29 Februari 2012

Abang temui adik tidak bernyawa

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JENGKA 1 - Seorang budak orang kurang upaya (OKU) yang dikhuatiri hilang, ditemui mati dipercayai terjatuh ke dalam parit oleh abangnya di Felda Jengka 1.

Mangsa, Norshahida Abdul Razak, 11, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak jam 4 petang kelmarin, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sekitar jam 8 malam hari yang sama.

Ibu mangsa, Zulaina Mat Ali, 41, berkata, pada jam 2 petang kelmarin, mangsa masih lagi berada di rumah, tetapi keluar selepas itu berkemungkinan menuju ke rumah rakannya di kawasan berdekatan.

“Ketika dia keluar, waktu itu hari sudah mula hujan. Datuknya yang ketika itu melihatnya berjalan keluar rumah melarangnya, tetapi tidak diendahkan. Ketika hujan semakin lebat sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin), jiran ternampak Norshahida seperti dalam perjalanan pulang lalu memanggilnya, tetapi memang tabiatnya tidak suka menyahut panggilan orang,” katanya.

Zulaina berkata, mengikut kata jiran, mangsa dilihat tidak memasuki simpang menuju rumahnya, sebaliknya berpatah ke laluan lain.

“Mungkin ketika itu hujan lebat, maka dia takut untuk pulang ke rumah dan berpatah balik. Mungkin mencari tempat berteduh buat sementara. Itulah kali terakhir jiran melihat kelibatnya. Apabila hari semakin gelap, saya mula bimbang kerana dia masih tidak pulang. Saya kemudiannya memberitahu pihak Rela supaya membantu mencarinya,” katanya.

Zulaina yang juga ibu tunggal berkata, selepas itu dia bersama anak sulungnya terus mencari mangsa di kawasan kejiranan dan juga di dalam ladang.

“Puas kami mencari sekitar jam 8 malam. Bagaimanapun saya pulang dulu ke rumah kerana tidak larat lagi mencari tetapi anak sulung teruskan pencarian. Entah bagaimana, anak saya memberitahu, dia terfikir untuk menyuluh ke arah parit dan ketika itulah dia nampak kaki adiknya, tetapi sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, doktor mengesahkan Norshahida meninggal disebabkan kecederaan teruk di kepala dan bukan disebabkan lemas.

“Mungkin disebabkan hujan lebat petang semalam (kelmarin), arwah tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit yang dipenuhi dengan batu konkrit,” katanya.

Menceritakan saat-saat terakhir arwah, Zulaina berkata, malam sebelum anaknya ditemui mati, arwah sempat mengurut kakinya, malah arwah juga merenung tajam abangnya sebelum keluar seolah-olah tahu akan meninggalkan mereka sekeluarga.

Mangsa yang merupakan anak keempat dari lima beradik menghidap Sindrom Down dan bersekolah di Sekolah Khas Felda Kota Gelanggi 2. Jenazahnya dikebumikan sebelum Zohor, semalam dan hadir melawat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

sinar harian/-

Kilang isi gas di Semenyi terbakar

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAJANG — Berpuluh-puluh tong gas melambung apabila sebuah kilang mengisi gas memasak terbakar di Pekan Semenyih dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, selain itu, 2,000 tong gas, sebuah lori tangki, sebuah lori bermuatan gas, sebuah kereta Proton Waja dan sebuah motosikal turut musnah dalam kebakaran kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata, seramai 30 anggota polis, bomba dan Rela dapat memadamkan kebakaran itu 40 minit kemudian.

"Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kebocoran pili penyambung gas pada lori tangki itu.

"Kita sedang menyiasat sama ada kilang ini sah atau tidak... pemilik premis ini juga telah menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian. — BERNAMA

SAMM dedah gambar gangster dengan pemimpin Umno

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) semalam mendedahkan gambar penglibatan pemimpin Umno dengan mereka yang terlibat dengan kejadian ganas dalam beberapa program kebelakangan ini.

SAMM mendedahkan, pelaku keganasan di Jalan Kebun, Klang mempunyai hubungan dengan Senator Ezam Mohd Nor manakala di Pulau Pinang pula mempunyai kaitan dengan Datuk Helmi Yahya.

(Gambar Senator Ezam Md Nor bersama dengan ketua penyerang jalan kebun yang konon sedang diburu polis.)

Ekoran itu, Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan mendakwa, Umno sedang membawa suasana politik negara ke satu suasana yang kurang sihat.

Ini kerana, Umno semakin lemah dan sedar mereka telah gagal untuk menggunakan otak bagi berhujah, dakwa SAMM.

(Gambar Datuk Helmi Yahya bersama dengan antara kumpulan penyerang yang menyerang Lim Guan Eng baru minggu lepas.)

Tindakan ini juga dibuat kerana malu dengan Najib yang tidak berani berdebat maka Umno menggunakan keganasan dan gangsterism mengganggu program pendidikan politik rakyat, tambahnya.

Antara kejadian keganasan adalah serangan fizikal terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong, serangan terhadap Nurul Izzah di Felda Lepir, serangan bersifat perkauman di Jalan Kebun dan Rantau (N.Sembilan) dan serangan terhadap mahasiswa di Kampung Idaman Kelang.

Terbaru adalah serangan gansgter libatkan pimpinan umno terhadap Lim Guan Eng sehingga mencederakan wartawan di Padang Kota Lama, semuanya tindakan terancang Umno, dakwa SAMM.

SAMM juga melahirkan simpati dengan polis yang terpaksa menjadi 'kuda' kepada Umno.

"Yakinlah polis punya rakaman, bukti yang cukup bagi mendakwa gangster ini tetapi mereka tidak mampu kerana Umno melindungi gangster ini," dakwa SAMM.

Walaubagaimanapun rakyat perlu tenang kerana perkembangan ini merupakan perkembangan biasa bagi regim hujung usia.

Seperti di Mesir ketika di hujung usia pemerintahan, regim Husni Mubarak menggunakan pendekatan keganasan dan kekasaran untuk menghalang kebangkitan rakyat Mesir.

Akhirnya regim Hosni tumbang di tangan rakyat, tegas Edy Noor Reduan.

harakahdaily/-

Bekas tahanan ISA: Saya dihina, dera secara mental

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri Hishamuddin Rais memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa sebahagian besar masanya ketika ditahan, beliau dihina, diancam dan didera secara mental.

himpunan hijau 2 260212 hishamuddin rais at stageDicekup pada 2001 atas tuduhan berkomplot untuk mengulingkan kerajaan dengan cara keganasan, Hishamuddin memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah disoal atas tuduhan terhadapnya itu sepanjang penahanan dua tahun berkenaan.

"Saya bukan ditahan kerana saya adalah ancaman kepada keselamatan negara, tetapi kerana saya adalah satu ancaman kepada kedudukan Umno dan menguggat kepentingannya," kata aktivis Reformasi, kolumnis dan pembikin filem itu.

Hishamuddin sebagai plaintif memberi keterangan dalam saman memohon perisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 8 dan 73 ISA, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau dan empat yang lain, termasuk ADUN Selangor Saari Sungib yang memberi keterangan pada Isnin lalu juga menyaman Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai kerana didakwa memfitnah mereka.

Mereka mendakwa Norian membuat kenyataan akhbar yang menyatakan secara palsu bahawa mereka bersedia menggulingkan kerajaan, termasuk mengumpul senjata seperti pelancar bom dan merekrut bantuan guru silat.

Hishamuddin dalam keterangannya mengenal pasti petikan yang merujuk kepadanya menerusi beberapa keratan akhbar dan gambar yang disiarkan pada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Norian.

"Kacak, bergaya dan memakai topi. Tidak boleh dinafikan bahawa ia bukan saya (dalam gambar itu)," katanya.

malaysiakini/-

Apa rakyat dapat daripada projek Lynas?

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Tragedi yang berlaku di Chernobyl, Ukraine lebih dua dekad lalu dan terkini di Fukushima Jepun, sewajarnya menjadi pengajaran dan teladan kepada Malaysia. Sebelumnya insiden kebocoran nuklear pernah berlaku di Pulau Three Mile, Amerika Syarikat. Selain itu rakyat Malaysia juga sewajarnya tidak lupa akan tragedi kebocoran gas di Bhopal, India yang berlaku pada tahun 1984.

Kesemuanya memberi kesan yang sangat buruk kepada rakyat yang tinggal berhampiran tempat kejadian. Dalam kes Chernobyl dan Bhopal, kesemua kawasan tragedi kini menjadi kawasan larangan dan tidak selamat didiami. Terkini, Fukushima juga menerima nasib yang sama apabila kerajaan Jepun mendapati tahap radioaktifnya terlalu tinggi dan tidak selamat didiami.

Kesemua negara tersebut – Amerika Syarikat, Ukraine (ketika masih di bawah Rusia), dan Jepun mempunyai tahap teknologi yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia, namun mereka tidak mampu mengawal kebocoran daripada berlaku.

Bagaimana pula Malaysia yang masih merangkak-rangkak untuk menjadi sebuah negara maju mampu mengawal sebarang bencana jika berlaku kebocoran?

Rakyat malaysia secara umumnya tidak menolak kemajuan apatah lagi teknologi nuklear tetapi cara projek ini dikendalikan menimbulkan kegusaran dan keresahan terutamanya tentang aspek keselamatan.

Antara yang paling membimbangkan rakyat ini ialah kedudukan tapak loji nuklear itu terlalu hampir dengan kawasan kediaman. Jika diambil kira jarak larangan di Fukushima iaitu sekitar 40 km, maka jarak dari Gebeng Kuantan yang bakal menjadi tapak loji, tidak lebih daripada 2 km.

Sebarang kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah mencecah hingga ke Kemaman di Terengganu.

Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 900 ribu. Sementara syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia pula adalah minima 35 km dari kawasan penempatan penduduk.

Oleh sebab kedudukannya yang begitu hampir dengan penempatan penduduk, maka nilai hartanah akan jatuh merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman sekitar Kuantan dan Kemaman. Tiada orang yang berfikiran waras bersedia tinggal di kawasan yang berisiko tinggi.

Pada masa yang sama, pelabur luar mahupun tidak akan mengambil risiko melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas terlalu tinggi. Syarikat-syarikat yang sedia ada pula bakal mengalami kerugian jika operasi mereka terganggu. Perkara ini akan membantutkan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Sementara peluang rakyat tempatan untuk bekerja di kilang pemprosesan nadir bumi itu amat sedikit jika dibandingkan dengan adanya pelbagai industri lain.

Sektor pelancongan akan terjejas kerana pelancong tentunya akan memilih kawasan lain yang bebas risiko. Sekali lagi penduduk kawasan sekitarnya akan terjejas pendapatan dan peluang pekerjaan.

Selain itu, syarikat ini dikecualikan daripada cukai selama 12 tahun! Sedangkan syarikat ini bakal membuat untung berbilion ringgit pada tahun pertamanya beroperasi. Bagaimana jika mereka menutup projek ini dan meningglkannya begitu sahaja selepas 12 tahun? Apakah yang kita dapat? Pada masa yang sama rakyat dibebankan dengan pelbagai cukai dan pemotongan subsidi.

Sedangkan syarikat dari luar mendapat peluang perniagaan yang untungnya berbilion rnggit dan tidak pula dikenakan cukai. Dalam hal ini rakyat terus-terusan tidak mendapat manfaat daripada projek Lynas!

Seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1), Denda RM50 juta akan dikenakan kepada Lynas untuk setiap bencana. Namun jika dibandingkan dengan jangkaan RM8 Billion setahun, denda itu terlalu kecil sedangkan rakyat akan menderita ancaman radioaktif untuk tempoh yang cukup lama.

Hakikatnya, walaupun kebanyakan rakyat sedar tentang kebaikan dan manfaat daripada pembangunan teknologi ini, namun cara dan kaedah pelaksanaannya tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat, bahkan terpaksa menghadapi risiko yang tinggi jika berlaku sebarang kebocoran atau sebagainya.

harakahdaily/-

Star: Umno bagi lesen MCA hentam Islam

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Akhbar milik MCA, The Star yang sudah berkali-kali terang-terang mengguris hati orang Islam tanpa dikenakan sebarang tindakan drastik menandakan Umno memberikan lesen kepada rakan seperjuangannya MCA untuk terus menghentam Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dua hari lepas, The Star menyiarkan gambar besar penyanyi Amerika Eryka Badu yang mempunyai tatoo nama Allah pada dadanya yang terdedah.

Ia disifatkan satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini kerana nama Allah seolah-olah dipermain-mainkan. Ekoran pendedahan Harakahdaily mengenainya, The Star telah memohon maaf atas “terlepas pandang”.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong dalam kenyataannya sebagaimana yang disiarkan Bernama berkata, Managing Editor, Ketua Editor Berita dan Editor Kanan The Star telah dipanggil kementeriannya untuk memberikan penjelasan ekoran laporan itu.

Ini adalah kali ketiga akhbar MCA melakukan kesalahan yang disifatkan melampau dalam tidak menjaga kesensitifan umat Islam.

Bulan Februari lepas, editor The Star, P Gunasegaram mempersoalkan hukum Islam apabila 3 wanita dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina.

Kemudian, pada bulan Ramadhan yang lalu, The Star menyiarkan resipi masakan daging babi kononnya sebagai juadah berbuka puasa. Apabila dibuat bantahan, The Star memohon maaf.

Ini tidak ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, yang umat Islam sudah muak dengan sifat ‘Islamphobia’nya yang tidak habis-habis menghina Islam khasnya hukum syariah.

Ia dapat dilihat dengan jelas dalam debat beliau dengan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP baru-baru ini

“MCA dah menjadi lebih ganas di bawah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Nampaknya Umno ini memang memberikan lesen kepada MCA untuk menghentam Islam dalam dasar pecah dan perintahnya. Hukum minum arak, berjudi, hudud semua boleh dipertikai,” kata Mohamad.

Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri perlu telus dan adil dalam memberikan hukuman terhadap akhbar The Star.

“Diharap bukan timbalan menteri MCA yang menyoalsiat editor The Star. Manalah mereka faham apa itu kesensitifan orang Islam dan rakyat akan nampak tidak telus. Sekiranya kali ini juga tidak ada hukuman yang setimpal, maka betullah apa yang saya katakan, menteri-menteri Umno sebenarnya inginkan MCA terus menghentam Islam,” katanya memberitahu Harakahdaily ketika dihubungi malam semalam.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi turut mempertikaikan penglibatan timbalan menteri KDN dari MCA dalam isu ini, kerana ramai yang akan ragu kalau-kalau tindakan yang berpatutan tidak diambil ke atas akhbar milik MCA, The Star ini.

"Bagaimana AJK Pusat MCA yang jadi timbalan menteri KDN ni nak siasat dan hukum akhbar MCA? Kelakarlah pentadbiran Umno ini," kata Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS ketika mengulas isu ini.

Sehubungan itu, beliau meminta KDN lebih serius dalam hal ini dan menjaga kepentingan umat Islam dan tidak takut kepada MCA yang sudah semakin galak menghina Islam.

Seperti Mohamad Sabu, Nasrudin juga berpendapat keadaan kini adalah lebih parah dan mengelirukan apabila kerajaan Umno dan BN memejam sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh akhbar MCA itu.

“Apakah kerana mereka tidak berani berhadapan dengan MCA?” soalnya.

Menurutnya, harapan ada tindakan tegas justeru ia berkait dengan maruah ummat Islam.

“Kita tidak mahu lagi akhbar Star hina Islam kemudian mohon maaf, buat lagi dan mohon maaf lagi dan buat lagi lalu mohon maaf lagi.

“Soalnya sampai bila?” katanya lagi.

HARAKAHDAILY/-

DAP dedah lagi salah guna kuasa NFCorp

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Lagi salah guna kuasa NFCorp – kali ini kesalahan melanggar Akta Syarikat – kerana memberi pinjaman kepada para pengarahnya serta syarikat-syarikat lain milik para pengarahnya secara tidak sah didedahkan.

NONESehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata parti itu menuntut supaya Peguam Negara bertindak segera ke atas NFCorp, bukan sahaja dalam kes pecah amanah (CBT) tetapi juga atas kesalahan melanggar Akta Syarikat.

Kataya, beliau, sebelum ini, telah mendedahkan bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta di antara kerajaan Malaysia dan NFCorp hanya boleh digunakan untuk menubuhkan dan menjalankan operasi Pusat Fidlot Nasional selaras dengan dasar kerajaan Malaysia untuk membangun, memupuk dan mempromosikan pengeluaran daging lembu.

Namun, Pua berkata, jelas bahawa wang pinjaman itu telah digunakan untuk tujuan selain daripada menternak lembu, dan kesalahan ini termasuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura, serta membuat pelaburan dalam perniagaan di Singapura.

Menurutnya, pemilikan harta dan pelaburan berkenaan dengan pinjaman kerajaan tidak dibuat melalui NFCorp tetapi melalui pengarah-pengarah individu dalam syarikat.

NONE“Ini bermakna NFCorp telah meminjamkan wang dari kerajaan kepada pengarah-pengarah individu dalam syarikat atau terus kepada syarikat-syarikat yang mempunyai para pengarah yang sama dalam syarikat.

“Syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan para pengarah tersebut termasuklah Meatworks (Singapore) Pte Ltd yang tidak dimiliki oleh NFCorp tetapi dimiliki oleh pengarah-pengarah individu dalam NFCorp,” katanya dalam satu kenyataan, semalam dan disiarkan diportal Roketkini.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bukan sahaja penggunaan wang itu melanggar perjanjian pinjaman, ia juga dilarang melakukan pemberian pinjaman seumpama di bawah Akta Syarikat.

Katanya, Seksyen 133 dan 133A Akta Syarikat di bawah kategori “pinjaman-pinjaman yang dilarang” menjelaskan bahawa mana-mana syarikat tidak dibenarkan memberi pinjaman kepada pengarah syarikat atau syarikat yang dianggap berkaitan dengan syarikat tersebut, atau mewujudkan apa-apa jaminan berkaitan dengan pinjaman kepada pengarah berkenaan oleh orang lain.

NONEBeliau menjelaskan, dalam keadaan di mana sesetengah jenis pinjaman dibenarkan seperti pinjaman perumahan kepada pekerja dan bayaran awal (advance), ia hanya sah di sisi undang-undang jika para pemegang saham memberi kebenaran terlebih dahulu.

“Sudah jelas dalam kes ini bahawa tidak ada sebarang kebenaran diberikan daripada Kementerian Kewangan yang memegang saham utama (golden share) dalam NFCorp,” katanya.

MALAYSIAKINI/-

Gempa sederhana landa Bonin, Jepun

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR — Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Kepulauan Bonin di Jepun pada 11.07 malam tadi, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Kenyataan JMM menyebut, gempa itu berpusat di 743km tenggara Hamamatsu, Jepun dan 3,363km timur laut Kudat di Sabah. Tiada amaran tsunami dikeluarkan. — BERNAMA

28 Februari 2012

Nasi Briani Kerisik

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Bahan-bahan:

1 kg beras basmati

1 liter air

1 tin susu cair

3 sudu besar minyak sapi

20 gm bunga lawang

10 gm kulit kayu manis

10 gm buah pelaga

2 helai daun pandan - dihiris

30 gm halia - dikisar

30 gm bawang besar - dikisar

30 gm bawang merah - dikisar

2 batang serai - diketuk

20 gm rempah briani

3 sudu besar kerisik

3 tangkai cili merah - dibelah dua

3 tangkai cili hijau - dibelah dua

Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

1. Cuci beras dan tuskan.

2. Panaskan minyak sapi di dalam kuali.

3. Tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan serai.

4. Apabila naik bau, masukkan daun pandan, halia, bawang besar dan bawang merah.

5. Bolehlah masukkan juga cili merah dan cili hijau.

6. Masukkan rempah briani.

7. Tumis sebentar.

8. Tuangkan susu cair dan air. Kacau rata.

9. Biarkan sehingga mendidih.

10. Masukkan beras, kerisik dan garam.

11. Kacau rata dan biarkan nasi masak.

saji online/-

Dua Sahabat Dihukum Mati Edar Dadah

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa kerana kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 20,698.4 gram pada 2007.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membacakan keputusan itu selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh, Muhamad Nasir Hussain, 55, seorang penganggur dan R. Murthi, 48, seorang kontraktor, hanya bersifat penafian semata-mata.

Hakim Zamani berkata ejen polis yang menyamar ketika tangkapan dibuat pada 20 Mac 2007 tidak ada motif penganiayaan terhadap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 20,698.4 gram di tepi Jalan Besar, Nibong Tebal antara 3.45 petang dan 4.15 petang 20 Mac 2007.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Guat Cheng manakala Muhamad Nasir diwakili peguam bela V.M Ravichandran, dan Murthi diwakili peguam bela R.S.N Rayer. - BERNAMA

Pemuda PAS serah memo bantah konsert Erykah

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mendesak dibatalkan konsert penyanyi Erykah Badu di negara ini.

Mengikut perancangan, penyanyi wanita yang berasal dari Amerika Syarikat itu akan mengadakan konsertnya pada malam esok, 29 Februari, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Desakan itu dibuat bagi mengelakkan kesan lebih buruk ke atas rakyat negara ini, memandangkan penampilan penyanyi itu yang penuh dengan kontroversi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil di pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, sekitar jam 11.15 pagi tadi dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan menteri terbabit, Abdul Rauf Puteh.

Turut menemani Khairul Faizi, Penolong Setiausaha III Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob; Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Dalam memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, kehadiran penyanyi itu pada asalnya tidaklah begitu disedari sehinggalah tersiarnya satu rencana mengenainya di dalam akhbar cetak The Star dan laman onlinenya semalam.

Menurut Khairul Faizi, kontroversi timbul apabila akhbar The Star telah menggunakan gambar penyanyi itu yang memaparkan kalimah Allah pada kedua-dua bahagian bahunya tanpa mengira sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Katanya, penyanyi itu jelas telah menghina Islam apabila beliau meletakkan tatoo di bahagian hadapan badannya dengan kalimah Allah.

"Rata-rata umat Islam yang menyedari iklan dan promosi itu di media terkejut dan marah dengan kehadiran penyanyi itu dengan persoalan, bagaimana dia yang jelas menghina Islam boleh dibenarkan mengadakan konsert di negara ini.

"Harakahdaily semalam telah mengeluarkan satu posting daripada salah seorang pembacanya yang mempertikaikan bagaimana penyanyi itu dibenarkan untuk beraksi di Malaysia," katanya pada sidang akhbarnya di Pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, selepas penyerahan memorandum itu.

Gambar tersebut, menurutnya, telah tersebar di dalam pelbagai laman sesawang lain dan kini menjadi pertikaian massa kerana ia sudah tentu akan melahirkan rasa tidak puas hati dan marah di dalam hati rakyat Malaysia.

"Malah gambar itu juga menjadi gambar rasmi kepada laman sesawang penyanyi itu bagi menunjukkan gambaran bahawa beliau tidak menghormati kalimah Allah yang mulai," tegasnya.

DPPM turut kesal terhadap akhbar The Star kerana tidak sensitif menerbitkan gambar tersebut kepada pembaca walaupun tentunya sedar ia adalah satu penghinaan kepada Islam.

"Walaupun The Star telah menerbitkan satu jawapan permohonan maaf di atas kesilapan tersebut dan telah disiarkan di dalam laman sesawangnya, namun ia telah berlaku dan perlu ada tindakan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Khairul Faizi menegaskan, lebih dikesali, dengan latar belakang penyanyi itu sebagai penganut Islam, beliau tetap cuba menonjolkan identitinya dengan penampilan seperti itu.

Penampilan yang ditampilkan itu, tambahnya, secara jelas telah melanggar syariat Islam, bahkan dianggap sebagai menghina Islam.

"Apa yang dibimbangkan, imej beliau akan menjadi ikutan anak-anak muda beragama Islam di negara ini. Lebih dari itu, penampilan seperti itu diiktiraf pula di negara ini dengan kebenaran beliau mengadakan konsert di negara ini dan dipromosikan oleh media-media tempatan," ujarnya.

Sehubungan itu, DPPM turut mendesak Rais memantau dan mengawal semua media agar mengikut ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah kementerian tersebut sepatutnya lebih sensitif dalam memastikan tidak ada penyanyi luar atau artis yang dijemput mengundang kontroversi dan kemarahan rakyat khususnya mereka yang beragama Islam di negara ini.

harakahdaily/-

DAP Minta Umno Hentikan Serangan Samseng

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 JAN : Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Janice Lee hari ini mendesak Umno agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan samseng ahli Umno yang sering menyerang pimpinan Pakatan Rakyat.

Desakan itu dibuat ekoran beberapa serangan ke atas beberapa pimpinan Pakatan baru-baru ini. Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang wartawan diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli Umno Pulau Pinang apabila beliau menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Di dalam satu insiden yang berlainan, ceramah Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar Hilir 1, Pahang terpaksa dihentikan apabila ia diganggu oleh sekumpulan lelaki dipercayai dari Umno.

Janice yang kecewa dengan provokasi murahan seperti itu, meminta supaya Umno mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal dan mendisiplinkan ahli-ahli mereka.

"Kejadian ini bukan kali pertama tetapi sudah berulang kali terjadi. Itu juga bukan satu teladan yang baik buat masyarakat kita," ulas Janice yang juga merupakan Adun Teratai.

Selain itu, mengambil contoh kejadian di Pulau Pinang, Janice melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pihak polis yang gagal mengambil tindakan segera menghentikan serangan samseng Umno.

"Walaupun polis berada di tempat kejadian semasa Lim Guan Eng dan pemberita diserang oleh Umno tetapi polis berdiam sahaja.

"Ini jelas menunjukkan polis mengamalkan prinsip 'double standard', satu untuk ahli Umno, satu lagi untuk rakyat biasa dan pemimpin Pakatan Rakyat," hujah Janice lagi.

Justeru, Janice meminta Ketua Polis Pulau Pinang untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalan pihak polis untuk melindungi keselamatan Lim Guan Eng dan juga rakyat.

tv news/-

Melukis di skrin telefon bimbit

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG pekerja melukis di atas skrin sebuah telefon bimbit Galaxi Note keluaran syarikat Samsung pada Kongres Telefon Bimbit Dunia di Barcelona semalam.

BARCELONA, Sepanyol -Telefon bimbit Galaxi Note yang membolehkan para pengguna melukis pada skrin dipromosikan syarikat Samsung pada Kongres Telefon Bimbit Dunia di sini.

Kongres itu yang merupakan pameran telefon bimbit terbesar di dunia berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac di Barcelona. - AFP

PKR dakwa NFC beli pasaraya mewah di S'pura

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 28 Feb: PKR hari ini mendedahkan pengurusan National Feedlot Corporation (NFC) juga terlibat dalam perniagaan pasaraya mewah di negara di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika mendedahkan perkara itu berkata perniagaan pasar raya itu dikendalikan melalui sebuah syarikat bernama Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki bersama oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"PKR berjaya menjejaki syarikat ini melalui carian penglibatan perniagaan anak kepada Shahrizat iaitu Wan Izzana Fatimah Zabedah yang menyenaraikan kesemua syarikat yang dimiliki beliau.

"Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan united Overseas Bank Limited, melalui kaedah yang sama digunapakai untuk pembiayai pembelian dua kondominium," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini beliau pernah mendedahkan NFC turut memiliki tiga buah restoran mewah di Singapura dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam tiga kondominium mewah di negara itu.

Menurut Rafizi lagi, syarikat perniagaan itu aktif dalam mengambil pekerja melalui pengiklanan dan dipercayai sebagai persediaan pasaraya itu yang akan dibuka tahun ini.

Katanya lagi, siasatan PKR juga mendapati Farmhouse Supermarkets itu telah pun menjadi 'anchor tenant' kepada sebuah pasaraya mewah yang bernama 'Star Vista'.

"Kita juga mendapati syarikat tersebut juga telah menandatangani perjanjian dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di tingkat dua kompleks tersebut.

"Semakan harga pasaran bagi ruang kedai komersial di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi," sambungnya.

Atas andaian tersebut, Rafizi berpendapat jika keluasan 28 unit itu dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi tanggunggan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar oleh syarikat tersebut adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan.

"Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.

"PKR mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai," tegasnya.

harakahdaily/-

Indonesia pindahkan 20 warganegaranya dari Syria

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Indonesia hari ini memindahkan 20 warganegaranya dari bandar Damsyik, ibu negara Syria, berikutan krisis politik yang sedang melanda negara itu pada masa ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata mereka dijadual tiba di Jakarta dengan pesawat Etihad pada Rabu petang.

"Daripada 20 tenaga kerja Indonesia pembantu rumah itu, yang berada dalam keadaan selamat dan baik, ada sembilan yang berhasil dipindahkan dari wilayah konflik di Syria iaitu enam dari Homs, satu dari Hama dan dua dari Damascus Countryside," kata P.L.E. Priatna, Pengarah Penerangan dan Media kementerian itu.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di kementerian itu, Tatang Razak berkata pihaknya akan menyerahkan kesemua pembantu rumah Indonesia itu kepada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) sejurus mereka tiba di lapangan terbang Soekarno-Hatta esok.

BNP2TKI akan kemudian menguruskan kepulangan mereka ke kampung halaman masing-masing, katanya.- Bernama