08 Mac 2012

KDN panggil lagi Editor The Star

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dilema yang ditanggung oleh akhbar The Star ekoran penyiaran gambar Erykah Badu bertatu nama Allah pada dadanya yang terlanjang tidak selesai semalam.

Ini kerana, Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih tidak berpuashati dengan penjelasan akhbar MCA itu dan mahukan jaminan yang lebih konkrit ia tidak akan berulang di masa depan.

Malam tadi, The Star menerima surat dari KDN yang meminta penjelasan yang lebih baik sebelum hukuman dijatuhkan ekoran penyiaran gambar itu.

Ekoran itu, esok, Jumaat 9 Mac, para editor kanan mereka buat kali ketiganya dipanggil ke pejabat KDN.

Ini kerana, mereka diarahkan memberikan penjelasan dan tindakan yang lebih baik kerana penjelasan sebelum ini tidak meyakinkan KDN.

Kali pertama, mereka dipanggil sebaik sahaja gambar itu disiarkan manakala kali kedua pula bagi menjawab surat tunjuk sebab dan pengakuan salah mereka.

Isu The Star sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, namun Harakahdaily dimaklumkan ia tidak berlaku.

Siasatan dalaman

Sementara itu, sumber bahagian sumber manusia The Star memaklumkan, akhbar itu buat pertama kalinya dalam sejarah akan membuat siasatan dalaman dengan diketuai oleh pihak luar.

Seorang bekas hakim mahkamah tinggi akan mengetuai penal siasatan kes ini yang akan berlangsung esok.

"Biasanya bahagian kami (HR) sahaja yang kendalikan kes siasatan dalaman ini tetapi oleh kerana kami perlu kewibawaan dalam siasatan kes ini, pihak luar terpaksa dipanggil," kata sumber itu.

Sumber itu juga memaklumkan, kes ini juga mencipta sejarah baru dalam akhbar ini apabila terpaksa mengumumkan nama pihak yang terlibat dalam membuat kesilapan ini.

"Biasanya kami rahsiakan pihak yang bersalah untuk menjaga kepentingan mereka misalnya untuk mendapatkan pekerjaan yang lain, tetapi oleh kerana kes ini terlalu besar, kami terpaksa umumkan nama mereka," kata sumber itu.

The Star sebelum ini mengumumkan pergantungan dua editornya yang bertugas dengan Star 2 yang bersalah menyiarkan gambar Erykah Badu yang bertatu nama Allah di dadanya yang terlanjang itu.

Dalam satu kenyataan disiarkan di laman webnya, pengurusan akhbar itu berkata, pihaknya telah menggantung editor kanan Star2, Lim Cheng Hoe dan timbalan editor, Daryl Goh, yang dilaporkan telah meluluskan penggunaan foto dalam Star2 edisi Isnin lalu.

Kedua-dua mereka digantung tugas dengan serta-merta.

Pada masa yang sama, pengurusan The Star berkata, Editor Bersekutu, Rozaid Abdul Rahman dan Shah A. Dadameah telah diminta menyelia dan membimbing akhbar itu dalam isu-isu berkaitan dengan sensitiviti agama.

Sumber yang sama juga memaklumkan, pihak pengurusan kanan akhbar itu menjangka hukuman yang berat dikenakan kepada akhbar itu.

"Namun kami yakin, tidaklah berat sangat hingga gantung sampai mati kerana kehadiran kami perlu untuk pilihan raya nanti," katanya.

The Star yang dimiliki oleh MCA adalah akhbar harian berbahasa Inggeris paling laris di Malaysia. Sebelum ini, ketika Operasi Lalang, The Star bersama Watan dan sebuah akhbar Cina digantung permit mereka sehinggalah di lepaskan semula.

Akhbar ini menjadi antara media utama yang menyerang lawan MCA khasnya PAS dalam setiap kali pilihan raya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: