26 Mei 2012

Calon Ikhwan tunggu lawan pusingan ke-2 pilihan raya

5 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, layak ke pusingan kedua pilihan raya presiden Mesir, menurut keputusan awal pilihan raya pertama Mesir, semalam.

Beliau kini menunggu pencabarnya bagi pengundian pusingan ke-2 antara bekas Perdana Menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak, Ahmed Shafiq atau Hamdeen Sabahi, tokoh berhaluan kiri.

Menjelang tengah hari semalam, proses pengiraan undi selesai di 20 daripada 27 wilayah negara itu walaupun pekerja masih mengumpul kertas undian daripada bandar raya terbesar Mesir, Kaherah dan Giza serta Iskandariah.

Morsi mendahului dengan 28 peratus undian setakat ini, menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, yang mengumpulkan laporan daripada alat pengiraan. Ia berkemungkinan melayakkan beliau memasuki pusingan kedua.

Namun, persaingan untuk tempat kedua masih sengit. Shafiq memperoleh 21 peratus undian setakat ini, manakala calon Sabahi, mendapat 20 peratus. Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan berkata Shafiq akan menentang Morsi dalam pusingan kedua.

Sabahi, yang menyifatkan dirinya sempena nasionalis, ideologi sosiologi bekas Presiden Gamal Abdel-Nasser, muncul sebagai calon kejutan dalam pengundian selama dua hari itu.

Dalam pelbagai kiraan bebas yang dibuat, calon sederhana, Abdel-Moneim Abolfotoh yang dilihat sebagai seorang lagi calon alternatif, di tempat keempat dan bekas Menteri Luar, Amr Moussa, di tangga kelima.

Akhbar melaporkan, 50 peratus penduduk keluar mengundi di kalangan 50 juta pengundi yang layak berbuat demikian walaupun suruhan jaya pilihan raya belum menyiarkan angka rasmi.

Pusingan kedua akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun ini, menyaksikan persaingan dua calon teratas daripada pusingan pertama pilihan raya yang diadakan kelmarin dan Rabu lalu. Pemenang akan diumumkan pada 21 Jun. – AP

Tiada ulasan: