03 September 2012

2 maut kereta masuk gaung

15 Syawal 1433H. [MOD] -

MAUT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang terjunam ke dalam gaung.

HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk dalam nahas membabitkan tiga kenderaan.
HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk dalam nahas membabitkan tiga kenderaan.

PEKAN: “Sungguh memilukan apabila panggilan telefon kepada Nur Hidayah (mangsa) dijawab orang lain, memaklumkan rakan saya itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” kata Nor Zarina Md Tahir, 25.

Dia adalah rakan kepada dua penuntut peringkat sarjana Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Johor, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, kelmarin.

Berikutan insiden menyayat hati itu, Nor Zarina berkata, dia membatalkan hasrat untuk menghadiri kenduri kahwin seorang rakan di Bahau, Negeri Sembilan, semalam.

Mangsa yang maut dikenali Balqis Amira Mat Hasan dan Sharifah Nur Hidayah Syed Salleh, masing-masing berumur 26 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua rakan karib terbabit terbunuh selepas Perodua Viva dipandu Balqis dalam perjalanan ke Kuantan bersama Sharifah Nur Hidayah dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan dengan sebuah Toyota Avanza dinaiki seorang lelaki, Mohd Rasid Hassan, 41, bersama lima ahli keluarganya.

Perodua Viva itu kemudian melambung sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di bahu sebelah kiri jalan berkenaan menghala ke Muadzam Shah, Rompin.

Pada masa sama, sebuah Proton Wira dipandu seorang wanita, Noor Hidayu Hitam, 24, bersama seorang rakan yang berada di belakang Toyota Avanza berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan itu.

Bagaimanapun, mangsa yang berada di dalam dua kereta terbabit hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pekan (HP).

Nor Zarina berkata, dia dijangka bertemu Balqis dan Nur Hidayah masing-masing berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan Batu Pahat, Johor, pada majlis kenduri kahwin rakan mereka semalam, selepas sebulan tidak berjumpa apabila dia terlebih dulu menamatkan pengajian di UTHM sebelum Ramadan lalu.

Katanya, dia tinggal serumah dengan kedua-dua mangsa di Batu Pahat dan mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di UTHM dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal.

“Saya terkejut apabila seorang pegawai polis menghubungi saya tengah malam semalam (kelmarin), memaklumkan kedua-dua arwah terbabit dalam kemalangan.

“Bagi memastikan berita itu, saya menghubungi arwah, tetapi panggilan itu dijawab seseorang memaklumkan dua rakan itu terbunuh dalam kemalangan.

“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Kuantan atas satu urusan sebelum meneruskan perjalanan ke majlis kenduri kahwin rakan kami di Bahau,” katanya yang menetap di Bera.

Nor Zarina berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah Nur Hidayah kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Kami berkawan sejak 2005 ketika sama-sama belajar di Kolej Matrikulasi di Gambang (dekat Kuantan) sebelum melanjutkan pelajaran di UTHM,” katanya sedih dengan kejadian menimpa dua rakan karibnya itu.

Abang Balqis, Mohd Syafirul Amri, 30, berkata, keluarganya reda dengan kejadian menimpa anak kesembilan daripada 10 beradik itu.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu di rumah ibu bapanya di Tanah Merah.

“Balqis seorang yang periang serta peramah dan dia kini menuntut dalam semester terakhir untuk menamatkan pengajian pada peringkat sarjana,” katanya memaklumkan jenazah adiknya itu dibawa ke Tanah Merah untuk urusan pengebumian selepas solat Isyak, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ketika kejadian cuaca baik, manakala kawasan tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: