07 Januari 2013

3 sahabat rompak bersenjata

24 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU -Tiga sahabat berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana merompak sebuah motosikal milik seorang pekerja kampung menggunakan pisau di Kuala Krai, Disember tahun lalu. Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, Mohamad Azizi Ab.Rashid, 24 dan Norhafizi Nordin, 21, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas pertuduhan dibacakan. Bagaimanapun Hakim Azman Mustapa menetapkan 13 Januari ini untuk sebutan semula kes sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas merompak motosikal Honda EX5 milik Mohd Elias Mat Isa, 24, jam 11.30 malam di tepi jalan sebuah sekolah di Kuala Krai. Semasa melakukan rompakan pada 4 Disember lalu tertuduh bersenjatakan pisau, oleh itu kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 395/377 Kanun Keseksaan. Kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norhamizah Ghazali dan jaminan tidak ditawarkan terhadap tertuduh. Sinar Harian

Gol penyamaan RVP selamatkan maruah United

24 Safar 1433H. [MOD] - RAMALAN Alex Ferguson tidak pernah silap. Dia juga tidak pernah putus harap meskipun kekalahan semakin menghampiri Manchester United. Kemasukan Robin van Persie minit ke-68 tidak sia-sia dan dia sekali lagi menjadi penyelamat maruah The Red Devils untuk meledak gol penyamaan di saat mereka diambang kekalahan. “Ketika pasukan ketinggalan 1-2 dengan harapan hanya tinggal beberapa minit sahaja sebelum wisel penamat, tiada apa yang boleh diharapkan selain keajaiban. “Keajaiban itu datang sebaik van Persie menyempurnakan hantaran Ryan Giggs terus ke arah gawang. “van Persie terlalu hebat. Permainannya semakin matang dan kematangan itu berjaya di terjemah di barisan hadapan,” katanya tidak akan sesekali menyalahkan pasukan sekiranya mereka tersungkur kepada West Ham United di pusingan ketiga Piala FA, awal pagi semalam. Sementara itu, pemain tengah West Ham Joe Cole akur dengan kekalahan tersebut meskipun kemenangan semakin hampir menjadi milik mereka. “Kami kehilangan peluang itu. Kami bermula baik. Jentera pertahanan begitu kukuh. Cuma kami tidak bernasib baik gagal meraih kemenangan. “Kami perlu kembali ke Old Trafford dan menebus kekecewaan ini, walaupun sedar pertempuran pasti lebih hebat,” katanya yang terpaksa menahan kesakitan akibat hidung berdarah. Sinar Harian

Irwan berjaya tebus duka final Piala Malaysia 2012

24 Safar 1433H. [MOD] - JIKA pada tahun lalu, bek pasukan Angkatan Tentera Malaysia (FAM) Irwan Fadli Idrus sekadar menjadi pemerhati dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan gara-gara hukuman penggantungan akibat menerima dua kad kuning. Tetapi, dia segera tebus kembali kedukaan itu berdepan lawan sama, cuma kali ini pada saingan pembuka tirai Liga Malaysia 2013 merebut Piala Sumbangsih. Bukan itu sahaja, Irwan berjaya menyelamatkan maruah The Gladiators apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sekali gus mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti bagi tentukan pemenang. “Saya puas dapat bantu ATM julang trofi pertama bagi musim ini selepas tidak dapat bermain tahun lalu. Ini satu petanda baik bagi kami. “Kehilangan pemain utama yang berhijrah ke pasukan lain tidak menggangu formasi diterapkan jurulatih. “Malah, kemasukan pemain baru yang ada berjaya memikul tanggungjawab masing-masing. Komitmen mereka cukup tinggi untuk memastikan kejayaan ATM ini perlawanan kelmarin,” katanya. Tambah manis, bekas tonggak kebangsaan itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Pilihan Akhir. Menurut Irwan, mereka kini fokus untuk pertemuan Liga Super berdepan Lions X11 di Stadium Paroi, Rabu ini. Sinar Harian

Dendam kami terbalas: Reuben

24 Safar 1433H. [MOD] - PERTAMA kali membuat kemunculan dalam Piala Sumbangsih tidak menghalang K Rueben menyajikan aksi cemerlang apabila membantu The Gladiators membenam cabaran juara treble musim lalu, Kelantan. Biarpun ditentukan pemenang menerusi sepakan penalti, jelas terpancar kepuasan di riak wajah pemain yang bermain pada posisi pertahanan ATM ini. “Ini debut saya dalam Piala Sultan Ahmad Shah. Bagi saya, ini permainan berkualiti dipamerkan pasukan ATM. “Jika pada final Piala Malaysia kami kalah di tangan Kelantan, tapi di tahun baru kami menebus kembali maruah yang tercalar. “Boleh juga disifatkan sebagai membalas dendam. Namun, perkara lebih mustahak adalah kemenangan,” katanya. Sinar Harian

Pemain bazir banyak peluang: Bojan

24 Safar 1433H. [MOD] - PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak kecewa dengan persembahan anak didiknya pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang ATM yang menyaksikan The Red Warriors tewas di Shah Alam, kelmarin. Katanya, mereka mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada babak kedua, namun pemain gagal menyempurnakan peluang terhidang. ”Saya akui gol Indra Putra Mahayuddin pada awal separuh masa kedua telah menaikkan moral pemain. Namun kelekaan benteng pertahanan pada saat-saat akhir menyebabkan kita gagal untuk mencatatkan kemenangan,” katanya. Dalam perkembangan lain, Bojan berkata Kelantan fokus untuk menghadapi perlawanan pertama Liga Super menentang PKNS FC di Kota Bharu, Rabu ini. “Saya harap pemain akan bangkit pada perlawanan menentang PKNS nanti dan jadikan kekalahan ini sebagai satu pengajaran yang berguna,” katanya. Sinar Harian

Kebangkitan parti Islam

24 Safar 1433H. [MOD] - REVOLUSI di rantau Arab turut memberi kesan positif kepada beberapa negara yang masih berusaha melakukan perubahan dalam sistem pentadbiran mereka seperti yang dituntut rakyat. Selain itu, ia juga menjadi pencetus kebangkitan parti Islam seperti parti Ennahda di Tunisia dan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Keputusan pilihan raya pertama di Tunisia pada Oktober 2011 juga menyaksikan kemenangan parti Islam Ennahda yang diharamkan selama beberapa dekad di negara itu. Mereka memenangi 90 daripada 127 kerusi dewan perhimpunan yang dipertandingkan. Sebulan selepas itu, Kongres bagi Parti Republik (CPR), Parti Ettakatol dan Parti Ennahda mengumumkan perjanjian perkongsian kuasa secara rasmi yang dilihat sebagai saat bersejarah untuk kebebasan Tunisia. Sehingga kini, negara kecil di Afrika Utara tersebut masih berusaha untuk memulihkan ekonomi mereka dengan bantuan dari Bank Dunia. Dua bulan lalu, Menteri Kewangan sementara, Salim Besbes mengumumkan kerajaan akan menerbitkan bon Islam bernilai AS$646.25 juta (RM2 bilion) untuk pertama kali sebagai bantuan kewangan bagi projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan hospital. Kerajaan menjangkakan defisit belanjawan akan berkurangan kepada enam peratus pada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun ini berbanding anggaran 6.6 peratus pada tahun lalu. November lalu, negara itu sekali lagi dicemari protes ganas disertai penduduk yang menuntut lebih banyak peluang pekerjaan berikutan kadar pengangguran mencecah sehingga 17 peratus. Susulan daripada insiden itu, Menteri Pelancongan, Elyess Fakhfakh dilantik sebagai Menteri Kewangan baru oleh Presiden Moncef Marzouki bagi menggantikan Hussein Dimassi yang meletak jawatan pada Julai tahun lalu. Pelantikan bekas ahli perniagaan itu diharap dapat memperbaiki hala tuju ekonomi negara itu. Di Mesir pula, pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menjadi parti pembangkang sebelum ini berjaya memperoleh sokongan majoriti selepas memperoleh dua pertiga atau 332 kerusi dalam pilihan raya pertama di negara tersebut. Rentetan daripada kejayaan itu, Mohammed Mursi yang mewakili parti Islam tersebut turut dilantik menjadi presiden selepas menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dalam Pilihan Raya Presiden pusingan kedua pada tahun lalu dengan memperoleh 51.73 undi. Mursi yang cuba untuk memuaskan hati semua pihak dengan melaksanakan perubahan berpaksikan ajaran Islam turut berhadapan cabaran selepas beliau mengumumkan dekri presiden pada November tahun lalu. Majlis Tertinggi Kehakiman mengkritik dekri presiden itu yang didakwa memberi peluang kepada beliau untuk memonopoli kuasa. Mereka juga menyifatkannya sebagai satu serangan tidak pernah berlaku ke atas badan kehakiman di negara tersebut. Awal bulan lalu, Mursi membuat keputusan untuk membatalkan dekri itu selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang beliau. Menjelang pungutan suara draf Perlembagaan pada 15 Disember lalu yang dirangka sepenuhnya oleh parti Islam, Mesir sekali lagi dicemari protes ganas. Di sebalik kekacauan dan protes itu, sebanyak 64 peratus penduduk Mesir menyokong draf Perlembagaan tersebut. Antara kandungan draf Perlembagaan itu menjadikan undang-undang Syariah kekal sebagai sumber utama perundangan manakala penganut lain seperti Kristian dan Yahudi akan menggunakan agama masing- masing sebagai sumber perundangan mereka serta tempoh jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal selama lapan tahun. Keputusan tersebut membuktikan sekali lagi kemenangan Ikhwanul Muslimin selepas Mursi meluluskan Perlembagaan baru itu pada 26 Disember lalu. Mursi kini berhadapan cabaran untuk mendapatkan persetujuan bagi melaksanakan langkah penjimatan. Beliau juga akan memperkenalkan insentif yang akan menarik semula minat pelabur untuk menjalankan urus niaga di negara itu. Dalam perkembangan lain, presiden tersebut akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengadakan perbincangan berhubung pinjaman berjumlah AS$4.8 bilion (RM15 bilion) untuk mengurangkan belanjawan defisit dan kemerosotan ekonomi akibat pergolakan yang tercetus semasa kebangkitan rakyat pada Februari 2011. 2013 yang baru membuka tirai pada minggu lalu diharap akan membawa sinar baru kepada penduduk di rantau Arab terutamanya di Syria yang masih berada dalam kancah peperangan. Parti Ennahda Parti Pembaharuan Ennahda atau ‘Nahda’ yang ditubuhkan pada 1981 ini adalah sebuah parti yang diharamkan di Tunisia. Mulanya dikenali sebagai ‘Tindakan Islam’ sebelum ditukar kepada ‘Pergerakan Kecenderungan Islam’, dan ‘Hizb al-Nahda’ pada 1989. Parti itu dianggap sebagai sealiran dengan Revolusi Iran dan cenderung kepada Ikhwan Muslimin di Mesir. Parti Ennahda dilarang bertanding dalam pilihan raya pada 1989 namun, ahlinya bertanding sebagai calon bebas dan memperoleh antara 10 dan 17 peratus undi. Pada 1991, Presiden Ben Ali menentang parti itu dan menahan 25,000 aktivis. Pergerakan Ikhwanul Muslimin Diasaskan pada 1928 oleh Sheikh Hassan al-Banna dan menjadi kumpulan pembangkang tertua serta terbesar di Mesir. Dikenali sebagai parti pembangkang berpengaruh di kebanyakan negara Arab terutamanya Mesir. Gerakan ini menolak sebarang cara keganasan untuk mencapai matlamat. Pada awal penubuhannya, matlamat gerakan ini adalah untuk memberi tumpuan kepada isu agama, pendidikan dan khidmat sosial. Bergerak secara senyap pada 1950-an dan kembali aktif pada 1980-an. Serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq telah menyebabkan jumlah anggota mereka bertambah secara mendadak. Ia juga bergerak secara aktif di Afrika Timur dan Utara termasuk Sudan, Syria dan Arab Saudi. Sinar Harian

Kesan revolusi Timur Tengah

24 Safar 1433H. [MOD] - REVOLUSI kebangkitan rakyat di Timur Tengah yang bermula di Tunisia pada akhir 2010 memberi impak besar kepada rantau itu sehingga kini walaupun telah dua tahun berlalu. Ia bermula dengan insiden penjual buah-buahan, Mohamed Bouazizi, 26, membakar dirinya sendiri selepas berputus asa dengan keadaan ekonomi di negarapimpinan bekas Presiden Zine el Abidine Ben Ali. Kejadian itu juga telah menjadi faktor utama mencetuskan kemarahan rakyat yang akhirnya menyaksikan beliau digulingkan dalam tempoh sebulan pada awal tahun 2011. Kebangkitan pertama rakyat di rantau Arab itu didakwa telah menyebabkan beberapa negara seperti Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Bahrain turut terkena tempias revolusi tersebut. Negara di rantau lain juga menjadikan protes di Timur Tengah sebagai sumber inspirasi untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah ketidakadilan pentadbiran kerajaan akibat kepincangan ekonomi dan sosial. Demonstrasi jalanan digelar Indignants yang bermula di Puerta del Sol di Madrid, Sepanyol pada 15 Mei 2011 telah merebak ke Eropah hingga ke Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara maju lain termasuk Australia, Hong Kong dan Jepun. Protes anti-Wall Street juga menjadi medium rakyat negara maju untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan berikutan berlakunya ketidakadilan sosial dan kadar pengangguran tinggi. Tunjuk perasaan Indignants dan Occupy Wall Street itu dilaporkan telah merebak ke 950 bandar di 82 negara dalam tempoh beberapa bulan. Berakhirnya pemerintahan kuku besi Selain itu, revolusi kebangkitan rakyat juga menyaksikan seorang demi seorang pemimpin kuku besi berjaya digulingkan. Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak menjadi mangsa kedua digulingkan dalam tempoh 18 hari selepas protes tercetus di negara tersebut. Insiden itu menyebabkan peralihan kuasa secara sementara di bawah pemerintah tentera sebelum ia diserahkan kepada Presiden Mohammed Mursi pada tahun lalu. Libya turut terkena tempias gelombang protes tersebut pada Februari 2011. Kumpulan pemberontak dan penentang bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersatu dan menubuhkan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas beliau enggan berundur. Keadaan itu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi yang membenarkan tentera Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengawasi ruang udara Libya. Pada Oktober 2011, Gaddafi telah ditembak mati oleh pemberontak di Sirte. Situasi berbeza pula di Yaman, di mana bekas Presiden Ali Abdullah Saleh akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian untuk berundur selepas 33 tahun memegang tampuk pemerintahan negara itu pada November 2011. Di bawah perjanjian itu, Saleh menyerahkan kuasanya kepada Naib Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi dan berikrar untuk mewujudkan rakan kerjasama dengan pembangkang bagi melaksanakan pelan damai yang dicadangkan Liga Arab dan PBB. Di Syria pula, keadaan dilaporkan bertambah tegang berikutan keengganan Presiden Bashar al-Assad untuk berundur walaupun digesa banyak pihak. Konflik yang berlarutan selama lebih 21 bulan itu dilihat sukar untuk dihentikan kerana pelan damai yang dipersetujui antara Wakil Khas PBB dan Liga Arab gagal dilaksanakan hingga kini. Protes terancang Kebanyakan golongan pemuda yang menyertai protes terdiri daripada bekas pelajar di negara Barat yang memahami maksud sebenar demokrasi. Berbanding dengan protes terdahulu, kebangkitan rakyat pada tahun 2010 dan 2011 itu telah dirancang dengan teliti kerana mereka menggunakan medium seperti laman sosial Facebook dan Twitter untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat kerana ia dianggap lebih telus. Sebagai contoh, eksekutif muda Google, Wael Ghonim diangkat sebagai pencetus revolusi siber Mesir kerana menjadi perintis gerakan pembaharuan tersebut. Siapakah Bouazizi? Bouazizi bukanlah individu terkenal tetapi dia hanyalah seorang penjual buah yang bersusah payah menolak troli melalui jalan-jalan di Sidi Bouzid di tengah ibu negara bagi mencari rezeki dengan anggaran pendapatan AS$10 (RM32) sehari untuk menanggung keluarganya. Insiden yang menjadi simbol kebangkitan rakyat Tunisia itu bermula pada pagi 17 Disember 2010 selepas seorang pegawai majlis perbandaran menahan Bouazizi. Tindakan majlis perbandaran merampas trolinya telah mencetuskan kemarahan lelaki tersebut kerana dia berasa telah dimalukan selepas gagal untuk berunding dengan mereka. Kerana terlalu marah, Bouazizi bertindak membeli minyak dan menyiram ke seluruh tubuhnya sebelum dia membakar diri di luar bangunan pentadbiran gabenor. Wira Tunisia itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya pada 4 Januari lalu. Bouazizi telah menjadi simbol rakyat yang sudah muak dengan penindasan dan ketidakadilan kerajaan. Keberanian dan semangat Bouazizi sebagai pencetus revolusi di rantau Arab turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dia terpilih dalam kalangan lima penerima Hadiah Sakharov Parlimen Eropah untuk Kebebasan Pemikiran pada November 2011. Protes merebak ke seluruh dunia Israel Hampir 500,000 penduduk di Tel Aviv turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengadakan protes ‘Satu juta penunjuk perasaan’ pada Julai 2011. Setahun selepas itu, ribuan penduduk Israel mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama di seluruh negara, kelmarin untuk meneruskan protes sosial yang diadakan selama beberapa bulan. Kumpulan penunjuk perasaan itu turut berarak sambil melaungkan beberapa slogan seperti ‘Jalan terbaik untuk penswastaan adalah revolusi’. Mereka berterusan menggesa kerajaan mengurangkan kos harga makanan, pendidikan dan pembelian rumah. Tunjuk perasaan itu dicetuskan oleh golongan pelajar yang sanggup membina khemah di tepi jalan kerana mereka membantah kenaikan kos harga rumah untuk penduduk kelas pertengahan. Demontrasi tersebut turut memberi kesan terhadap kepimpinan Netanyahu yang kononnya dianggap kebal kerana menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat (AS). China Medium sosial telah mencetuskan perhimpunan Jasmine yang diinspirasikan daripada Revolusi Jasmine di Tunisia dirancang untuk diadakan pada setiap hari Ahad di 27 bandar di seluruh China. Demonstrasi itu telah tersebar ke lebih 100 bandar. Penganjur protes kempen dalam talian tersebut mendakwa perhimpunan itu mendapat sokongan penuh penduduk di negara walaupun dihalang oleh kerajaan. Perhimpunan Jasmine tersebut juga diadakan untuk menuntut hak asasi dan keadilan daripada kerajaan. Amerika Syarikat (AS) Protes anti-Wall Street yang diadakan oleh penunjuk perasaan Occupy Wall Street di Manhattan pada 17 September 2011 merebak dengan cepat di 1,000 bandar di AS. Ia tercetus selepas kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan bank bermasalah yang berpangkalan di Wall Street. Tuntutan utama demonstrasi yang turut mendapat sokongan parti sayap kiri dan kesatuan sekerja ini adalah supaya golongan kaya di AS membayar lebih banyak cukai dan syarikat meningkatkan kebajikan korporat. Protes ini juga memberi tamparan hebat kepada Presiden Barack Obama kerana mereka mendakwa pengaruh korporat telah memburukkan lagi krisis ekonomi di negara itu. Mereka turut melaungkan slogan membantah ketaksamaan yang semakin meningkat dan ketidakadilan undang-undang di sebalik krisis kewangan global. Sinar Harian

Nicol pertahan kejuaraan Siri Akhir Dunia

24 Safar 1433H. [MOD] - JUARA dunia tujuh kali, Datuk Nicol Ann David berjaya mempertahankan kejuaraan skuasy Siri Akhir Dunia 2013 apabila mengalahkan Laura Massaro pada final di London, semalam. Dalam perlawanan akhir di The Queens Club, Nicol, ratu skuasy negara, mengalahkan pemain tuan rumah itu 3-0 dalam masa 37 minit. Nicol memulakan saingan dengan cemerlang dengan mengawal perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan 11-3, 11-2 sebelum menerima tentangan pada set ketiga. Bagaimanapun, Nicol, yang berstatus pemain nombor satu dunia, berjaya mengatasi Massaro 11-9 pada set penentuan. "Seperti diramal, ini merupakan perlawanan yang baik. Saya terpaksa memulakan langkah dengan lebih gigih kerana Massaro mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," kata pemain berusia 29 tahun itu. Semasa ditemu bual oleh stesen televisyen, SkySports, Nicol berkata impian beliau adalah untuk melihat sukan itu dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Olimpik. Sinar Harian

Pemuda PAS hargai jasa almarhum Prof Ahmad Ibrahim

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menganugerahkan Tokoh Profesional Terbilang kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim sempena Himpunan Xpresi Profesional Muda tempoh hari. “Almarhum adalah tokoh negara yang banyak berjasa,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan sempena penyerahan sijil dan plak penghargaan DPPM kepada anak almarhum di Shah Alam, semalam. (Gambar) Menurutnya, almarhum adalah peguam yang mempertahankan aqidah Natrah yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Singapura pada awal 50-an. Selain itu, katanya almarhum adalah pengasas Malayan Law Journal yang menghimpunkan koleksi kes-kes mahkamah yang kini menjadi rujukan utama para pengamal undang-undang, hakim dan pelajar undang-undang di seluruh negara. Tambahnya, almarhum juga adalah pejuang perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia dan antara orang penting di sebalik penubuhan mahkamah syariah sehingga nama beliau diabadikan di UIA [Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law - AIKOL]. Nasrudin berkata, DPPM semalam menyerahkan Sijil dan Plak Anugerah Tokoh Profesional Terbilang kepada anak ke-6 daripada 9 anak almarhum iaitu Mohd Ismail di kediaman beliau Taman Subang Mutiara Batu 3, Shah Alam yang mana wajah Mohd Ismail mirip almarhum. Mewakili DPPM ialah Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz Timbalan Ketua DPPM dan Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Pengarah JUHAM DPPM. "Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunanNya kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim. Mudah-mudahan jasa dan kegigihan perjuangan beliau terus menjadi sumber inspirasi anak-anak muda hari ini," ujarnya. AProf. Ahmad Ibrahim yang telah kembali ke rahmatillah pada tahun 1999 sewaktu usia 83 tahun juga adalah ahli PAS seumur hidup. Harakah Daily

Kalau Deepak buat dakwaan 10% kepada Pakatan, DAP

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Tidak diragukan lagi sekiranya Deepak Jaikishan membuat hanya 10% dakwaan kepada pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan terhadap Najib dan pemimpin Umno BN, dia mungkin kini sedang muncul dalam semua media perdana BN sejak enam minggu lalu dan bukannya digelapkan terus seperti mana yang berlaku sekarang. Demikian kata Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam. Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur bertanya mengapa politik dan kewartawanan Malaysia telah jatuh ke tahap sedemikian selepas 55 tahun Merdeka pada 1957? Berikut ialah kenyataan beliau. Sepanjang tiga hari lalu merupakan hari-hari yang sukar buat pemimpin, ahli dan penyokong DAP di dalam 47 tahun sejarah parti, kerana DAP telah memenuhi muka depan media perdana Barisan Nasional sejak dua hari lalu dan memenuhi semua siaran yang dikawal Barisan Nasional. Berikut adalah tajuk berita muka depan yang lantang di dalam media perdana BN sejak dua hari lalu: DAP silap kira undi? – Pengarah pilihan raya parti itu letak jawatan (Utusan Malaysia 5.1.13) Drama DAP – Lagi persoal isu silap kira undi (Mingguan Malaysia 5.1.13) DAP election FIASCO – Error raises doubts about party’s ability to rule country (New Straits Times 5.1.13) ‘Embarrassing glitch’ – (New Sunday Times 6.1.13) Sandiwara DAP pujuk Melayu – Ambil masa tiga minggua akui kesilapan pemilihan CEC (Berita Harian 5.1.13) Tindakan DAP ‘luar biasa’ – Pinda keputusan pemilihan janggal, timbul banyak persoalan: Muhyiddin (Berita Harian t6.1.13) It doesn’t add up (Star 5.1.13) Apabila DAP muncul di dalam media perdana BN, terutamanya muka depan, pasti bukan berita baik. Malah, biasanya berkenaan pembohongan – sepertimana kes yang terkenal pada 7 Mei 2011 ketika Utusan Malaysia memaparkan tajuk berita muka depan “Kristian agama rasmi?”, mendakwa DAP berkonspirasi dengan pemimpin Kristian untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama persekutuan dan bukan lagi Islam serta satu lagi kes terkenal yang lain adalah pada 9 Julai, 2012 di muka depan Utusan Malaysia adalah tentang pembohongan bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi daripada 222 kerusi parlimen untuk menguasai Pakatan Rakyat lalu melantik Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-13. Tidak diragukan lagi sekiranya pengedar permaidani, Deepak Jaikishan telah membuat hanya 10% dakwaan kepada pemimpin DAP/PR sepertimana yang dia lakukan terhadap Najib dan pemimpin UMNO/BN, dia mungkin kini sedang muncul dalam semua media perdana BN sejak enam minggu lalu dan bukannya digelapkan terus seperti mana yang berlaku sekarang. Mengapa politik dan kewartawanan Malaysia telah jatuh ke tahap sedemikian selepas 55 tahun Merdeka pada 1957? Walaupun sepanjang tiga hari lalu merupakan hari yang paling sukar buat DAP di dalam sejarah parti, tiada seorang pun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC) menyesal melakukan apa yang betul – untuk merendah diri dan menegakkan kejujuran serta ketelusan dengan mengakui secara terbuka kesilapan di dalam keputusan pemilihan CEC DAP, kejujuran sekalipun sukar dan menyakitkan untuk seketika namun akan berjaya untuk jangka masa panjang. Pemimpin, ahli dan penyokong DAP tidak perlu rasa malu, bukannya seperti mereka yang berterusan bergelumang dengan pembohongan dan penipuan serta mengelak untuk berlaku jujur, bertanggungjawab dan telus. Terdapat kebenaran pada pemerhatian penganalisa politik berpengalaman yang disampaikan oleh penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Hin bahawa “kritikan keras daripada Barisan adalah tindak balas terdesak oleh musuh yang sedang menghitung hari. Mereka telah tewas dalam perlawanan politik, dan kini cuba menggapai apa sahaja untuk terus hidup”. Harakah Daily

04 Januari 2013

SPR Menipu Untuk Pastikan Umno Menang

21 Safar 1433H. [MOD] -

AJawatankuasa Pemandu Himpunan Kebangkitan Rakyat , Hishamuddin Rais berkata pengunaan dakwat kekal masih tidak mampu menghalang penipuan pada hari mengundi.

Ini kerana sistem dan cara pengunaan dakwat itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbeza dengan yang dituntut Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat.

Dalam ceramah Pra Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘Menuju #KL 112-Sejuta Rakyat’ di sini malam kelmarin, Hishamuddin berkata tuntutan Bersih ialah mahu pengunaan dakwat kekal pada kuku jari untuk menghalang pemilih mengundi berulang kali di pusat mengundi yang berbeza.

“Kita mahu selepas seseorang telah mengundi, maka dicalitkan dakwat kekal pada kuku jari pengundi tersebut sebagai tanda telah mengundi.

“Dengan cara ini pengundi ini tidak boleh masuk semula ke mana-mana pusat mengundi selepas itu.

“Tetapi SPR pula akan melaksanakan sistem yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia yang menggunakan sistem dakwat iaitu seseorang pengundi akan dicalitkan dakwat terlebih dahulu sebelum diberikan kertas undi untuk mengundi.

“Maknanya jika seorang itu merupakan pengundi hantu, maka beliau tetap boleh masuk ke pusat mengundi tanpa sekatan kerana sistem SPR itu sendiri memberi maksud bila kuku jari individu itu dicalit dengan dakwat kekal maka individu itu boleh mengundi.

“Kalau ada dakwat hitam kekal di kuku jari, anda akan diberi kertas undi. Orang akan berpusing-pusing untuk mengundi. Akidah SPR menipu untuk pastikan Umno menang.


“Maka desakan kami meminta SPR perkenalkan dakwat kekal sudah lari dari matlamat asal. Cara pelaksanaan dakwat kekal yang dilakukan oleh SPR ini memang tidak masuk akal sama sekali,” kata Hishamuddin.

Hishamuddin berkata antara lapan tuntutan Bersih, dakwat kekal lah satu-satunya tuntutan yang dipenuhi oleh SPR. Malangnya itu pun dilaksanakan dengan tidak betul yang jelas untuk menyebelahi parti pemerintah.

Letak jawatan

Sementara itu bercakap berhubung Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini; Hishamuddin dengan nada lantang mengingatkan orang ramai agar jangan takut turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari ini.

“Jangan takut jatuhkan kerajaan. Yang dilawan Pakatan Rakyat bukan Umno dan kuncu-kuncunya tetapi tuan lawan satu sistem yang diwujudkan SPR untuk menangkan Umno.

“Ini belum kira dengan pendatang asing. Zaman takut sudah berakhir. Tahun ini kita tekad jatuhkan Barisan Nasional. Sudah 55 tahun kita ditipu dan dibodohkan. Kita pergi untuk bertindak. Rakyat wajib bangun,” katanya.

Hishamuddin juga menggamatkan lebih 500 orang ramai yang hadir pada malam itu apabila berkata:

“Jika ayah-ayah dan ibu-ibu yang berada malam ini takut dengan ucapan saya, maka letaklah jawatan sebagai manusia.”

Ucapan itu menyebabkan orang ramai ketawa besar.

“Saya begitu yakin kalau daftar pemilih bersih, Selangor tetap di bawah Pakatan Rakyat selepas PRU-13.

“Tetapi mereka merancang mengambil semula Selangor. Hasil kajian kerajaan Negeri Selangor, didapati kira-kira 134, 000 nama pengundi di Selangor tiada identiti jantina dan alamat lengkap.


“Contohnya nama Norizan dan beralamat Jalan Kelang sahaja.

“Penipuan dirancang untuk pastikan orang-orang jahat ini terus berkuasa. Bukan itu sahaja kematian di dalam balai polis bukan drama tetapi hakikat.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak marah, maka letaklah jawatan sebagai manusia,” kata Hishamuddin yang menyebabkan tapak ceramah gamat dengan gelak ketawa orang ramai.

BN dalam keadaan keliru

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam ucapan berkata kerajaan Barisan Nasional berada dalam keadaan yang keliru dengan kebangkitan rakyat yang semakin tidak boleh dibendung lagi.

“Mereka keliru dengan kebangkitan rakyat dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

“Mereka panik dan tidak tahu hendak buat apa bila kita kumpul beramai-ramai di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini.

“Ketika mereka keliru, kita harus keluar beramai-ramai memberi isyarat kepada mereka dan SPR bahawa daftar pemilih harus dibersihkan dan pilihan raya harus dikendalikan dengan adil dan telus.

“Saya yakin sejuta rakyat akan berjaya dikumpulkan pada 12 Januari ini,” katanya.

Turut berceramah ialah Adun Teja, Chah Li Kang; Khalid Ismath dari Solidariti Mahasiswa Malaysia dan S Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia. -FMT


Tidak tidur sejak 13 tahun

21 Safar 1433H. [MOD] -

Tidak tidur sejak 13 tahun
Ibrahim tidak pernah tidur sejak 13 tahun lalu apabila jatuh sakit dan banyak menghabiskan masa di biliknya.
MACHANG - Bekas imam, Ibrahim Nor, 73,  tidak pernah tidur dan menghabiskan masa dengan merangkak mengelilingi ruang rumahnya pada waktu malam sejak sakit, 13 tahun lalu.

Isterinya, Rokiah Mustafa, 60, berkata,  Ibrahim tidak mampu berjalan dan melihat dengan baik sejak sakit dan banyak menghabiskan masa dengan duduk di biliknya pada waktu siang.

Katanya, pertuturan bekas imam Madrasah Kampung Laklok itu juga tidak jelas dan banyak menggunakan bahasa isyarat jika ingin memberitahu sesuatu.

“Makcik juga tidur-tidur ayam, bimbang pakcik akan membuka pintu dan keluar dari rumah pada waktu malam. Makcik sendiri tidak tahu apa penyakitnya namun dia tidak mampu menguruskan diri dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

“Kami tidak mempunyai anak, mujur ada anak saudara yang menolong saya enjaganya. Sebelum sakit, pakcik pernah beritahu dia dipatuk ular tetapi apabila makcik memeriksanya, tiada kesan patukan malah dia juga sihat seperti biasa namun lebih kurang dua minggu selepas itu, dia mula sakit dan tidak mampu menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laklok, di sini, semalam.

Rokiah berkata, mereka sekeluarga bergantung hidup kepada hasil jualan pertanian suaminya dan hilang punca rezeki sejak Ibrahim  sakit.

Katanya, bagi mencari sesuap nasi, dia turut mengambil upah menjual ubat-ubat  tradisional dengan menjaja di sekeliling kampung dan kawasan sekitar.

“Selain itu, wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, turut membantu meringankan kesusahan kami memandangkan kesihatan makcik juga tidak berapa baik dan tidak mampu keluar menjual ubat setiap hari.

“Kalau makcik sihat dan ada orang tolong jagakan pakcik, makcik  akan keluar menjual ubat.  Makcik juga bimbang apabila kami tidak dapat membuka  uku akaun sebagaimana yang diminta JKM bagi menyalurkan bantuan bulanan kepada pakcik.

"Makcik tiada kenderaan lagipun susah nak bawa pakcik ke bank untuk buka buku akaun. Makcik berharap perkara ini dapat diselesaikan segera agar bantuan itu dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Rokiah berharap ada pihak yang sudi membantu mengubati penyakit suaminya termasuk melalui perubatan alternatif.

Katanya, pelbagai usaha yang dilakukan bagi mengubati penyakit suaminya yang pelik, namun masih belum berhasil tambahan pula,  wang yang ada hanya cukup untuk keperluan harian.

sinar/-

Pertandingan menulis Harakahdaily, hadiah pertama RM10,000

21 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Harakahdaily akan menganjurkan 'Peraduan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran' mulai hari ini hingga 18 Januari 2013 ini.

Hadiah utama pertandingan ini adalah berupa wang tunai bernilai RM10,000, kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

17 tulisan lain akan diberikan hadiah sagu hati berupa wang tunai bernilai RM100.

Berikut adalah maklumat penuh pertandingan ini.

Satu pertandingan menulis artikel berdasarkan ayat Al Quran yang berkaitan dengan tuntutan membentuk kerajaan yang adil.

Tujuan


1. Mengajak rakyat agar berfikir dan menuntut kerajaan yang adil dibentuk di negara ini.

2. Mendekatkan rakyat dengan ayat al-Quran.

3. Mengajak rakyat agar berhujjah dengan al-Quran.

Sekretariat penilai terdiri daripada Dewan Ulama PAS Pusat, Persatuan Ulama Malaysia dan penulis politik.

Al-Quran surah an-Nisa, ayat 58 yang bermaksud;

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.

Berdasarkan ayat di atas, buat satu tulisan, artikel, esei dan anda bakal memenangi hadiah wang tunai sehingga RM10,000.

Hadiah

1 X Pemenang Utama RM10,000

1 X Pemenang Kedua RM5,000

1 X Pemenang Ketiga RM3,000

17 X Hadiah Saguhati RM100


Syarat penyertaan

1. Peraduan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.

2. Setiap penulis hanya boleh menghantar satu penyertaan sahaja. Jika menghantar lebih daripada satu, penyertaannya akan ditolak.

3. Karya mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu mengikut standard ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Setiap penyertaan hendaklah sampai kepada penganjur selewat-lewatnya pada jam 12 malam 18 Januari 2013.

4. Format kiriman emel mestilah dalam bentuk “notepad” atau “word”. Font yang digunakan mestilah Times New Roman bersaiz 14; single spacing, justified, left indent, dan selang sebaris bagi setiap perenggan.

5. Panjang esei hendaklah sekitar 1500 – 2000 patah perkataan.

6. Pengirim mesti menyatakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat surat-menyurat, emel, nombor telefon dan pekerjaan (jika pelajar, sila nyatakan institusi pengajian) pada bahagian hujung esei. Penyertaan mestilah disertakan gambar berukuran pasport.

7. Karya mestilah yang asli dan tidak disalin daripada mana-mana esei atau artikel penulis lain. Karya yang dihantar akan menjadi milik pihak penganjur.

8. Kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta keluarga mereka tidak boleh menyertai pertandingan ini.

9. Keputusan sekretariat penilai adalah muktamad dan pemenang akan dihubungi oleh pihak penganjur melalui telefon dan emel. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab terhadap risiko kesilapan teknikal.

10. Pihak penganjur berhak menolak mana-mana penyertaan yang tidak memenuhi hasrat penganjur tanpa perlu memaklumkan peserta.

Hantarkan esei anda ke emel budayaharakahdaily@gmail.com

Lagi pesawat pengintip AS ditembak jatuh

21 Safar 1433H. [MOD] -

Lagi pesawat pengintip AS ditembak jatuh

Pesawat pengintip canggih Agensi Perisikan Pusat (CIA), RQ-170 Sentinel juga dilaporkan telah ditembak jatuh oleh Iran pada 2011. - AFP
 
TEHERAN - Iran, kelmarin mendakwa mereka sekali lagi telah menembak jatuh dua pesawat pengintip RQ-11 milik Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 15 bulan.

Kenyataan itu dimaklumkan oleh Laksamana Amir Rastegari kepada stesen televisyen tempatan dan agensi berita Fars.

Menurut beliau, kedua-dua pesawat pengintip tersebut ditembak jatuh pasukan pertahanan udara antara Ogos 2011 dan November tahun lalu tanpa memberi butiran lanjut berhubung lokasi dan bukti kukuh untuk mengesahkan 'kejayaan' tersebut.

Difahamkan, pesawat AeroVironment RQ-11 yang boleh bergerak pada kelajuan sehingga 95 kilometer sejam dalam tempoh 80 minit itu sememangnya digunakan oleh perisik tentera AS termasuk negara sekutunya.

Bulan lalu, Iran turut mendakwa mereka telah menembak jatuh pesawat pengintip kecil AS, ScanEagle di ruang udara Teluk, namun ia dinafikan oleh Tentera Laut AS.  - AFP

Aktivis marah sirip jerung disembunyi

21 Safar 1433H. [MOD] -

HONG KONG - Aktivis-aktivis alam sekitar di sini meluahkan rasa marah semalam berikutan pendedahan beberapa keping gambar menunjukkan bumbung sebuah kilang dipenuhi beribu-ribu sirip ikan jerung yang baru dilapah. 

Terletak di selatan China, pulau ini merupakan antara pasaran sirip jerung terbesar di dunia. Sirip jerung digunakan untuk membuat sup mewah yang disajikan pada majlis-majlis bankuet dan dianggap sajian istimewa oleh ramai penduduk Asia.

Seorang aktivis, Gary Stokes yang melawat lokasi berkenaan menganggarkan terdapat antara 15,000 hingga 20,000 sirip ikan jerung sedang dijemur di atas bumbung sebuah bangunan di kota metropolitan ini.

Sirip-sirip jerung itu dipercayai sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan mendadak bahan makanan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

"Penemuan ini mengejutkan. Tindakan menyorok sirip jerung di kawasan tersembunyi seperti ini adalah pertama kali berlaku di pulau ini," kata koordinator kumpulan pemuliharaan alam sekitar tempatan, Sea Seherperd kepada agensi berita AFP.

Sekitar 73 juta ikan jerung dibunuh setiap tahun dengan pulau ini mengimport kira-kira 10,000 tan makanan tersebut sejak sedekad lalu.

Kebanyakan sirip ikan itu kemudian dieksport ke tanah besar China.
Sekilogram sirip jerung kering boleh dijual pada harga HK$10,000 (RM3,911) di sini, manakala semangkuk sup sirip jerung berharga HK$1,000 (RM391). - AFP