20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU, 12 April: Kerajaan Negeri mesti menggunakan budi bicara bagi menyelesaikan masalah yang ada kaitan dengan tanah di negeri ini kerana urusan berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Dalam konteks projek perumahan terbengkalai yang begitu banyak berlaku di negeri ini, Kerajaan Negeri juga berperanan memastikan projek-projek tersebut berjalan lancar agar pembeli tidak teraniaya.
Walaupun lesen pemaju dikeluarkan Kerajaan Pusat tetapi proses kelulusan tanah bagi setiap projek perumahan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri maka dengan kuasa yang ada ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhny untuk memastikan pemaju melaksanakan projek mengikut jadual ditetapkan.
Demikian ditegaskan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya, Dzulkefly Ahmad, pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi aman bersama sebahagian pembeli projek perumahan Bandar Pulai Jaya Gelang Patah, dekat sini, 7 April lalu.
Selanjutnya menurut beliau, isu yang sama juga banyak berlaku di Selangor di zaman pemerintahan Kerajaan BN tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertindak proaktif sebagai orang tengah antara pemaju dan pembeli sehingga akhirnya satu demi satu projek perumahan yang terbengkalai sebelum itu dapat dipulihkan dengan jayanya.
“Langkah drastik yang diambil Kerajaan Selangor menangani perumahan terbengkalai di negeri berkenaan telah berjaya dilakukan dalam suasana ‘menang menang’ yang mana kedua-dua pihak pemaju dan pembeli mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama, jadi apa salahnya Kerajaan Johor mencontohi kaedah yang digunapakai Kerajaan Selangor menangani projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini,” kata beliau.
Hadir sama pada sidang media ini Pengerusi Persatuan Pembeli, Ainol Adnan serta kira-kira 100 pembeli rumah berkenaan.
(Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini)
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan