08 Mac 2012

Jepun gemar perabot Malaysia

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Syarikat hiasan dalaman dan perabot rumah Jepun, Tokyo Interior, merancang membeli banyak perabot buatan Malaysia sejajar dengan pembukaan cawangan baru syarikat itu di Tokyo.

Presidennya, Hiroe Tonegawa berkata Tokyo Interior kini memiliki 32 cawangan di seluruh Jepun dan akan membuka dua cawangan lagi di Tokyo dalam tahun ini.

Perniagaan syarikat itu dijangka berkembang 20 peratus tahun ini, dengan didorong permintaan meningkat daripada pasaran perabot Jepun berikutan bencana gempa bumi dan tsunami di negara itu tahun lalu.

“Tahun ini bakal menyaksikan banyak pesanan berulang bagi perabot Malaysia. Perabot Malaysia terkenal kerana kualiti dan keteguhannya,”katanya.

Pada masa ini, syarikat itu membeli 20 hingga 30 kontena perabot Malaysia sebulan. Satu kontena mengandungi perabot bernilai kira-kira ASD$20,000 (RM61,000), yang terdiri daripada set meja makan, kerusi, sofa, perabot sedia dipasang atau perabot pasang sendiri.

Tonegawa berkata, pengguna Jepun menggemari perabot berkualiti dengan reka bentuk dan warna menarik selain mesra pengguna dan mesra alam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: