08 Mac 2012

PKR sambut baik batal SBPA, syor 5 langkah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - PKR mengalu-alukan keputusan kerajaan memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan pagi tadi, tetapi mendakwa perkembangan itu menunjukkan kegagalan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengambil kira pendapat golongan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar yang penting.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, kegagalan kerajaan pusat untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah iaitu antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah.

"Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam satu pengumuman di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan

peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh

peratus.

Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan

bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji

secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja

melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan

yang diperlukan negara.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) beserta wakil-wakil pekerja Cuepacs, "barulah tindakan seraya sudah terhantuk baru terngadah diambil oleh Perdana Menteri hari ini."

Sehubungan itu, Nurul Izzah mahu kerajaan mewujudkan SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan.

Katanya, kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah harus membolehkan mereka menerima gaji "sara hidup", dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan PR 2012.

"SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam," katanya.

Selain itu kata beliau, SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

Malah menurut Nurul Izzah, SSM yang hendak ditambah baiki perlu mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan dalam kerajaan.

Wakil rakyat penggal pertama ini juga mengesyorkan agar SSM disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap 10 tahun.

"Semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan," katanya lagi.

sinar harian/-

Tiada ulasan: