27 Februari 2012

Gempa Bumi Gegar Barat Daya Siberia

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan baratdaya Siberia Russia pada pukul 2.17 petang Ahad.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu terletak di 525 km tenggara dari Krasnoyarsk, Russia, dan 5,029 km barat laut Padang Besar Perlis.

Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami. -BERNAMA

Kes khalwat Badrulamin tidak kuat - sumber JAIP

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 26 Feb: Laporan kes khalwat yang dikatakan melibatkan Dr Badrulamin Baharon tidak kuat kerana ketika pegawai JAIP sampai bilik berkenaan sudah penuh dengan orang.

Menurut laporan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pegawai mereka hanya sampai ke bilik 8365 Hotel Swiss Garden hanya sekitar jam 4.30 pagi.

Dalam bilik berkenaan sudah ada Badrulamin, wanita berkenaan dan beberapa lelaki lain.

Ini bermakna, JAIP tidak menangkap Badrulamin berdua-duaan.

Pintu bilik berkenaan pula sudah terbuka dan Badrul dikelilingi oleh beberapa lelaki, kata sumber dari JAIP.

Blog Umno mula menyiarkan pelbagai laporan berkaitan tangkapan ini termasuk kononnya Badrul hanya memakai tuala ketika ditangkap.

Blog itu juga melaporkan kononnya Harakah membuat laporan muka depan penangkapan ini.

Padahal, Harakah tidak pernah membuat laporan berkenaan (gambar kanan).

Penjelasan Badrulamin

Sebelum ini, dalam kenyataannya, Badrulamin menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Beliau ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012.

Menurutnya, pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi beliau dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau.

"Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

"Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan," kata Badrulamin.

Menurut Badrulamin, dia telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah beliau.

Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan beliau bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga.

"Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin," kata Badrul.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu beliau mendapatkan bilik penginapan, kata Badrulamin.

"Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya," ceritanya.

Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.

"Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

"Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.

"Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya," cerita Badrul lagi.

Badrul dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari, iaitu esok dan berjanji akan datang dengan peguamnya.

harakahdaily/-

Wartawan di Himpunan Hijau kena 8 jahitan

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Wartawan akhbar harian Cina, Kwong Wah Jit Poh - Adam Chew, 29 - yang dibelasah semasa membuat liputan Himpunan Hijau 2.0 di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang, semalam, terpaksa memerlukan lapan jahitan akibat kecederaan di tangannya itu.

adam chew kwong wah jit poh journalist with blood on fingersPerhimpunan itu diadakan sebagai solidariti kepada Himpunan Hijau di Kuantan, semalam yang diadakan dengan kehadiran hampir 15,000 orang yang membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng, Pahang.

Seorang lagi petugas Kwong Wah - Lee Hong Chun, 25, pula dilaporkan dipukul dengan topi keledar semasa bertugas. Beliau hanya mengalami kecederaan kecil dengan kesan lebam di kepalanya.

Chew (kanan), bagaimanapun, terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang pada kira-kira jam 8 malam selepas perhimpunan yang diadakan di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade itu disuraikan oleh pihak polis selepas diganggu oleh kira-kira 50 orang, termasuk pemimpin tempatan dari Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA.

Ketika dihubungi, Chew berkata kepalanya sedikit pening selepas dipukul oleh kira-kira enam lelaki yang terdiri daripada peserta kumpulan pro-Lynas, yang cuba untuk menghalang Himpunan Hijau yang dihadiri lebih daripada 500 orang itu, termasuk oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katnya, beliau akan berjumpa doktor sekali lagi hari ini kerana matanya mempunyai kesan seperti darah beku.

"Saya tidak boleh bekerja dan doktor memberi saya cuti sakit serta meminta saya untuk datang semula jika saya mengalami pening mana-mana," katanya kepada Malaysiakini.

Menceritakan pengalamannya itu, Chew berkata beliau ditugaskan membuat liputan perhimpunan solidariti Himpunan Hijau seperti yang diadakan di bandar-bandar lain di seluruh negara, seperti di Kuala Lumpur, Perak dan Kuantan.

"Kejadian berlaku apabila ketua menteri turun dari pentas selepas ucapannya untuk menyertai orang ramai.

adam chew kwong wah jit poh journalist fracas in penang himpunan hijau rally kick"Kumpulan pro-Lynas cuba mengganggu Lim tetapi kakitangan keselamatan mengepung dan mengekori rapat.

"Tetapi kumpulan itu berjaya untuk memecahkan ‘rantaian manusia’ yang dibuat itu dan saya juga cuba menghalang mereka daripada merapati ketua menteri," kata Chew.

Kumpulan berkenaan sebelum majlis bermula dilaporkan telah mula menjerit kepada orang ramai yang berhimpun secara aman itu dan memberi amaran kepada mereka bahawa isu Lynas itu bukan "isu Pulau Pinang" dengan melaungkan slogan "Hidup Umno", "Kami mahukan kebebasan" dan "Balik Kuantan (Kembali ke Kuantan)".

Walaupun membuat bising dan memprovokasi peserta, namun tidak ada tindakan diambil terhadap mereka. Mereka juga dikatakan cuba mengganggu ucapan yang disampaikan.

penang lynas himpunan hijau 260212Menurut Chew, kumpulan berkenaan selain menghamburkan kata-kata kesat, turut melemparkan kata-kata perkauman.

Namun apabila ditegur supaya tidak menimbulkan kata-kata perkauman yang boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini, kumpulan yang turut disertai oleh pemimpin Umno dan PERKASA itu mula menjadi berang.

"Kemudian mereka tarik tangan saya. Seorang daripada mereka memukul saya dengan topi keledar, dan lima rakannya juga memukul saya di kepala.

"Apa yang saya lakukan ialah cuma menghalang mereka daripada serang CM," katanya.

penang lynas himpunan hijau 260212Malam tadi, Lim juga mengunjungi Chew di hospital dengan beberapa pemimpin DAP dan setiausaha akhbar beliau.

Ketika dihubungi Lim berkata beliau terharu kerana Chew membahayakan dirinya untuk melindunginya namun beliau kecewa dan kesal terhadap apa yang berlaku kepada wartawan itu.

Beliau juga membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyemai benih-benih kebencian berbentuk perkauman di kalangan rakyat di negara ini. Menurut Lim, beliau akan mengadakan sidang akhbar pagi ini, untuk mengulas isu berkenaan.

"Saya juga telah arahkan setiausaha akhbar saya untuk memantau keadaan Chew. Jika beliau berasa pening atau tidak sihat, maka beliau mesti dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

malaysiakini/-

Lembu ‘naik’ Wira

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NAHAS...kereta digunakan dua lelaki untuk mencuri lembu.

KULIM: Nasib nyata tidak menyebelahi dua lelaki apabila tindakan mereka mencuri dua lembu dengan menyumbatnya dalam Proton Wira Aeroback tidak berjaya apabila kenderaan terbabit terbabas dalam longkang di Kawasan Industri Kelang Lama di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 3.30 pagi menyebabkan dua lelaki berusia 20-an itu berputih mata apabila terpaksa melarikan diri meninggalkan kereta mereka bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Sumber berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah kereta terbabas dalam longkang di hadapan sebuah kilang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kereta terbabit dipercayai dipandu laju, hilang kawalan akibat jalan licin dan tersekat dalam longkang terbabit.

“Kedua-dua mereka melarikan diri meninggalkan dua lembu itu dalam keadaan lali.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tempat duduk belakang diubah suai. Kerusinya dibuang memudahkan mereka menyumbat lembu terbabit.

“Dua ekor lembu termasuk seekor anak yang ditemui dalam kereta itu lemah kesan ubat pelali,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui dua batang sumpit dan ubat pelali yang dipercayai digunakan suspek untuk menangkap lembu terbabit.

“Polis belum mengesan pemilik dan lokasi haiwan berkenaan dicuri. Kami kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

metro/-

Tiga terkorbanselepas minum

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

keadaan Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh, Besut semalam.

BESUT - Kegembiraan lima sahabat minum bersama selepas sekian lama tidak berjumpa tidak berkekalan apabila tiga termasuk dua beradik maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Nik Muhammad Firdaus Suhaimi @ Rahmat, 24, adiknya Nik Muhammad Faris, 19, serta rakan mereka Nazir Nazemi, 20, yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Wan Muhamad Shafiq Md. Zin, 20, cedera parah manakala seorang lagi penumpang kereta itu, Mohd. Fakhrulhanif Zainuddin, 26, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu dipercayai gagal mengawal kereta selepas melepasi lampu isyarat di persimpangan Kampung Seberang Jerteh, menyebabkan kereta terbabas dan melanggar beberapa papan tanda.

"Pelanggaran itu mengakibatkan empat daripada mereka, kecuali Mohd. Fakhrulhanif terpelanting keluar menerusi tingkap kereta terbabit," kata beliau.

Kamaruddin berkata, dua daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Faris meninggal dunia di Hospital Daerah Besut ketika menerima rawatan.

kosmo/-

Kenapa kita mesti tolak Lynas

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk menyokong perjuangan ini.

Forum ini merupakan satu tindakan aktif and agresif untuk memberi sokongan kepada rakyat Kuantan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya pembinaan Loji Pemprosesan Nadir Bumi LYNAS di Gebeng, Kuantan.

Saya juga ingin menggesa semua warga negeri Selangor untuk turut serta dalam Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok pagi di Gebeng, Kuantan sebagai salah satu cara dalam usaha untuk selamatkan Malaysia.

Sudah tentu tiada siapa yang ingin tanahair kita dianggap sebagai ‘tempat pembuangan sampah” kepada masyarakat sedunia.

Pihak Syarikat Lynas tidak mahu mendirikan loji pemprosesan nadir bumi di negara mereka sendiri, tetapi menggunakan alasan pelaburan untuk mendirikan loji tersebut di Malaysia.

Hakikatnya, hampas atau sisa ini bukanlah sekadar kotoran atau sampah tetapi merupakan sisa radioaktif yang mengandungi gelombang radiasi yang amat merbahaya kepada kesihatan manusia dan kepada persekitaran kita.

Dewasa ini, dalam era tanpa sempadan, dunia semakin kecil. Pembinaan loji pemprosesan ini boleh berlaku dalam kawasan terdekat kita juga.

Bandar Kuantan merupakan sebahagian dari negara ini dan bukanlah sejauh yang kita sangkakan sebelum ini. Rakyat Malaysia mesti mengubah sikap ‘tidak apa’ khususnya yang berkaitan dengan isu Lynas yang telah menjadi kebangsaan ini yang perlu diambil tindakan proaktif dengan kadar segera.

Sekiranya sisa toksik radioaktif ini menyerap masuk kedalam sistem perairan kita dan ke dalam tanah kita, sudah tentu aktiviti-aktiviti kita akan turut terjejas.

Dari upacara perkahwinan kepada bidang perniagaan kepada arena pelancongan, semuanya akan terjejas dengan peninggalan kesan jangka panjang.

Kita sering mendengar “mencegah adalah lebih baik dari dirawat”. Ini merupakan poin utama kita untuk hari ini dalam usaha untuk menghalang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dari berlaku.

Kami tidak mahu hidup dalam suasana ketakutan dan kebimbangan akan pendedahan kepada sisa radioaktif kerana ianya sukar dikesan dengan mata kasar.

Radiasi ini adalah hasil penyalahgunaan kuasa pihak yang tidak bertanggungjawab dan kesan pendedahan kepada radiasi bukanlah sesuatu yang dapat dikesan dengan serta merta.

Haruskah kita membenarkan ‘time bomb’ ini yang boleh meletup pada bila-bila masa berada berdekatan dengan kita? Mengapa Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan loji pemprosesan Lynas tanpa mangambil kira keselamatan rakyat jelata?

Mengikut sumber laporan akhbar, loji pemprosesan Lynas mempunyai banyak kekurangan dari segi infrastruktur, tidak mematuhi piawaian keselamatan dan banyak tanda tanya berkenaan dengan prosedur menandatangani kelulusan loji ini.

Loji ini nampaknya mengengkari keperluan untuk mendapat kelulusan untuk beroperasi? Selain daripada itu, pihak Syarikat LYNAS belum lagi mengemukakan kertas cadangan untuk cara menguruskan dan membuang sisa radioaktif ini.

Pihak Syarikat LYNAS hanya mempunyai idea untuk menguruskan sisa radioaktif menggunakan “kaedah sementara” dimana sisa radioaktif akan disimpan dahulu.

Yang mengerikan bukan hanya sisa radioaktif pepejal sahaja malah air kumbahan dan sisa gas toksik yang dihasilkan dalam proses ini cukup untuk mencemarkan alam sekitar.

Pemprosesan nadir bumi ini akan menghasilkan 500m3 sisa sejam yang boleh memenuhi 5 kolam renang Olimpik. Air tercemar ini turut mengandungi sisa radioaktif yang akan meresap kedalam makanan kita melalui satu rantaian dimana air tercemar yang mengalir ke laut akan menjejaskan hidupan laut yang akhirnya akan dimakan oleh manusia.

Sisa radioaktif yang terkandung dalam hidupan laut akan mengesahkan kemudaratan kesihatan. Gas yang dihasilkan dari pemprosesan tersebut adalah sebanyak 100 000m3 bagi setiap satu jam.

Gas ini yang dibebaskan ke udara akan terlarut bersama molekul air hujan yang akan menyebabkan pencemaran jangka panjang kepada kesihatan dan persekitaran.

Di samping itu, dalam dunia perniagaan negara China memegang monopoli pembekal terbesar didunia bagi nadir bumi ini.

Di inner Mongolia, kawasan Bautou Ia sudah lama menjadi tempat penapisan nadir bumi terbesar di dunia. Disebabkan kebocoran sisa air ini, 70.9 peratus daripada penduduk tempatan mengalami penyakit kanser dan kerajaan negara China telah membayar pampasan kepada mangsa pendedahan sisa radioaktif ini tetapi sudah tentu tidak mencukupi.

Menyedihkan lagi, penduduk Bautou tidak mampu untuk meninggalkan tempat tersebut dan tidak dapat menampung kehidupan yang lebih tinggi diluar. Oleh itu mereka terpaksa menjalani kehidupan disana walaupun mengalami keracunan yang kritikal.

Mengikut penduduk tempatan di sana, sumber utama pendapatan mereka disana adalah daripada kegiatan pertanian tetapi pada hari ini, hasil tanaman disana tidak boleh dimakan kerana mengakibatkan cirit-birit.

Sumber air disana juga tidak boleh diminum kerana selepas air itu dididihkan, bahan sisa dapat dilihat terapung di atas air. Kegiatan perlombongan juga terjejas, begitu juga sumber mata air untuk kegiatan pertanian juga terjejas kerana sumber air tercemar. Ini jelas menunjukkan tahap pencemaran yang serius di kawasan tersebut.

Selain daripada penyakit kanser, penduduk dikawasan Bautou juga mengalami masalah osteoporosis, hemiplegia, kelonggaran gigi dikalangan golongan orang dewasa. Kanak-kanak mengalami kerosakan gigi dan boleh dicabut begitu sahaja.

Kerajaan negara China sudah mula risau mengenai tahap pencemaran di kawasan Baotou kerana tanda-tanda pencemaran berskala besar telah dikenalpasti di Sungai Huang He dan mungkin akan mengakibatkan masalah yang tidak dapat diduga.

Sebagai rakyat negara ini, kita tidak mahu melihat Malaysia sebagai negara yang mengerikan. Kerajaan pusat melalui penyalahgunaan kuasa mereka, akan memusnahkan kehidupan rakyat ini untuk ‘menikmati’ manfaat dari pihak Syarikat LYNAS jika tidak menutup loji tersebut.Rakyat Malaysia berharap Malaysia tidak akan tergolong dalam negara-negara yang “tidak selamat” didiami.

Kerana itu, kita mesti bersatu mengatakan tidak kepada LYNAS dan tidak berjudi dengan kesihatan kita. Contoh terbaik adalah kesan dahsyat daripada Pengeboman Bom Atom Nagasaki dan Hiroshima dalam Perang Dunia Kedua yang berkekalan sehingga ke generasi anak-cucu-cicit mereka.

Malaysia negara yang tidak dibelenggu dan tidak berada dalam zon peperangan, oleh kita mesti menentang sekeras-kerasnya pembinaan loji seumpama ini dimana sahaja di Malaysia.

Penulis (gambar) adalah Exco kerajaan negeri Selangor. Tulisan ini berasaskan ucapan penulis dalam satu forum di Selangor menjelang hari bantahan Lynas pada 25 Februari.

Pangkalan tentera udara meletup di Antartik

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEBAKARAN yang berlaku di Pangkalan Comandante Ferraz di Antartik kelmarin.

SAO PAULO - Satu letupan yang berpunca daripada kebakaran di sebuah pangkalan tentera laut Brazil di Antartik menyebabkan seorang askar cedera dan dua lagi hilang kelmarin, kata tentera Brazil.

Tentera Laut Brazil berkata, kebakaran berlaku di dalam sebuah bilik yang menempatkan penjana tenaga di Pangkalan Comandante Ferraz di Antartik.

Ia merupakan sebuah stesen penyelidikan yang terletak di Admiralty Bay, Pulau King George.

Seorang askar cedera yang kini berada dalam keadaan stabil telah dirawat di Stesen Arctowski sebelum dipindahkan ke Pangkalan Tentera Eduardo Frei. - AFP

Kediaman Osama kena roboh

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENDUDUK melihat kerja meroboh kediaman Osama bin Laden yang dibunuh di bandar Abbottabad, kelmarin.

Kerja meroboh di Bandar Bilal menggunakan jentolak bermula kelmarin

ABBOTTABAD: Pihak berkuasa Pakistan semalam merobohkan kompleks kediaman bekas pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di pinggir Abbottabad, yang juga lokasi beliau dibunuh dalam serbuan tentera Amerika Mei lalu.

Saksi berkata, kerja merobohkan kediaman di kawasan dikenali sebagai kejiranan Bandar Bilal, dilakukan menggunakan jentolak, bermula lewat kelmarin dan berterusan sepanjang malam hingga Subuh.

Askar menyekat laluan ke kediaman itu dan membawa masuk jentera berat untuk kerja meroboh. Wartawan juga dihalang mengambil gambar dari jarak dekat. - Saksi Penduduk tempatan

“Askar menyekat laluan ke kediaman itu dan membawa masuk jentera berat untuk kerja meroboh. Wartawan juga dihalang daripada mengambil gambar dari jarak dekat,” kata seorang saksi.

Bagaimanapun, seorang wartawan AFP di lokasi melaporkan hanya melihat bilik kosong, almari dan kerusi di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata lebih separuh daripada kediaman itu dirobohkan menggunakan empat jentolak.

Kira-kira 500 anggota polis ditempatkan di situ, sebahagian mereka mengawal di bahagian luar manakala askar ditempatkan di bahagian dalam kediaman berkenaan.
“Kerja meroboh dilakukan pasukan keselamatan termasuk askar dan berterusan sepanjang malam hingga hari ini,” kata seorang pegawai polis.

Kediaman Osama dikawal pasukan keselamatan sejak bekas pemimpin al-Qaeda itu dibunuh pasukan tentera khas Amerika (SEALs) dalam satu operasi tanpa pengetahuan Islamabad.

Osama tinggal di kediaman berkenaan selama beberapa tahun bersama tiga isterinya selain sembilan orang anak dan cucu.

Tentera Amerika mengebumikan beliau di laut dengan alasan untuk mengelak perkuburannya menjadi tempat pemujaan dan peringatan kepada peristiwa 11 September jika beliau dikebumikan di darat.

Bagaimanapun kediaman Osama mula menjadi tarikan pelawat dan menarik beratus-ratus pengunjung setiap hari.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa mengenai kemungkinan ia dijadikan tempat pemujaan atau destinasi pelancong jika tidak dimusnahkan. – AFP

Presiden Senegal diejek pengundi ketika buang undi

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DAKAR 27 Feb. - Presiden Senegal, Abdoulaye Wade diejek beratus-ratus pengundi ketika beliau membuang undi dalam pilihan raya negara ini sebagai usaha untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal ketiga, semalam.

Wade yang ditemani anak perempuannya, Sindiely dan anak lelaki, Karim, tiba di kawasan mengundi di Point E ketika ramai pengundi lain berbaris panjang menunggu giliran selama beberapa jam dalam keadaan panas.

Berpuluh-puluh penyokong Wade bertepuk tangan dan bersorak ketika ketibaan beliau, namun kemudiannya sorakan itu ditenggelami oleh ejekan ratusan pengundi yang lain. - AFP

Anak muda pelopori kebangkitan Syria

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD]

Diskusi isu Syria diberitahu, anak muda negara itulah sekarang yang mempelopori kebangkisan rakyat.

Hazuanuddin Sofuan, Presiden Persatuan Mahasiswa Syria (PPMS) berkata, faktor anak muda adalah p[encetus utama revolusi rakyat itu.

Hampir 200 orang ke diskusi isu semasa, 'Syria: Antara Penindasan dan Kebangkitan', membuktikan bahawa masyarakat pada hari ini masih cakna terhadap isu semasa.

Diskusi isu semasa anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) itu diserikan dengan penampilan dua orang panel iaitu Professor Datuk Dr. Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM dan Hazuanuddin.

"Sejarah politik Syria perlu diteliti dengan baik kerana ia amat berkait rapat dengan apa yang berlaku terhadap rakyat Syria sekarang.

"Bermula dari pemerintahan ala tentera oleh Hafiz Asad kemudian diwarisi oleh anaknya iaitu Basyar Asad sehingga kini, adalah kesinambungan kezaliman berterusan terhadap rakyat Syria," ujar Dr. Redzuan.

Sementara itu, Hazuanuddin yang juga merupakan antara kumpulan pelajar Malaysia terakhir yang dihantar pulang, mengulas;

"Faktor pelbagai aliran madrasah yang wujud di Syria dan tekanan kerajaan terhadap ulama menyebabkan pertembungan pandangan dalam menghadapi revolusi di Syria."

Di penghujung forum, kedua-dua panel memberi keyakinan dan harapan besar bahawa revolusi rakyat di Syria akan berjaya walaupun menghadapi tekanan yang hebat dari negara kuasa besar dunia seperti China dan Rusia dengan pertolongan Allah S.W.T sepertimana jatuhnya Muammar Ghadafi di Libya.

"Diskusi ini bertujuan memberi penerangan kepada masyarakat tentang isu semasa selari dengan saranan Gamis untuk membudayakan wacana intelektual secara serius," jelas Wan Mohamad Rasyadan, Ketua Penerangan Gamis.

harakahdaily/-

Bapa dakwa terbeli susu tiruan

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOHD. FAISAL bersama anaknya menunjukkan perbezaan bungkusan susu tepung yang biasa dibelinya (kiri) dan yang didakwa tiruan (kanan) di Bayan Baru, George Town semalam.

GEORGE TOWN - Seorang bapa terkejut apabila mendakwa dua kotak susu tepung yang dibeli untuk anaknya dari sebuah pasar raya besar di Bayan Baru di sini, pada 16 Februari lalu rupa-rupanya bukan susu sebaliknya hanya serbuk putih yang menyerupai susu tepung.

Mohd. Faisal Mohd. Kassim, 30, mendakwa, sebaik sahaja membuka setiap bungkusan susu berjenama terkemuka itu, dia mendapati plastik lutsinar itu mengandungi tepung berwarna putih yang berbeza dengan susu tepung asli yang biasanya dibungkus dengan plastik aluminium dan serbuk susunya berwarna krim.

"Bukan itu sahaja, susu tepung itu tidak mempunyai bau dan rasa seperti yang dibeli pada setiap bulan, sejak anak sulung, Muhammad Afiq Hafizuddin berusia dua bulan.

"Mujur kami berjaya mengesan lebih awal dan tidak sempat memberinya minum lagi," katanya sambil menyatakan susu tepung itu dibeli pada harga diskaun iaitu RM16.99 bagi setiap 700 gram.

Dalam pada itu, Mohd. Faisal turut memaklumkan masalah tersebut kepada pihak pasar raya terbabit pada 18 Februari lalu dan mereka turut mengesan susu tepung lain berjenama sama yang bungkusannya mencurigakan.

"Pihak pasar raya terbabit memberitahu akan mengambil tindakan termasuk menghubungi syarikat pembekal susu itu untuk memaklumkan perkara tersebut.

kosmo/-

Lagi ceramah diganggu, Nurul nyaris jadi mangsa

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Satu lagi usaha mengganggu ceramah Pakatan Rakyat dilaporkan malam semalam dan kali ini kejadian berlaku di Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang.

Menurut portal Keadilan Daily, yang nyaris menjadi mangsa kali ini adalah Pengarah Komunikasi PKR dan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar.

“Budak-budak muda cuba pukul Nurul Izzah di ceramah kami di Felda Lepar Hilir. Saya dan Nurul Izzah diiringi polis keluar untuk elak samseng Umno,” kata Nik Nazmi dipetik organ rasmi PKR itu.

Nurul Izzah (kanan) pula dalam raeksi awalnya berkata beliau bersyukur kerana selamat tetapi memberi jaminan tidak akan gentar dengan gelagat liar berkenaan.

“Bersyukur pulang dgn selamat. Moga teman-teman di Felda Lepar Hilir juga bertahan dan bersemangat walaupun samseng-samseng Umno berlagak liar, ugut fizikal.

“Tangan (penumbuk) hanya beberapa inci dari (wajah) saya,” katanya di Twitter pada jam 1 pagi ini.

Sehubungan itu, Nik Nazmi dan Nurul Izzah akan membuat laporan di balai polis Merchant Square berdekatan ibu pejabat PKR pada jam 3 petang hari ini.

adam chew kwong wah jit poh journalist fracas in penang himpunan hijau rallyKejadian itu hanya salah satu daripada siri gangguan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila pemimpin Pakatan cuba menggempur kubu-kubu BN, khususnya Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.

Semalam, perhimpunan solidariti Himpunan Hijau di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade yang dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng turut diganggu oleh kumpulan yang dianggotai oleh pemimpin Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA.

20 Februari lalu, kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang dengan lontaran batu, kayu dan mercun sehingga kemek dan cerminnya pecah ketika berceramah di Jalan Mersing, Sembrong.

13 Februari pula kunjungan Anwar ke Felda Tun Ghafar Baba, di Machap, Alor Gajah juga dicemari oleh penyokong Umno yang mengganggu ceramah beliau.

Awal bulan ini pula sekatan jalan raya didirikan daripda menghalang pemimpin dan penyokong Pakatan daripada menghadri ceramah yang dijadualkan di kubu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan.

malaysiakini/-

Isu Kedah diatasi secara harmoni

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PAS yakin isu Kedah dapat diatasi secara harmoni melalui ukuhwah Islamiah dan musyawarah.

Melalui beberapa pertemuan dan perbincangan pimpinan, PAS mendapati isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang terlibat lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas dan ada jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku.

Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku.

Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.

PAS yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi.

Dalam cabaran media baru tanpa kawalan ini, penyebaran maklumat yang tidak sahih serta andaian peribadi tanpa asas jamaah yang kukuh, tidak membantu mengeratkan hubungan dan memperkasakan parti.

Perbezaan pandangan tidak seharusnya merosakkan asas ikatan jamaah. Sebarang tindakan mestilah berada dalam ruang lingkup pemikiran jamaah.

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Februari 2012

Penunjuk perasaan lempar bom, 7 tentera AS cedera

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUNDUZ 27 Feb. - Sekurang-kurangnya tujuh askar Amerika Syarikat (AS) tercedera apabila sebutir bom tangan meletup selepas dilontar penunjuk perasaan Afghanistan yang mengadakan protes berhubung isu pembakaran al-Quran, di sini semalam.

Jurucakap polis Kunduz, Sayed Sarwar berkata, bom itu dilempar ke kawasan pangkalan tentera khas AS di bandar Imam Sahib, yang terletak di wilayah Kunduz.

Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam kenyataannya berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dan akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat. - AFP

Kes perbicaraan aktivis Mesir ditangguh April depan

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAHERAH 27 Feb. - Ketua Hakim Mesir semalam menangguhkan perbicaraan kes terhadap 43 aktivis demokrasi, termasuk 16 orang dari Amerika Syarikat, atas tuduhan menerima dana haram untuk membiayai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing yang tidak berdaftar.

Hanya 14 aktivis Mesir menghadiri sebutan pertama kes itu yang diadakan di sebuah mahkamah di pinggir Kaherah.

Hakim menangguhkan kes itu sehingga 26 April ini. - AFP