12 April 2012

Warga KL turut rasa gegaran

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Lebih 100 kakitangan sebuah menara syarikat telekomunikasi di Jalan Tun Razak, di sini panik dan terkejut apabila berlaku gegaran di bangunan tersebut kesan daripada gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Ketika kejadian pada jam 5 petang itu, semua yang berada di dalam bangunan berkenaan bergegas turun dan berkumpul di luar.

Situasi panik itu dikongsi oleh salah seorang kakitangan, Mohd khairul Izani Othman, 29, yang ketika itu berada di tingkat 10 bangunan terbabit.

Menurutnya, dia merasai sendiri gegaran yang berlaku sekitar 30 saat itu dan bertanya kepada rakan sekerja sama ada turut merasainya.

“Ketika itu sudah terasa pening dan kami beramai-ramai turun menggunakan lif. Apabila sampai di bawah, ramai sudah berkumpul.

“Perasaan takut itu ada kerana ini pengalaman pertama saya setelah lima tahun bekerja di sini. Saya tidak merasainya ketika gegaran pada 2007,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang pekerja di bangunan itu, Dwi Astuti Rahmat, 25, yang juga warganegara Indonesia berkata, lima minit selepas merasai gegaran tersebut, dia mendapat perkhabaran daripada rakannya di Indonesia bahawa berlaku gempa bumi yang mana amaran Tsunami dikeluarkan.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama rakan-rakan lain adalah antara yang terawal turun dan keluar dari bangunan.

“Saya sudah biasa merasai gegaran ketika berada di Indonesia kerana itu saya tersedar awal bahawa gegaran sedang berlaku,” katanya.

Aizura Mohd Atan, 29, pula berkata, beberapa susulan gegaran dirasai ketika dia sedang berada di tingkat 10 bangunan tersebut.

“Ketika itu saya sedang bekerja seperti biasa, tiba-tiba terasa berbuai dan pening. Disebabkan saya ada pengalaman merasai gegaran, saya bersama seorang rakan saya yang sedang mengandung bergegas turun ke bawah,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Chow Kit turut berada di lokasi kejadian bagi memastikan tahap keselamatan bangunan tersebut.

Difahamkan gegaran yang berlaku di menara berkenaan antara terburuk berlaku di sekitar ibu negara apabila berlangsung sekitar tiga hingga lima minit.

Pasukan Bomba dan penyelamat turut berada di lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan keselamatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: