10 September 2012

Naib Presiden Iraq kena hukum gantung

23 Syawal 1433H. [MOD] -

PIHAK keselamatan persendirian Iraq menyiasat bangkai bom kereta di luar bangunan konsular Perancis di Nassiriya, semalam.

Baghdad: Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh dalam letupan bom dan serangan di 11 kota seluruh Iraq semalam termasuk satu bom kereta di luar bangunan konsular Perancis.

Memburukkan keadaan, mahkamah Iraq menghukum gantung Naib Presiden, Tareq al-Hashemi atas kesalahan membunuh.

Hashemi menghadapi 150 tuduhan termasuk membunuh seorang brigadier jeneral dan peguam, tidak hadir ketika hakim mengumumkan keputusan.

Penyerang yang tidak diketahui identiti mereka menembak askar yang berkawal di pos tentera selain rekrut polis yang sedang berbaris memohon kerja.

Keganasan itu menyebabkan hampir 250 orang cedera.

Pemisah Sunnah dan al-Qaeda melancarkan beberapa serangan besar tahun ini dalam cubaan untuk meningkatkan ketegangan politik dan perkauman yang membawa negara itu hampir kepada perang saudara pada 2006-2007.

Serangan paling serius

Serangan paling serius berlaku tengah malam di Dujail, 50 kilometer ke utara Baghdad apabila lelaki bersenjata dan seorang pengebom memandu kereta serta menyerang sebuah pangkalan tentera membunuh 11 askar dan mencederakan tujuh lain, kata sumber polis.

Sebutir bom kereta meletup di luar bangunan konsular Perancis di bandar raya yang biasanya stabil, Sassiriya, 300 kilometer ke selatan Baghdad, mencederakan dua orang.

Bom kereta yang lain juga diletupkan di bandar raya terbabit membunuh dua orang dan mencederakan tiga yang lain.

Lebih ramai yang terbunuh dalam beberapa letupan di seluruh negara di bandar Kirkuk, Samarra, Basra dan Tuz Khurmato.

Militan Islam dan al-Qaeda

Kerajaan Iraq masih berhadapan dengan militan Islam dan al-Qaeda, sembilan bulan selepas tentera Amerika Syarikat meninggalkan negara itu.

Sayap tempatan al-Qaeda Iraq, Islamic State of Iraq mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan besar membabitkan pasukan keselamatan dan kejiranan Syiah.

Tetapi, bekas ahli parti Baathist Saddam Hussein dan kumpulan Islam Sunnah lain juga menentang kerajaan.

Tiada pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan Ahad.

Ketegangan di Iraq menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan kembali merebak terutama ketika Iraq berhadapan dengan konflik yang meningkat di negara jiran, Syria.
Reuters/AFP

Tidak perlu 7 hari, hari ini boleh - Mahfuz

23 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertegas tidak akan meminta maaf kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid.

(Aksi segolongan aktivis yang dikatakan ahli Perkasa di Masjid Al - Hussain baru-baru ini)

Beliau berkata demikian setelah diberitahu bahawa Perkasa memberi tempoh selama tujuh hari kepadanya untuk meminta maaf berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid ketika serangan mereka ke atas Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar baru-baru ini.

"Saya tidak perlu meminta maaf atas perbuatan yang memang dilakukan oleh Perkasa.

"Apa yang saya nyatakan memang berasas dan saya ada saksi-saksi," tegas Mahfuz (gambar).

Beliau juga berkata, Perkasa tidak perlu tunggu tujuh hari untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

"Apa perlu tunggu begitu lama? Hari ini juga Perkasa boleh failkan kes mereka ke mahkamah.

"Mereka banyak duit dan mereka tidak ada masalah untuk melakukan perkara itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz sebelum ini menegaskan, tidak ada gambar dan tidak ada rakaman yang disiarkan dalam Youtube tidak boleh menjadi bukti bahawa peristiwa itu tidak berlaku kerana ramai yang menyaksikan kasut dibaling ke dalam rumah Allah itu ketika serangan Perkasa ke atas masjid itu.

"Kalau tak ada rakaman sekalipun, kenyataan saksi-saksi juga diiktiraf oleh undang-undang," kata Mahfuz sambil mengulangi penegasan bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada Perkasa.

Ketua Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail (gambar) sebelum itu memberi tempoh selama tujuh hari kepada Mahfuz untuk meminta maaf berikutan kenyataanya bahawa Perkasa membaling kasut ke dalam masjid tersebut.

Beliau juga menuntut tiga akhbar termasuk Harakah menarik balik laporan mengenai perbuatan itu.

Mohd Yusof yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Mahfuz dan tiga akhbar berkenaan jika mereka enggan berbuat demikian.

Beliau mengulangi dakwaannya sebelum ini kononnya apa yang dinyatakan itu tidak berasas sama sekali semata-mata kerana tidak ada rakaman video yang menunjukkan perbuatan membaling kasut itu berlaku.

harakahdaily/-

Padah potong kiri, penunggang motosikal maut digilis treler

23 Syawal 1433H. [MOD] -

RAWANG – Tindakan seorang penunggang motosikal memotong sebuah treler di bahagian kiri jalan membawa padah apabila dia maut dalam keadaan tragis dengan isi kepalanya terburai dilanggar kenderaan 18 tayar itu, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, warga Pakistan, Zulfiqar Ali dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Rawang menghala ke Country Homes.

Sumber berkata, ketika berada di Jalan Sungai Dua berhadapan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan cuba memotong sebuah treler jenis Nissan yang berada di depannya.

Katanya, tindakan mangsa memotong dari bahagian kiri itu berdepan detik malang apabila dia dikatakan terlanggar konkrit pembahagi bahu jalan.

Menurut sumber, akibat daripada itu, motosikal ditunggangi terbabas dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.

“Mangsa yang bekerja sebagai penjual tudung tidak sempat bangun menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya digilis oleh treler cuba dipotongnya sebelum itu.

“Isi kepala mangsa terburai dilenyek tayar bahagian belakang treler yang membawa muatan batu konkrit sebelum disahkan meninggal dunia serta merta,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan memberhentikan kenderaan dipandunya sebaik merasakan tayar belakang terangkat.

Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati treler yang terbabit dengan kemalangan tidak mengalami sebarang kerosakan namun motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di parah dikepala,” katanya lagi.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257.

sinar harian/-

73 terbunuh dalam serangan ke atas tentera

23 Syawal 1433H. [MOD] -

(Antara kenderaan tentera yang hancur akibat serangan di Dujail, Iraq)

BAGHDAD: Serangan kumpulan bersenjata telah membunuh sekurang-kurangnya 73 orang dalam serangan bertalu-talu di Iraq, membunuh askar di pos tentera dan mengebom polis rekrut yang menunggu untuk memohon pekerjaan.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut tetapi al-Qaeda di Iraq, dikatakan telah berikrar untuk mengukuhkan kedudukannya di Irag dan merampas kembali kawasan-kawasan yang mereka dipaksa berundur oleh tentera Amerika Syarikat tahun lepas.

Dalam serangan dahsyat itu, kumpulan bersenjata menyerbu kumpulan tentera kecil Iraq di bandar Dujail sebelum subuh, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang askar dan mencederakan lapan yang lain, menurut laporan pegawai polis dan pegawai hospital di bandar berdekatan Balad, kira-kira 80km di utara Baghdad.

Para pegawai tersebut tidak mahu mendedahkan nama mereka kerana tidak diberi kebenaran untuk mendedahkan sebarang maklumat.

harakahdaily/-

Anwar: Biar polis siasat isu senjata api

23 Syawal 1433H. [MOD] -

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahakan isu pengawal peribadinya yang didakwa mengeluarkan sepucuk senjata api dalam satu insiden di Jasin, Melaka semalam untuk siasatan polis.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata pengawal peribadinya itu memberitahunya bahawa lelaki berkenaan bertindak demikian kerana diancam individu yang menggangu dan menyekat bas PKR dalam insiden tersebut.

anwar malacca jasin tour bus bodyguard gun 090912Anwar berkata, pengawal peribadinya itu berpendirian bahawa tindakan itu mengikut garis panduan dan beliau menerima ancaman.

"Saya serahkan kepada polis," katanya yang menambah, isunya adalah untuk memastikan bahawa pengawal peribadinya itu bertindak untuk mempertahankan diri dan mengikut garis panduan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di satu majlis rumah terbuka PKR di Pantai Dalam pagi ini.

Laporan edisi bahasa Mandarin NTV7 semalam menyebut, dua polis berpakaian preman bertindak ke atas pengawal peribadi Anwar itu dan memaksa senjata api tersebut dimasukkan semula ke sarungnya.

Pegawal peribadi itu kemudiannya ditahan.

Anwar menegaskan bahawa senjata api yang digunakan pengawal peribadinya itu berlesen.

Kejadian itu berlaku apabila bas yang digunakan PKR untuk kempen Jelajah Merdeka Rakyat disekat oleh kira-kira 20 orang berhampiran kawasan Kampung Rim.

Bas tersebut juga disimbah dengan cat merah.

malaysiakini/-

Mayat terbaring dalam kereta

23 Syawal 1433H. [MOD] -

MAYAT seorang lelaki ditemui dalam kereta BMW dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di kepala kiri dipercayai akibat dihentak dengan objek keras di Bangi semalam.

BANGI – Rasa ingin tahu seorang lelaki mengenai kehadiran sebuah kereta mewah jenis BMW yang tidak bergerak-gerak di kawasan pembuangan sampah di Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2 di sini membawa penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa bunuh semalam.

Mayat Won Sin Keong, 42, dari Batu 9 Cheras ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan memakai seluar jean dan baju T berwarna hitam. Mangsa telah berkahwin.

Mengimbau semula kejadian itu, lelaki yang enggan dikenali itu memberitahu, dia menyedari kewujudan kereta tersebut ketika dia dan ahli keluarganya keluar rumah untuk bersarapan di kedai berhampiran pada pukul 7 pagi.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai bersarapan kira-kira 45 minit kemudian, dia terus berhenti selepas melihat kereta yang masih berada di situ untuk mengetahui apa yang terjadi.

kosmo/-

Team Najib-Muhyiddin retak menanti belah?

23 Syawal 1433H. [MOD] -

Semenjak pasukan Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai BN pada 2009, perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu cuba menonjolkan satu imej kepimpinan yang sepadu.

Namun, di saat pilihan raya makin hampir, tanda-tanda keretakan semakin ketara pada keutuhan kepimpinan yang digambarkan itu dan contoh paling jelas dilihat melalui reaksi kerajaan yang mengelirukan berhubung pindaan Akta Keterangan.

Susulan kepada bantahan Seksyen 114A Akta Keterangan oleh pengendali laman web, Najib pada 14 Ogos mengumumkan di Twitter bahawa beliau akan mengarahkan kabinet mengkaji semula peruntukan undang-undang yang menimbulkan kontroversi itu.

Sehari kemudian, Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat kabinet semasa ketiadaan Najib membuat keputusan yang bertentangan arahan perdana menteri supaya mengkaji semula pindaan tersebut.

Malaysiakini difahamkan bahawa Muhyiddin juga memanggil dua timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu, serta ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin berhubung pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan peruntukan pindaan akta tersebut.

Mesyuarat pada 15 Ogos itu pada awalnya memutuskan untuk menegur ketiga-tiga pemimpin Umno berkenaan ekoran pendirian itu yang bertentangan dengan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan perkata itu namun menjelaskan bahawa ia hanyalah satu cadangan yang ditolak Najib selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet sekali lagi pada 28 Ogos.

Walaupun dengan keputusan perdana menteri sedemikian, Muhyiddin pada 3 September memanggil dua timbalan menteri berkenaan ke pejabatnya,

Perkara ini disahkan sekali lagi oleh Nazri yang hadir ke mesyuarat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tiada sebarang teguran dikeluarkan.

Menteri undang-undang itu juga berkata, beliau tidak memanggil timbalan menteri berkenaan tetapi dijemput oleh Muhyiddin untuk menjelaskan peruntukan tersebut kepada Saifuddin dan Gan.

Di sebalik babak yang berlangsung itu, komplot politik di peringkat parti nampaknya juga sedang digerakkan.

Menurut sumber PKR, puak Umno yang memihak kepada Muhyiddin dipercayai bertanggungjawab membocorkan dokumen projek sambungan LRT laluan Ampang yang mengaitkan Najib dalam pemberian kontrak kontroversi itu kepada George Kent (Malaysia) Bhd.

PKR menggunakan dokumen tersebut untuk menyerang Najib dengan dakwaan bahawa perdana menteri masuk campur dalam proses tender terbuka projek tersebut supaya memihak kepada konsortium George Kent.

Pengerusi konsortium tersebut ialah Tan Sri Tan Kay Hock yang disifatkan sering bermain golf dengan Najib.

Ketika dihubungi, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli yang bertanggungjawab mendedahkan skandal itu berkata, identiti individu yang menghantar dokumen tersebut ke ibu pejabat PKR tidak diketahui.

Katanya, dokumen tersebut dihantar dalam satu sampul surat.

"Kesemua dokumen itu lengkap jadi terpulang kepada saya bagaimana hendak menggunakannya," kata Rafizi yang menambah, identiti individu yang menghantar dokumen berkenaan menjadi bahan spekulasi.

malaysiakini/-

FGVHB: Bukti peneroka dikhianati makin terserlah

23 Syawal 1433H. [MOD] -

Maka pada tarikh puaka 28 Jun 2012 tercatatlah di dalam sejarah Malaysia satu lagi pengkhianatan besar oleh pemimpin Melayu ke atas umat Melayu. Kali ini dalam bentuk penggadaian tanah perladangan yang telah diusahakan peneroka Felda berabad-abad lamanya bersama-sama dengan rangkaian perniagaan yang dibina di atas biaya wang peneroka kepada kapitalis rakus yang tidak pernah mencurah barang setitik keringat pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang luas terbentang.

Dalam tempoh 55 tahun, sudah terlalu banyak hak umat Melayu dikhianati. Dibawakan satu contoh di sini sebagai ilustrasi.

Dalam awal tahun 1980an, pemimpin Melayu melalui Bank Bumiputra Malaysia Berhad (yang ditubuhkan kononnya untuk menyediakan pembiayaan kepada orang Melayu menerokai dunia perdagangan dan perindustrian) telah mengkhianati orang Melayu dengan memberi pinjaman berbilion-bilion ringgit kepada seorang kapitalais penipu bernama George Tan, mengenepikan puluhan ribu umat Melayu yang pada ketika itu, amat dahagakan pembiayaan. Akhirnya, Bank Bumiputra Berhad kerugian RM3 bilion. Walau pun telah diselamatkan beberapa kali melalui suntikan wang Petronas (berbilion ringgit jumlahnya), BBMB akhirnya runtuh dan kini hanya tinggal batu nisan. Natijahnya, umat Melayu, setelah 55 tahun merdeka, kekal menjadi kaum termundur dalam dunia perdagangan dan perindustrian.

Dibandingkan dengan skandal BBMB, skandal penggadaian tanah Felda ini adalah satu pengkhianatan berganda-ganda besarnya. Harta paling strategik milik umat Melayu, iaitu, tanah tempat mereka dan keluarga bergantung hidup dan bertelapak, telah digadaikan kepada kapitalis yang sudah sedia kaya. Bukan tidak ada peneroka yang menentang pengkhianatan ini tetapi penentangan menjadi tidak bermaya apabila umat Felda disuakan dengan habuan kebendaan yang tidak seberapa nilainnya. Mereka telah termakan umpan keuntungan segera. Tidak cukup, mereka dibuai pula dengan lagu “putar alam” mainan media perdana yang menjadi alat pemimpin Melayu yang khianat. Malang sekali umat Melayu yang memiliki pemimpin yang khianat.

Setelah kertas bernama saham (yang menjadi sijil milik ke atas aset yang dipindahmilik secara tidak sah kepada syarikat bernama Felda Global Ventures Holding Berhad) bertukar tangan pada hari puaka itu, maka peneroka Felda hanya memilik 2.5% dari jumlah saham yang diapongkan dan 97.5% lagi berpindah ke tangan kapitalis yang mengejar keuntungan.

Jelas, peneroka telah termakan janji palsu bahawa “kepentingan mereka di dalam Felda tetap akan terpelihara dan tidak hilang barang seinci pun” walhal, akibat penyenarainan, pemilik majoriti kepentingan Felda sekarang ialah pelabur bukan peneroka. Apakah mereka mahu menafikan kenyataan bahawa mereka kini hanya memiliki 2.5% saham di dalam FGVHB dan 97.5% lagi sudah dikuasai dan dikawal oleh pelabur bukan peneroka?

Sedarkah mereka bahawa daripada RM400 juta dividen awal yang bakal diagihkan, mereka hanya menerima RM10 juta sedangkan RM390 juta akan dinikmati pelabur bukan peneroka? Apakah mereka masih tidak mahu percaya bahawa akibat pengapongan saham FGVHB, pengurusan harta mereka termasuklah tanah milik peribadi mereka (seluas 10-12 ekar seorang) dan urusan jual-beli hasil, sudah dimonopoli dan diurus oleh FGVHB yang bukan lagi milik peneroka?

Satu perkara yang wajar didedahkan ialah, saham FGVHB pada awalnya dijangka diapongkan pada harga terbitan awam awal RM5.85 se saham. Tetapi, prestasi FGVHB yang menurun dan pasaran saham dunia yang lemah memaksa harga terbitan diturunkan kepada RM4.55 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.45 se saham.

Penyenaraian FGVHB yang dibuat dalam masa pasaran saham yang lemah ini telah membawa kerugian besar kepada Felda. Berdasarkan jumlah saham yang diapongkan, iaitu, 2.19 bilion unit, pada harga RM4.55 se unit, penyenaraian menjana RM9.93 bilion. Tetapi, pada harga RM5.85 seunit, dana yang dijana berjumlah RM11.8 bilion.

Penyenaraian yang tergegsa-gesa yang gagal mengambilkira keadaan pasaran saham yang lemah telah membawa kerugian sebanyak kira-kira RM2 bilion kepada Felda dan FGVHB. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak professional dan mengkhianat Felda dan peneroka. Sepatutnya penyenaraian dibuat dalam keadaan pasaran yang membawa keuntungan maksimum kepada Felda.

Saham FGVHB diapongkan pada 28 Jun 2012 pada harga terbitan awam awal RM4.55 se saham (harga pembeli institusi) dan RM4.45 sesaham (harga pembeli runcit). Pada hari pertama pengapongan harga ditutup pada RM5.30 sesaham, kenaikan sebanyak RM0.75 atau 16.5%. Kenaikan ini sederhana berbanding dengan jangkaan bahawa harga saham FGVHB akan melonjak tinggi sehingga ke RM6.00-7.00 seunit menghasilkan keuntungan durian runtuh kepada pemegang saham. Ini tidak terjadi sehingga kini, setelah hampir dua setengah bulan saham diapongkan.

Harga tutup tertinggi pernah dicapai ialah RM5.50 se saham (pada 4 Julai dan 11 Julai). Harga tutup semalam (Rabu, 5 september 2012) ialah RM4.85 se saham, iaitu, premium sebanyak RM0.30 atau 6.6% di atas harga terbitan awam awal. Kenaikan harga yang sederhana ini memeranjatkan ramai penganalisis pasaran kerana lonjakan besar yang dijangka dan diuwar-uwarkan oleh pengerusi Felda tidak terjadi.

Di dalam prospektus penyenaraian FGVHB, tidak didedahkan unjuran keutungan untuk tahun 2012. Yang ada ialah maklumat kewangan interim (laporan kewangan tidak terodit) yang mendedahkan bahawa untuk tiga bulan pertama berakhir pada 31 Mac 2012, FGVHB untung sebanyak RM223.212 juta berbanding RM350.158 juta untuk tempoh yang sama (3 bulan) dalam tahun 2011, kemerosotan sebanyak RM126.944 atau 36.2%.

Laporan kewangan terkini (disiarkan oleh media pada 28 Ogos 2012) menunjukkan bahawa keuntungan FGVHB pada setengah tahun 2012 (6 bulan pertama berakhir 30 Jun 2012) berjumlah RM380.5 juta, lebih rendah daripada unjuran kebanyakan pengalisis pasaran. Jumlah keuntungan ini hanyalah 39% dari untung yang diunjurkan bagi tahun 2012 (sekitar RM1.2 bilion). Dibandingkan dengan keuntungan 6 bulan pertama 2011 (RM638.4 juta), keuntungan dalam 6 bulan pertama 2012 merosot sebanyak 34%, berpunca dari pengeluaran buah sawit (buah tandan segar) yang merosot, kenaikan kos operasi dan sumbangan sektor gula yang megecil.

Walaupun keuntungan kurang memuaskan, pada 28 Ogos 2012, FGVHB telah mengishtiharkan dividen awal (interim) sebanyak 5.5% se saham yang bakal dibayar pada atau sebelum 28 November 2012. Ini adalah tindakan untuk menyokong pasaran tetapi kesannya kepada harga saham nampaknya tidak memberangkan.

Pembayaran dividen ini tidak membawa apa-apa makna kepada nasib 112,000 peneroka kerana mereka hanya memegang 830 unit saham FGVHB se orang. Sebahagian besar dividen akan dinikmati oleh pemegang saham utama (cornerstone investors) yang terdiri daripada Lembaga Tabugn Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pengurus dana antarabangsa seperti BlackRock Fund Advisors, FIL Investment Mangement (Singapore) Ltd., Goldman Sachs Asset Management Brazil Ltda., The Vanguard Group, Inc.,

ThreadNeedle Asset Mangement Limited dan Legal and General Investment Management Ltd. Kumpulan pemegang saham yang digelar “cornerstone investors” setakat ini menguasai 21.35% saham FGVHB dan merekalah yang akan mengaut sebahagian besar dividen. Golongan yang tidak pernah berjerih payah membangunkan hutan belentara menjadi perladangan terbesar di dunia kini mengaut nikmat terbesar sedangkan peneroka yang mengorbankan keringat, airmata dan darah - kerana mereka tidak mampu membeli sekeping kertas yang bernama saham - hanya menggigit jari.

Berikutan penyenaraian FGVHB, peneroka Felda diperuntukkan 830 unit saham setiap seorang. Namun, setelah lebih dairpada 2 bulan berlalu, didapati masih ramai yang belum membayar harga saham berkenaan (kira-kira RM3,800) kerana tidak mampu. Juga, ramai peneroka yang beranggapan saham itu adalah percuma. Ini bermakna, tanpa memiliki sekeping kertas bernama saham, peneroka tidak ada hak ke atas dividen 5.5% yang bakal dibayar.

Menyedari hal ini, Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Felda akan membiayai pembelian saham oleh peneroka dengan bayaran balik yang mudah sebanyak RM50 sebulan. Langkah baru ini mengesahkan bahawa penyenaraikan FGVHB tidak membawa apa-apa keuntungan kepada peneroka. Yang untung besar hanyalah kroni dan kaum pemodal tempatan dan antarabangsa yang sudah sedia kaya. Pemberian pembiayaan ini tidak lain hanyalah umpan untuk memancing undi peneroka. Manakah dia saham percuma yang pernah dijanjikan?

Selain dari itu, peneroka kononnya bakal diberi “bonus” RM400 seorang. Ini satu penipuan kerana yang bakal diberi kepada peneroka itu bukan “wang percuma” tetapi itu adalah dividen daripada saham yang mereka pegang (5.5% daripada 830 unit saham). Bukan semua peneroka akan mendapat dividen ini kerana ramai yang tidak membeli saham.

Ada penganalis berpandangan bahawa prestasi keuntugan FGVHB bagi setengah tahun terakhir 2012 akan bertambah baik kerana pengeluaran buah meningkat. Namun, majoriti penganalis mengunjurkan bahawa keuntungan bagi tahun kewangan 2012 akan lebih rendah dari unjuran awal memandangkan lebih dari 50% pokok sawit yang ada sudah tua dan perlu ditanam semula. Kos penanaman semula bakal berjumlah RM2.6 bilion. Kenaikan kos operasi bersama penurunan hasil buah memberi kesan negatif kepada prestasi syairkat menyebabkan harga saham akan tertekan. Jumlah saham yang besar dan keadaan pasar saham yang tidak menentu juga boleh membawa kesan menurun kepada harga saham. Persaingan sengit daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia, juga akan memberi kesan negatif kepada harga sawit and akhirnya menekan harga saham FGVHB.

HARAKAHDAILY/-

Botak diburu

23 Syawal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA: Seorang lelaki dikenali sebagai Botak dikehendaki polis selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di SS19, di sini, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, Botak atau nama sebenar Hanizam Md Yufos, 37, dengan alamat terakhir Seksyen 18, Shah Alam, diburu selepas jiran mangsa mengecam wajahnya ketika melarikan diri dari tempat kejadian.

Yahaya berkata, dalam kejadian 19 Mac lalu kira-kira jam 4.35 petang Botak dilihat memasuki rumah berkenaan yang dihuni seorang pereka grafik berusia 29 tahun.

“Jiran mangsa curiga dengan lelaki terbabit yang tidak dikenali segera menghubungi polis memaklumkan kejadian sebelum suspek kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan rumah mangsa dengan menaiki kereta.

“Sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang tiba di tempat kejadian mendapati pintu pagar rumah berkenaan diumpil, manakala penghuninya tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya pada sidang media di Balai Polis Subang Jaya, SS17, di sini, sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, kelmarin.

Yahaya berkata, siasatan mendapati rumah berkenaan digeledah dan mangsa mengadu kehilangan dua kamera, wang tunai RM2,000 dan pakaian serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. “Polis turut memburu seorang lelaki lelaki dipercayai penjenayah berbahaya selepas terbabit dalam kes samun kafe siber bersenjatakan parang di Taman Sime UEP, di sini, akhir tahun lalu.

“Suspek terbabit dikenali sebagai Zakaria Mat Yunus, 42, dengan alamat terakhir di Taman Semenyih Jaya, Semenyih, menyerbu masuk ke premis berkenaan bersama seorang lagi rakan yang identitinya belum dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian 17 November 2011 kira-kira jam 9.30 malam sekumpulan dua lelaki masuk ke kafe siber itu dan terus menuju ke arah juruwang sambil mengacukan parang.

“Suspek mengugut untuk mencederakan mangsa jika gagal mengikut arahan dan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang RM1,300 hasil perniagaan,” katanya.

Yahaya berkata, orang ramai mempunyai maklumat tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi IPD Subang Jaya di talian 03-56373722

METRO/-

Puting beliung landa pantai New York

23 Syawal 1433H. [MOD] -

SEORANG lagi penduduk, Joey Mure merakamkan gambar puting beliung di Breezy Point.

NEW YORK - Dua puting beliung melanda pantai di pinggir bandar raya ini kelmarin menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebuah kawasan.

Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan apabila puting beliung tersebut melanda sebuah kawasan perumahan di tepi pantai.

Satu lagi puting beliung berlaku 20 minit kemudian.

Beberapa orang sempat merakamkan imej puting beliung itu.

"Saya sedang menunjukkan video (yang dirakamkan menerusi telefon bimbit) tentang puting beliung kepada seorang anak lelaki saya berusia empat tahun. Dua minit kemudian puting beliung melanda," kata seorang penduduk di kawasan Breezy Point, Peter Maloney.

Sebahagian atap bangunan rosak akibat puting beliung tersebut.

Seorang penduduk dilaporkan mengalami kecederaan ringan semasa pentas runtuh pada Festival Rosslyn Jaz di daerah Arlington, Virginia. - Agensi

Lynas: AELB didakwa terburu-buru lulus TOL

23 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa kecewa kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kerana dilihat terburu-buru meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas walaupun mahkamah Kuantan sudah membenarkan penilaian semula.

Pada 28 Ogos tempoh hari, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan penilaian semula ke atas keputusan menteri dari MOSTI iaitu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili kerana menolak rayuan kumpulan Anti-Lynas pada bulan jun yang lalu.

AJK BPPNP merangkap pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga merupakan pengerusi Stop Lynas Coalition(SLC) Andansura Rabu (gambar bawah) berkata, beliau melahirkan rasa terkejut dengan keputusan terburu-buru AELB itu.

"Lebih-lebih lagi keputusan itu dilihat seolah-olah menghina keputusan mahkamah kuantan, ditambah pula dengan kes rayuan Stop Lynas Coalition (SLC) yang akan didengar mahkamah 10hb september ini," katanya.

Keputusan AELB itu disifatkan beliau tidak masuk akal dan amat memalukan bagi sebuah agensi dan kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah alam sekitar.

"Keputusan terburu-buru seperti itu akan mendorong persepsi negatif dari pihak awam bahawa AELB seolah-olah berkhidmat untuk lynas dan bukan untuk rakyat," katanya.

Ketika pihaknya masih tertanya-tanya halatuju MOSTI sama ada ingin melupuskan sisa buangan radioaktif mereka melalui 'Permanent Disposal Facility' (PDF) atau dihantar kembali ke Australia termasuklah pelan terperinci pengurusan sisa berjadual dari LYNAS itu, MOSTI melalui AELB sanggup mengambil keputusan terburu-buru seperti ini.

"Sudah terang lagi bersuluh, kerajaan Umno dan BN khususnya MCA tidak pernah mengambil kira soal nyawa rakyat, malah meletakkan keuntungan ekonomi yang tidak setimpal itu.

"Dengan pengecualian cukai selama 12 tahun serta peluang pekerjaan kepada hanya 300 orang sahaja melebihi kepentingan hampir 900,000 ribu nyawa rakyat kuantan," ujar beliau sambil memberi jaminan bahawa PAS negeri akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap MOSTI khususnya AELB dan Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pahang yang juga merupakan Timbalan Pengarah II Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery(Badar), Ustaz Suhaimi Md. Saad (gambar) ketika dihubungi pula berkata tindakan AELB ini mirip tindakan sama yang dibuat AELB di Bukit Merah satu ketika dahulu.

"Seolah-olah tindakan seperti ini sudah dirancang terlebih awal untuk mengelak kesan ekonomi yang berpanjangan kepada Lynas," kata Suhaimi.

"Kita dimaklumkan saham Lynas sudah menjunam teruk semenjak tahun lepas, lebih dari AUD2.00 kepada AUD0.82 hari ini.

"Oleh kerana itu, mungkin AELB cuba menyelamatkan Lynas," ujar beliau yang menyeru seluruh rakyat Kuantan dan di seluruh negara untuk bangkit membantah keputusan AELB dan MOSTI ini termasuklah menukar pemerintah yang sedia ada sebagai satu-satunya pilihan atau alternatif akhir untuk menutup Lynas.

harakahdaily/-

09 September 2012

Gempa kuat landa Papua, tiada amaran tsunami dikeluarkan

21 Syawal 1433H. [MOD] -

JAKARTA 9 Sept. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 skala Richter menggegarkan wilayah Papua, Indonesia petang semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Klimatologi, Geofizik dan Meteorologi berkata, gempa tersebut melanda pada pukul 7.51 petang waktu tempatan (6.51 petang waktu Malaysia), berpusat di 56 kilometer barat laut Nabire di barat Papua dengan kedalaman 55 kilometer.

Tiada kematian atau kerosakan dilaporkan. - DPA

BAS jelajah Anwar disimbah cat lagi

21 Syawal 1433H. [MOD] -

Bas yang digunakan bagi program Jelajah Merdeka Rakyat anjuran PKR melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disimbah cat lagi di Jasin, Melaka hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, bas tersebut disimbah cat merah kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di kawasan itu.

NONE
"Bas datang dalam jam 3.30 petang di Kampung Rim untuk hadiri program Aidilfitri. Tiba-tiba kami didatangi kira-kira 20 samseng BN yang halang laluan bas kami.

"Kami tahu itu BN kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka," dakwanya ketika dihubungiMalaysiakini.

Katanya, beliau berada dalam bas itu bersama Anwar dan pemimpin PKR negeri ketika kejadian.

Menceritakan detik cemas itu, Shamsul memberitahu, insiden bermula apabila bas yang dinaiki mereka dihalang daripada melalui jalan di kampung tersebut, sehingga mendorong berlaku perbalahan antara petugas AMK dan kumpulan itu.

''Memang ada pergelutan antara skuad AMK dengan mereka. Tetapi akhirnya mereka beri laluan. Selain cat, mereka juga balik objek lain. Tapi saya tak pasti objek apa," kata Shamsul.

Anwar: Samseng makin berani & biadap

Sehubungan itu, Shamsul berkata, PKR Jasin akan membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut selepas majlis jamuan Aidilfitri selesai, dijangka lewat petang ini.

''PKR Jasin akan membuat laporan polis selepas ini. Tetapi apa yang kita kesalkan ialah, pihak polis hanya tiba selepas setengah jam kejadian. Baru mereka datang," katanya lagi.

Kejadian ini merupakan kejadian kedua selepas Sabtu lalu, bas sama disimbah dengan cat merah di Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 4.20 pagi ketika bas tersebut diparkir di hadapan Pasar Siti Khadijah.

Sementara itu, Anwar Ibrahim di laman Facebooknya mengecam insiden itu.

''Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadap!'' tulis Anwar.

Malayskaini/-

06 September 2012

Bajet 2013: Bimbang daya tahan ekonomi negara

18 Syawal 1433H. [MOD] -

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan daya saing dan daya tahan negara.

Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70% dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Pengunjung puji kreativiti Zunar sampai mesej

18 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Pameran kartun yang bertempat di Galeri Shah Alam telah membuka minda pengunjung dengan apa yang berlaku di negara ini apabila pameran yang diadakan selama sembilan hari bermula 1 hingga 9 September itu sentiasa mendapat kunjungan orang ramai.

Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar mengadakan pameran solo beliau berhubung hasil kreatif melalui kartun dengan mengkritik pentadbiran kerajaan sekarang ini untuk kali ketiga setelah mengadakan dua pameran di luar negara iaitu di Bilbao, Sepanyol pada tahun 2011 dan di London pada awal tahun 2012.

Tinjauan Harakahdaily mendapati pameran tersebut tidak pernah lekang dengan pengunjung apabila setiap masa terdapat pengunjung yang hadir untuk melihat secara dekat hasil lukisan Zunar yang telah mencetuskan kontroversi di dalam negara ini sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengharamkan hasil lukisannya.

Ismail Baba yang juga seorang pelukis 'Native Artist', menyifatkan lukisan Zunar itu memberikan satu kenangan peristiwa yang benar-benar berlaku sebelum ini.

Menurutnya lagi, lukisan tersebut telah memberi manfaat untuk masyarakat membuka minda terhadap apa yang ingin disampaikan oleh lukisan tersebut.

"Mesej dalam kartun itu merupakan satu sindiran, kalau terlalu emosional membawa kepada perasaan tapi kalau sebagai yang bersifat sinis makna ia hanya sebagai satu pandangan baik atau buruk untuk kita fikirkan.

"Ia juga menunjukkan satu kreativiti dan ada pembaharuan yang ingin beliau sampaikan dengan apa yang berlaku, meseg yang disampaikan ini ada betulnya tetapi dalam keadaan masih lagi diselindungi dan memerlukan kita berfikir," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, masyarakat perlu bersikap fikiran yang terbuka apabila melihat hasil lukisan tersebut. kepada individu yang memahaminya mereka boleh menerima penyampaian tersebut tetapi bagi mereka yang tidak mungkin mengatakan ia akan merosakkan minda generasi yang akan datang.

Sementara itu, Asraf Abd Wahad yang seorang peniaga berpendapat hasil yang ditunjukkan oleh pelukis tersebut adalah satu yang genius serta tepat dengan isu semasa walaupun hanya sekeping kertas sahaja.

"Sesiapa yang tengok boleh faham dengan apa yang ingin disampaikan, saya pasti pengunjung tidak memerlukan masa yang lama untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh Zunar.

"Pameran seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang, promosi juga perlu dilakukan kerana setiap masyarakat harus hadir untuk mengetahui apa yang berlaku di negara ini melalui sekeping kertas sahaja," kata beliau yang hadir bersama isterinya.

Dalam pada itu, Norizan Mahyudin turut nenyatakan ia merupakan tanda positif dalam mewujudkan reformasi negara untuk pertukaran kerajaan yang ada sekarang.

"Mesej yang ada cukup tepat yang telah disampaikan dan ini boleh memberi kesan kepada mereka yang hadir terutamanya kepada generasi yang akan datang.

"Ia juga merupakan satu penyampaian maklumat yang amat halus untuk kita sampaikan kerana kita tidak menpunyai ruang di media untuk kita terangkan kepada rakyat," jelasnya.

Kata beliau lagi, generasi yang ada sekarang akan nampak dengan jelas apa yang telah berlaku di negara ini kerana hasil lukisan tersebut disampaikan secara jelas.

"Orang ramai perlu hadir untuk lihat secara dekat apa yang ingin disampaikan oleh Zunar melalui lukisan beliau," tambahnya.

Selain lukisan-lukisan kartun beberapa buah buku-buka beliau yang telah diharamkan oleh KDN turut dipamerkan.

Pada Julai 2011, Zunar telah menerima anugerah "Courage in Editorial Cartoon" (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washinton DC.

harakahdaily/-