18 Syawal 1433H. [MOD] -
PASIR MAS – Seorang remaja maut dalam kemalangan di Kampung Tok Dap, jam 9.45 malam, Isnin lalu dan hanya ditemui orang ramai, 17 jam kemudian.
Mangsa terkejut
Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa, Mohd Zairul Azri Mohd Zuri, 16, ditemui orang ramai di sebalik semak bersama motosikal yang dinaiki.
Haliludin berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal ke kampung Tok Dap, selepas tamat kelas tambahan.
“Tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 65 tahun, menunggang motosikal dari arah sama cuba membelok ke sebelah kiri.
“Terkejut dengan kejadian itu, mangsa cuba mengelak lalu melanggar tiang di sebelah kanan jalan lorong bertentangan,” katanya semalam.
Tidak diketahui
Beliau berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar, mengalami patah tengkuk dan pinggang.
Haliludin berkata, mangsa hanya ditemui 17 jam selepas kemalangan, dalam keadaan bersujud.
"Mangsa mungkin cuba bangun, namun kecederaannya menyebabkan dia tidak dapat bergerak, sehingga menemui ajal di situ," katanya.
Menurutnya, warga emas berkenaan mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, sebaliknya remaja terbabit menemui ajal di kawasan kejadian tanpa diketahui orang ramai.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan, dan kita memohon saksi yang melihat kejadian, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tanam sikap perikemanusiaan
Haliludin menasihati pengguna jalan raya, agar menanam sikap perikemanusiaan dan tanggungjawab sekiranya berdepan dengan situasi seperti ini.
“Tidak kiralah siapa yang salah atau siapa yang benar kerana jika kita berdepan kecemasan, kita perlu membantu mangsa lain.
“Jangan bersikap ‘janji saya selamat’, sedangkan orang lain mengerang kesakitan sehingga menemui ajal,” katanya.
Usaha cari anak
Selepas hampir 17 jam mencari, akhirnya seorang bapa menemui mayat anak sulungnya, dalam keadaan bersujud, jam 2 petang kelmarin.
Bapa, Mohd Zuri Ismail, 41, berkata, mereka sekeluarga mula risau dengan keadaan Zairul Azri, yang tidak pulang selepas keluar ke kelas tambahan, malam itu.
“Saya, isteri dan ahli keluarga yang lain, mencari di rumah rakan-rakannya termasuklah di balai polis, namun hampa.
“Kami tidak menyangka hanya akan menemuinya, dalam keadaan tidak bernyawa, keesokan hari,” katanya.
Hilang anak lelaki tunggal
Mohd Zuri turut kesal dengan pihak terbabit dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Kejadian itu katanya, mengorbankan satu-satunya anak lelaki mereka, malah anak sulung daripada empat beradik.
“Setidak-tidaknya, dia boleh memberitahu orang lain, agar anak saya mendapat rawatan segera.
“Sekiranya dia melaporkan kejadian ini, Zairul Azri boleh diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, dia membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan menyerahkan tugas tersebut kepada pihak berkuasa.
"Kami sekeluarga reda, namun berharap perkara sama tidak berulang akan datang," katanya.
sinar harian/-
2 ulasan:
sial punya orang tua patutnya dia yang mampos dah banyak buat dosa tergamak meninggalkan budak muda yang baru nak hidup mengerang kesakitan sendirian...mana perginya kemanusian masyarakat sekarang ni...
Catat Ulasan