12 April 2012

Budak enam tahun mati lemas

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - “Sedih dengan pemergian arwah. Danish amat rapat dan manja dengan saya. Tidak sangka hari ini dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” luah bapa kepada Mohd Danish Aqmal Aziz, 6, yang lemas selepas tergelincir dalam sungai Anak Sebulung di Kampung Melayu Majidee, di sini, semalam.

Aziz Tarmin, 34, yang bertugas sebagai polis bantuan peronda lebuh raya berkata, tiada sebarang perubahan yang disedari berlaku ke atas anak bongsu daripada tiga beradik itu sejak kebelakangan ini.

“Saya diberitahu oleh pihak ibu pejabat mengenai kejadian sekitar jam 5 petang. Saya bersama isteri segera bergegas pulang ke rumah, namun apa kan daya dia sudah tiada.

“Tiada sebarang perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Dia (Danish) cuma kerap menghubungi untuk meminta saya agar menjemputnya di rumah Kampung Melayu Majidee ke rumah baru kami di Taman Sri Skudai.

“Hari Sabtu dan Ahad lalu, baru sahaja saya menjemputnya ke rumah di Taman Sri Skudai seperti yang dipinta. Tidak sangka pula berlaku kejadian seumpama ini dan dia sudah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Aziz berkata, anak bongsunya itu kerap menghabiskan masa bermain pada waktu petang bersama anak keduanya, Mohd Danial Fitri, 9, di kawasan permainan berdekatan rumah.

“Ada juga saya atau isteri menasihatkan dia supaya tidak bermain jauh dari pandangan kami. Bagaimanapun, budak-budak, jika kita halang pun mereka akan keluar secara sembunyi,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Danial berkata, adiknya lemas selepas tergelincir ke dalam sungai Anak Sebulung ketika cuba untuk mengambil selipar yang terjatuh ketika hendak pulang ke rumah.

“Saya bersama adik hari-hari main di taman. Masa nak balik, selipar adik jatuh ke dalam parit besar dan dia mahu mengambil sebelum dia tergelincir. Saya ada cakap dengan dia supaya tidak ambil, tetapi dia cuba ambil juga.

“Ketika nampak adik sudah tenggelam di dalam air, saya jerit minta tolong. Ada beberapa orang datang untuk tolong tarik adik daripada lemas,” katanya.

Salah seorang penduduk, Zainal Abdul Hanan, 57, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas diberitahu jirannya mengenai kejadian berkenaan seterusnya meminta belia kampung turut sama memberikan bantuan.

“Belia kampung yang ada segera turun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak ini. Sebaik sahaja berjaya mencapai kanak-kanak ini daripada terus lemas dan tenggelam ke dasar sungai, kami membawanya naik ke atas untuk melakukan sesuatu, namun gagal.

“Kami segera membawanya ke hospital untuk dirujuk kepada pakar perubatan di wad kecemasan, tetapi doktor mengesahkan kanak-kanak ini sudah tiada lagi dan meminta jenazah di bawa pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, jawatankuasa penduduk di Jalan Utama Tengah, Kampung Melayu Majidee sudah beberapa kali mengusulkan cadangan kepada pemimpin setempat supaya kawasan sungai Anak Sebulung dipagar bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Agency

Gempa bumi sederhana di utara Lautan Hindi

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter berlaku di utara Lautan Hindi pada 6.52 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata pusat gempa itu terletak 675km ke barat daya Great Nicobar, India, dan 1,192 km ke barat daya Kampar, Perak.

Kejadian itu tidak mengkibatkan ancaman tsunami, kata kenyataan itu. - Bernama

Sinar Harian

Taktik pukau sebelum samun

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Bermodalkan cerita sedih konon anaknya mengidap sakit kulit kronik, seorang wanita warga China dikesan bergiat aktif menyamun pengunjung pasar pagi di Puchong Indah di sini, dipercayai menggunakan cara pukau.

Difahamkan, beberapa mangsa mendakwa terpedaya dan kerugian lebih RM50,000 selepas menyerahkan barang kemas dan wang tunai kepada suspek dalam keadaan tidak sedar.

Sinar Harian turut difahamkan, wanita terbabit akan menyapa mangsa rata-ratanya wanita yang berkunjung ke pasar itu sebelum ‘membuka’ cerita sedihnya.

Suspek dikatakan bertanya kepada mangsa di mana klinik pakar kulit boleh dikunjungi untuk membawa anaknya yang sakit mendapatkan rawatan.

Selepas berjaya mempengaruhi mangsa dengan cerita simpati itu, suspek dikatakan akan membawa mangsanya ke sebuah kereta jenis Naza Ria yang diletakkan di parkir kereta berhampiran pasar sebelum bertemu dengan dua orang lelaki.

Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, suspek dikatakan datang ke negara ini Sabtu lalu sebelum memulakan ‘kerjanya’ sehari selepas itu.

Menurutnya, suspek turut menggunakan helah meminta mangsa menunjukkan di mana kedudukan pokok besar yang didakwa untuk dijadikan ubat bagi merawat sakit anaknya.

“Salah seorang mangsa memberitahu, suspek mengatakan anaknya sakit dan perlu mencari kulit pokok bersaiz besar kononnya untuk direbus dan dijadikan air penawar.

“Mangsa yang bersimpati, akan percaya dengan kata-kata itu dan bersedia menunjukkan lokasi tempat pokok besar yang diketahui,” katanya.

Chee Heng berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah kereta bercermin gelap yang diletakkan berhampiran pasar, dua orang lelaki dikatakan berada di dalam kenderaan itu dipercayai menjalankan kerja-kerja memukau.

Menurutnya, mangsa diberikan tangkal azimat untuk mengelak bala dan diminta tidak memberitahu orang lain mengenai perkara itu.

Katanya, suspek kemudiannya meminta mangsa pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas serta wang tunai. Selepas menyerahkan segalanya, suspek menyerahkan karung berwarna hitam kepada mangsa.

“Hanya selepas tersedar dari pukau, mangsanya akan menyedari ditipu dan mendapati suspek hanya meninggalkan beberapa biji buah limau dalam karung hitam diberi,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun penipuan licik dilakukan wanita terbabit akhirnya tumpas apabila dia berjaya diberkas peniaga yang menyedari kegiatannya.

Sinar Harian

Amaran Tsunami Ditarik Balik Sekitar Lautan Hindi

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BANDA ACEH: Amaran tsunami yang dikeluarkan di sekitar Lautan Hindi ditarik balik beberapa jam selepas dua gempa bumi kuat menggegar perairan barat Indonesia.

Gempa bumi berukuran 8.6 dan 8.2 magnitud mencetuskan cemas petang Rabu.

Penduduk di kawasan persisiran pantai menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi dengan menaiki kereta dan menunggang motosikal.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii menarik balik pemantauan tsunami bagi kebanyakan kawasan di Lautan Hindi beberapa jam selepas gempa bumi pertama.

Kemusnahan besar atau ombak tsunami tidak dilaporkan setakat ini.

Agency

Indonesia Tarik Balik Amaran Tsunami

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan berikutan gempa bumi berkekuatan 8.7 pada skala Richter di Aceh, setelah beberapa gempa susulan reda pada malam Rabu.

“BMKG secara rasmi menamatkan amaran awal tsunami,” kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG Suhardjono di Jakarta pada 7.45 malam setelah mendapat pengesahan bahawa kejadian gempa bumi itu tidak menimbulkan tsunami.

Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran awal tsunami kepada penduduk kawasan pantai di Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Lampung dan Bengkulu, berikutan gempa bumi kuat itu.

Agency

Empat Korban Gempa Dirawat di Rumah Sakit Zaenal Abidin

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Banda Aceh: Empat orang yang terluka akibat gempa Aceh dirawat di Rumah Sakit Zaenal Abidin, Banda Aceh, Aceh. Dari pantauan Metro TV di lapangan, dari empat mangsa luka, dua orang sudah diperbolehkan pulang karena hanya mengalami luka ringan. Sedangkan dua mangsa luka lainnya masih dirawat intensif di RS Zaenal Abidin, Banda Aceh.

Saat gempa mengguncang Simuelue, Aceh, Rabu (11/4) pukul 15.38 Waktu Indonesia Barat, pihak RS Zaenal Abidin Banda Aceh sempat melakukan tiga kali evakuasi terhadap para pasien. Evakuasi pertama dilakukan pascagempa pertama, dengan membawa pasien ke luar halaman rumah sakit. Evakuasi kedua dilakukan saat siren akan berlakunya tsunami dibunyikan. Para doktor dan jururawat membawa seluruh pesakit ke lantai 2 rumah sakit. Evakuasi ketiga dilakukan pada saat gempa susulan terjadi. Seluruh pesakit, termasuk yang di ruang I.C.U dibawa ke luar halaman RS Zaenal Abidin. Saat berita ini dilaporkan, semua pesakit sudah kembali ke ruang rawatan.

Agency

64 warga asing ditahan

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seramai 64 warganegara asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar ditahan dalam dua operasi sama oleh Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, awal pagi semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (1) Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 54 lelaki, 8 wanita dan dua kanak-kanak, mereka berusia antara 1 hingga 50 tahun.

Menurutnya, operasi itu ditumpukan di kawasan pembinaan di dua lokasi iaitu di Bayan Baru dan juga Relau selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan juga hasil risikan sendiri. Ops Sepadu yang disertai 76 pegawai dan anggota Imigresen Pulau Pinang termasuk Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), susulan intipan sejak beberapa hari lalu.

“Semasa serbuan, pihak berkuasa memeriksa seramai 354 warga asing, antaranya yang ditahan dalam operasi itu ialah 21 warga Bangladesh, 36 warga Indonesia dan 7 warga Myanmar.

“Kita juga berjaya mengesan seorang wanita rakyat tempatan yang sanggup menggunakan alasan sudah kematian ibu bapa sebelum dia akhirnya mengaku melarikan diri dari rumah kerana mahu tinggal bersama teman lelakinya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, wanita itu baru beberapa bulan mengenali teman lelakinya yang juga seorang pekerja kontrak warganegara asing yang bekerja di tapak pembinaan terbabit.

“Wanita itu dipercayai sanggup lari dari rumah dan tinggal bersama teman lelakinya itu merayu dan menangis meminta dilepaskan. Bagaimanapun, dia diberi peluang bercakap dengan abangnya sebelum ahli keluarganya itu diminta mengambilnya di Balai Polis Sungai Nibong,” katanya.

Sinar Harian

MU hilang mata penuh, Man City ambil peluang

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KEMENANGAN 4-1 Manchester City menentang West Brom telah menghidupkan peluang kelab itu dalam saingan mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris selepas tertinggal lapan mata di belakang Manchester United (MU).

Manchester City telah mendahului perlawanan dengan dua terjahan daripada penyerang City, Sergio Aguero dan pemain barisan hadapan, Carloz Tevez.

Sumbangan gol keempat yang diberikan oleh pemain tengah, David Silva melengkapkan kekalahan bagi pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Manchester United tewas 1-0 dalam perlawanan menentang pasukan Wigan.

Kekalahan itu membolehkan Manchester City kembali mengejar mata dan kedudukan di samping merapatkan jurang mata.

Menurut pengurus pasukan Manchester City, Roberto Mancini, mereka kini telah bangkit daripada kekalahan 1-0 dalam menentang Arsenal dalam Liga Perdana minggu lepas.

Pengurus Manchester City itu percaya bahawa kemenangan ini ialah hasil daripada kreativiti pemainnya dalam mencari jalan untuk menjaringkan gol.

Sinar Harian

Jangan persulitkan beri tauliah untuk Ustaz Azhar

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kalau tidak silap pendengaran dan tanggapan saya, isu kedatangan Ustaz Azhar Idrus ke Kelantan dikatakan dipersoalkan oleh pihak Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) telah pun selesai. Azhar khabarnya dilarang untuk menyampaikan kuliah di masjid kerana tidak ada tauliah.

Semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di Kota Bharu awal Mac lalu, beliau membayangkan rasa terima kasih kepada pihak tertentu kerana halangan untuk menyampaikan kuliah di Kelantan selesai.

Penyelesaian itu terbayang dalam kata-katanya berbunyi; "kalau tidak boleh di masjid kita berceramah di futsal. Tetapi Alhamdulilah nampak orang terima kita."

Beliau dilarang kerana tidak ada tauliah. Persoalan tauliah adalah subjektif. Saya membahas mengenai hal ini untuk apa tauliah sedangkan apa dilakukan Azhar itu untuk kebaikan umum. Ribuan anak muda dan remaja yang sebelum ini jarang mendengar syarahan agama mengerumui beliau. Bukankah itu satu perkembangan yang baik?

Sehubungan itu demi memenuhi kehendak para peminatnya serta misi dakwahnya, Azhar sedia untuk 'memohon' mendapatkan tauliah walaupun perbuatan itu tidak penting sebenarnya. Tetapi kerana peraturan dan amalan terpaksa juga Azhar memohonnya seperti juga ustaz dan guru-guru lain.

Mengembangkan agama Islam, memberi ilmu kepada umat Islam dan anak-anak mudah adalah tanggung semua individu apa lagi pihak berkuasa. Justeru tauliah tidak patut dijadikan birokrasi menyulitkan keadaan.

Saya katakan Azhar tidak perlu meminta tauliah tetapi Maik seharusnya mentaulihakna beliau sebagai seorang da'i. Rasanya dalam konteks itu cara itu sebaik-baiknya.

Malangnya sehingga sekarang katanya tauliah itu masih belum diberi. Azhar sendiri sudah bersedia untuk menemui Maik bersabit urusan itu tetapi masih belum selesai. Ada soal-soal teknikal menghalang. Mulanya sudah ditetapkan syarat serta maksud pertemuan itu sekadar untuk berkenalan dan bukan diinterviu. Tetapi tarikh pertemuan itu diubah dan pertemuan itu juga bukan pertemuan biasa.

Kesulitan mendapatkan tauliah ini menyebabkan Azhar tidak boleh naik masjid di Kelantan.

Kalau kelewatan ini disebabkan kerenah birokrasi, pegawai Maik seharusnya tidak menyulitkan perkara ini. Apa lagi kalau pihak berkuasa ke atas Maik - Sultan Muhammad Ke V yang katanya diserahkan kepada Tengku Mahkota Kelantan sudah memberi green light kenapa harus disulitkan lagi. Saya bimbang permasalahan menimpa Azhar menjejaskan kemuliaan Tuankua Al Sultan dan juga Tengku Mahkota yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama.

Dalam pada itu Azhar pula sekiranya telah diberikan tauliah untuk menyampaikan syarahan dan kuliah di masjid hendaklah beliau menjaga tutur kata dan jangan sesekali membawa masuk unsur politik walaupun sekecil mana. Mislanya perkataan yang membawa konotasi kepada sindiran kepada pihak tertentu seperti JKKK, bulan dan dacing perlulah dihentikan.

Patah-patah perkataan ini sensitif kepada pihak tertentu. Saya rasa tanpa menyebut JKKK, bulan dan dacing pun beliau tetap mendapat perhatian dan diminati oleh anak-anak muda. Yang perlu disedari teknik penyampaian beliau yang popular dan selamba itu telah berjaya mendekatkan anak-anak muda ke laman masjid. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Harakah Daily

Mati dalam tandas hospital

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang doktor pelatih ditemui mati dengan keadaan muka kebi­ruan di dalam tandas Wad Pediatrik, Hospital Kajang, semalam.

Mangsa, Danny Lee, 29, ditemui tidak bergerak oleh seorang jururawat, jam 5.20 pagi, sebelum disahkan mati, 10 minit kemudian.

Menurut sumber, sebelum itu, jururawat berkenaan mencarinya kerana mangsa perlu merawat seorang pesakit.

Katanya, jururawat itu menelefonnya tetapi gagal dan terus mencari di setiap bilik sebelum menemuinya di dalam tandas berkenaan.

Menurutnya, punca sebenar kematian doktor pelatih itu sedang dikenal pasti, namun siasatan awal polis menolak wujudnya unsur jenayah.

“Kita tidak pasti apa yang berlaku kerana dia tidak pernah bercerita tentang masalah dihadapi. Dia seorang yang ceria tetapi baru-baru ini, dilihat dalam keadaan tertekan.

“Dia seorang yang baik dan prestasinya cemerlang sejak bertugas di sini,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin sepatutnya menamatkan latihan, tahun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Berdasarkan siasatan, mangsa dilaporkan menyuntik cecair ke dalam tubuhnya. Kita sedang menyiasat jenis cecair tersebut,” katanya.

Agency

Skuad lebuh raya wanita perlu perubahan segera

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SKUAD lebuh raya wanita perlu berubah andai mahu menyaingi pelumba Thailand, Indonesia dan Vietnam yang jelas punya kekuatan sendiri untuk beraksi cemerlang.

Mengambil contoh Thailand dan Vietnam yang mempunyai perlumbaan jelajah wanita berdaftar dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) perlu segera melakar pelan tindakan bagi memastikan pelumba wanita tidak tenggelam dalam aksi di peringkat Asia Tenggara.

Berdasarkan aksi pada Tour of Thailand 2012 (ToT 2012) yang berakhir kelmarin, persembahan pelumba wanita ketika menyaingi lawan dari Thailand, Indonesia dan Vietnam sekadar memuaskan.

Mohd Hardi yang dipinjamkan dari Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantu skuad trek dan lebuh raya berkata, sebagai permulaan siri jelajah wanita boleh diadakan dalam skala sederhana.

“Tidak perlu besar-besaran seperti Jelajah Malaysia atau Le Tour de Langkawi. Yang penting kita anjurkan perlumbaan jelajah seperti Thailand dan Vietnam. Secara tidak langsung, kita boleh menyediakan platform kepada pelumba wanita untuk bersaing di pentas sendiri.

“Mungkin persatuan boleh adakan jelajah dua atau tiga peringkat melibatkan dua atau tiga negeri berdekatan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Omar Saad berkata, sudah tiba masa MNCF mengenal pasti beberapa pelumba seperti Masziyaton Mohd Radzi dan Zahraa Anuawar.

Sinar Harian

Pelan U Mobile serendah RM28

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) menawarkan telefon pintar terkini HTC One X dan HTC One V dengan kombinasi pelan pasca bayar terbaik dalam negara serendah RM28 sebulan.

Pelanggan U Mobile boleh menikmati peranti itu dengan pelan suara, khidmat pesanan ringkas (SMS), perkhidmatan data dalam satu pelan tunggal, dan didatangkan dengan panggilan percuma serta SMS bagi semua rangkaian operator.

Selain pelan U28 yang disasarkan kepada eksekutif muda, U Mobile turut menawarkan pelan U58 (RM58) sebulan bersama data 2GB dan 300 minit panggilan percuma.

HTC One X dikuasai dengan ‘Android Ice Cream Sandwich’ ditawarkan dengan harga serendah RM1,359.

Manakala, HTC One V ditawarkan dengan harga RM389, kini boleh diperoleh di mana-mana pengedar U Mobile.

Sinar Harian

Warga KL turut rasa gegaran

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Lebih 100 kakitangan sebuah menara syarikat telekomunikasi di Jalan Tun Razak, di sini panik dan terkejut apabila berlaku gegaran di bangunan tersebut kesan daripada gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Ketika kejadian pada jam 5 petang itu, semua yang berada di dalam bangunan berkenaan bergegas turun dan berkumpul di luar.

Situasi panik itu dikongsi oleh salah seorang kakitangan, Mohd khairul Izani Othman, 29, yang ketika itu berada di tingkat 10 bangunan terbabit.

Menurutnya, dia merasai sendiri gegaran yang berlaku sekitar 30 saat itu dan bertanya kepada rakan sekerja sama ada turut merasainya.

“Ketika itu sudah terasa pening dan kami beramai-ramai turun menggunakan lif. Apabila sampai di bawah, ramai sudah berkumpul.

“Perasaan takut itu ada kerana ini pengalaman pertama saya setelah lima tahun bekerja di sini. Saya tidak merasainya ketika gegaran pada 2007,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang pekerja di bangunan itu, Dwi Astuti Rahmat, 25, yang juga warganegara Indonesia berkata, lima minit selepas merasai gegaran tersebut, dia mendapat perkhabaran daripada rakannya di Indonesia bahawa berlaku gempa bumi yang mana amaran Tsunami dikeluarkan.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama rakan-rakan lain adalah antara yang terawal turun dan keluar dari bangunan.

“Saya sudah biasa merasai gegaran ketika berada di Indonesia kerana itu saya tersedar awal bahawa gegaran sedang berlaku,” katanya.

Aizura Mohd Atan, 29, pula berkata, beberapa susulan gegaran dirasai ketika dia sedang berada di tingkat 10 bangunan tersebut.

“Ketika itu saya sedang bekerja seperti biasa, tiba-tiba terasa berbuai dan pening. Disebabkan saya ada pengalaman merasai gegaran, saya bersama seorang rakan saya yang sedang mengandung bergegas turun ke bawah,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Chow Kit turut berada di lokasi kejadian bagi memastikan tahap keselamatan bangunan tersebut.

Difahamkan gegaran yang berlaku di menara berkenaan antara terburuk berlaku di sekitar ibu negara apabila berlangsung sekitar tiga hingga lima minit.

Pasukan Bomba dan penyelamat turut berada di lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan keselamatan.

Sinar Harian

Tukang urut dicekup

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seramai 13 wanita warga asing termasuk remaja bawah umur yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan di sebuah pub dan pusat refleksologi di Bandar Mahkota, Cheras, kelmarin.

Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor yang diketuai Asisten Superintendan Adzli Abu Shah itu dijalankan jam 10.45 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan di pub, pihaknya menahan lapan GRO warga Vietnam berusia 17 hingga 30 tahun, yang sedang sibuk melayan lima pelanggan mereka.

“Pemeriksaan mendapati empat daripada wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara, dua dikesan tiada dokumen pengenalan diri dan dua lagi hanya mempunyai slip daftar kemasukan.

“Semakan menunjukkan premis terbabit beroperasi sejak lima tahun lalu, selain lesen juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Adzli berkata, siasatan menunjukkan tiada khidmat seks ditawarkan di premis itu, namun polis percaya semua GRO terbabit ada menawarkan perkhidmatan itu di luar premis, tanpa pengetahuan pengurus pub bagi mencari duit lebih.

Menurutnya, seorang penjaga premis lelaki berusia 22 tahun turut ditahan dalam operasi itu kelmarin.

Dalam operasi berasingan di pusat refleksologi pula, Adzli berkata, lima tukang urut terdiri daripada tiga wanita Thailand dan dua warga Laos dicekup.

Beliau berkata, semua wanita berusia antara 24 hingga 44 tahun itu sedang asyik mengurut lima pelanggan mereka, manakala tiga lagi pelanggan lain sedang menunggu giliran untuk diurut.

“Siasatan awal dapati semua tukang urut tidak memiliki permit kerja itu, kerap keluar masuk negara menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita tahan seorang lelaki tempa­tan berusia 30 tahun yang juga merupakan penjaga premis,” katanya.

Adzli berkata, semua yang ditahan termasuk lima pelanggan di pusat ref­leksologi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kajang untuk tindakan lanjut dan siasatan dibuat mengikut kesalahan menggaji pekerja tanpa permit.

Sinar Harian

Gambar palsu tersebar di Twitter

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Pengguna laman blog mikro, Twitter seakan berlumba-lumba menyebarkan maklumat bergambar mengenai kesan gempa di Aceh.

Bagaimanapun, keghairahan memuat naik gambar itu akhirnya terbongkar berikutan kebanyakan foto tersebut sebenarnya dihasilkan menggunakan teknik penindihan imej gempa terdahulu.

Kebanyakan gambar itu menunjukkan jalan raya terbelah dan rumah musnah teruk akibat kesan gempa 8.5 skala Ritcher tersebut.

Sinar Harian