08 Mac 2012

Remaja maut terlanggar lori

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Seorang remaja maut setelah motosikal ditunggangnya terlanggar lori yang ditinggalkan di tepi jalan dalam kejadian di Jalan Angsana, Taman Keladi kira-kira 8.05 malam, kelmarin.

Sumber polis memberitahu, mangsa, Mohamad Izhar Yahya, 18, yang melalui jalan tersebut tidak menyedari kehadiran lori yang diletakkan di laluan itu lalu melanggar kenderaan tersebut.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa datang dari arah Taman Keladi sedang menghala ke arah Taman Sri Wang.

“Mangsa yang tidak menyedari ada lori di tepi jalan melanggar bahagian belakang tepi sebelah kiri lori yang diparkir di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan, mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Ikmal, 15, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, abangnya ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya bagi membantu ibu yang sedang berniaga.

Mangsa, yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Lebai Man.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Difahamkan, jenazah Allahyarham telah dituntut keluarga jam 11.30 malam kelmarin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: