20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno-BN akan gagal di lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Ramalan Tun Daim tersebut benar-benar menjadi realiti dan ketika bibit-bibit PRU13 mula jelas kelihatan, Tun Daim sekali lagi membuat ramalan.
Pada kali ini Tun Daim meramalkan Umno-BN hanya boleh menang selesa di tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Melaka.
PAS akan terus kekal di Kelantan, DAP kekal di Pulau Pinang, PAS mungkin akan kehilangan Kedah, sementara pertarungan sengit bakal berlangsung di Selangor dan Perak.
Ramalannya kali ini tentunya mendapat lebih perhatian berbanding ramalan sebelumnya.
Pada PRU12, Pembangkang kelihatan begitu lemah selepas kalah teruk pada PRU11 pada tahun 2004.
PAS hanya kekal dengan majoriti 1 kerusi di Kelantan, hilang Terengganu. PKR pula hanya bertahan dengan tinggal satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang pauh.
Hanya DAP yang mampu bertahan dan menambah kerusi.
Pembangkang pula tidak membentuk suatu gabungan untuk menentang kerajaan.
Oleh itu, tiada siapa yang mengambil berat ramalan Tun Daim ketika itu.
Berbeza pada kali ini, ramalan Tun menjadi kajian dan perhatian kerana, pembangkang telah pun membentuk suatu pakatan yang kuat selepas kejayaan besar pada PRU12 lalu.
Tun Daim mahu pun pembangkang sedar bahawa cita-cita atau fantasi untuk menawan Putra Jaya bukanlah semudah menyebut A,B, dan C. halangan terbesar kepada kemenangan pembangkang ialah pilihan raya yang lebih bersih dan adil.
Jika perkara ini dapat dilaksanakan, tidak mustahil ramalan Tun Daim itu menjadi realiti.
Sehingga kini tiada tanda-tanda yang jelas bahawa akan wujud suatu suasana pilihan raya yang bersih dan adil.
Maka jawapan bagi itu Bersih 3.0 akan diadakan. Benar, himpunan itu tidak akan mengubah apa-apa dan Umno-BN boleh memekakkan sahaja telinga.
Namun, perhimpunan itu penting bagi mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat ketika PRU13 selewat-lewatnya diadakan awal tahun depan apabila cukup tempoh penggalnya.
Bagi pihak kerajaan Umno-BN pula, ramalan Tun Daim dan suasana semasa pula membuatkan mereka lebih peka dan waspada, di samping mengatur strategi bagi memastikan kemenangan dalam PRU13 nanti.
Ramalan seperti ini mahupun pelbagai ramalan lain akan dilihat dalam bentuk pro dan kontra. Dari segi perang psikologi dan perang persepsi, ramalan seperti ini penting dalam mewujudkan suatu gelombang dan mood emosi rakyat.
Kedua-dua belah pihak – kerajaan dan pembangkang amat arif tentang hal ini.
Apatah lagi dalam kepesatan dunia tanpa sempadan, dari segi penyebaran maklumat, setiap kata-kata dan pernyataan akhbar amat penting dan perlu dilakukan secara berhati-hati agar dapat disusun mengikut kehendak permainan setiap pihak.
Secara fantasinya, Pakatan Rakyat (PR) nampak mudah untuk menawan Putra Jaya jika berjaya menggembelingkan segala isu ini dan memastikan segala maklumat ini dilontarkan secara tepat kepada rakyat.
Umno-BN pastinya tidak duduk dan hanya memerhati segala yang berlaku. Perlu diingat, mereka mempunyai akses media yang tiada had, menguasai semua jabatan kerajaan, dan boleh menggunakan mana-mana dana awam mengikut kesesuaian dan keperluan.
Ramalan Tun Daim ini merupakan suatu kesempatan yang baik kepada pembangkang kerana menambahkan lagi gelombang yang telah ada seperti isu NFC, PTPTN, Felda, Lynas, dan PPSMI.
Gelombang ini dihangatkan melalui Bersih 3.0 agar sampai ke tahap tsunami. Jika ini berlaku tiada apa yang dapat menyelamatkan Umno-BN daripada kekalahan.
Dalam catatan sejarah, mana-mana kerajaan dan tamadun besar pun, mereka akhirnya akan runtuh menyembah bumi apabila tsunami kebangkitan rakyat berlaku.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan