03 September 2012

Jemputan Merdeka: Umno usah bermuka-muka

15 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) menasihatkan pemimpin Umno agar tidak bermuka-muka kononnya membela Raja-raja Melayu apabila memainkan isu jemputan sambutan Merdeka terhadap Sultan Selangor.

Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, Rakyat sudah muak dengan sifat bermuka-muka dan putar belit pemimpin-pemimpin Umno dalam perkara itu dan bukti penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu terlalu banyak.

"DPPNS turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja sedangkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang mempunyai sejarah hitam sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja di dalam negara ini dan mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan memohon maaf di atas tindakan mereka.

"DPPNS meminta supaya pemimpin–pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat," katanya.

Mengulas isu jemputan sambutan ambang Merdeka terhadap Sultan Selangor, Mohd Sany berkata isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, isu tersebut belum diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.

"DPPNS bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat negeri," katanya.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh kerajaan Selangor tidak menghormati institusi diraja dengan mengenepikan Sultan Selangor, dalam majlis Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu.

Semalam Setiausaha kepada Menteri Besar, Faekah Husin memberitahu Mohamad Khusrin telah mengesahkan bahawa Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan kerana Baginda akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal, jika kerajaan Selangor dituduh menghina raja, maka Umno lebih lagi menghina raja apabila tidak menjemput Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: