28 Mei 2012

Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar

7 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai
lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.

Sinar Harian

Lin Dan: Pertemuan dengan Liew Darren paling menarik

7 Rejab 1433H. [MOD] -

LIN Dan menyifatkan pertemuan beliau dengan pemain muda dari Malaysia, Daren Liew sebagai paling menarik baginya pada kejohanan badminton berpasukan lelaki Piala Thomas, yang diadakan di sini sepanjang minggu ini.

Perseorangan nombor dua dunia itu berkata beliau menghargai peluang menentang pemain muda seperti Liew yang pada pendapatnya berpotensi untuk pergi lebih jauh jika diberi lebih banyak pendedahan.

"Pihak media hanya memberi tumpuan kepada (Datuk) Lee Chong Wei sedangkan masih ramai lagi pemain muda yang patut diberi perhatian.

"Mereka (pemain muda) perlu diberi lebih banyak peluang beraksi dan membuktikan kebolehan mereka, dengan cara ini barulah ada harapan dalam arena sukan badminton," katanya kepada pihak media selepas pusingan akhir kejohanan itu di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan hari ini.

Dalam perlawanan itu, Lin Dan menewaskan Lee Hyun Il dari Korea Selatan 21-14, 21-17 bagi meraih mata pertama China.

China menang 3-0 ke atas Korea Selatan sekaligus merangkul kejuaraan kali sembilan piala berprestij itu.

Menjelang Olimpik London Julai ini, Lin Dan berkata beliau akan memberi fokus pada setiap pesaingnya dan bukan hanya perseorangan nombor satu dunia Chong Wei.

"Kebanyakan lawan saya bermain lebih tenang. Walaupun mereka mendapat satu mata mereka telah menganggap itu sebagai satu kelebihan buat mereka.

"Bagaimanapun saya tidak boleh leka, saya harus memberi perhatian kepada setiap lawan dan saya harap dapat bermain dengan baik di Olimpik seperti pada tahun 2008," katanya yang telah meraih emas pada Olimpik 2008 di Beijing.

Juara dunia empat kali itu turut menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa beliau tidak menunjukkan persembahan terbaik pada kejohanan Piala Thomas ini dan sedang menyimpan kekuatan sebenarnya untuk Olimpik.

Ini kerana beliau tidak memenangi perlawanan dengan jarak mata yang jauh selain diberi tentangan sengit oleh pihak lawan

"Saya tidak peduli sama ada saya menang mudah atau sukar, yang penting adalah kemenangan.

"Pemain-pemain negara lain juga tidak takut menentang pasukan China dan walaupun itu memberi tekanan pada saya, saya tetap akan melakukan yang terbaik dan bermain dengan kekuatan sebenar. Ini adalah cara saya menghormati pihak lawan," kata atlet berusia 29 tahun itu. - Bernama

Sinar Harian

27 Mei 2012

Pertarungan sengit Ikhwan dengan 'feloul' Mubarak

6 Rejab 1433H. [MOD] -
Dr Syed Azman, 26 Mei 2012

KAHERAH: Tempoh pengiraan undi bagi daerah mengundi di seluruh Mesir tamat pada jam 2 petang Jumaat semalam. Pada jam 10 malam semalam, proses pengiraan undi bermula. Proses pengiraan pada keseluruhannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar dan ia di kawal-selia oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding dibenarkan menyelia peti undi di sepanjang tempoh pengundian.


(Gambar: Penulis bersama Dr Waleed El-Hadad, jurucakap Hal Ehwal Luar Ikhwan.)

Keputusan tidak rasmi yang di keluarkan setakat ini menunjukkan calon parti Huriyyah Wal-Adalah (FJP), Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi akan bersaing dengan Ahmed Shafiq bekas Perdana Menteri yang juga bekas komander tentera udara ketika pemerintahan Hosni Mubarak, di pusingan kedua yang akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun ini.

Adalah dianggarkan lebih 50 peratus penduduk Mesir telah keluar mengundi di kalangan 50 juta pengundi yang layak berbuat demikian walaupun Suruhanjaya Pilihanraya belum menyiarkan angka rasmi. Bagi keputusan tidak resmi, Dr. Mohamad Morsi dianggarkan telah memperolehi 27.8% undi, Ahmad Syafik memperolehi 24.6% undi dan di ikuti oleh Hamdeen Sabahi, tokoh berhaluan kiri 18.3% undi dan Dr. Abul Futouh dengan 17.6%. undi. Calon yang banyak mendapat sokongan kuasa Barat Amar Mousa jauh ketinggalan dengan hanya mendapat kurang dari 10% undi.

Semasa penulis menziarahi markas parti Huriyyah Wal-Adalah (FJP), Ikhwan Muslimin yang terletak di tengah-tengah kota Kairo, suasana penyokong Ikhwan nampaknya amat ceria dan rata-rata menyatakan bahawa mereka kini cukup bersedia untuk menghadapi pilihanraya Presiden pusingan kedua ini. Kesempatan ini juga di ambil untuk bertemu dan berbincang dengan Dr. Waleed El-Haddad, jurucakap Hal ehwal luar Ikhwan Muslimin dan Dr. Ahmed Hamdy, jurucakap resmi parti FJP.

Sementara itu, Calon Ikhwan dari FJP, Dr. Mohamad Morsi turut menyatakan bahawa FJP kini bersedia untuk memimpin rakyat Mesir kearah politik baru bagi membangun masadepan Mesir yang lebih adil. Beliau turut mempertegaskan bahawa rakyat Mesir mesti menolak calon 'feloul' Ahmed Syafik yang terlibat secara langsung dalam jenayah kekejaman sepanjang pemerintahan rejim Mubarak dan turut menjadi sebahagian dari pimpinan rejim Mubarak.

Lebih menggembirakan lagi apabila Dr. Moneim Abul Futouh yang merupakan bekas pimpinan Ikhwan Muslimin dalam ucapan awal setelah menerima keputusan kekalahan telah secara terbuka menyeru rakyat Mesir agar memberi sokongan penuh kepada calon FJP Dr. Mohamad Morsi. Dr. Abul Futouh juga mahukan rakyat Mesir menolak terus calon 'Feloul' Ahmed Syafik yang di lihat merupakan rangkaian rejim Mubarak dan tangan beliau penuh dengan darah-darah kekejaman terhadap para pejuang kebangkitan rakyat Mesir.

Ya, keputusan tidak resmi ini yang meletakkan calon Ikhwan Dr. Mohamad Morsi berhadapan dengan calon ‘Feloul’ Ahmad Syafik di jangka akan berlangsung sengit. Libih-lebih lagi Ahmed Syafik disokong penuh oleh pihak tentera dan saki-baki penyokonhg Mubarak serta Kuasa Besar Barat dan sekutunya Israel. Mereka akan menggunakan apa cara sekalipun bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka akan menang dalam pilihanraya ini terutamanya bagi menjamin ‘keselamatan’ Israel’ serta perjanjian ‘Camp David’ yang termeterai antara Israel dengan mesir semasa pemerintahan rejim Anwar Sadat dan Mubarak.

Keputusan resmi penuh hanya akan di umumkan pada Selasa depan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Saya yakin Mesir selepas kejatuhan rejim zalim Mubarak akan terus berubah dengan “Kuasa rakyat’ akan terus memimpin. Masa depan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam adalah cerah setelah kemenangan awal calon Ikhwan Muslimin. Kemenangan Ikhwan ini jugalah akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada Pas bagi menghadapi PRU -13 akan datang di negara kita Malaysia.


Susilo seru menteri berjimat

6 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA 26 Mei - Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meminta menteri-menteri kabinet berjimat cermat dalam mana-mana lawatan kerja rasmi dengan turut serta dalam rombongan Presiden dan tidak pergi bersendirian.

Susilo menyampaikan nasihat itu ketika berucap merasmikan koordinasi dan pemaparan Gabenor Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Yogyakarta di Gedung Agung Yogyakarta, Yogyakarta semalam.

Ucapan tersebut dibuat selepas Susilo mendapati ada sejumlah menteri yang mengiringi kunjungan beliau ke Yogyakarta tidak turut serta bersama rombongannya.

“Khusus untuk rombongan dari Jakarta, saya menyeru pemimpin supaya menaiki pesawat yang sama dengan saya. Ini akan menjimatkan kos dan lebih efisien," katanya.

Dalam ucapan itu, beliau turut menasihatkan menteri-menteri agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan penginapan milik kerajaan untuk didiami saat berkunjung ke luar daerah tanpa perlu menghabiskan duit sendiri membayar hotel.

Lapan terbunuh letupan di kantin universiti

6 Rejab 1433H. [MOD] -

ALGIERS 27 Mei - Sekurang-kurangnya lapan terkorban semalam termasuk seorang wanita 57 tahun manakala 40 cedera dalam satu kejadian letupan gas yang berlaku di sebuah kantin universiti di kota raya ini.

Dalam kejadian tersebut, letupan berlaku ketika semua mahasiswa sedang makan di kantin universiti berkenaan yang terletak di Tlemcen kira-kira 540 kilometer barat Algiers.

Menurut pengarah Pertahanan Awam, kira-kira 90 kakitangan dan empat doktor dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa sebelum dipindahkan ke hospital berdekatan di Tlemcen. - AFP

Ramai penjawat awam tidak mampu miliki rumah sendiri: CUEPACS

6 Rejab 1433H. [MOD] -

MACHANG: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutama di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan CUEPACS, Jaapar Mansor, berkata fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

"Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus," katanya di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi CUEPACS Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

"Walaupun ia bukan tuntutan utama CUEPACS namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu," katanya.

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan ahlinya.

Sementara itu, beliau berkata, CUEPACS mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri 8 Mac lalu.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB). - BERNAMA

Perlawanan persahabatan : England menang 1-0.


6 Rejab 1433H. [MOD] -PEMAIN Norway, Vadim Demidov (kanan) bersaing untuk mendapatkan bola daripada pemain England, Andy Carroll dalam perlawanan persahabatan di Oslo, pagi ini. England menang 1-0. - Foto EPA

26 Mei 2012

Terima Kasih Utusan!

5 Rejab 1433H. [MOD] -

Tabung Pilihanraya PAS Shah Alam

Friday, May 25, 2012

Terima Kasih Utusan!
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kerana menjadi penyumbang terbanyak kepada Tabung Pilihanraya PAS Shah Alam setakat ini iaitu sebanyak RM60,000. Pihak kami juga sedang mengusahakan sumbangan dari YB Hamidah (Perak) dan Novandri (Penang), yang mana kes tersebut akan didengar tidak lama lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Berkaitan: Mahkamah rayuan kekalkan keputusan, Utusan diarah bayar Khalid Samad

Amukan 'yob pasior' londeh pekung busuk Umno

5 Rejab 1433H. [MOD] -

Isunya hanyalah berpunca daripada orang kuat Umno, yang mengamuk kerana tidak dapat projek pasir. Dalam loghat Perak pasir disebut 'pasior'.

Di Selangor suatu ketika, Umno cuba memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu pasir, tetapi gagal. Akhirnya mereka hanya menjadi 'beruk-beruk yang menggoyangkan pokok', seperti kata Khairy Jamaluddin satu ketika dulu.

Umno jadi malu, apabila seorang pengusaha pasir yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kampar, Zamhuri Md Zin, mengamuk memaki hamun Umno dan kerajaan BN Perak, pimpinan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir.

Zamhuri marah kerana sokongannya kepada Umno selama hampir tiga dekad, tidak memudahkan beliau mendapat projek pasir.

Jadi, untuk melepaskan geram, beliau marahkan kerajaan negeri Perak dan berlakon konon-kononnya memarahi Zambry menerusi telefon, walaupun dikhabarkan, akhirnya pecah rahsia, beliau sekadar berlakon dan bukannya menghubungi Zambry pun.

Apa pun, Zamhuri layak digelar 'Yob Pasior' oleh rakyat Perak kerana begitu lantang menuntut projek pasir.

Ceritanya, beberapa hari selepas mengamuk memaki hamun partinya, isytihar keluar daripada Umno dan mengisytihar diri menyokong DAP, Zamhuri kembali memohon maaf kepada seluruh kepimpinan Umno di atas tindak tanduk beliau.

Kedua-dua video mengenai amukan dan permohonan maaf Zamhuri, boleh dimuat turun menerusi laman Youtube.

Soal mengapa beliau memohon maaf dan kembali kepada Umno, apa benda yang beliau dapat, hanya beliau yang tahu.

Namun, seperti kebanyakan penyangak-penyangak Umno lain, mereka bergaduh sesama sendiri dalam Umno-BN, Pakatan Rakyat pula yang menjadi 'ulam' , untuk dipersalahkan.

Teman menyentuh mengenai Zamhuri, bukan kerana hendak membalas keceluparannya, bukan juga kerana bencikan beliau.

Tetapi bagi teman, beliau adalah jelmaan manifestasi pelaksana, pendukung dan pemimpin Umno yang hipokrit, hidup mereka hanya mengejar projek, dengan menyandarkan perjuangan atas nama Melayu-Islam. Orang Perak kata spesies 'mangkuk hayun' macam inilah yang harus ditolak rakyat.

Zamhuri adalah bukti, mereka-mereka dalam Umno, bukan pejuang Melayu tulen. Mereka adalah insan haprak yang merebut kuasa untuk kepentingan diri, mengumpul sebanyak mana kekayaan dengan amalan rasuah yang amat jijik.

Zamhuri bukan calang-calang orang di Perak. Selain Naib Ketua Pemuda bahagian, beliau juga Ketua Cawangan dan Bendahari Pilihan Raya Umno Kampar.

Lagi hebat, beliau adalah kakitangan kerajaan dengan Gred N48. Satu lagi persoalan yang timbul, inilah dia kerja Umno, menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mendapatkan projek pasir dan lain-lain.

Boleh atau tidak kakitangan kerajaan berniaga dan mendapat projek dari kerajaan? Beliau harus disiasat nama syarikat dan dibongkar apa kepentingannya dan dalam konteks ini, boleh disabitkan dengan penyalahgunaan kuasa dan kepentingan.

Jika beliau menyalahgunakan kuasa, Zamhuri boleh dianggap lebih kurang macam perangai Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang terbabit dalam skandal NFC. Caranya sama, amaun saja berbeza.

Jika kita melihat amukannya di laman Youtube Jumaat lalu, Zamhuri dengan loghat pekat Peraknya mengamuk selama lebih tujuh minit. Dengan jelas Zamhuri sendiri yang meminta amukkannya dimasukkan ke dalam Youtube.

Zamhuri ketika itu, mengisytiharkan keluar daripada Umno setelah lebih 27 tahun bersama parti itu dan menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Zamhuri berkata, tindakan tersebut diambil kerana parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang Melayu dan tidak lagi relevan.

Jelas suaranya, memaki hamun beberapa orang yang cuba memujuknya, termasuk Setiausaha Umno Bahagian Kampar, Zainal Abidin Selamat yang berada di situ.

Termasuk yang menjadi mangsa hamunannya ialah Ketua Umno Bahagian Kampar, Dato' Mohd Radzi Manan, yang dikatakan cuba memujuk beliau.

Jelas di laman Youtube apabila telefon bimbitnya berdering (dipercayai dari Dato' Radzi), Zamhuri mengamuk sambil menjawab telefon dengan mengatakan:

"Dato' Radzi telefon aku. Saya tekad hari ni Dato', apa jadi pun hari ni saya tekad..hidup DAP. Dato' kerajaan Umno-BN tak boleh tolong orang Melayu baik masuk parti lain Dato'."

Selepas Zamhuri mencampakkan telefon ke atas meja, sambil dipujuk beberapa orang. Zamhuri tidak mempedulikan mereka.

Disambung amukannnya, "Ha tengok sampai seluruh Perak menelefon. Baru nak menolong. Nak bagi rasuah baru dapat, nak menyembah rupe (serupa) ini..ha tolong aaa (menyembah cara Cina beribadat)," laungnya, dalam loghat Perak yang pekat.

"Ini semua rasuah. Nak kawteem, nak ajak karaoke, nak ajak makan, nak bagi rasuah, nak bagi amoi, aku kabo ke kome (beritahu kamu), nak bawa (amoi) dari Siam baru seronok hati

"Minta cara betul semua tak boleh, nak sogok baru boleh," tibai Zamhuri.

Malah beliau melaungkan takbir seraya berkata, "Allahu akbar! Saya sokong tukar kerajaan, Allahu akbar!

Hahaha..itulah drama pendek pencacai Umno yang berjaya melondehkan imej kotor, jijik dan nista Umno di Perak, dan juga di seluruh negara.

Orang kata morale of the story, kalau nak dapat projek kerajaan Umno, mesti bagi rasuah duit dan betina.

Kepada orang Perak, eloklah deme pikior balik daripada menyokong Umno ni. Teman idak le menuduh ape-ape, yang menuduh Umno jahat, kaki rasuah, kaki betine dan menyundal ni adalah Zamhuri si yob pasior.

Ate..itulah kerojenya deme tu. Gune nama Melayu-Islam, tapi menyundal dari 'atas perut hingga ke bawah perut.' Kongkali kong betul.

Umno Perak, silalah.. ambillah Zamhuri balik, Pakatan Rakyat tak sior (mahu) pun dia, teman tak semawa, dia yang terkinja-kinja. Alahai yob, 'nasi dah jadi bubur.'

harakahdaily/-

Mayat bayi dalam periuk

5 Rejab 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Sepasang suami isteri yang panik mencari anak hilang, terkejut dan bingung apabila anaknya ditemui dalam periuk di rumah mereka di Kampung Sri Ladang, Rengit, Jumaat lalu dalam keadaan tidak bernyawa.

Bayi malang berusia dua bulan itu, Asyraful Iskandar Mohd Noor, ketika ditemui polis, berada dalam periuk dalam kabinet dapur.

Bapa bayi itu, Mohd Noor Salleh, 58, berkata, pada hari kejadian jam 8 pagi, Iskandar tidur dalam buaian, malah dia sempat menjenguk anaknya sebelum keluar ke klinik.

"Pagi itu, sebelum ke Klinik Kesihatan Sri Merlong untuk ambil ujian tekanan darah, saya sempat menjenguk Iskandar.

“Bagaimanapun, sewaktu pulang ke rumah sejam kemudian, jenayah Mohd Noor menunjukkan kabinet di mana mayat bayinya, Asyraful Iskandar ditemui dalam sebuah periuk. isteri kelam-kabut memberitahu Iskandar hilang dari dalam buaiannya," katanya.

Menurut Mohd Noor, isterinya, Zarinah Dahalan, 42, memberitahu, dia sedang membuai Iskandar dan bangun meninggalkan bayi itu seketika untuk memasak.

"Apabila isteri saya kembali ke buaian, dia lihat Iskandar tiada di situ," katanya.

Mohd Noor lantas memaklumkan kepada jiran untuk sama-sama mencari anaknya.

"Puas saya bertanya dengan semua jiran dan mencari Iskandar di merata-rata tempat, namun tidak berhasil.

"Setelah menemui jalan buntu, saya buat laporan berhubung kehilangan Iskandar di Balai Polis Rengit pada hari sama jam 11 pagi," katanya

Menurutnya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kemudian tiba di rumah sebelum memeriksa setiap bahagian.

“Semasa pemeriksaan lanjut dibuat, polis menemui Iskandar dalam periuk yang diletakkan dalam kabinet di bahagian bawah ruang dapur.

“Ketika itu bayi kami sudah meninggal dunia. Mayat Iskandar dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, beliau mengesahkan kejadian berkenaan.

“Berdasarkan bedah siasat pada mayat Iskandar, tiada kesan mencurigakan ditemui dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Zarinah ketika ditemui Sinar Harian masih lagi trauma dan enggan ditemu ramah. Iskandar, anak bongsu pasangan berkenaan mempunyai seorang lagi abang berusia 15 tahun, namun dia tidak berada di rumah pada masa kejadian
kerana berada di sekolah.

Jenazah Iskandar selamat dikebumikan pada keesokan harinya.

sinar harian/-

Calon Ikhwan tunggu lawan pusingan ke-2 pilihan raya

5 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, layak ke pusingan kedua pilihan raya presiden Mesir, menurut keputusan awal pilihan raya pertama Mesir, semalam.

Beliau kini menunggu pencabarnya bagi pengundian pusingan ke-2 antara bekas Perdana Menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak, Ahmed Shafiq atau Hamdeen Sabahi, tokoh berhaluan kiri.

Menjelang tengah hari semalam, proses pengiraan undi selesai di 20 daripada 27 wilayah negara itu walaupun pekerja masih mengumpul kertas undian daripada bandar raya terbesar Mesir, Kaherah dan Giza serta Iskandariah.

Morsi mendahului dengan 28 peratus undian setakat ini, menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, yang mengumpulkan laporan daripada alat pengiraan. Ia berkemungkinan melayakkan beliau memasuki pusingan kedua.

Namun, persaingan untuk tempat kedua masih sengit. Shafiq memperoleh 21 peratus undian setakat ini, manakala calon Sabahi, mendapat 20 peratus. Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan berkata Shafiq akan menentang Morsi dalam pusingan kedua.

Sabahi, yang menyifatkan dirinya sempena nasionalis, ideologi sosiologi bekas Presiden Gamal Abdel-Nasser, muncul sebagai calon kejutan dalam pengundian selama dua hari itu.

Dalam pelbagai kiraan bebas yang dibuat, calon sederhana, Abdel-Moneim Abolfotoh yang dilihat sebagai seorang lagi calon alternatif, di tempat keempat dan bekas Menteri Luar, Amr Moussa, di tangga kelima.

Akhbar melaporkan, 50 peratus penduduk keluar mengundi di kalangan 50 juta pengundi yang layak berbuat demikian walaupun suruhan jaya pilihan raya belum menyiarkan angka rasmi.

Pusingan kedua akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun ini, menyaksikan persaingan dua calon teratas daripada pusingan pertama pilihan raya yang diadakan kelmarin dan Rabu lalu. Pemenang akan diumumkan pada 21 Jun. – AP

Habis satu badan digigit

5 Rejab 1433H. [MOD] -

TRAUMA...Heng (tengah) dan anggota keluarga kanak-kanak terbabit menenangkan mangsa di HRPB, semalam.

IPOH: Perbuatan zalim seorang ibu mendera anak perempuan berusia dua tahun dengan menggigit seluruh tubuh dan kaki mangsa hingga dipenuhi parut serta lebam terbongkar apabila bapanya yang berusia 49 tahun membawa mangsa ke klinik berhampiran Ahad lalu bagi mendapatkan rawatan selepas mendapati rambut anaknya itu gugur tanpa sebab.

Mangsa yang tinggal di Chui Chak di Langkap, Teluk Intan, diseksa ibunya yang juga suri rumah warga Vietnam berusia 25 tahun yang turut dipercayai menumbuk dan mencucuh tubuh mangsa dengan objek panas.

Suspek sengaja menyorokkan kecederaan mangsa dengan memakaikan anaknya itu pakaian labuh.

Difahamkan, bapa mangsa seorang pekebun sayur bimbang jika anak bongsunya itu menghidap penyakit berbahaya sebelum masalah itu dirujuk ke klinik kesihatan berdekatan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati seluruh tubuh mangsa dipenuhi kesan lebam baru dan lama yang dipercayai didera dengan teruk.

metro/-

Kempen bantah pakai seksi di UAE

5 Rejab 1433H. [MOD] -

Seorang pelancong asing yang memakai bikini berdiri berhampiran sepasang rakyat tempatan yang berpurdah di sebuah pantai di Dubai, pada 21 Mei lalu. - AFP
ABU DHABI 25 Mei - Dua wanita tempatan mencetuskan fenomena tersendiri apabila mewujudkan kempen secara dalam talian bagi menentang wanita berpakaian seksi di khalayak awam di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Hanan al-Rayyes dan Asma al-Muheiri berkata, mereka melancarkan 'kempen kod berpakaian UAE' bagi menyemarakkan rasa hormat kepada budaya tempatan di kalangan orang luar dan meningkatkan kesedaran mengenai apa yang dimahukan penduduk di sini mengenai sikap serta etika berpakaian.

Dua wanita itu tidak bersetuju seandainya penduduk yang berasal dari negara Barat dan berjuta-juta pelancong yang mengunjungi UAE setiap tahun berpakaian terdedah serta bercium di khalayak awam, yang bertentangan dengan budaya dan ajaran Islam.

"Saya pernah melihat ada wanita di kompleks membeli-belah memakai seluar pendek dan dia kelihatan sangat tidak sopan," kata Asma dan Hanan yang melancarkan kempen tersebut dalam laman Twitter, bulan lalu.

Menurut mereka, papan notis di pintu masuk ke kompleks di negara ini biasanya memberi amaran kepada pelawat agar berpakaian sopan, namun garis panduan tersebut sering diabaikan.

Asma berkata, beliau pernah melaporkan mengenai sikap seorang wanita yang berpakaian seksi kepada pihak pengurusan kompleks, namun jawapan yang diberi mendukacitakan.

Kecewa dengan keadaan itu, beliau menyatakannya dalam laman Twitter miliknya dan ramai menyatakan sokongan agar sesuatu dilakukan.

Bagi Asma dan penyokongnya, orang luar yang datang ke UAE patut menghormati budaya tempatan dan sekiranya mereka gagal melakukannya, mereka patut didenda.

Laman #UAEdresscode yang dibangunkan Asma menerima pelbagai reaksi, ada yang menyokong dan ada juga sebaliknya. - AFP

Teleskop paling canggih di Australia, Afrika Selatan

5 Rejab 1433H. [MOD] -

AMSTERDAM 26 Mei - Australia dan Afrika Selatan akan menjadi lokasi pembinaan teleskop paling canggih di dunia, lapor konsortium saintifik Square Kilometre Array (SKA) semalam.

"Kami membuat keputusan untuk menjadikan Australia dan Afrika Selatan sebagai lokasi pembinaan teleskop tersebut, sekali gus menjadikan kedua-dua negara itu sebagai 'pemantau global'," kata Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SKA, John Womersly.

Para saintis berharap teleskop berkenaan dapat mencari jawapan mengenai misteri angkasa lepas termasuk mengkaji kehidupan di planet lain. - AFP

Enam pelombong maut tanah runtuh

5 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA 26 Mei - Sekurang-kurangnya enam pelombong emas haram mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Gunung Pilar, daerah kecil Jasinga, Bogor, Jawa Barat, semalam.

Ketua Bidang Pengurusan Bencana Daerah Bogor, Budi Aksomo berkata, seramai 20 pelombong berada di kawasan kejadian ketika insiden tersebut berlaku.

"Pada masa ini pasukan mencari dan menyelamat masih menjalankan operasi di tempat kejadian," katanya sambil tidak menolak kemungkinan jumlah korban akan terus meningkat.

Hujan lebat secara berterusan dipercayai menjadi punca kepada insiden tersebut. - BERNAMA