Abdul Rahman Malik /Malaysiakini
Pada permukaannya PAS nampak berjaya mengendurkan polemik di antara Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dengan aman. Hal ini pernah diramalkan beberapa pemimpin PAS sebelum ini bahawa PAS mampu menangani kemelut itu melalui semangat ukhuwah dan mahabbah.
Namun inti persoalan yang mendorong perbalahan itu berlaku rupanya masih belum padam. Ibarat api dalam sekam sedikit hembusan bayu politik boleh menyemarakkan kembali pertikaian itu. Kemelut politik Kedah ini nampaknya benar-benar menguji keampuhan dan keberkesanan sistem tarbiyah PAS.
Apakah benar semangat ukhuwah dan tarbiyah dalam pelbagai bentuk yang dikendalikan PAS untuk pemimpin dan ahlinya selama ini akan membantu mereda dan mengelak isu itu menjalar menjadi bom jangka bagi cita-cita politik PAS?
Bolehkah dibaca pengwujudan jawatankuasa itu membayangkan bahawa PAS mengakui memang menteri besar dan exconya selama ini memang mendokong sebuah kerajaan negeri PAS yang lemah hingga perlu campurtangan PAS Pusat?
Atau, apakah sebenarnya perselisihan pandangan dan cara kepemimpinan Azizan dengan timbalan-timbalannya begitu luas lompongnya hingga perlu jawatankuasa pemandu mendisiplinkan mereka agar pertikaian tidak melimpah menjadi pergeseran antara “tok-tok demang” atau “warlordism” di Kedah?
Lebih menggusarkan ialah, jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Phahrolrazi dan Ismail bertindak mempamerkan “undi tidak percaya” terhadap kepemimpinan Azizan dengan menolak tawaran pelantikan menjadi exco bukan atas sebab isu peribadi tetapi bersandarkan prinsip perjuangan PAS sendiri, khalayak umum pasti akan terkilan dengan cara kepemimpinan PAS Pusat menangani krisis ini.
Kini adalah semakin ketara bahawa soal ukhuwah dan tarbiyah tidak dapat menyorokkan punca perbalahan. Malah secara langsung desas desus politik mengisyaratkan bahawa PAS Pusat sebenarnya gagal mereda apatah lagi menyelesaikan kemelut itu. Lebih menyedihkan PAS Pusat seolah-olah bertindak mahu menyembunyikan “salah laku” pemimpinnya di Kedah!
PAS mesti cepat dan tangkas menangani isu ini. Atas nama kebenaran, PAS harus berhenti bermain silap mata politik. Ini soal prinsip. Tugas utama Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan mestilah menyiasat laporan salah laku ini. Ini bukan sahaja untuk memelihara nama baik perjuangan PAS tetapi membersihkan strategi politik PAS.
Bukankah itu pengkhianatan namanya? Jika dibandingkan dengan projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC), kepetualangan ini lebih zalim dan menghiris jiwa penyokong PAS.
Jika masih ada ruhul Islam dalam perjuangannya, PAS harus menggantung khidmat Azizan sehingga Jawatankuasa Pemandu membersihkan namanya. Atau, jika ada kebenaran terhadap tuduhan ini, PAS sendiri harus melaporkan salah laku itu kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sejarah politik Islam banyak teladan untuk pemimpin-pemimpin PAS. Selesai sahaja mengkebumikan Khalifah Sulaiman, Umar bin Abdul Aziz terus mengambil kertas dan tinta untuk mengeluarkan tiga perintah kepada umat Islam di bawah jagaannya.
Khalifah Sulaiman ketika hayatnya mahu misi menawan Konstantinopel diteruskan kerana didorong oleh ego mahu meluaskan jajahannya. Tidak banyak pertimbangan diberikan kepada keadaan dan kebajikan tentera Islam. Sebagai khalifah baru, Umar tidak mahu nafsu berkuasa dan kekuasaan menandai pemerintahannya.
Kedua, Umar memerintahkan Usamah bin Zaid at Tanukhi yang memegang bidang pajakan Mesir dipecat dan dipenjarakan kerana bertindak zalim dan menghukum rakyat tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah.
Ketiga, Umar mengeluarkan surat untuk memecat Yazid bin Abi Muslim dari Afrika yang sering tidak menghiraukan perintah Sultan. Lantaran sikap bengis dan sering menzalimi rakyat jelata, Umar segera bertindak melucutkan pangkatnya.
Kawallah iklim politik Kedah supaya jangan ia membuat hati rakyat beku dan sinis terhadap apa yang dinamakan daulah Islamiah jika ia tidak banyak bebeza dengan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan