06 September 2012

Janji Demokrasi: Mat Sabu turut dipanggil polis

18 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turut dipanggil hadir ke ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Mohamad yang menerima notis panggilan ke balai polis petang semalam berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pihak polis akan hadir untuk memberi keterangan pada Ahad ini.

"Saya tak boleh hadir hari ini kerana berada di Kedah, esok di Melaka, jadi saya akan hadir ke balai polis petang Ahad," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah turut menerima notis sama meminta beliau hadir ke IPD Dang Wangi juga berkaitan perhimpunan anjuran Gabungan Janji itu.

Turut menerima notis semalam, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang akan hadir ke Dang Wangi petang ini.

Empower dalam kenyataan berkata, Maria akan bersama-sama Pak Samad untuk melaporkan diri hari ini di IPD Dang Wangi pada pukul 3.00 petang dengan ditemani peguam.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Pak Samad terdiri daripada golongan muda akan berkumpul di hadapan balai polis Dang Wangi bagi menunjukkan solidariti terhadap Pak Samad.

Pak Samad turut menerima tindakan sama ekoran puisi "Unggun Bersih" yang dibaca di majlis pelancaran Bersih 2.0, Jun tahun lalu.

Tiada ulasan: