18 Syawal 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM: Pameran kartun yang bertempat di Galeri Shah Alam telah membuka minda pengunjung dengan apa yang berlaku di negara ini apabila pameran yang diadakan selama sembilan hari bermula 1 hingga 9 September itu sentiasa mendapat kunjungan orang ramai.
Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar mengadakan pameran solo beliau berhubung hasil kreatif melalui kartun dengan mengkritik pentadbiran kerajaan sekarang ini untuk kali ketiga setelah mengadakan dua pameran di luar negara iaitu di Bilbao, Sepanyol pada tahun 2011 dan di London pada awal tahun 2012.
Tinjauan Harakahdaily mendapati pameran tersebut tidak pernah lekang dengan pengunjung apabila setiap masa terdapat pengunjung yang hadir untuk melihat secara dekat hasil lukisan Zunar yang telah mencetuskan kontroversi di dalam negara ini sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengharamkan hasil lukisannya.
Ismail Baba yang juga seorang pelukis 'Native Artist', menyifatkan lukisan Zunar itu memberikan satu kenangan peristiwa yang benar-benar berlaku sebelum ini.
Menurutnya lagi, lukisan tersebut telah memberi manfaat untuk masyarakat membuka minda terhadap apa yang ingin disampaikan oleh lukisan tersebut.
"Mesej dalam kartun itu merupakan satu sindiran, kalau terlalu emosional membawa kepada perasaan tapi kalau sebagai yang bersifat sinis makna ia hanya sebagai satu pandangan baik atau buruk untuk kita fikirkan.
"Ia juga menunjukkan satu kreativiti dan ada pembaharuan yang ingin beliau sampaikan dengan apa yang berlaku, meseg yang disampaikan ini ada betulnya tetapi dalam keadaan masih lagi diselindungi dan memerlukan kita berfikir," jelasnya kepada Harakahdaily.
Tambah beliau, masyarakat perlu bersikap fikiran yang terbuka apabila melihat hasil lukisan tersebut. kepada individu yang memahaminya mereka boleh menerima penyampaian tersebut tetapi bagi mereka yang tidak mungkin mengatakan ia akan merosakkan minda generasi yang akan datang.
Sementara itu, Asraf Abd Wahad yang seorang peniaga berpendapat hasil yang ditunjukkan oleh pelukis tersebut adalah satu yang genius serta tepat dengan isu semasa walaupun hanya sekeping kertas sahaja.
"Sesiapa yang tengok boleh faham dengan apa yang ingin disampaikan, saya pasti pengunjung tidak memerlukan masa yang lama untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh Zunar.
"Pameran seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang, promosi juga perlu dilakukan kerana setiap masyarakat harus hadir untuk mengetahui apa yang berlaku di negara ini melalui sekeping kertas sahaja," kata beliau yang hadir bersama isterinya.
Dalam pada itu, Norizan Mahyudin turut nenyatakan ia merupakan tanda positif dalam mewujudkan reformasi negara untuk pertukaran kerajaan yang ada sekarang.
"Mesej yang ada cukup tepat yang telah disampaikan dan ini boleh memberi kesan kepada mereka yang hadir terutamanya kepada generasi yang akan datang.
"Ia juga merupakan satu penyampaian maklumat yang amat halus untuk kita sampaikan kerana kita tidak menpunyai ruang di media untuk kita terangkan kepada rakyat," jelasnya.
Kata beliau lagi, generasi yang ada sekarang akan nampak dengan jelas apa yang telah berlaku di negara ini kerana hasil lukisan tersebut disampaikan secara jelas.
"Orang ramai perlu hadir untuk lihat secara dekat apa yang ingin disampaikan oleh Zunar melalui lukisan beliau," tambahnya.
Selain lukisan-lukisan kartun beberapa buah buku-buka beliau yang telah diharamkan oleh KDN turut dipamerkan.
Pada Julai 2011, Zunar telah menerima anugerah "Courage in Editorial Cartoon" (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washinton DC.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan