30 Julai 2012

Polis patut minta izin sebelum periksa A&W

10 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran makanan segera A&W berpandangan bahawa pihak polis perlu meminta kebenaran sebelum melakukan tugas dalam sesebuah premis.

Nasir Abd Ghani, 41, (gambar) berkata, pihak polis langsung tidak meminta kebenaran daripada mana-mana kakitangan A&W Cahaya Suria, berdekatan Puduraya untuk melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan yang sedang menikmati hidangan mereka.

"Sepatutnya polis minta kebenaran atau berjumpa dengan saya sebelum melakukan tugas mereka. Tapi polis tidak berbuat demikian. Kalau nak masuk makan atau minum, tidak mengapalah. Tapi kalau nak masuk buat pemeriksaan, sepatutnya kena tunjuk identiti mereka dahulu," kata beliau pada pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Saksi ke-19 itu memberitahu, kira-kira jam tujuh malam, sekumpulan polis mengetuk pintu premis yang berkunci.

Selepas berbincang dengan kakitangan tidak sampai lima minit, beliau mengarahkan kakitangan membuka pintu.

"Selepas pintu dibuka, polis terus meluru ke arah meja-meja pelanggan tapi saya berada di belakang jadi tak nampak apa yang berlaku cuma saya dengar suara orang meninggi," katanya.

Beliau juga berkata, polis turut memarahi kakitangannya kerana lambat membuka pintu.

"Seorang kakitangan mengadu pada saya dia dimarahi polis kerana lambat buka pintu dan dia minta untuk terus pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen

harakahdaily/-

Tiada ulasan: