18 Syawal 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Hidangan ayam goreng, nasi lemak dan minuman percuma antara taktik terkini pengusaha kafe siber haram untuk menarik lebih ramai kaki judi ke premis mereka.
Justeru, ada kaki judi yang sanggup menghabiskan wang di premis terbabit dan tidak tidur selama dua hari dua malam kerana begitu taksub dengan aktiviti perjudian tanpa mempedulikan keperluan diri.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya juga berjaya mengesan ‘keistimewaan’ itu berdasarkan risikan yang dilakukan bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Hasil siasatan polis dan Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga mendapati, ada pelanggan yang sanggup tidak balik ke rumah dalam tempoh dua hari akibat penangan judi Internet itu.
“Risikan ini bertujuan memerangi kegiatan haram yang dilakukan pemilik atau penyewa premis terbabit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, di sini, semalam.
Menurutnya, selain faktor itu, layanan pemilik kafe siber yang mesra juga antara tarikan ke arah aktiviti tidak sihat itu.
Beliau berkata, bagi membanteras kegiatan berkenaan, tugas itu bukan saja menjadi tanggungjawab MPK, tetapi pihak berkuasa lain seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Telekom Malaysia Berhad (Telekom) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Zulkifli berkata, bagi mengelakkan sebarang penipuan ‘berselindung’, sebanyak 68 kafe siber yang berlesen akan diwajibkan memasang cermin lut sinar di premis masing-masing berkuat kuasa serta merta.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memudahkan penguat kuasa memantau dan melihat aktiviti kafe siber yang sebahagiannya memasang cermin gelap pada masa kini.
“Oleh kerana kafe siber sering dikunjungi orang ramai terutama remaja, syarat baru ini diharap menghalang aktiviti perjudian di daerah ini.
“Kita bimbang jika kegiatan ini tidak dikawal ia akan berpanjangan dan boleh memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas beberapa bulan lalu yang membabitkan MPK, polis, SKMM, SPRM, Telekom dan TNB memberi petanda positif kegiatan itu dapat ditangani dengan baik.
sinar harian/-
1 ulasan:
Baguslah jika sang penguatkuasa bertindak begitu. Cuma jangan nanti tindakan jadi hangat-hangat tahi ayam sudahlah. Mula bukan main gah nak cegah sana-sini tapi akhirnya habuk pun takde. Usaha mencegah perjudian ini memang baik dan amat digalakkan. Walau bagaimanapun janganlah hanya ikan bilis saja yang dikerjakan. Jerung-jerung dilupakan jangan.
Catat Ulasan