31 Julai 2012

Jual makanan ikut pintu belakang

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SUNGAI CHOH - Peniaga sebuah premis perniagaan terkedu melihat lensa kamera Sinar Harian merakam aktivitinya melayan pelanggan Melayu membeli makanan pada waktu siang, semalam.

Itu reaksi Marisol, 47, atau Noraini sebaik melihat wartawan Sinar Harian bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Stesen, Rosli Kahan tiba di kedainya di kawasan industri kecil, Taman Anugerah Suria, di sini.

Dia yang berniaga melalui pintu belakang restoran milik suaminya jelas terkejut dengan kehadiran Sinar Harian dan meminta maaf atas perbuatannya.

“Maaflah, saya tak akan jual lagi. Saya tahu saya salah,” katanya sambil kelihatan serba tidak kena.

Ditanya mengapa berniaga makanan di siang hari, Noraini menjelaskan tujuannya untuk mencari wang membayar sewa kedainya.

Menurutnya, dia terpaksa berniaga walaupun sedar suatu kesalahan memandangkan keadaan memaksa ditambah suaminya sakit kencing manis dan darah tinggi.

“Suami saya sakit dia tinggal di rumah saja jadi saya terpaksa berniaga untuk bayar sewa kedai,” katanya yang berasal dari Filipina.

Noraini dibantu dua pekerja warga Myanmar dan menjual makanan pelbagai lauk untuk hidangan semua pelanggan yang kebanyakannya Melayu.

Menurutnya, dia turut berniaga di bazar Ramadan namun pendapatan tidak seberapa kerana hanya menjual martabak.

Tinjauan mendapati rata-rata pelanggan di kedai tersebut adalah pekerja sebuah kilang pengeluar kereta di sini.

Sementara itu, Rosli berkata, setiap tahun apabila tiba Ramadan beliau menasihati peniaga restoran tersebut agar tidak berniaga di siang hari terutama kepada orang Islam.

Bagaimanapun, peniaga terbabit sering ingkar dan tetap berniaga melalui pintu belakang bermula seawal jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Tinjauan saya semalam (kelmarin) sekitar jam 1.15 petang, ramai pelanggan yang makan dan membungkus makanan di kedai tersebut.

“Tapi, hari ini (semalam) kurang sebab pelanggan menyedari kehadiran saya bersama wartawan, mereka tidak berani mahu beli,” katanya.

Menurutnya, peniaga terbabit turut memberi isyarat kepada pelanggannya yang berhenti di depan kedainya supaya beredar bagi mengelak perbuatan mereka dirakam.

sinar harian/-

Iran rancang bunuh diplomat Israel

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

AFP
GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta yang dinaiki seorang diplomat Israel terbakar di New Delhi pada 13 Februari lalu.

NEW DELHI - Polis India telah membuat rumusan bahawa anggota-anggota Pengawal Revolusi Iran telah melancarkan serangan terhadap seorang diplomat Israel di sini pada Februari lalu, menurut satu laporan semalam.

Akhbar Times of India yang memetik siasatan polis melaporkan, lima orang suspek dipercayai bekerjasama dengan seorang wartawan tempatan untuk merancang serangan itu.

Pengawal Revolusi merupakan unit ketenteraan Iran.

Dalam serangan berkenaan, seorang lelaki bermotosikal melekatkan sebutir bom bermagnet pada sebuah kenderaan Kedutaan Israel.

Interpol telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap empat suspek yang dinamakan dalam laporan polis pada Mac lalu.

Namun, buat pertama kalinya, anggota unit tentera Pengawal Revolusi Iran menjadi suspek dalam serangan tersebut.

"Butiran terperinci tentang suspek telah dimaklumkan kepada Iran," menurut akhbar berkenaan.

Akhbar yang sama turut menamakan seorang jurubina Iran, Houshang Afshar Irani sebagai dalang serangan itu dengan dia turut merancang plot berasingan untuk membunuh warga Israel di Thailand dan Georgia pada waktu yang sama.

Perancang utama serangan itu dipercayai polis telah memasuki negara ini dengan menggunakan visa pelancong.

Dia kemudian meninggalkan India selepas percubaan membunuh itu dilakukan.

Pada Mac lalu, seorang wartawan veteran India, Syed Mohammed Kazmi yang bekerja sambilan dengan agensi berita Iran (IRNA) menjadi individu pertama yang ditangkap berhubung serangan ke atas diplomat Israel.

Seorang diplomat Yahudi yang berusia 42 tahun dan isteri atase pertahanan di Kedutaan Israel cedera parah dalam serangan itu yang berlaku dekat kediaman Perdana Menteri, Manmohan Singh di New Delhi.

Israel kemudian menyalahkan Iran ekoran serangan tersebut.

Beberapa penganalisis menyatakan, Iran melakukan serangan balas selepas seorang saintis nuklear negara tersebut mati di Teheran. Iran mendakwa serangan itu dilakukan agensi perisikan Israel, Mossad. - AFP

Pas yakin kekal majoriti 2/3 di Kelantan

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Di sebalik teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas Kelantan melahirkan keyakinan mampu pertahankan negeri ini dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk kesejahteraan rakyat selain tiada isu besar yang mampu menggugat pemerintahan Pas negeri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.

“Setakat ini Insya-Allah berdasarkan kajian dan usaha-usaha yang kita buat, kita yakin boleh mempertahankan Kelantan. Paling kurang kita boleh menang dua pertiga kerusi ada dalam tangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Kedutaan Thailand di sini, kelmarin.

Mohd Amar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui menghadapi saingan hebat daripada Pas untuk merampas negeri ini pada PRU13.

Dalam kenyataan itu, Mustapa berkata pihaknya menyedari situasi tersebut memandangkan pengaruh Pas begitu kuat kerana telah memerintah Kelantan selama 22 tahun.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu berkata, kenyataan Mustapa tersebut menunjukkan Umno Kelantan realistik kerana menyedari berhadapan masalah besar untuk merampas negeri ini daripada Pas.

“Saya berterima kasih kepada ‘Tok Pa’ (Mustapa) yang bercakap secara objektif dan realistik mengaku ada masalah-masalah yang dihadapi sebab selama ini dia (Mustapa) seolah-olah boleh ambil Kelantan dengan mudah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Amar berkata, kini perkara asas yang menjadi keutamaan Pas Kelantan adalah bekerja kuat secara berterusan bagi mempertahankan kerusi sedia ada supaya tidak terlepas kepada pihak lain.

“Usaha kita untuk mempertahankan apa yang ada, sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi yang kita menangi sebab kita tidak hendak terlepas, itu asas sekarang. Kalau dapat lebih kerusi pun tidak apa, lagi baik,” katanya.

Pada PRU12 yang lalu, Pas Kelantan berjaya menawan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dari 45 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam kerusi Dun dengan satu kerusi tambahan, Dun Galas.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas berjaya merampas sembilan kerusi dari 14 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

sinar harian/-

14 kerusi Sabah untuk Pakatan?

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN menyokongnya baru-baru ini.

Ini bermakna, simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) dalam satu tulisannya.

Beliau berkata, 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini.

"Hari ini ramalannya ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah-mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang," tulis beliau.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

"Kejutan buat Najib bukan kepalang, amat menyiksakannnya. Mimpi ngerinya semakin menjadi realiti, tambahan masa bukan disebelahnya untuk membuat apa jua percaturan strategik kecuali memandang ke hujung tahun atau dilajakkan ke tahun depan," ulas beliau ekoran kenyataan kedua-dua anggota Parlimen BN dari Sabah itu.

Bagi beliau, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sejak akhir-akhir ini hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja tanpa memikirkan BN secara menyeluruh.

"Apakah maknanya bagi Najib yang mengikut kajian mutakhir Merdeka Centre bahawa ‘tahap keyakinan’ atau ‘Approval Rating’ pada paras 64%, (Jun) menurun 1% dari bulan Mei (65%), sementara tahap keyakinan kepada parti dan BN yang dipimpin terus mengalami penghaksian sokongan ke paras 42%," kata AJK PAS Pusat itu.

Bagi beliau, Najib hanya mahu pujian dan pengiktirafan rakyat maka dia terus memberi – BRIM 1 dan kini bonus dan sebagainya.

"Kesemua untuk membuktikan bahawa beliau peka dan prihatin kepada rakyat sementara kesan pemberian itu tidak lagi seperti dulu,begitu hebat dan mendalam, termasuk kepada peneroka Felda mutahkir ini," tulis beliau.

Pada pendapat beliau, rakyat umumnya semakin membenci tindakan pemimpin yang cuba untuk memujuk dan menggula-gulakan rakyat seperti.

Tidak kira dari BN atau Pakatan penolakan rakyat terhadap kepimpinan ‘populist’ seperti ini semakin ketara, dakwa beliau.

"Kecuali golongan yang boleh terus ditipu dan dibeli dengan pelbagai ‘pemberian’ ini, rakyat umumnya sedang menyaksikan gelagat kepimpinan Umno-BN yang semacam cacing kepanasan mutakhir ini," katanya lagi.

Bagi beliau, masa untuk berubah telah sampai.

"Mampukah rakyat lakukan perubahan ini? dan Mampukah Pakatan mengisi pengharapan rakyat nanti?" soal Dr Dzul.

harakahdaily/-

Lajim Ukin: Kita Tinggal UMNO BN Kerana Untuk Rakyat

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Anwar Ibrahim: Negara Ini, Masa Depan Sabah Bukan Ditentukan Oleh Pemimpin-Pemimpin UMNO BN

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

30 Julai 2012

Buat senjata di tepi sawah padi

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BANDAR MANDAUE - Permintaan senjata api semakin meningkat ekoran pilihan raya pertengahan penggal akan berlangsung pada 2013 di Filipina.

Seorang pembuat senjata di bandar Danao yang hanya mahu dikenali sebagai Remo, 33, berkata, dia sukar untuk memenuhi permintaan pelanggan yang remai menempah senjata api.

"Kami mempunyai kesukaran untuk memenuhi tempahan kerana pada kebiasaannya masa selama dua minggu diperlukan untuk menyiapkan sepucuk pistol .45 calibre walaupun jika saya bekerja 16 jam sehari," katanya.

Bunyi muzik yang kuat bergema di bengkel Remo yang terletak di pinggir anak sungai yang kering, tersembunyi daripada pandangan mata disebabkan rimbunan pokok buluh.

BEBERAPA orang bekerja di sebuah kilang senjata haram di Danao pada 8 Julai lalu.

Ketika ini, semua pengawal peribadi di Filipina membawa senjata api sama ada pistol atau senapang patah.

Senjata api merupakan fenomena biasa yang boleh dilihat di pasar raya, pejabat pemerintah, bank, restoran dan sekolah.

Senjata api haram di negara ini hanya dibawa oleh anggota-anggota kumpulan penjenayah, kumpulan pemisah Islam dan komunis.

Ia turut dibawa oleh ahli politik yang mempunyai askar-askar peribadi.

SELARAS senjata api diuji di sebuah kilang haram di Danao pada 8 Julai lalu.

Seorang bekas pemilik kilang senjata haram, Elmer Genzon, kini bekerja di kilang pembuat senjata yang telah didaftarkan, Shooters Arms Manufacturing, 25 kilometer dari sini.

"Kami tidak lagi bimbang tentang serbuan polis dan kami mempunyai pendapatan yang stabil, ditambah sedikit kekayaan dan manfaat sosial," katanya yang berusia 33 tahun.

Senjata-senjata itu ada yang dieksport ke Amerika Syarikat, Australia, Itali dan Thailand.

Pemilik sebuah kilang itu, Romulo de Leon III merupakan generasi kedua penjual senjata api.

Kilangnya kini mengeluarkan kira-kira 20,000 senjata api setahun.

Dia mahu mengembangkan perniagaannya ke Eropah Timur dan Amerika Selatan. - Reuters

Muzium piza terbesar dunia dibina

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Antara barangan berkaitan piza yang dipamerkan di Muzium Pizza Brain, Philadelphia, Amerika Syarikat. - Agensi

PHILADELPHIA 29 Julai - Sebuah muzium piza bakal dibuka di sini bermula bulan depan, sekali gus menjadi muzium piza terbesar di dunia yang mempamerkan beratus-ratus barangan berkaitan makanan Itali itu yang telah dikumpul sejak bertahun-tahun lalu.

Muzium Pizza Brain yang mempunyai slogan 'Tingkatkan Kepingan', dibuka oleh Brian Dwyer dan rakan-rakannya dengan bantuan laman web kewangan Kickstarter yang berjaya mengumpul dana untuk digunakan dalam projek tersebut.

Muzium yang turut menempatkan restoran itu akan menjadi tempat simpanan bagi beratus-ratus koleksi peralatan berkaitan dengan piza seperti majalah, alat permainan, iklan, komik dan pemotong piza yang telah dikumpul oleh Dwyer sejak sekian lama.

Malah, usaha Dwyer itu turut mendapat pengiktirafan daripada Guinness Book of World Records pada Julai tahun lalu.

Dia memiliki lebih 500 koleksi barangan piza yang tidak akan dipamerkan sekali dalam satu-satu masa.

Sebaliknya, dia merancang untuk mempamerkan koleksinya secara bergilir-gilir agar pamerannya sentiasa kelihatan segar dengan barangan piza yang berlainan. - AGENSI

Polis patut minta izin sebelum periksa A&W

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran makanan segera A&W berpandangan bahawa pihak polis perlu meminta kebenaran sebelum melakukan tugas dalam sesebuah premis.

Nasir Abd Ghani, 41, (gambar) berkata, pihak polis langsung tidak meminta kebenaran daripada mana-mana kakitangan A&W Cahaya Suria, berdekatan Puduraya untuk melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan yang sedang menikmati hidangan mereka.

"Sepatutnya polis minta kebenaran atau berjumpa dengan saya sebelum melakukan tugas mereka. Tapi polis tidak berbuat demikian. Kalau nak masuk makan atau minum, tidak mengapalah. Tapi kalau nak masuk buat pemeriksaan, sepatutnya kena tunjuk identiti mereka dahulu," kata beliau pada pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Saksi ke-19 itu memberitahu, kira-kira jam tujuh malam, sekumpulan polis mengetuk pintu premis yang berkunci.

Selepas berbincang dengan kakitangan tidak sampai lima minit, beliau mengarahkan kakitangan membuka pintu.

"Selepas pintu dibuka, polis terus meluru ke arah meja-meja pelanggan tapi saya berada di belakang jadi tak nampak apa yang berlaku cuma saya dengar suara orang meninggi," katanya.

Beliau juga berkata, polis turut memarahi kakitangannya kerana lambat membuka pintu.

"Seorang kakitangan mengadu pada saya dia dimarahi polis kerana lambat buka pintu dan dia minta untuk terus pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen

harakahdaily/-

Guna wang derma untuk tiba di London

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GUANMING mengayuh beca roda tiganya di Chinatown, London kelmarin.

LONDON - Seorang petani dari wilayah Jiangsu, China, Chen Guanming menggunakan wang derma bagi membiayai kayuhannya selama dua tahun ke London untuk menyaksikan Sukan Olimpik.

Guanming, 57, berkata, rakan-rakan dan orang ramai yang bersimpati dengannya terutama komuniti Cina telah menderma wang kepadanya untuk membiayai perjalanan tersebut.

Dia tiba di London dengan menaiki feri dari Perancis pada 6 Julai lalu.

Guanming memulakan perjalanannya sejauh 60,000 kilometer itu pada April 2010 dari kampungnya di wilayah Jiangsu.

Sebanyak 16 buah negara telah dilaluinya sepanjang perjalanannya itu.

Guanming berkata, dia tidak pernah ke luar negara sebelum memulakan perjalanan ke London.

"Saya datang untuk memberi sokongan kepada peserta dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan sukan," katanya.

Guanming juga sempat mencari tiket untuk menyaksikan majlis pembukaan sukan tersebut.

Beca roda tiga miliknya dipenuhi dengan barang-barangnya.

Terdapat gambar yang menunjukkan dia berada di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan Menara Eiffel di Paris.

Guanming menyatakan dia teruja untuk datang ke sini selepas majlis penutup Sukan Olimpik di Beijing, China pada 2008.

Pengalaman paling buruknya ialah semasa mengembara ketika banjir melanda Thailand.

Menurutnya, dia juga terperangkap dengan cuaca sejuk di Turki.

Seorang broker Britain, John Beeston yang boleh bercakap bahasa Mandarin berkata, dia menemui Guanming yang sesat di bandar raya ini pada 9 Julai lalu.

Dia juga berusaha menbantu Guanming untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan majlis perasmian sukan tersebut.

Antara negara yang pernah dilaluinya dengan beca tersebut ialah Vietnam, Pakistan dan Itali.

"Saya berasa gembira kerana dapat datang ke London," katanya.

Dalam tempoh sebulan atau dua lagi, dia merancang untuk menaiki kapal ke Amerika Syarikat, Kanada dan Brazil. - Agensi

Bapa tembak dua anak, kemudian bunuh diri

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

WORCESTER, Massachusetts - Seorang lelaki yang baru-baru ini berpisah daripada isterinya, menembak dua anaknya, menyebabkan anak perempuan berusia tujuh terbunuh manakala seorang lagi kritikal.

Lelaki itu kemudian membunuh diri, kata pihak berkuasa kelmarin.

Seorang anggota keluarga memanggil polis lewat malam kelmarin selepas menemui mayat Daryl Benway, yang berusia 41 tahun dan anaknya Abigail, di bilik tidur utama di rumah dua tingkat mereka di Oxford dekat sini, kata Peguam Worcester, Joseph Early Jr.

Anak lelakinya, Benway, 9, ditemui di dapur dengan kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Pusat Perubatan Kanak-kanak UMass Memorial untuk rawatan.

Semalam, jurucakap Early berkata, keadaannya kritikal tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

sinar harian/-

Gempa bumi gegar Mexico.

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

WASHINGTON 30 Julai - Satu gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Rithcer berlaku di pantai Pasifik Mexico yang terletak berhampiran sempadan Guatemala semalam, tetapi tiada laporan kerosakan dilaporkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada pukul 6.22 pagi (12.22 tengahari waktu tempatan) kira-kira 28 kilometer dari arah barat daya Suchiate, Mexico.

Pusat gempa berada pada kedalaman 35 kilometer.

Pada 20 Mac lalu, satu gempa bumi berukuran 7.4 skala Rithcer menggegarkan barat daya Mexico dan mengorbankan dua orang selain mencederakan 13 lagi. Ia juga meranapkan beribu-ribu buah rumah. - AFP

Bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian masuk PAS

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menerima suntikan semangat baru apabila bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapah Mohd Omar menyertai PAS secara rasmi kelmarin.

(Mustapah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Mohamad Sabu)

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kawal Selia Air Selangor; Penolong Pegawai Daerah Port Dickson dan Penolong Pegawai Daerah Seremban.

Mustapah bersara pada tahun lepas.

Mustapah menyerahkan borang ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di majlis berbuka puasa anjuran PAS Seremban di PASTI Wildan, Ampangan, Seremban.

Turut menerima penyertaan Mustapah ke dalam PAS ialah Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby.

harakahdaily/-

Masuk PAS: Kontrak Abby jadi duta tudung ditamatkan

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi menulis dalam laman sosial Twitter yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung, baru sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam PAS.

"4 Julai 2012 - Kontrak saya sebagai duta kepada tudung mereka terbatal secara rasminya.

"Saya terima dengan hati terbuka & saya minta maaf kerana terlibat Pakatan Rakyat," tulisnya di laman Twitter pagi tadi.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah - ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu - menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.

Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.

"Saya tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya terlibat secara tak sengaja," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.

Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.

"Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS," kata Abby.

Abby yang dahulu merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai lalu.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas dijemput parti itu untuk berceramah tentang perubahan dirinya daripada seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.

"Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi tentang saya punya hijrah itu," kata Abby.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.

"Kita nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama." kata Abby ringkas.

malaysiakini/-

32 mati selepas kereta api ekspres terbakar

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

HYDERABAD 30 Julai - Seramai 32 orang disahkan maut apabila sebuah gerabak kereta api penumpang terbakar ketika dalam perjalanan ke Chennai di selatan India.

"Sebanyak 22 mayat telah dikeluarkan dari gerabak," kata pentadbiran kanan di pejabat daerah Nellore, Madhusudan Sarma kepada AFP. - AFP