03 September 2012

Serang masjid tak hormat majlis agama

15 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan samseng menyerang majlis tazkirah maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah suatu penghinaan kepada rumah ibadah.

Samseng yang dipercayai ahli Perkasa itu menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di dalam Masjid Al Husin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, insiden itu sangat memalukan dan menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati majlis agama.

"Perbuatan ini sangat memalukan dan merupakan penghinaan kepada rumah Allah, tempat ibadat dibaling kasut ketika orang ramai sedang mengimarah masjid dengan mendengar tazkirah.

"Mereka yang diupah tak hormat imam masjid walaupun berkali-kali imam memberitahu bahawa beliau yang memberi kebenaran untuk majlis tazkirah itu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mahfuz yang turut berada berada dalam majlis tersebut turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau.

Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan sikap biadab orang Islam sedangkan orang bukan Islam turut berada di luar masjid dan mendengar tazkirah yang disampaikan.

"Tapi ada orang Islam yang menggunakan Perkasa, yang bukan qariah tempatan melakukan perkara yang memalukan.

"Inilah kejayaan 55 tahun Umno menternak rakyat untuk menjaga kepentingan mereka. Umno gagal mendidik rakyat, tapi mereka ternak rakyat untuk bersikap biadab," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: