08 Mac 2012

Bekas pengurus 'kebas' duit pelanggan dipenjara

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Seorang bekas eksekutif Citibank di Indonesia dikenakan hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah mencuri RM12 juta (AS$4 juta) dari akaun pelanggan untuk hidup mewah dan menjalani pembedahan kosmetik.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan memutuskan pengurus perhubungan pelanggan, Malinda Dee, 49, bersalah atas tuduhan memindahkan wang dari akaun pelanggan.

Malinda ditangkap pada Mac tahun lalu.

Wang itu digunakan untuk hidup mewah termasuk membeli kereta dan menjalani pembedahan kosmetik.

Agensi kawal selia Indonesia mengenakan sekatan ke atas Citibank ekoran kes itu.

Pendakwa raya menuduh Malinda mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun pelanggannya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.

Laporan media sebelum ini menyebut wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.

Mahkamah juga memerintahkan agar dua kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah RM676,056 dikembalikan kepada Citibank.

Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.

Suami Malinda, adik perempuan dan juga adik iparnya telah pun dikenakan hukuman penjara empat tahun berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

Sinar Harian

Pusat judi veteran diserbu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG - Memberi helah menghidap sakit jantung sambil mengurut-urut dadanya gagal melepaskan seorang warga emas yang leka bermain judi mahjung daripada dicekup pihak berkuasa di sebuah kedai kopi di Taman Perindustrian Puchong, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan itu, warga emas berusia 73 tahun berkenaan antara lapan pemain berusia 40 hingga 70-an yang ditahan dalam Ops Dadu diketuai Ketua Polis Balai Puchong, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin bersama 10 anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ).

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, bertindak atas maklumat awam, kedai kopi yang terletak di kawasan industri terbabit diserbu kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, ketika diserbu terdapat beberapa pelanggan leka bermain judi mahjung yang kebanyakannya sudah lewat usia.

“Kita menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kegiatan judi dijalankan secara terbuka di kedai makanan itu.

“Majikan dan masyarakat berhampiran mendakwa pekerja dan saudara mereka sering ‘pokai’ akibat ketagih bermain judi di tempat itu,” katanya pemilik turut menyediakan satu mesin slot kuda untuk kaki judi yang berkunjung.

Beliau berkata, ada juga majikan yang membuat aduan, premis makanan berkenaan menjadi port ponteng kerja bagi pekerja-pekerja mereka.

“Kita ambil serius aduan orang ramai kerana ia membabitkan gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Penjaga premis berusia 49 tahun ditahan dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemain pula dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan. Tiga meja bermain mahjung, kerusi, alatan bermain permainan itu dan wang sebanyak RM490 dipercayai digunakan untuk perjudian dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi turut disertai anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Sinar Harian

MB : Noh Omar Menteri Kanggaru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar disifatkan sebagai “Menteri Kanggaru” kerana enggan hadir dalam sesi Selcat baru baru ini walaupun beliau dengan yakin, pernah mendakwa mempunyai bukti penyelewengan Kerajaan Selangor.

Dalam menyelar sikap Noh, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Noh, yang sebelum ini lantang mendakwa yang dia mempunyai fakta penyelewengan Kerajaan Selangor.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan mempunyai fakta, jika menyimpan fakta keluarkan saja fakta itu, kenapa susah-susah hendak jadi kanggaru.

“Dia Menteri Pertanian bukan Menteri Pertanian di Australia yang perlu tahu tentang kanggaru,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Noh tidak hadir pada mana-mana sesi pendengaran awam SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan yang berlangsung pada 5 ke 7 Mac.

Peranan sesi pendengaran awam tersebut adalah untuk mengenalpasti kelemahan dalam pengurusan Kerajaan Selangor di samping memperbaiki unsur-unsur yang boleh menyebabkan ketirisan dan salah urus tadbir.

Noh pernah mendakwa ada banyak unsur penyelewengan dalam pentadbiran syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor seperti Yayasan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di bawah pemerintahan Pakatan.

Beliau juga telah dicabar oleh Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim dan setiausaha politik Menteri Besar Faekah Hussin supaya datang ke sesi Selcat dan kemukan bukti.

Abdul Khalid pada hari ini sekali lagi mengulang pendirian Pakatan Selangor bahawa Selcat merupakan wadah yang terbaik untuk mengemukan bukti tentang penyelewengan dan salah tadbir.

“Kalau dia ada fakta tentang isu haram, jenayah atau sebagainya, keluarkan saja. Dia sebagai mempunyai tugas, bukan sahaja sebagai ahli DUN atau ahli Parlimen tetapi juga sebagai rakyat tempatan.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan menyimpan fakta, tetapi tidak hadir. Jika dia tak reti pasal tugas dia bermakna dia gagal dan saya berasa kasihan kepada rakyat Selangor kerana mempunyai menteri sepertinya.”

selangorku/-

400 Penduduk Ampang Dipindah Akibat Banjir

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hampir 400 penduduk dari dua kampung di Ampang dipindahkan malam Rabu apabila rumah mereka yang rata-rata terletak berhampiran sungai dinaiki air.

Banjir berikutan hujan lebat di Lembah Klang petang tadi turut menyebabkan beberapa rumah di tebing sungai kawasan itu dihanyutkan.Dua kampung terlibat ialah Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Pinggir Tiga membabitkan 150 rumah.

"Banjir besar itu adalah akibat limpahan sungai di Taman Rimba Ampang yang turut menyebabkan tebing sungai itu runtuh. Kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang," kata Ketua Wanita Umno bahagian Ampang Dr Rozaidah Talib ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesemua mangsa kini di tempatkan di pusat penempatan sementara di surau Lembah Jaya Utara dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membuat bancian jumlah mangsa yang terlibat.

"Pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) membuka pendaftaran untuk disalur kepada JKM. Kami juga menyediakan makanan untuk mangsa dan kami memerlukan bantuan pakaian," katanya.

Beliau berkata sesetengah mangsa terpaksa diselamatkan menggunakan bot dalam operasi menyelamat yang melibatkan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu, seorang pegawai khas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Dusun Tua berkata kawasan Hulu Langat turut dilanda banjir yang disifatkan sebagai paling teruk.Katanya kawasan paling teruk terjejas ialah Dusun Tua yang ditenggelami air sedalam dua meter.

"Ramai yang dipindahkan...kawasan berlaku banjir terputus hubungan...jalan tak boleh dilalui," katanya. - BERNAMA

TERAS: Buang sisa Lynas ke Sungai Lembing kerja gila

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar sisa kilang memproses nadir bumi milik Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan dibuang di Sungai Lembing dibantah keras oleh NGO, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan gila, presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri) dalam satu kenyataan media berkata jika ini benar-benar dilakukan ia adalah jenayah alam sekitar yang sepatutnya dihalang malah diambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.

“Amat jahil bagi sesiapa yang menganggap membuang sisa toksid seperti bahan radioaktif Lynas ke dalam sungai tidak merosakkan alam sekitar.

“Ekologi sungai yang kini sangat sensitif dan bakal punah akibat pembuangan sisa radioaktif, pasti akan mengundang malapetaka yang tidak boleh dirawat lagi,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, walaupun cadangan menteri besar Pahang itu dikatakan adalah di tapak lombong yang sudah tidak digunakan, namun interaksi air bawah tanah yang akhirnya akan bersambung ke sungai pasti akan memberi kesan yang berbahaya dalam jangka panjang.

Katanya, TERAS bukan sahaja mengambil kira soal kehidupan dan punca pendapatan penduduk Sungai Lembing yang bakal terjejas itu tetapi yang lebih penting ialah soal persekitaran yang akan bakal rosak dan tidak boleh dipulih lagi jika ia menjadi tapak buangan sisa radioaktif.

“Adakah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar dirujuk dalam hal ini? Apakah undang-undang perlindungan sungai akan diketepikan begitu sahaja?

“Ini juga akan memperlihatkan slogan ‘Cinta Sungai Kita’ yang selama ini dicanang oleh JPS hanya menjadi suatu momokan dan bahan ejekan,” katanya.

Selain itu, Mohd Azmi turut mendesak supaya pemimpin negara tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung isu itu kerana tindakan mereka terus mengelirukan malah menyusahkan pegawai kerajaan yang terpaksa berdepan dengan masyarakat.

“Padahal kenyataan yang saling bercanggah antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu pembuangan sisa toksik dari kilang Lynas ini membuktikan kelulusan membenarkan Lynas beroperasi adalah keputusan sembrono.

“Tiba-tiba MB Pahang pula membuat kenyataan yang jauh lebih mengejutkan.

“Yang jelas semua kenyataan ini dibuat hanya untuk berselindung di balik hakikat yang sebenar. Bahaya kilang Lynas sememangnya mempunyai risiko tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi, TERAS mendesak kerajaan BN agar tidak lagi membohongi rakyat dengan strategi emosi dan psikologi seperti yang disebut oleh Najib.

“Apa yang rakyat mahu ialah dibatalkan terus projek ini demi masa depan masyarakat dan alam sekitar negara,” akhiri kenyataan beliau.

Agency

Hutang Kafa dengan KTC tiada kaitan Harakah, PAS

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 8 Mac: Kelantan Trade Cantre (KTC) menafikan tuntutan hutang terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), sebelum ini langsung ada kena mengena dengan Harakah apa lagi PAS.

Ianya merupakan isu berlainan antara sebuah parti, agensi akhbar dan pihak pengurusan KTC.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu langsung tiada kaitan dengan mana-mana politik.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily berikutan menerima beberapa kritikan terhadap usahanya menuntut bayaran sewa Restoran The Red Warriors dari Kafa.

“Ini adalah soal bisnes semata-mata. Jadi saya menuntut hutang ini adalah kerana tanggungjawab saya, walaupun dalam facebook ada pihak yang mendakwa saya ni tidak berlaku adil.

“Jadi untuk keadilan saya perlu menilainya dalam pelbagai sudut, di mana kakitangan kami di sini lebih 50 orang yang semuanya bergantung harap di sini,” ujarnya.

Tambahnya, jika hutang yang tidak dibayar lebih RM72,000 adalah terlalu banyak.

Lagipun, beliau mendakwa surat peguam juga telah dihantar agar segala urusan berjalan baik, namun semuanya gagal.

“Saya hantar surat ‘mesra’ pun tak jawab juga walaupun saya ada tanggungjawab untuk menyita restoran tersebut, tapi saya tidak lakukan pun,” ujarnya.

Sambungnya, lagipun beliau bimbangi surat yang dihantar tidak sampai kepada Presiden Persatuan Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dan apa yang berlaku itu memang betul.

Aziz seterusnya berkata, dengan kritikan dan dakwaan dalam facebook yang mengatakan Presiden Kafa tidak mengetahui Restoran TRW ada hutang adalah benar sebagaimana yang didakwa.

Beliau turut menegaskan, tindakan yang diambil pihaknya memberi kebaikan pada pihak Kafa sendiri secara tidak langsung presiden mengetahui tentang perkara itu.

“Jadi saya tak naklah peminat nanti salah tafsir berterusan, dakwa nak buat stadium berjuta-juta tetapi bila kita cerita fasal ada hutang yang tidak dibayar, camana kan,”ujarnya.

Sambungnya, peminat bola sepak melihat TRW adalah satu pasukan yang kuat dan begitu unggul kini, jadi diharap ianya juga turut hebat dari segi pengurusannya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan peminat bola sepak khususnya Kelantan atau pihak tertentu tidak mengaitkan isu tuntutan ‘hutang’ dengan Harakah atau PAS, kerana ianya langsung tidak ada kena mengena dengan pihak berkenaan.

Harakah Daily

Bantu kesan di mana Adik Nurul Nadirah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Orang ramai dirayu membantu mengesan di mana Adik Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang hilang pada 1 Mac lalu di bawah Blok A, Pangsapuri Sri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Harakah Daily

Telur ayam dalam telur

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT RAYA - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Bukit Raya Dalam terkejut mendapati sebiji telur ayam dipecahkan mempunyai sebiji lagi telur ayam sebesar duit syiling 50 sen ketika menyediakan hidangan kepada pelanggan, malam kelmarin.

Fairul Rizal Abd Ramli, 29, berkata, dia membeli sebanyak 30 biji telur gred E di sebuah kedai runcit di situ.

“Saya mengambil telur itu dan terus memecahkannya untuk menyediakan hidangan telur mata kepada pelanggan namun terkejut setelah mendapati sebiji telur lagi jatuh ke dalam kuali dan saya menyangka ia adalah telur merah yang beku.

“Telur itu mempunyai telur putih dan merah serta ditambah dengan sebiji lagi telur di dalamnya,” katanya.

Fairul Rizal berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak empat bulan berniaga di situ dan dia akan terus menyimpan telur bersaiz wang syiling 50 sen itu kerana ingin melihat keadaan telur itu.

Sinar Harian

Liga Juara: 5 gol Messi, Barcelona menang 10-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LIONEL Messi mencipta sejarah dengan menjaringkan lima gol bagi membolehkan Barcelona 'menyapu bersih' Bayer Leverkusen 7-1 di Barcelona, sekali gus memberi amaran ia pasukan yang mantap untuk mara sehingga ke peringkat akhir kejohanan Liga Juara-juara.

Dengan jaringan besar daripada Messi, Barcelona menempah tiket suku akhir dengan mudah.

Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan disusuli dengan tiga lagi gol pada separuh masa kedua. Messi setakat ini telah menjaringkan 53 gol dalam 49 perlawanan bagi kelabnya.

Barcelona yang turun pusingan kedua, yang berlangsung awal pagi tadi dengan kelebihan 3-0 ke atas Bayer Leverkusen, menang dengan agregat 10-2.

Sinar Harian

All England: Beregu Zakry-Fairuzizuan mara peringkat ke-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEREGU lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England selepas menewaskan lawan mereka dari Jerman, Michael Fuchs/Oliver Roth di Birmingham, England semalam.

Gandingan Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan mudah menewaskan Fuchs/Roth, 21-19 21-11 pada pusingan pertama kejohanan itu dalam masa 30 minit.

Mereka dijadualkan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano atau beregu dari Amerika Syarikat, Howard Bach/Tony Gunawan pada pusingan kedua kejohanan itu hari ini.

Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying nyata cemerlang apabila menumpaskan lawan mereka dari
India, V. Diju/Jwala Gutta dengan mata 21-14 dan 21-12 dalam masa 26 minit.

Kempen tiga beregu wanita negara pada kejohanan itu berakhir apabila masing-masing tersingkir pada pusingan pertama kejohanan berprestij itu.

Beregu utama Chin Eei Hui/Wong Pei Tty kalah kepada beregu nombor dua dunia dari China, Tian Qing/Zhao Yunlei, 17-21 dan 14-21 manakala beregu kedua negara Vivian Hoo Kah/Woon Khe Wei turut mengalami nasib sama kepada beregu Hong Kong, Poon Lok Yan/Tse Ying Suet, 21-16, 19-21, 18-21.

Satu lagi beregu negara, Goh Liu Ying/Lim Yin Loo yang berjaya melepasi pusingan kelayakan semalam, bagaimanapun gagal memberi aksi cemerlang apabila tumpas di tangan beregu nombor tujuh dunia dari Denmark, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, 16-21 dan 16-21.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Ng Hui Ern/Ng Hui Lin dijadualkan bertemu beregu wanita dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, awal pagi ini (waktu Malaysia). - Bernama

Sinar Harian

PBSM Syria masuki Baba Amr

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GENEVA 8 Mac – Pasukan Bulan Sabit Merah Syria semalam memasuki daerah Baba Amr di bandar Homs, kawasan pemberontak yang teruk dibedil oleh tentera kerajaan minggu lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Carla Haddad memberitahu AFP, pasukan itu memasuki Baba Amr petang semalam.

Sebanyak tujuh trak bantuan telah menunggu sejak Jumaat lalu untuk memasuki Baba Amr, daerah yang didakwa oleh penduduk yang melarikan diri berdepan dengan krisis kemanusiaan selepas serangan tentera kerajaan Khamis lalu. – AFP

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato’ Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

selangorku/-

Khutbah Jumaat : Rancangan jahat kaum kufar membakar al-Quran

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Rancangan jahat kaum kufar membakar al-Quran

الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلْ،

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

bermaksud: “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu).

أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! آتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Saya berwasiat kepada diri saya sendiri dan tuan-tuan sekelian agar kita gunakan kesempatan bertemunya kita dengan Hari Jumaat ini, penghulu segala hari, untuk kita memperbaharui tekad kita menempatkan diri kita masuk dalam sof orang-orang yang bertaqwa dengan kita membuktikannya dengan kesungguhan kita melaksanakan segala perintah yang wajib-wajib dan menambahkan lagi amalan dengan mengerjakan yang sunat-sunat serentak dengan kita menjauhi perkara yang makruh untuk kita merasa jijik dengan perkara-perkara yang diharamkan Allah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Umat Islam di seluruh dunia sekali lagi di gamatkan dengan berita pembakaran kitab suci al-Quran yang turut melibatkan tentera NATO di Afghanistan. Walaupun pihak NATO mengatakan bahawa tenteranya terbabit secara tidak sengaja dan berjanji akan menjalankan penyiasatan terhadap pelakunya, namun ianya tidak mungkin dapat mengubat hati Umat Islam yang bukan sekali dua dihina sebegitu.

Sebelum ini, peristiwa sama pernah terjadi di Florida, Amerika Syarikat di mana pendeta Terry Jones membakar al-Quran kononnya sempena memperingati peristiwa 11 September 2001 di New York dengan menjadikannya sebagai ‘International Burn a Koran Day (Hari membakar al-Quran Antarabangsa). Lebih menyayat hati apabila hari tersebut bertepatan dengan Hari Raya Aidil Fitri 1431 hijrah yang diraikan oleh Umat Islam di seluruh dunia. Kita juga digemparkan pula dengan rakaman tentera NATO yang kencing ke atas mayat orang Islam yang menjadi mangsa serangan mereka di medan peperangan.



Penghinaan demi penghinaan seperti ini akan berterusan selama mana Umat Islam tidak mampu untuk menguasai dunia dan menundukkan dunia dengan peraturan dan cara hidup Islam yang membawa kesejahteraan kepada semua manusia. Firman Allah:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾

bermaksud: “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120).

Walaupun Rasulullah SAW sentiasa menghormati di antara sesama manusia, kejahatan dan pengkhianatan Yahudi terhadap Umat Islam pernah menyebabkan Baginda mengusir Bani Qainuqa’ dan Bani Nadir akibat sikap mereka yang melampaui batas.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Al-Quran menceritakan dengan jelas mengenai sikap dan pegangan jahat Yahudi dan Nasrani terhadap Umat Islam, sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini. Mereka akan terus berusaha dengan segala cara, memusuhi Umat Islam dan kemuncaknya sehingga memurtadkan Umat Islam dari masa ke semasa. Antaranya mereka menggunakan pendekatan yang disebut ‘Gold, Gospel dan Gloryus’ iaitu menguasai ekonomi, menyebarkan agama dan seterusnya menjajah.

Sidang Jumaat Sekelian,

Seterusnya Allah SWT memberikan amaran kepada Umat Islam agar tidak menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman kepercayaan. Firman Allah swt :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَكُمْ هُزُوًۭا وَلَعِبًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَٱلْكُفَّارَ أَوْلِيَآءَ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾

bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu, menjadi penolong-penolong, dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 57).

Malagnya masih ada di kalangan Umat Islam yang masih menyatakan sokongan terhadap Yahudi dan Nasrani, masih berusaha menjalinkan hubungan diplomatik dengan Negara mereka, menjalankan perniagaan secara bebas dengan mereka dan tidak berusaha untuk mengutamakan Negara-negara Islam berbanding Negara-negara mereka.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَ‌ٰكِعُونَ ﴿٥٥﴾

bermaksud : “Sesungguhnya penolong bagi kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).” (Surah al-Ma'idah, ayat 55).

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Allah telah membongkar kejahatan mereka bagi menyelamatkan Umat Islam dari menjadi mangsa dan terpedaya dengan tipu helah mereka. Namun Umat Islam adanya terlalu berani mengambil risiko untuk terus mengharapkan keuntungan dunia dengan menjadikan mereka sebagai rakan kerjasama selama-lamanya. Marilah kita mengubah nasib kita sendiri dengan mengutamakan Umat Islam sendiri dalam segala urusan kehidupan kita, samada dalam urusan perniagaan, sukan, pendidikan dan sebagainya. Berusahalah untuk beralih daripada kebergantungan kepada mereka dan Negara-negara yang dikuasai oleh mereka kepada bekerjasama di antara Negara-negara Islam. Jika ini dapat kita lakukan pasti mereka tidak akan mampu menakut-nakutkan kita, tidak akan sewenang-wenangnya menghina dan mempersendakan agama kita, dan akhirnya dunia akan menjadi lebih tenang daripada kejahatan mereka.

Firman Allah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةًۭ مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًۭا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ ٱلْبَغْضَآءُ مِنْ أَفْوَ‌ٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِى صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْءَايَـٰتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ ﴿١١٨﴾

yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Sudah nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami jelaskan kepada kamu keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Surah al-Imran, ayat 118)

*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.

Dana NFC untuk beli 8 lot kedai di Bangsar ?

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-
KUALA LUMPUR, 7 Mac: PKR hari ini mendedahkan bahawa Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam sebagai jaminan pinjaman peribadi untuk membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco City, Bangsar.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menampilkan bukti bercetak carian kredit rasmi beberapa bank-bank yang berurusan dengan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh untuk membuat pembelian tersebut.

Mohamad Salleh didakwa mendepositkan sejumlah besar dana NFC ke bank-bank tertentu sebagai cagaran untuk membuat pembelian tersebut bernilai RM9.69 juta.

Rafizi berkata, harga pasaran semasa unit-unit tersebut boleh mencecah RM12 juta.

"Kaedah menyalahgunakan dana awam untuk mendapatkan pinjaman peribadi seperti ini adalah menyalahi mandat yang diberikan kepada NFC untuk membangunkan projek berkepentingan nasional," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan kata beliau, apabila melihat rekod pembayaran pinjaman yang buruk, termasuklah tidak membayar bayaran pinjaman dalam bulan Julai dan Ogos 2011 dan berulang pada bulan Disember tahun yang sama.

Beliau berkata, pihak pengurusan NFC perlu memberi jaminan bahawa sebarang masalah pembayaran membabitkan pinjaman peribadi mereka tidak akan memberi apa-apa kesan kepda dana awam yang disimpan di bank yang sama.

"Ini kerana simpanan tetap NFC sebanyak RM71.4 juta berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi ini," katanya.

PKR juga tegasnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji beliau untuk membekukan semua aset NFC, termasuklah simpanan tetap berjumlah RM71.4 juta.

Pembangunan KL Eco City ketepi nasib rakyat miskin

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah meminta Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, datuk Seri Shahrizat Abd jalil membuat penjelasan mengenai pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum akibat projek di KL Eco City.

"Dalam pendedahan terkini, Shahrizat wajar menerangkan kepda rakyat sama ada beliau memainkan apa-apa peranan yang mempengaruhi keputusan sehingga menyebabkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum.

Katanya, jika Shahrizat mengambil sikap sambil lewa dalam membela nasib penduduk yang terlibat sejak sebuah syarikat usahasama diwujudkan dalam tahun 2007, ia juga menimbulkan pertanyaan sama ada ada kena mengena dengan kepentingan keluarga beliau yang berhasrat membeli hartanah di KL Eco City.

Beliau turut mengecam ketidakpedulian pimpinan pemuda Umno yang mendapat durian runtuh berjumlah RM75 juta daripada projek KL Eco City terhadap nasib rakyat yang terpaksa dipindahkan di Kampung Abdullah Hukum.

Beliau berkata, kepimpinan pemuda Umno terlibat secara langsung dalam pembangunan KL Eco city dan tindakan pemindahan penduduk melalui syarikat YGP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi awal KL Eco City Sdn Bhd.

Pengarah-pengarah YGP holdings Sdn Bhd termasuklah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pimpinan Pemuda Umno seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Kemelut politik Kedah cemar maruah PAS ?

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Abdul Rahman Malik /Malaysiakini

Pada permukaannya PAS nampak berjaya mengendurkan polemik di antara Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dengan aman. Hal ini pernah diramalkan beberapa pemimpin PAS sebelum ini bahawa PAS mampu menangani kemelut itu melalui semangat ukhuwah dan mahabbah.

NONE

Malah sehingga tengah hari Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kelihatan gesit mengumumkan keputusan “menang-menang” di antara dua pihak yang bertelingkah itu. Phahrolrazi dan Ismail bersetuju menerima pelantikan semula sebagai exco negeri. Azizan pula kekal sebagai menteri besar dan pesuruhjaya PAS negeri itu.

Namun inti persoalan yang mendorong perbalahan itu berlaku rupanya masih belum padam. Ibarat api dalam sekam sedikit hembusan bayu politik boleh menyemarakkan kembali pertikaian itu. Kemelut politik Kedah ini nampaknya benar-benar menguji keampuhan dan keberkesanan sistem tarbiyah PAS.

Apakah benar semangat ukhuwah dan tarbiyah dalam pelbagai bentuk yang dikendalikan PAS untuk pemimpin dan ahlinya selama ini akan membantu mereda dan mengelak isu itu menjalar menjadi bom jangka bagi cita-cita politik PAS?

NONE

Tidakkah Jawatankuasa Pemandu PAS yang akan menyelia keputusan dan tindak tanduk Azizan (kanan) dan barisan exconya boleh disimpulkan sebagai satu campurtangan “Kerajaan Pusat” PAS?

Bolehkah dibaca pengwujudan jawatankuasa itu membayangkan bahawa PAS mengakui memang menteri besar dan exconya selama ini memang mendokong sebuah kerajaan negeri PAS yang lemah hingga perlu campurtangan PAS Pusat?

Atau, apakah sebenarnya perselisihan pandangan dan cara kepemimpinan Azizan dengan timbalan-timbalannya begitu luas lompongnya hingga perlu jawatankuasa pemandu mendisiplinkan mereka agar pertikaian tidak melimpah menjadi pergeseran antara “tok-tok demang” atau “warlordism” di Kedah?

Lebih menggusarkan ialah, jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Phahrolrazi dan Ismail bertindak mempamerkan “undi tidak percaya” terhadap kepemimpinan Azizan dengan menolak tawaran pelantikan menjadi exco bukan atas sebab isu peribadi tetapi bersandarkan prinsip perjuangan PAS sendiri, khalayak umum pasti akan terkilan dengan cara kepemimpinan PAS Pusat menangani krisis ini.

NONE

Kini hembusan bayu politik mula membuak menjadi badai yang membawa khabar Phahrolrazi dan Ismail sebenarnya bertindak “degil dan nekad” menentang budibicara Azizan “menganugerahkan” projek satu ribu juta ringgit kepada “kroni”nya. Jika itu benar, memang buruk padahnya pada nama baik dan maruah PAS.

Kini adalah semakin ketara bahawa soal ukhuwah dan tarbiyah tidak dapat menyorokkan punca perbalahan. Malah secara langsung desas desus politik mengisyaratkan bahawa PAS Pusat sebenarnya gagal mereda apatah lagi menyelesaikan kemelut itu. Lebih menyedihkan PAS Pusat seolah-olah bertindak mahu menyembunyikan “salah laku” pemimpinnya di Kedah!

PAS mesti cepat dan tangkas menangani isu ini. Atas nama kebenaran, PAS harus berhenti bermain silap mata politik. Ini soal prinsip. Tugas utama Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan mestilah menyiasat laporan salah laku ini. Ini bukan sahaja untuk memelihara nama baik perjuangan PAS tetapi membersihkan strategi politik PAS.

NONE

PAS harus telus. Tidakkah ahli dan penyokong PAS rasa tertipu jika benar projek sebesar satu ribu juta diberikan kepada kroni menteri besar yang didakwa sebenarnya adalah ahli Umno, musuh politik PAS!

Bukankah itu pengkhianatan namanya? Jika dibandingkan dengan projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC), kepetualangan ini lebih zalim dan menghiris jiwa penyokong PAS.

Jika masih ada ruhul Islam dalam perjuangannya, PAS harus menggantung khidmat Azizan sehingga Jawatankuasa Pemandu membersihkan namanya. Atau, jika ada kebenaran terhadap tuduhan ini, PAS sendiri harus melaporkan salah laku itu kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sejarah politik Islam banyak teladan untuk pemimpin-pemimpin PAS. Selesai sahaja mengkebumikan Khalifah Sulaiman, Umar bin Abdul Aziz terus mengambil kertas dan tinta untuk mengeluarkan tiga perintah kepada umat Islam di bawah jagaannya.

kaabah mekah islam holycity 080307 satellite image

Pertama, Umar membatalkan perintah almarhum Khalifah Sulaiman. Beliau mengarahkan Maslamah, jeneral tentera Islam untuk mengundurkan balatentera dari menyerang Konstantinopel. Ini kerana setelah berbulan mengasak kota itu dari laut dan darat soldadu Islam masih gagal mencapai kemenangan malah semakin lemah peralatan perang dan kurang bekalan makanan mereka.

Khalifah Sulaiman ketika hayatnya mahu misi menawan Konstantinopel diteruskan kerana didorong oleh ego mahu meluaskan jajahannya. Tidak banyak pertimbangan diberikan kepada keadaan dan kebajikan tentera Islam. Sebagai khalifah baru, Umar tidak mahu nafsu berkuasa dan kekuasaan menandai pemerintahannya.

Kedua, Umar memerintahkan Usamah bin Zaid at Tanukhi yang memegang bidang pajakan Mesir dipecat dan dipenjarakan kerana bertindak zalim dan menghukum rakyat tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah.

Ketiga, Umar mengeluarkan surat untuk memecat Yazid bin Abi Muslim dari Afrika yang sering tidak menghiraukan perintah Sultan. Lantaran sikap bengis dan sering menzalimi rakyat jelata, Umar segera bertindak melucutkan pangkatnya.

NONE

Buat masa ini, PAS harus mengetepikan impian menakluki Putrajaya. Yang lebih penting ia harus membersihkan wadah perjuangannya. Ulat dan musuh pemerintahan Islam ialah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan juga ego pemimpin.

Kawallah iklim politik Kedah supaya jangan ia membuat hati rakyat beku dan sinis terhadap apa yang dinamakan daulah Islamiah jika ia tidak banyak bebeza dengan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.