang harimau seludup

13 Safar 1433H. [MOD] -

BANGKOK 7 Jan. - Pihak berkuasa kastam Thailand semalam merampas sebanyak empat kotak kulit dan tulang harimau bernilai kira-kira AS$60,000 (RM188,850) dipercayai diseludup bagi dijadikan barang hiasan rumah.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Thai, Somchai Poolsawasdi berkata, kulit dan tulang harimau itu dipercayai diseludup dari Indonesia dan dalam perjalanan ke China.

“Keempat-empat kotak itu mengandungi kulit, tulang dan tengkorak harimau dan setiap satunya seberat lima kilogram,” katanya. - AFP

5 lelaki Hong Kong ditahan proses syabu

13 Safar 1433H. [MOD] -

MANILA 7 Jan. - Lima lelaki Hong Kong ditahan oleh polis hari ini kerana dipercayai memproses ubat-ubatan haram di sebuah kawasan perumahan berpagar di Filipina.

Jurucakap skuad anti dadah, Evangeline Almenario berkata, empat suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan kejiranan Ayala-Alabang selepas sepasukan anggota anti narkotik membuat serbuan dan menemui sejumlah dadah jenis syabu.

Tambahnya, suspek kelima ditahan dalam satu susulan serbuan di tempat lain. - AFP

6 kanak-kanak maut tong sampah meletup

13 Safar 1433H. [MOD] -

KABUL 7 Jan. - Sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dan seorang lelaki terbunuh apabila sebutir bom disembunyikan di dalam tong sampah meletup di wilayah selatan Uruzgan, Afghanistan, semalam.

Jurucakap polis, Fardi Ayel berkata, letupan itu berlaku di bandar Tirin Kot kira-kira pada pukul 3 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Tambahnya, empat kanak-kanak lain yang sedang bermain berhampiran tempat kejadian itu turut tercedera. - AFP

Serangan bom gegar ibu negara Syria

13 Safar 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 6 Jan. - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan bom berani mati di Damsyik hari ini, yang didakwa dilakukan oleh 'pengganas', serangan kedua di ibu negara Syria dalam tempoh dua minggu ini.

Menurut stesen televisyen tempatan, letupan bom yang kuat itu berlaku di kawasan Midan di tengah-tengah ibu negara.

Serangan itu yang berlaku di sebuah kawasan kejiranan berhampiran sebuah sekolah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 45 lagi.

Katanya, kebanyakan mangsa itu adalah orang awam dan beberapa anggota keselamatan.

Stesen televisyen itu turut menunjukkan rakaman video yang memaparkan beberapa anggota keselamatan mengangkat mayat-mayat di tepi jalan dan memasukkan mereka ke dalam beg plastik sampah.

Turut dipaparkan beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian menjerit dan mengecam serangan itu sebagai kerja pengganas.

Serangan itu berlaku dua minggu selepas dua letupan yang disasarkan di bangunan keselamatan Damsyik sehingga membunuh 44 orang. - AFP

Berjalan kaki ke Mekah

13 Safar 1433H. [MOD] -


JEKSON Gomes memulakan perjalanan dari Masjid Nurul Anhar, Padang Barat, Padang, Sumatera Barat.

PADANG – Seorang pendakwah di Kota Padang, Sumatera Barat nekad untuk ke Arab Saudi dengan berjalan kaki selepas dua tahun mengimpikan mahu menunaikan haji.

Dengan hanya bermodalkan peta dan sedikit wang, Jekson Gomes alias Muhammad Alif menetapkan sasaran untuk tiba di tanah suci Mekah dalam tempoh 10 bulan.

Lelaki berusia 38 tahun itu, yang merupakan pendakwah dari masjid ke masjid, mengaku sudah membuat persiapan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, antara persiapannya ialah mempelajari peta-peta negara yang bakal dilaluinya selain rutin bersenam.

Perjalanannya dimulakan pada Jumaat lalu dari Masjid Nurul Anhar, Padang Barat, Padang.

“Saya menetapkan sasaran untuk berjalan sejauh lapan kilometer dalam tempoh satu jam dan hanya berehat selama dua jam dalam sehari,” kata. – AGENSI

Bekas Menteri Dalam Negeri Indonesia dipenjara

13 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA 6 Jan. - Mahkamah Anti Rasuah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Indonesia, Jeneral (B) Hari Sabano (Gambar) yang didapati bersalah menggelapkan wang dari projek pemerolehan pada 2003 hingga 2005, menjadikan beliau jeneral pertama dipenjara kerana tuduhan rasuah.

Panel hakim mendapati Hari bersalah berkonspirasi dengan bekas Ketua Pengarah Wilayah Autonomi Kementerian Dalam Negeri, Sidung Mawardi kerana mengarahkan gabenor-gabenor, pemimpin daerah dan datuk bandar di 22 wilayah untuk membeli jentera bomba.

Kedua-dua defendan turut mengelak cukai import jentera bomba tersebut. Negara kerugian 97.02 bilion rupiah (RM33.9 juta) daripada projek pemerolehan tersebut.

Jentera-jentera bomba itu diedar secara eksklusif oleh dua syarikat, Istana Sarana Raya dan Satal Nusantara, kedua-duanya milik ahli perniagaan Henky Samuel Daud yang telah meninggal dunia.

Menurut pendakwaan, Hari telah menggelapkan wang lebih 1.1 bilion rupiah (RM378,207) daripada urus janji haram itu.

Antara wilayah yang terlibat dalam urus janji pemerolehan itu adalah Kepulauan Riau, Riau, Jawa Tengah, Bali, Sulawesi Utara, Maluku Utara dan daerah seperti Kendari, Minahasa, Bolaang, Mangondow, Lampung Tengah serta Tanggamus.

Hari merupakan jeneral penuh pertama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan bekas menteri keenam yang dijatuhi hukuman penjara.

Seorang lagi jeneral TNI, Mejar Jeneral (B) Suwarna Abdul Fatah yang digantung tugas daripada jawatan Gabenor Kalimantan Timur, dihukum penjara 18 bulan kerana mengeluarkan permit konsesi tanah haram pada 2001.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu dianggap sebagai seorang daripada menteri paling berpengaruh dalam barisan Kabinet bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri.

Peguam mewakili Hari, Eko Prananto berkata, anak guamnya akan mengemukakan rayuan. - AGENSI

Polis benar Perhimpunan 901

13 Safar 1433H. [MOD] -


Mohmad Salleh berjabat tangan dengan Azmin Ali (kanan) pada pertemuan di antara Polis Kuala Lumpur dengan PKR di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Polis Kuala Lumpur hari ini membenarkan penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Isnin depan dengan syarat, ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, orang awam yang ingin berurusan di kompleks mahkamah tersebut pada berkenaan diminta meletakkan kenderaan masing-masing di Stadium Hoki Jalan Duta atau Bangunan Matrade.

Tempat letak kereta di kompleks tersebut akan ditutup sepenuhnya kepada pengguna kenderaan awam manakala tempat letak kereta di bahagian dalam kompleks itu hanya dikhaskan kepada kakitangan mahkamah dan hakim-hakim sahaja.

''Hasil pertemuan antara polis dengan Azmin dan beberapa lagi ahli PKR, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan antaranya, polis membenarkan perhimpunan itu diadakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang telah diluluskan di Parlimen, baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur selepas selesai pertemuan dengan Azmin.

Dalam pada itu, Azmin pada sidang akhbar yang sama memberi jaminan perhimpunan tersebut akan berjalan secara aman dan teratur.

Beliau turut berterima kasih dan menghargai polis kerana menjemputnya bagi membincangkan berkenaan perhimpunan tersebut.

"Perbincangan agak panjang dan saya setuju perhimpunan akan dijalankan dengan teratur dan aman selaras dengan kerjasama yang diberikan polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri)," katanya.

Sebelum itu, Mohmad turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau telah mengarahkan Mohmad supaya mengadakan pertemuan dengan penganjur perhimpunan bagi membincangkan lokasi sesuai untuk mereka berhimpun.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika ditemui di luar IPK Kuala Lumpur memberitahu, Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan mengadakan majlis solat hajat dan qiamullail di Masjid Wilayah pada Ahad ini bermula selepas solat Asar.

Difahamkan, terdapat ceramah-ceramah keagamaan yang akan dimuatkan dalam majlis tersebut.

Jelas beliau, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan majlis solat hajat dan qiamullail di masjid berkenaan.

"Selain itu, kita (Perkasa) dan Pekida memberi jaminan tiada sebarang provokasi dalam majlis solat hajat dan qiamullail yang akan kita laksanakan Ahad ini.

"Kita juga menjangkakan 2,000 individu yang akan menyertai majlis solat hajat dan qiamullalil yang dianjurkan oleh kita di Masjid Wilayah," katanya. BERNAMA