07 Januari 2012

Individu ada maklumat kes pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak diminta bantu siasatan

13 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH: Individu yang mempunyai maklumat berhubung kes seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak yang dipercayai menyembunyikan sejumlah wang tunai yang banyak selain pelaburan saham membabitkan jutaan ringgit diminta tampil bagi membantu siasatan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Nooraziah Abd Manaf, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa individu dan kini masih mencari individu lain yang mempunyai maklumat bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, individu yang dipanggil untuk memberi keterangan bukan dianggap pesalah malah kehadiran mereka diperlukan bagi membantu pihaknya mengenal pasti kesalahan dan mengesan pelakunya.

"Semua kenyataan, dokumen dan sebagainya amat diperlukan untuk bukti suatu kesalahan itu. Proses siasatan juga terikat dengan undang-undang dan peraturan yang mesti dipatuhi.

"Mereka (individu) tidak boleh ditahan selepas siasatan selesai dan dibenarkan pulang apabila dirasakan tidak jejaskan siasatan," katanya.

Sebuah akhbar semalam, melaporkan pegawai kanan yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada jam 2 pagi Khamis lalu, ketika berada di rumah bersama isteri serta beberapa anaknya di perumahan kerajaan berhampiran Kem Tentera di Gerik.

Hasil pemeriksaan menemui wang tunai RM720,000 yang disusun rapi dalam lipatan telekung dan sebahagian lagi bersama beberapa buku amanah saham membabitkan pelaburan bernilai lebih RM4 juta disembunyikan berasingan di beberapa lokasi termasuk di dapur serta ruang tamu rumahnya.

Pegawai terbabit ditahan sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: