07 Januari 2012

Bekas Menteri Dalam Negeri Indonesia dipenjara

13 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA 6 Jan. - Mahkamah Anti Rasuah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Indonesia, Jeneral (B) Hari Sabano (Gambar) yang didapati bersalah menggelapkan wang dari projek pemerolehan pada 2003 hingga 2005, menjadikan beliau jeneral pertama dipenjara kerana tuduhan rasuah.

Panel hakim mendapati Hari bersalah berkonspirasi dengan bekas Ketua Pengarah Wilayah Autonomi Kementerian Dalam Negeri, Sidung Mawardi kerana mengarahkan gabenor-gabenor, pemimpin daerah dan datuk bandar di 22 wilayah untuk membeli jentera bomba.

Kedua-dua defendan turut mengelak cukai import jentera bomba tersebut. Negara kerugian 97.02 bilion rupiah (RM33.9 juta) daripada projek pemerolehan tersebut.

Jentera-jentera bomba itu diedar secara eksklusif oleh dua syarikat, Istana Sarana Raya dan Satal Nusantara, kedua-duanya milik ahli perniagaan Henky Samuel Daud yang telah meninggal dunia.

Menurut pendakwaan, Hari telah menggelapkan wang lebih 1.1 bilion rupiah (RM378,207) daripada urus janji haram itu.

Antara wilayah yang terlibat dalam urus janji pemerolehan itu adalah Kepulauan Riau, Riau, Jawa Tengah, Bali, Sulawesi Utara, Maluku Utara dan daerah seperti Kendari, Minahasa, Bolaang, Mangondow, Lampung Tengah serta Tanggamus.

Hari merupakan jeneral penuh pertama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan bekas menteri keenam yang dijatuhi hukuman penjara.

Seorang lagi jeneral TNI, Mejar Jeneral (B) Suwarna Abdul Fatah yang digantung tugas daripada jawatan Gabenor Kalimantan Timur, dihukum penjara 18 bulan kerana mengeluarkan permit konsesi tanah haram pada 2001.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu dianggap sebagai seorang daripada menteri paling berpengaruh dalam barisan Kabinet bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri.

Peguam mewakili Hari, Eko Prananto berkata, anak guamnya akan mengemukakan rayuan. - AGENSI

Tiada ulasan: