11 Februari 2012

28 maut, 235 cedera dalam dua serangan bom kereta di Syria


18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 11 Feb. - Dua serangan bom kereta di pos keselamatan Syria di bandar Allepo semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan mencederakan 235 yang lain.

Stesen televisyen negeri melaporkan, serangan di kawasan komersial itu dipercayai perbuatan kumpulan pengganas.

Katanya, seorang pengebom berani mati menaiki sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan melancarkan serangan di sebuah balai polis yang terletak berdekatan pusat pengedaran makanan.

Serangan kedua dilancarkan ke sebuah pangkalan pusat perisikan. - AF

10 Februari 2012

Najib ‘gadai akidah’ hadir Thaipusam - Harussani

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

(Najib menyertai perayaan Thaipusam di batu Caves)

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Harakahdaily/-

Indonesia Beli Pesawat Risikan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Indonesia akan menerima sebuah pesawat peninjau tanpa juruterbang bagi tujuan risikan dan ramalan cuaca tahun ini.

"Ia adalah sebuah pesawat baru dan ia amat diperlukan," kata Timbalan Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin yang dipetik oleh Antara, Jumaat.

Katanya pesawat itu, yang mampu terbang sehingga 15 jam dalam jarak 200km, dibeli daripada Kital Philippine Corp sebagai sebahagian daripada program pemerolehan peralatan tentera.

Tentera Nasional Indonesia telah mengeluarkan tender untuk membeli empat unit pesawat itu yang setiap satu bernilai US$6 juta. - BERNAMA

Rakan dagang Israel identiti sebenar Najib - Md Sabu

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Tindakan kerajaan Umno menyertai sekatan dagang terhadap Iran sambil menjadi rakan dagang penting Israel adalah identiti sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Itulah identiti sebenar Najib dan Umno. Di hadapan rakyat beragama Islam mereka bercakap tentang Islam. Di belakang rakyat beragama Islam, mereka jadi rakan dagang penting Israel.

"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib dan Umno juga menjadi pecacai Israel apabila menyertai sekatan dagang terhadap Iran," katanya.

Bagi Mohamad, apa yang berlaku itu tidak sedikit pun memeranjatkan walaupun mencabar dan mencalar maruah umat Islam di negara ini.

"Selama ini pun, siapakah di hadapan umum bertempik kononnya sebagai pejuang Melayu dan mengapi-apikan perkauman tetapi pada masa yang sama menjadi pecacai tauke-tauke termasuk tauke judi yang menjadi tempat mereka mengemis rasuah.

"Semua orang yang mengikuti perkembangan politik negara ini tahu perkara itu," kata beliau.

Beliau berkata, selain laporan terbaru mengenai tindakan kerajaan Umno menyekat pembekalan minyak sawit kepada Iran dalam tindakan menyertai sekatan dagang terhadap negara itu, tahun 2010 lalu Malaysia juga dilaporkan menyekat penjualan gas gasolin kepada Republik Islam itu atas titah perintah Amerika Syarikat.

Menurut Mohamad, sikap pro Israel kerajaan Umno telah lama dan berkali-kali terserlah antaranya ialah tindakan menamatkan kontrak wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna.

Dalam peristiwa yang jelas membuktikan ketaatan kerajaanUmno kepada Amerika Syarikat yang menjadi penaung utama Israel, perkhidmatan wakil tetap tersebut, Datuk Mohamad Arshad Hussain ditamatkan setelah dipanggil balik oleh Kementerian Luar.

Menurut laporan Bernama, beliau dipanggil balik "bagi perbincangan selepas undi Malaysia pada mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bercanggah dengan prosedur kerajaan".

Pada mesyuarat itu, Malaysia bersama-sama dengan Cuba dan Venezuela, telah mengundi tidak menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program penguraian uranium.

Mohamad Arshad juga adalah pengerusi lembaga gabenor IAEA yang dilantik.

"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengakui pemecatan Mohamad Arshad mempunyai kaitan dengan keengganannya menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program nuklear," kata Mohamad (gambar).

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin sebelum ini mendedahkan bahawa Israel adalah salah satu rakan dagang penting kerajaan Umno termasuk dalam pemasaran minyak sawit.

Pada hari yang sama juga Reuters melaporkan bahawa sejak tahun lalu lagi Malaysia menghentikan bekalan minyak sawit kepada Iran sebagai salah satu tindakan menyertai sekatan dagang terhadap Iran.

Sekatan dagang terhadap Iran diterajui dan dipaksakan oleh Amerika dan Israel berikutan tindakan Republik Islam itu memajukan tenaga nuklear.

Walaupun telah dibuktikan tindakan Iran memajukan kuasa nuklear tidak digunakan sebagai senjata, Amerika dan Israel yang disertai kuasa-kuasa Barat dan negara-negara yang berada di bawah telunjuk Amerika tetap menentang habis-habisan usaha itu.

Harakah Daily

DAP cadang bayaran BR1M setiap tahun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perdana Menteri disaran supaya memberikan bantuan RM500 kepada keluarga miskin dan RM100 kepada pelajar setiap tahun untuk membuktikan bantuan itu bukan senjata politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bayaran-bayaran sekali sahaja ini akan menelan belanja Kerajaan sebanyak RM1.8 bilion untuk 3.4 juta isi rumah dan RM550 juta untuk 5.5 juta pelajar.

"Ini bukanlah satu jumlah yang terlalu banyak memandangkan negara kita kerugian berbilion ringgit setiap tahun," katanya.

Sebagai contoh, katanya, badan pemerhati kewangan yang berpangkalan di Washington iaitu Global Financial Integrity (GFI) telah melaporkan bahawa negara kita telah kehilangan RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) akibat dialirkan secara haram ke luar negara dari tahun 2000 hingga 2009.

Ini adalah tambahan kepada skandal RM12 bilion dalam kes Port Klang Free Trade Zone, skandal RM52 bilion saham bumi dan yang terbaru RM250 juta dalam skandal “lembu dan kondo” NFC, tambah beliau.

"Daripada membazirkan wang rakyat dengan projek-projek yang melampau ini, kerajaan patut memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukannya dalam keadaan semasa yang dilanda inflasi tinggi dan hutang isi rumah yang melambung," cadang beliau.

Menurut beliau, berjuta-juta rakyat Malaysia menghadapi kesusahan terutama sekali dengan kos barangan harian yang sedang meningkat seperti:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Greg B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011.

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Inflasi yang kian meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi, tambah beliau.

Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, katanya, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang.

Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang, katanya.

Menurut Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, selain bantuan kewangan kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga harus melaksanakan gaji minima.

"Pun begitu, gaji minima ini tidak bermakna jika ia tidak dihubungkan secara terus kepada kadar inflasi, seperti yang telah saya cadangkan dalam Persidangan Kebangsaan DAP awal tahun ini.

"Barulah kita boleh memartabatkan rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Oleh itu, tambah beliau, DAP menyeru agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu rakyat dengan menjadikan bantuan RM500 dan RM100 sebagai program tahunan, lantas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar ingin “membeli” kemenangan dalam pilihan raya.

Harakah Daily

Kren tumbang: Kaji semula peraturan keselamatan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 10 Feb: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya meneliti semula peraturan pemeriksaan di tapak pembinaan dan tempat kerja berikutan kemalangan kren tumbang baru-baru ini.

Tiada kematian atau kecederaan dalam kemalangan yang melibatkan kren di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, beberapa buah kereta remuk dan mereka yang berada di dalamnya bertempiaran lari apabila kren di atas bangunan 36 tingkat yang sedang di dalam pembinaan di Jalan Binjai tumbang.
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) perlu menyiasat punca kemalangan yang melibatkan kren itu.

"Adakah ia disebabkan oleh kesilapan manusia, kelemahan dalam amalan pemeriksaan kren di tapak pembinaan atau kerosakan jentera?" soal Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris.

Sehubungan dengan kemalangan itu, katanya, adalah wajar untuk mengkaji semula prosedur pemeriksaan semasa yang dijalankan oleh DOSH.

Bagi beliau, kemalangan berkaitan kren mungkin berulang jika jentera itu dikendalikan oleh pengendali kren bertauliah dan berdaftar yang diluluskan oleh DOSH, di samping pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh pegawai DOSH.

Bagaimanapun bilangan kemalangan, kematian dan statistik kecederaan di masa lepas menunjukkan langkah yang lebih ketat perlu diambil.

Beliau mencadangkan agar pengendali kren mestilah terlatih, berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan langkah keselamatan yang ketat mestilah dipatuhi apabila mengendalikan kren.

Seorang yang berkelayakan perlu ditugaskan memeriksa kren dan alat-alat kawalan sebelum digunakan, tambahnya.

Selepas berlakunya beberapa kemalangan di tempat kerja pada masa lepas, CAP menggesa penyiasatan bebas dilakukan untuk menilai peranan dan fungsi DOSH di samping mengkaji semula Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seluruh pekerja dan orang ramai.

Perkara ini masih belum dilakukan dengan mencukupi, dakwa SM Idris.

Memandangkan bilangan dan keadaan kemalangan di tempat kerja, kajian semula OSHA dan semua prosedur dan peraturan keselamatan mestilah dipercepatkan untuk melindungi keselamatan pekerja dan orang awam, katanya.

Harakah Daily

PAS utuh biar pun ada pemimpin keluar parti

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Feb: PAS tetap utuh biar pun ada segelintir pemimpin kanan parti itu meninggalkan PAS kata Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob.

PAS pernah kehilangan pemimpin termasuk bekas Yang Dipertua, Tan Sri Mohd Asri Muda, bekas Naib Yang Dipertua, Datuk Nakhaie Ahmad. Dan terbaru pula bekas Naib Presiden, Datuk Dr Hassan Ali.

Beliau berkata, biar pun PAS kehilangan beberapa tokoh yang pernah memimpin parti, namun organisasi parti tidak terjejas, malah terus mantap.

Malah katanya ketika Asri meninggalkan PAS, hanya beberapa orang sahaja yang mengikut jejak langkahnya.

“Situasi keluar masuk dalam parti merupakan perkara biasa yang pernah berlaku, namun ia melibatkan bilangan yang kecil sahaja.

“Oleh itu program mengimbau kembali jatuh bangun perjuangan PAS begitu penting diadakan bagi membolehkan golongan muda mengetahui lebih dekat sejarah lama,” katanya pada persidangan media selepas perasmian Seminar 3 Dekad Kebangkitan PAS Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh, hari ini.

Menurutnya program seumpama itu bukan pertama kali diadakan, malah pernah dianjurkan sambutan 10 tahun dan 15 tahun pentadbiran PAS di Kelantan sebelum ini.

Beliau juga berkata, program tersebut diadakan sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Sebelum itu ketika merasmikan seminar berkenaan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pihak sekular yang diketuai Umno berusaha merampas balik negeri ini pada pilihan raya umum nanti.

“Perlu diingatkan usaha tersebut dilakukan kemungkinan besar mahu mengembalikan Kelantan pada era lampau.

“Sudah tentu kemungkinannya akan dihidupkan semula amalan riba yang sudah kita tukar sejak 1990. Sedangkan rakyat sudah menerima usaha yang kita lakukan,” ujarnya.

Sebanyak empat kertas kerja dibentang pada seminar berkenaan, di mana kesemuanya dibentang veteran PAS termasuk Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Omar Mohamad, Ustaz Ashaari Awang dan Datuk Mohamad Daud Iraqi.

Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan bagi jamuan peserta dari PAS-PAS kawasan yang hadir. Malam ini pula akan diadakan ceramah umum.

Harakah Daily

Bob Lokman terbit filem pendek jawab tohmahan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH, 10 Feb: Bekas pelakon, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman dengan kerjasama Semarak Production sekali lagi menerbitkan sebuah filem pendek kali ini bertajuk ‘Alahai Bob la Plak Menjawab’.

Filem pendek ini dihasilkan untuk menjawab satu filem pendek 'Alahai Bob' yang diterbitkan pihak tertentu bagi memburukkan imej Bob yang dimuat naik di Youtube beberapa minggu lalu.

Antara lain video itu membangkitkan isu Bob yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ekoran mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu.

Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakharudin Abd Aziz, filem pendek ini adalah filem yang ketiga berjaya dihasilkan selepas ‘Orang Kuat UMNO’ dan juga ‘Aduhai 1 Malaysia’.

Sambung beliau lagi, skrip filem ini adalah idea dari Bob Lokman sendiri dan ianya dijawab dan disampaikan secara santai.

“InsyaAllah filem yang keempat akan menyusul tidak lama lagi dimana filem keempat ini akan membicarakan tentang hudud pula," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan sambutan terhadap filem pendek ini sungguh mengejutkan, ini kerana tidak sampai 24 jam dimuat naik ke Youtube filem ini sudah dikunjungi lebih 10000 orang.

“ini menunjukkan filem pendek ini adalah satu medium dakwah dan juga satu cara untuk menjawab isu-isu semasa, oleh itu kita mengharapkan agar jentera penerangan seluruh negara dapat mengoptimumkan penggunaan Youtube ini untuk menyebarluaskan dakwah dan menjawab isu-isu semasa," tegas beliau.

Harakah Daily

PRU13: Sukarelawan Komas pantau 'kerusi panas'

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 10 Feb: Pusat Komuniti Masyarakat (Komas) menubuhkan satu pasukan sukarelawan bagi memantau pilihan raya umum ke -13 di seluruh negara dengan kempen 'Jom Pantau'.

Penyelaras Komas bagi program kewarganegaraan dan pendidikan pengundi, Arul Prakkash berkata, pasukan sukarelwan tersebut akan memantau 20 kerusi yang dikenal pasti mungkin terdedah dengan penipuan.

Beliau berkata, kerusi-kerusi berkenaan adalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak, tetapi senarai itu belum dimuktamadkan lagi.

"Kita akan mula memantau keadaan di kerusi berkenaan sebaik sahaja mereka membubarkan Parlimen dan menyenaraikan kesalahan pilihan raya yang mereka lakukan, sekiranya ada," katanya pada sidang media di pejabat Komas hari ini.

Menurutnya, Komas akan bekerjasama dengan “Malaysian Election Observer Network (MEO-Net), Southeast Asian Centre for e-Media (SEACEM), National Institute for Democracy and Electoral Integrity (NIEI) dan BERSIH 2.0 bagi menjalankan pemantauan.

Sehubungan itu, Komas mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan kes-kes penipuan dalam pilihan raya dan mereka akan menyiarkan di laman web selepas membuat pengesahan.

"Kami amatlah memerlukan sokongan rakyat dalam memantau pilihanraya yang akan datang. Khususnya, segala kesalahan yang berlaku semasa pilihan raya dijalankan.

"Setiap warganegara Malaysia haruslah mengetahui proses pilihanraya, kesalahan yang dilakukan dan apakah maksud sebenar pilihanraya bebas, adil dan bersih di Malaysia," katanya.

Jelas beliau juga, kriteria untuk mengenal pasti 'kerusi panas' adalah kawasan yang mempunyai ahli-ahli politik berprofil tinggi sebagai calon, kali terakhir dimenangi dengan majoriti tipis, mempunyai jumlah pengundi pos yang ramai dan peningkatan yang mendadak dalam pengundi berdaftar.

Harakah Daily

Tanaman Syurga

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Saya bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام – ketika malam saya diisra’kan dan Baginda bersabda: Wahai Muhammad, sampaikanlah salam dari padaku kepada umatmu, dan beritahukanlah kepada mereka,

bahawasanya syurga itu subur tanahnya, manis airnya, terhampar luas dan tanamannya adalah ucapan zikir, سُبْحَانَ اللهِ ، وَالْحَمْدُ ِللهِ ، وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ أَكْبَرُ (Subhanallahi walhamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar). (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan dihasankan oleh Al Albani)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertemu dengannya. Dia sedang menanam tanaman, lalu Rasulullah bertanya, "Apa yang sedang engkau tanam ?" Aku menjawab, "Satu tanaman wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Mahukah aku beritahu tanaman yang lebih baik dari ini ?

" Tanaman itu ialah Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha illallah, Wallahu Akbar (Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar). Setiap satu bacaan akan ditanam untukmu sebatang pokok di Syurga. (HR At Tirmidzi)

tazkirah/-

NFC: CEO NFC atau pegawai MoF bohong?

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kenyataan CEO National Feedlot Corporation (NFC) bahawa pinjaman mudah RM250 juta kepada syarikat itu boleh digunakan untuk pelaburan hartanah bercanggah dengan maklumat yang diterima Jawatankuasa Kira Kira Awam (PAC).

Jika kenyataan ketua pegawai eksekutif (CEO) NFC Wan Shahinur Izmir Salleh itu benar bermakna, kenyataan pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) palsu.

Selepas mendapat tekanan hebat termasuk pendedahan pembelian dua lagi kondo mewah di Singapura, CEO NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh semalam berhujah bahawa pembelian itu tidak salah.

Ini kerana perjanjian pinjaman mudah RM250 juta dari kerajaan kepada NFC tidak melarang syarikat tersebut daripada menggunakan dana untuk pelaburan yang tidak berkaitan dengan industri ternakan lembu.

Mempertahankan pembelian kondo-kondo mewah di bawah nama bapanya Datuk Seri Mohamad Salleh, yang juga pengerusi NFC, Izmir, yang juga anak kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata tindakan syarikat tersebut tidak boleh disalahkan kerana membeli hartanah apabila projek fidlot tersebut dihentikan sementara untuk kajian daya maju.

Malah, katanya perjanjian pinjaman itu tidak menyatakan sebarang larangan untuk membuat pelaburan.

Namun, menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, kenyataan Izmir bercanggah dengan dengan maklumat yang diterima PAC pada mesyuarat 23 November tahun lepas.

“Pegawai senior Kementerian Kewangan (MoF) telah secara spesifik menyatakan bahawa pinjaman (kepada NFC) tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, dan ia sememangnya tiada peruntukan untuk pinjaman tersebut dilaburkan dalam bidang hartanah.

"Pegawai itu turut menyatakan bahawa tujuan pengeluaran setiap kali pinjaman mesti dinyatakan dengan jelas. Disoal lanjut, pegawai itu mengesahkan bahawa MoF yang mengeluarkan RM250 juta itu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk membeli hartanah,” kata Pua dalam satu kenyataannya hari ini.

Oleh itu, Pua berkata sekiranya pegawai itu bercakap benar, maka Izmir telah terbukti berbohong mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan lagi.

Dalam mesyuarat itu juga, Pua berkata PAC telah meminta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan skandal NFC termasuk perjanjian pinjaman, jadual bayaran, syarat-syarat yang dikenakan MoF pada pinjaman tersebut kepada komitee tersebut untuk semakan dan pengesahan.

Namun begitu, kata Pua mesyuarat PAC yang sepatutnya berlangsung bulan Januari lepas untuk membincangkan isu NFC dan juga projek berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad masih tidak dipanggil.

“Kita berharap benda ini tidak lagi ditangguh kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran secepat mungkin terutamanya apabila projek ini telah menjadi skandal seluruh negara,” tegas beliau.

NFC mula mendapat perhatian apabila Ketua Audit Negara melaporkan bahawa projek tersebut hanya menghasilkan 3,289 ekor lembu, atau 41.1 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2010.

Pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC dilaporkan mengalami kerugian RM7 juta dan RM11 juta.

Perkara itu kemudian disusuli dengan pendedahan panas oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli memaparkan bagaimana pinjaman RM250 juta itu, yang diluluskan secara kontroversi pada zaman timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Menteri Pertanian, telah digunakan untuk percutian, pembelian kondo mewah, Mercedez Benz dan tanah di Putrajaya.

Terbaru, Rafizi mendedahkan RM34 juta wang NFC telah digunakan untuk membeli dua lagi kondo mewah di Marina Bay, Singapura.

Harakah Daily

Hukum minum berdiri

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Para Fuqaha' telah khilaf dalam masalah hukum minum berdiri ini:

Ada yang berpendapat ianya haram, dan hanya dibolehkan jika seseorang itu terhalang untuk duduk, dan inilah pendapat Imam Ibn Qayyim berdasarkan hadis Anas dalam Sahih Muslim bahawa "sesungguhnya Nabi SAW melarang minum sambil berdiri" dan dalam riwayat yang lain berbunyi "Nabi SAW melarang rijal (laki-laki dan termasuk perempuan) dari minum berdiri" beliau meriwayatkannya dari hadis Said bin al-Khudry.

Namun, para fuqaha' lainnya ada berpendapat larangan minum berdiri ini telah dimansuhkan (dihilangkan hukum) berdasarkan hadis Ibn Abbas yang berkata: "aku memberi (menghulurkan) air zam-zam pada Rasulullah SAW, dan Baginda meminumnya sambil berdiri" hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka.

Dan dalam sahih Bukhari, hadis daripada jalan Abdul Malik bin Maisarah daripada al-Nizaal,ia berkata: "Ali bin Abi Tholib datang ke "bab al-Ruhba" dan dia minum sambil berdiri, kemudian berkata "ada antara kamu tidak suka orang minum sambil berdiri, dan aku melihat Baginda SAW minum seperti yang aku sedang lakukan sekarang (berdiri)"

Oleh itu dibuat kesimpulan bahawa, hadis yang melarang daripada makan dan minum sambil berdiri memberi erti ia tidak digalakkan, dan hadis yang membenarkan makan dan minum sambil berdiri memberi erti perbuatan itu bukanlah dosa (cuma tak digalakkan) dan ini adalah seperti pendapat at-Tabari, al-Khattabi dan al-Hafiz Ibn Hajar.

Dan dikatakan bahawa kedua-dua pilihan ini (berdiri atau duduk) adalah dibenarkan tanpa larangan/tanpa makruh (bi duun kiraha), namun minum sambil duduk adalah lebih baik kerana Baginda SAW melakukannya lebih kerap (banyak kali) berbanding berdiri.

Wallah-hu-a'lam (Allah lebih mengetahui)

Sumber: http://pcmansurah.forumotion.com/t322-hukum-makan-minum-berdiri

Membalas Keburukan Dengan Kasih Sayang

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Beberapa waktu lalu ada seorang perempuan muda datang ke Rumah Amalia karena terkena depresi berat. Diusia perkawinannya yang cukup muda mengalami guncangan yang cukup hebat, suami berterus terang bahwa dia memiliki Wanita Idaman Lain, yang membuat harga dirinya tercabik-cabik, Air mata itu terurai, mengalir dipipi. Saya mengingatkan padanya untuk berserah diri kepada Allah, supaya mampu mengubah benci menjadi kasih sayang.

Memaafkan semua perbuatan suami yang telah menyakiti hatinya. Ibu itu mengatakan, ' Rasa sulit ketika Mas Agus mengajarkan kepada saya untuk mengalahkan kebencian dengan kasih sayang kepada orang yang telah melukai hati justru orang yang saya cintai, namun saya baru mengerti maksud Mas Agus agar saya lebih mengasihi dan menerima sebagai Allah menerima dan mengasihi suami. Saya yakin Allah senantiasa menyertai saya.'

Ibu itu bukan hanya keluar dari depresi beratnya namun juga lebih menyayangi suami dan yang lebih indah dalam hidupnya adalah setiap menghadapi masalah dan kesulitanm dirinya memilih bersandar kepada Allah sehingga dirinya mampu mengalahkan kebencian dengan kasih sayang. Itulah yang menyebabkan suami insyaf dan tersadar atas kekeliruan yang dilakukannya. Subahanallah.

'Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baiknya pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan karunia (yang besar) dari Allah, mereka tidak ditimpa suatu bencana dan mengikuti keridhaan Allah. Allah mempunyai karunia yang besar.' (QS. Ali Imran : 173-174).

posted by :agussyafii


Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk “ Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Harakah Daily

Kongres Melayu Pulau Pinang kutuk Hasan Ali

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) hari ini mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan oleh Dato Dr. Hasan Ali yang dibuatnya di Bandar Baru Bangi bahawa terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu terutamanya Pakatan Rakyat yang kononnya berhasrat untuk mewujudkan negara Malaysia sebagai sebuah negara republik serta menggugurkan Perkara 153
Perlembagaan Malaysia.

Lanjutan dari kenyataan beliau yang tidak mengambilkira soal integritikaum telah mendatangkan situasi panik dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk ini.

Apakah kenyataan tersebut dibuat bagi kepentingan politik murahan demi bagi tujuan meneruskan survival politik beliau? Ianya sangat memalukan orang-orang melayu.

KMPP menilai situasi Dato Dr. Hasan Ali sekarang lebih menonjol dan bebas mengeluarkan kenyataan yang melampaui keraguan munasabah kerana terdapat immuniti yang diberikan disamping mendapat liputan daripada pihak media tempatan.

Gara-gara dipecat dari Parti PAS maka kesempatan tersebut digunakan sebaik mungkin menerusi anjakan motivasi untuk mencari publisiti.

Kenapa sewaktu beliau masih bersama PAS dahulu perkataan “PARASIT” tidak digunakannya dan hanya setelah dipecat barulah pemimpin professional Islam ini melabelkan perkataan tersebut secara drastik?

Kenapa perlu tunggu hingga dipecat baru bertindak dan tidakkah situasi tersebut dilihat sebagai membalas dendam? Bekas exco ini sepatutnya melepaskan jawatannya terlebih dahulu dalam Kerajaan Negeri Selangor jika sudah tahu bahawa ada seteru dari Parti PAS yang menghalangnya dari melaksanakan hukum Islam.

Cerminlah diri sendiri sebelum menagih simpati dari rakyat atau alasan dianiayai.

Jika beliau berpendapat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berasaskan kepada khabar angin dengan hasrat untuk menakutkan rakyat di negara ini maka ini bermakna beliau menggali lubang sendiri.

Jangan menjadikan agenda Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu sebagai perisai bagi tujuan menyatupadukan melayu dinegara ini, tetapi pada masa yang sama meraih sokongan bukan melayu diatas tiket JATI yang kononnya akan menjadi bentang ketiga dalam arena
politik negara.

Situasi sebegini hanya akan ditolak oleh rakyat berfikiran waras.

Walaubagaimanapun pihak KMPP menyanjung tinggi hasrat beliau untuk mewujudkan satu NGO berbilang kaum yang dikenali sebagai JATI.

Namun kepada rakyat Malaysia soal tersebut tidak relevan serta sama sekali tidak penting. Yang lebih penting adalah harus ada sebuah Kerajaan yang dapat memberikan keutamaan kepada soal kebajikan serta ekonomi yang manpan kepada rakyat.

Rakyat lebih bijak menggunakan minda sebagai pengundi demi bagi memastikan hak mereka terpelihara daripada membuang masa mendengar motivasi yang akhirnya mendatangkan defisit kepada mereka.

Oleh yang demikian tanpa prasangka pihak KMPP mencabar Dato Dr. Hasan Ali menunjuk bukti bahawa negara Malaysia akan menjadi sebuah negara Republik dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Negara akan digugurkan.

Sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa, kenyataan yang berteraskan khabar angin daripada seorang pemimpin professional seperti beliau adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Ianya hanya menyerlahkan sikap serta peribadi beliau yang sebenarnya. Maka rakyat boleh menilai siapakah sebenarnya Dato Dr. Hasan Ali.

Dalam masa yang sama pihak KMPP atas nama rakyat Malaysia turut mendesak agar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat khususnya Parti DAP dapat memberikan penjelasan serta jawapan yang terang apakah benar seperti mana didakwa oleh Dato Dr. Hasan Ali tersebut?

Apa jua penjelasan nanti akan dianggap sebagai janji oleh pihak Pakatan Rakyat yang bakal disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

KMPP melihat kenyataan Dato Dr. Hasan Ali tersebut sebagai amat serius dan tidak boleh berkompromi kerana ianya melibatkan kesejahteraan kaum dinegara ini. Sesungguhnya inilah satu kenyataan berbentuk “PARASIT” daripada seorang pemimpin atau wira yang tidak didendang.

Sekian, terima kasih.

KONGRES MELAYU PULAU PINANG

.................
RAHMAD BIN ISAHAK
PRESIDEN (KMPP), (019-472 8509)

Harakah Daily