03 September 2012

AIC kutuk tindakan ganas, jahil politik

15 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim Club (AIC) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan dan jahil politik yang berlaku dalam jangka masa 48 jam yang melibatkan siri Jelajah Merdeka Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam siri jelajah ke beberapa buah negeri bermula 31 Ogos yang lalu.

Presidennya, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tindakan ganas yang berniat jahat ini dilakukan atas kepercayaan umum bahawa pihak-pihak tertentu sudah mula berasa goyah dan tidak tenteram dengan kemaraan hebat kempen Pakatan Rakyat yang diterima dengan sambutan hangat oleh rakyat tempatan.

Katanya, AIC enggan mengulas panjang tentang insiden melemparkan cat merah dan batu terhadap bas dua tingkat kerana pelaku jahat itu belum dikenal pasti, tetapi jelas perlakuan biadap dipercayai ahli-ahli Perkasa melemparkan kasut ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tazkirah di Masjid Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah Darul Aman adalah satu kebodohan yang telah menjadi barah.

“AIC ingin mempersoalkan tentang munasabah serangan melempar kasut kepada individu yang sedang berada di dalam rumah Allah, dan adakah sekadar perbedaan ideologi menjadi penyebab kepada kejahilan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Rujuk http://youtu.be/3Bx-Y8XAuVw

2 maut kereta masuk gaung

15 Syawal 1433H. [MOD] -

MAUT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang terjunam ke dalam gaung.

HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk dalam nahas membabitkan tiga kenderaan.
HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk dalam nahas membabitkan tiga kenderaan.

PEKAN: “Sungguh memilukan apabila panggilan telefon kepada Nur Hidayah (mangsa) dijawab orang lain, memaklumkan rakan saya itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” kata Nor Zarina Md Tahir, 25.

Dia adalah rakan kepada dua penuntut peringkat sarjana Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Johor, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, kelmarin.

Berikutan insiden menyayat hati itu, Nor Zarina berkata, dia membatalkan hasrat untuk menghadiri kenduri kahwin seorang rakan di Bahau, Negeri Sembilan, semalam.

Mangsa yang maut dikenali Balqis Amira Mat Hasan dan Sharifah Nur Hidayah Syed Salleh, masing-masing berumur 26 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua rakan karib terbabit terbunuh selepas Perodua Viva dipandu Balqis dalam perjalanan ke Kuantan bersama Sharifah Nur Hidayah dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan dengan sebuah Toyota Avanza dinaiki seorang lelaki, Mohd Rasid Hassan, 41, bersama lima ahli keluarganya.

Perodua Viva itu kemudian melambung sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di bahu sebelah kiri jalan berkenaan menghala ke Muadzam Shah, Rompin.

Pada masa sama, sebuah Proton Wira dipandu seorang wanita, Noor Hidayu Hitam, 24, bersama seorang rakan yang berada di belakang Toyota Avanza berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan itu.

Bagaimanapun, mangsa yang berada di dalam dua kereta terbabit hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pekan (HP).

Nor Zarina berkata, dia dijangka bertemu Balqis dan Nur Hidayah masing-masing berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan Batu Pahat, Johor, pada majlis kenduri kahwin rakan mereka semalam, selepas sebulan tidak berjumpa apabila dia terlebih dulu menamatkan pengajian di UTHM sebelum Ramadan lalu.

Katanya, dia tinggal serumah dengan kedua-dua mangsa di Batu Pahat dan mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di UTHM dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal.

“Saya terkejut apabila seorang pegawai polis menghubungi saya tengah malam semalam (kelmarin), memaklumkan kedua-dua arwah terbabit dalam kemalangan.

“Bagi memastikan berita itu, saya menghubungi arwah, tetapi panggilan itu dijawab seseorang memaklumkan dua rakan itu terbunuh dalam kemalangan.

“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Kuantan atas satu urusan sebelum meneruskan perjalanan ke majlis kenduri kahwin rakan kami di Bahau,” katanya yang menetap di Bera.

Nor Zarina berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah Nur Hidayah kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Kami berkawan sejak 2005 ketika sama-sama belajar di Kolej Matrikulasi di Gambang (dekat Kuantan) sebelum melanjutkan pelajaran di UTHM,” katanya sedih dengan kejadian menimpa dua rakan karibnya itu.

Abang Balqis, Mohd Syafirul Amri, 30, berkata, keluarganya reda dengan kejadian menimpa anak kesembilan daripada 10 beradik itu.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu di rumah ibu bapanya di Tanah Merah.

“Balqis seorang yang periang serta peramah dan dia kini menuntut dalam semester terakhir untuk menamatkan pengajian pada peringkat sarjana,” katanya memaklumkan jenazah adiknya itu dibawa ke Tanah Merah untuk urusan pengebumian selepas solat Isyak, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ketika kejadian cuaca baik, manakala kawasan tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan,” katanya.

metro/-

Cara keji sambut Hari Merdeka

15 Syawal 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN Teluk Juara, Pulau Tioman yang menjadi tempat sekumpulan 28 individu mengadakan pesta liar sambil khayal dadah 31 Ogos lalu.

KUANTAN - Sekumpulan 28 individu dari ibu negara menyambut perayaan ambang Merdeka dengan cara keji apabila masing-masing melakukan tarian ghairah sambil berpesta dadah dalam satu parti liar di tepi pantai Teluk Juara di Pulau Tioman, Jumaat lalu.

Perbuatan memalukan ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dengan semangat patriotik itu dapat dihidu pihak berkuasa sebelum mereka melakukan serbuan tepat pukul 12 tengah malam 31 Ogos lalu.

Mereka yang datang secara berpasangan dan berasingan berusia 22 hingga 45 tahun tersebut langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis kerana sedang khayal dadah selain mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan (gambar kecil) berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati, empat lelaki memiliki pil khayal serta serbuk dipercayai dadah.

"Sebaik mendapat maklumat awam, sepasukan polis dikerah ke pulau berkenaan untuk memantau. Selepas memastikan mereka berkelakuan seperti yang didakwa, kita telah membuat serbuan dalam keadaan peserta parti itu tidak menyedarinya kerana khayal dadah.

kosmo/-

Pijak gambar pemimpin negara perbuatan melampau

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Tindakan segelintir pihak memijak gambar (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor) disifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara itu dan seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Politik kebencian itu satu perkara yang cukup merbahaya dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama,” kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, ada peserta membawa ‘bendera baharu’ yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.

Berita ihsan UTUSAN, gambar sekadar hiasan dari sekitar Internet.
-Pejabat YB Khalid Samad-

Pembetulan sejarah Tok Janggut perlu! (wajib share)

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Tolong... Tolong... Tolong, perbetulkan sejarah gambar ini.

Ini BUKANnya jasad Tok Janggut, Haji Mat Hassan Bin Munas, tetapi jasad askar sikh yang terkorban semasa Perang Pasir Puteh, Tok Janggut telah diselamatkan Mat kelubi dan dilarikan ke Gua Musang dalam keadaan cedera.

Tok Janggut terus hidup dengan menggunakan nama Haji Ahmad dan menetap di Panji Kota Bharu Kelantan berkahwin dan mempunyai zuriat , hidup sehingga tahun 1969.

Perlu kita ketahui bahawa tujuan jasad ini dipamerkan pada masyarakat kota bharu adalag untuk menakutkan orang melayu ketika itu, penting kita tahu kenapa diarakkan sekitar kota bharu sahaja, Kerana orang kota bharu tidak pernah melihat wajah Tok Janggut, hanya mendengar cerita berkaitan perjuangannya sahaja(british gelar pemberontakan).

Sejarah berkaitan gambar ini perlu diterang jelaskan, bagi mengelakkan aib pada Haji Mat Hassan Bin Munas, dan keturunannya.

sumber: cucu cicit Tok Janggut

TV Mesir mansuh larangan bertudung penyampai berita

15 Syawal 1433H. [MOD] -
Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,03 Sep 2012



(Fatma Nabil menjadi wanita pertama negara tersebut untuk menyampaikan berita sambil memakai tudung dalam tempoh setengah abad- AFP)

KAHERAH: Stesen televisyen negara Mesir telah menarik balik larangan berusia satu dekad yang menghalang penyampai berita wanita mereka dari memakai tudung.

Larangan itu berkuatkuasa di zaman rejim-rejim sebelum ini yang cenderung kepada fahaman sekular.

Fatma Nabil yang muncul Ahad lalu dengan memakai tudung berwarna krim dan sut berwarna gelap, menyampaikan berita pada pukul 12 tengah hari.

TV Mesir memberitahu ini adalah penampilan pertama seorang penyampai wanita bertudung sejak stesen TV itu ditubuhkan separuh abad lalu.

Pegawai stesen TV tersebut, Mohammed Fathi berkata bahawa penampilan Nabil akan menggalakkan pemakaian tudung oleh ramai wanita lain yang ingin memakai tudung tetapi takut kehilangan pekerjaan mereka.

TV Mesir mengekalkan dasar larangan pemakaian bertudung kepada penyampai berita sepanjang era Presiden Hosni Mubarak, diKtator yang digulingkan dalam kebangkitan Dunia Arab tahun lepas, serta rejim-rejim sebelumnya.


Sesetengah penyampai berita menyaman stesen TV tersebut, dan menang kes, tetapi mereka masih dihalang dari muncul di kaca TV.

PRU Ke-13 mungkin diadakan November ini ?

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 'membayangkan' Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin diadakan November ini.

Semasa berucap di Sandakan kelmari beliau dilihat minat kepada angka 11 seperti yang diucapkannya "Tahun ini amat unik, genap 66 tahun usia UMNO, 55 tahun negara mencapai kemerdekaan dan UMNO sudah bertapak selama 22 tahun di Sabah."11 darab 6 (UMNO), 11 darab 5 (merdeka), 11 darab 2 (UMNO Sabah), semuanya ada kaitan dengan angka 11," katanya sambil melirik senyuman.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian serentak mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sandakan, Kinabatangan, Libaran, Batu Sapi dan Beluran (UMNO Zon 5) .

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan pimpinan parti-parti komponen.

02 September 2012

Ikan 'unicorn' mirip manusia?

14 Syawal 1433H. [MOD] -

LONDON - Salah satu ikan paling unik di planet ini adalah ikan 'unicorn' yang dianggap mirip wajah manusia kerana memiliki hidung yang besar.

Malah, para saintis berpendapat seluruh kepala hidupan akuatik itu aneh kerana seakan-akan wajah manusia yang sedang marah.

Bagaimanapun, ikan pelik ini memiliki satu keupayaan yang mengagumkan di mana ia mampu bertukar warna pada badannya.

Sebenarnya, struktur pada kepala ikan yang dianggap hidung itu adalah tanduknya yang berperanan sebagai perisai melindungi diri.

Ikan bertanduk Naso itu sebenarnya berasal daripada negara Latin dan kini sedang dipamerkan di SeaLife Centre di Weymouth, Dorset, Britain.

Satu lagi spesies ikan serupa dinamakan Nimrod sempena pembinaan sebuah pesawat pejuang tentera yang memiliki tanduk.

Penyelia hidupan akuatik Matthew Fuller berkata: "Wajah pelik Nimrod mirip salah satu pesawat tentera dan tiada siapa tahu mengapa ia memiliki tanduk di hadapan kepala sedangkan ia adalah ikan," katanya.

kosmo/-

Lelaki maut dirempuh seladang

14 Syawal 1433H. [MOD] -

POPULASI seladang di Semenanjung termasuk di Hutan Belum, Perak berjumlah 330 ekor. - Gambar hiasan.

IPOH - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh seladang di Hulu Air Pasir, Banding dekat Gerik semalam.

Musa Ismail, 56, maut akibat cedera parah di perut manakala Isa Abdullah, 24, patah kaki dan tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kedua-duanya bersama seorang lagi rakan mereka, Abdul Mohd. Sharifudin A. Manas, 35, diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk memasuki Hutan Simpan Royal Belum antara pukul 3 dan 6 petang.

Ogos bulan dua kali mengambang penuh

14 Syawal 1433H. [MOD] -

FENOMENA bulan biru dilihat di langit semasa upacara penghormatan terakhir untuk angkasawan Neil Armstrong berlangsung di bandar raya Cincinnati, Amerika Syarikat kelmarin.

LONDON - Fenomena bulan purnama menyinari langit lebih daripada sekali dalam sebulan dapat dilihat di serata dunia kelmarin.

Menurut akhbar MailOnline, bulan mengambang penuh pada 2 dan 31 haribulan sepanjang Ogos lalu.

Dikenali sebagai bulan biru, fenomena yang berlaku sekali setiap 2.7 tahun itu telah menarik perhatian ahli astronomi dan orang ramai di seluruh dunia.

Kejadian luar biasa itu diramalkan berlaku sekali lagi pada Mei 2015.

Menurut akhbar berkenaan, nama bulan biru tiada kaitan dengan keadaan fizikal bulan dengan maksud istilah tersebut hilang ditelan zaman.

Warna biasa bulan semasa bersinar di langit adalah putih.

Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883.

Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi. - Agensi

Kawal TV dengan kelipan mata

14 Syawal 1433H. [MOD] -

BEIJING - Satu lagi inovasi teknologi kali ini menyebelahi mereka yang gemar melepak dan menonton televisyen (TV) dan hanya perlu mengelipkan mata jika mahu mengubah siaran atau sebagainya.

TV Kawalan Mata yang dikeluarkan di bawah jenama Haier China itu, dilengkapi dengan alat peranti besar yang diletakkan di hadapan tv kemudian pengguna hanya perlu mengelipkan matanya bagi menukar saluran, mengubah nada suara, mematikan atau membuka siaran tv mereka.

Teknologi penderiaan mata diaplikasikan melalui sensor Kinect-style yang mana siaran atau program tv tidak akan terganggu jika mata penonton berkelip secara normal dan bukan bertujuan mahu mengubah siaran.

Alat pengesan itu perlu diletakkan di hadapan pengguna dan harus diselaraskan dengan mata pengguna itu sendiri untuk memastikan skrin tv berkenaan dapat mengenali mata yang bakal mengeluarkan arahan kepadanya kelak.

Pengguna yang sering berhadapan masalah kehilangan dan sakit mata melihat susunan alat kawalan jauh tv yang memenuhi meja kopi mereka boleh menyelesaikan masalah itu dengan teknologi terbaru ini.

Dalam pada itu, satu lagi cara terbaik mengawal siaran tv anda adalah menerusi telefon pintar yang baru sahaja direka.

Menerusi satu ujian yang dilakukan rangkaian blog teknologi melibatkan barangan dan elektronik pengguna di persidangan tekonologi IFA di Bderlin, Jerman pada minggu lalu telah menyimpulkan inovasi tv itu sebagai 'konsep yang menambat hati' walaupun ia masih belum bersedia untuk dipasarkan pengeluar.

sinar harian/-

Dua suspek pengganas ditembak mati di Solo

14 Syawal 1433H. [MOD] -

SOLO - Skuad antipengganas Indonesia membunuh dua suspek militan berusia 19 tahun dalam satu serbuan yang turut meragut nyawa seorang anggota unit berkenaan, kata pihak berkuasa semalam.

"Dua suspek pengganas dibunuh malam kelmarin di sini, Jawa Tengah, oleh unit polis Densus 88. Seorang lagi telah ditangkap," kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli.

"Mereka bersenjata dan seorang anggota polis berkenaan turut maut akibat ditembak suspek," tambah jurucakap berkenaan.

Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo pula memberitahu, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa mereka merancang lebih banyak serangan selepas terlibat dalam kejadian menembak mati seorang anggota polis pada Khamis lalu.

Menurutnya, sebutir bom tangan turut dilontar ke arah sebuah pos kawalan polis di sini dua minggu lalu.

"Ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam tiga kejadian tembakan dan mereka merupakan anggota sebuah kumpulan baharu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas lama di kawasan ini," kata Pradopo.

"Kedua-dua lelaki yang mati berusia 19 tahun," katanya kepada sekumpulan pemberita di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaahd Mbai memberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan anggota kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JATI) yang diasaskan oleh ulama Abu Bakar Bashir pada 2008. - AFP

Hadang pintu bilik, taktik bersama kekasih hamil 7 bulan

14 Syawal 1433H. [MOD] -

KLUANG - Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan diri bersama pasangan kekasihnya daripada ditahan dalam Ops Maksiat, awal pagi kelmarin.

Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.

Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan berada di dalam bilik hotel itu.

“Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JAJ kepadanya,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri Impian.

“Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut apabila mendapat tentangan daripada isteri.

“Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

“Pasangan itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin,” katanya.

Operasi yang dijalankan itu juga telah diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

sinar harian/-

Umpan pakej 2 dalam 1

14 Syawal 1433H. [MOD] -

INSAF... Rusli mengenangkan nasib isteri dan anak jika tertangkap.
KUALA LUMPUR: Kewujudan sebahagian besar pistol haram di negara ini dipercayai didalangi sindiket pengedaran dadah tempatan yang memperoleh senjata itu dari negara jiran secara percuma selepas membeli dadah dalam jumlah besar.

Di kalangan sindiket dadah tempatan, kegiatan di pasaran gelap itu dikenali dengan istilah beli ‘barang’, dapat ‘besi’ iaitu barang merujuk kepada dadah manakala besi adalah pistol.

Selain modus operandi itu, pistol boleh diperoleh dengan harga RM900 hingga RM1,500 daripada golongan penyeludup yang kebanyakannya anggota kongsi gelap untuk pelbagai kegiatan jenayah.

Penemuan mengejutkan itu diperoleh wartawan Metro Ahad berdasarkan siasatan dan pengakuan bekas pengedar dadah dan penyeludup senjata yang insaf dan berharap kegiatan itu dibendung pihak berkuasa sebelum berleluasa.

Ini berikutan tiga kes kematian membabitkan tembakan berlaku dalam tempoh seminggu. Kes terbaru dilaporkan di Selayang Baru pada Rabu lalu membabitkan K Archuthan, 41, yang ditembak di depan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, selain kes di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Terengganu yang mengorbankan Mat Keya Jusof, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Bulan dalam kejadian jam 11.30 malam, Ahad lalu.

metro/-

'Janji hanya tinggal janji', warga emas menanti

14 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Melekai, di sini, kesal apabila pihak berkaitan yang berjanji untuk membantu mereka membaiki rumah kini sepi walaupun tindakan susulan telah dilakukan.

Napsiah Abas, 65, berkata, mereka pernah dikunjungi pihak berkenaan yang turun padang untuk melihat keadaan rumah tetapi masih tiada tindakan diambil.

Menurutnya, rumah yang dibina sejak lebih 10 tahun lalu itu pernah berlaku kebakaran pada 2007 di bahagian dapur dan hingga kini masih tidak dibaiki susulan kekangan kewangan.

“Meskipun rumah ini usang, dindingnya sudah dimakan anai-anai, makcik tetap tinggal di sini kerana ini rumah pusaka dan satu-satunya harta makcik.

“Apabila sudah usang, banyaklah dinding reput dimakan anai-anai. Bumbung pula bocor sana sini hingga kadang kala perlu menyediakan baldi untuk menadah air yang menitis setiap kali hujan,” katanya tinggal bersama suami dan anak.

Katanya, permohonan berkenaan dibuat sejak lapan tahun lalu.

“Makcik pergi sendiri berjumpa pihak berkenaan semasa membuat permohonan itu. Ada juga mereka turun padang melihat keadaan rumah ini, serta mengambil gambar, namun terhenti setakat itu sahaja.

“Mereka maklumkan, rumah ini besar dan jika mahu baik pulih memerlukan kos yang tinggi. Menurut mereka peruntukan hanya ada RM11,000 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu menurutnya, dia amat berharap rumah berkenaan dapat dibaik pulih memandangkan mereka tidak mampu ditambah pula suaminya, Zahari Acin, 69, mengidap kencing manis kronik sejak 20 tahun lalu dan darah tinggi.

Bagaimanapun katanya, dalam kesempitan hidup, dia tetap bersyukur kerana Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan suaminya.

“Sememangnya, makcik tiada punca pendapatan dan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Itu pun memang tidak cukup kerana pakcik memakai lampin pakai buang,” katanya.

SINAR HARIAN/-