05 Februari 2013

Tanah Orang Asal Sarawak Terancam


24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



LAMBIR – Batu 1f Sungai Jaung terletak dalam kawasan DUN Lambir. Kebanyakan penduduk di situ berketurunan Malayu asal dari suku kaum Jati Miriek, Kadayan dan terdapat juga kaum Iban.  Tanah merupakan satu-satunya harta pusaka yang sangat berharga bagi kaum peribumi Sarawak.
Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk asal peribumi Sarawak terutama bangsa Melayu dan Dayak adalah tanah mereka sekarang semakin terhakis akibat pembalakan dan perladangan dari syarikat swasta yang dikuasai oleh kroni pihak pemerintah.

Pihak kami telah menerima aduan dari salah seorang peneroka tanah temuda di kawasan Lambir yang mengatakan yang tanah mereka yang berjumlah ratusan hektar telah dicerobohi oleh syarikat perladangan yang menanam kelapa sawit di sekitar kawasan tanah temuda mereka.

Menurut salah seorang dari peneroka tanah tersebut yang dikenali sebagai Nordin Jukin memberitahu pihak kami yang tanah mereka sudah lama diterokai oleh datuk nenek moyang mereka puluhan tahun yang lalu semasa zaman penjajahan British tetapi sampai sekarang pihak kerajaan atau Jabatan Tanah dan Ukur tidak memberi hak milik tanah kepada penduduk asal tersebut.

Apabila mereka mengadu dan memohon hak milik dari pihak Jabatan Tanah dan Ukur langsung tidak memberi jawaban yang positif sebaliknya mereka terus menanti dengan penuh pengharapan agar tanah datuk nenek moyang mereka dulu tidak dirampas atau dimiliki oleh syarikat perladangan.

Tanah seluas 1236.03 ekar di Batu 1f Sungai Jaung jalan Miri Bintulu itu telah pun disukat dan dimiliki oleh seramai 83 orang penduduk tempatan di kawasan Lambir. Tanah mereka telah mula dicerobohi oleh sebuah syarikat perladangan yang menanam kelapa sawit dalam kawasan tersebut.

Mereka juga mengadu kepada pihak kami yang mereka sudah banyak kali mengadu masalah ini kepada pihak berkuasa, Jabatan Tanah dan Ukur, wakil rakyat, pihak polis serta pihak Suhakam tetapi masalah ini masih belum dapat diselesaikan. Mereka amat khuatir yang status tanah mereka yang telah diteroka oleh datuk nenek moyang mereka dulu akan hilang begitu saja dirampas oleh syarikat perladangan yang telah diberi peruntukan untuk memajak atau ‘Provision Lease (PL)’

Tanah yang dimiliki oleh penduduk asal sepatutnya diiktiraf oleh kerajaan dan Jabatan Tanah dan Ukur bukannya diberi kepada syarikat perladangan yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akan nasib masa depan anak cucu penduduk asal yang tiada tempat untuk tinggal nanti sekiranya tanah mereka dirampas.

Mereka bertekad akan terus mempertahankan tanah hak milik mereka sekiranya pihak kerajaan tidak mempedulikan akan nasib mereka kerana mereka sudah bosan dengan janji-janji kosong pihak pemerintah untuk membantu mereka tetapi hakikatnya hanya mementingkan pihak syarikat dari rakyat sendiri.

Tanpa kebenaran pihak pemerintah sudah pasti pihak syarikat tidak berani menceroboh atau merampas tanah rakyat dengan sewenang-wenangnya. Mengapa pihak pemerintah lebih pentingkan pihak syarikat dari rakyat sendiri yang perlu tempat tinggal dan tempat untuk bertani.  Sepatutnya rakyat didahulukan bukannya dipinggirkan begitu saja tanpa sebarang pembelaan dari pihak berkuasa.

Kami mengesa pihak berkuasa terutama sekali pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai dan kembalikan semula hak rakyat tanpa pilih kasih.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Esei pemenang tempat pertama

24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
Najah Nadiah binti Amran



Yang berikut disiarkan tulisan pemenang tempat pertama peraduan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran surah an-Nisa ayat 58. 

Tuntutan Membentuk Kerajaan Yang Adil

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat ”. (Surah an-Nisa, ayat 58)

Saya pernah menyangka konsep Kerajaan yang Adil ataupun Negara Berkebajikan adalah konsep baru diperkenalkan oleh PAS setelah akur kepada desakan rakan sepasukan, DAP dan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat – PKR). Pernah juga saya beranggapan konsep ini ingin menandingi slogan 1Malaysia Barisan Nasional. Rupa-rupannya, sangkaan saya meleset. Anggapan saya juga tidak betul. Ia bukan konsep baru. Bukan juga istilah terkini dalam kamus politik kenegaraan. Bahkan tuntutan membentuk kerajaan yang adil sudah terakam dalam al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu melalui kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf a.s.   

Ayat 58 dalam Surah an-Nisa ini mengetuk minda saya untuk membuka jendela sejarah Islam melihat runtuhnya sistem pemerintahan Jahiliyah secara rasminya pada hari pembukaan Kota Makkah. Menurut satu pendapat, ayat ini turun berikutan satu peristiwa pada hari berkenaan apabila seorang sahabat meminta Nabi SAW memberikan amanah kepadanya untuk membuka pintu kaabah. Melihat keinginan berkobar-kobar itu, Rasulullah SAW menegur serta mengingatkan bahawa urusan penyerahan amanah ataupun memberikan tauliah hanyalah untuk mereka yang ahli lagi dipercayai. Dalam peristiwa tersebut, Bani Syaibah dipilih oleh baginda SAW sebagai pemegang kunci kaabah. Ayat ini turut membawa saya meneroka lebih jauh peristiwa sebelum berlakunya Fathul Makkah. Catatan sirah membawa kita kembali menghirup iklim Madinah, mengkaji era kepimpinan yang adil dibentuk oleh Rasulullah SAW. 

Kota Yathrib yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum telah mendapat limpahan rahmat Allah, apabila dua suku terbesar Aus dan Khazraj, asalnya seteru, telah berdamai dan bergabung membentuk kesatuan yang kukuh melebihi kekuatan dan monopoli kaum Yahudi Yathrib. Mereka telah menjemput Nabi Muhammad SAW, seorang yang paling amanah di Makkah sebagai pemimpin Madinah. 

Jika di Makkah, baginda dimusuhi, disakiti serta ditentang dahsyat oleh pemimpin Quraisy yang merupakan darah daging sendiri, suasana di Madinah terlalu jauh bezanya. Sejauh jarak timur dan barat. Berbeza seperti langit dan bumi. Kepimpinan baginda yang inklusif untuk semua diterima mesra oleh golongan Islam dan bukan Islam sekalipun mereka tiada ikatan kekeluargaan.

Beberapa karya tafsir al-Quran memberikan huraian yang mengaitkan keintiman konsep amanah dengan akidah muslim. Contohnya al-Alusi (meninggal 1270 Hijrah) menyebut sabda Nabi SAW dalam mafhumnya:Sesiapa yang tidak amanah adalah natijah daripada tiada iman di dalam dirinya. 

Sabda Nabi ini mendidik kita untuk melihat alam spiritual yang berkait rapat dengan dunia sosial dan fizikal. Kaitan amanah dengan akidah di dalam huraian ini dilihat dari aspek religiositi iaitu bagaimana amanah ini dilahirkan dalam diri manusia melalui pendidikan akidah Islam. 

Kebimbangan Rasulullah SAW melihat lonjakkan semangat sahabat ada teladan yang harus kita ambil sebagai pedoman hidup bermasyarakat. Hal ini kerana, soal amanah kepimpinan bukan hanya berada dalam daerah perbincangan religiositi ataupun teologi tinggi dan rendah iman sahaja. Namun impak besar bakal menimpa seluruh masyarakat sekiranya pemimpin yang amanah tidak berjaya dilahirkan. Bukan menjaga amanah tetapi memecah dan memusnahkan kepercayaan rakyat.

Kita boleh memahami pedoman ini dalam konteks hari ini. Contohnya, negara yang dipimpin oleh mereka yang pecah amanah ataupun tiada integriti. Tempias keburukan perbuatan mereka akan menimpa seluruh alam. Pokok ditebang, bukit dan tanah dilapang, stadium dan bangunan sepatutnya bertahan, telah runtuh menyembah bumi setelah status projek ‘kroni’ diluluskan oleh mereka yang rasuah, pembekal bahan binaan penipu, mengurangkan kualiti dan kuantiti bahan semata-mata keuntungan lumayan. Kesan perbuatan mereka tidak hanya menjatuhkan indeks kepercayaan masyarakat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih melalui sistem pilihan raya, malah risikonya melibatkan bencana alam seperti banjir kilat, pemanasan global, pembakaran dan kemusnahan hutan simpanan, kerosakan alam sekitar dan ekosistem, kerugian berganda melibatkan kehilangan nyawa dan kos pembaikian pembinaan semula bangunan runtuh. Semua akibat penyelewengan dan rasuah yang diamalkan. 

Al-Alusi menyebut tentang amaran Ali k.w mengenai taklifan memimpin:‘Anakku, awasilah kalian dalam memimpin, sesungguhnya Allah akan menyoalsiasat satu persatu pada hari akhirat’. 

Nasihat ini memandu pemimpin hari ini untuk melihat ke jendela akhirat dari amalan mereka di dunia. Impak pengabaian amanah ini tidak hanya di dunia tetapi rakyat yang terabai akan mendapat pembelaan suatu hari kelak, sama ada di dunia ini ataupun di akhirat. 

Huraian keintiman ikatan di antara amanah dan akidah ini bersambung di dalam tafsir Fi Zilal al-Quran. Sewaktu mentafsir ayat, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…” Sayyid Qutb (meninggal 1387 Hijrah) menekankan bahawa kepercayaan insan (di atas asas-asas iman/islam/ihsan) seharusnya diterjemahkan di dalam sebuah sistem yang paling asas untuk seluruh ummah bermula dengan melaksanakan amanah dengan melaksanakan sistem hidup berlandaskan titah perintah Allah. 

Justeru, Sayyid Qutb berpandangan terdapat dua kewajipan yang harus dilakukan dalam bentuk tanggungjawab down-top (rakyat ataupun individu kepada pemimpin) dan top-down (pemimpin kepada rakyat). Pertama, rakyat memilih dan menyerah amanah kepimpinan kerajaan hanya kepada mereka yang berhak dan layak untuk menjadi pemimpin mereka. Kedua kewajipan pemimpin yang dipilih untuk memimpin secara adil untuk semua manusia tanpa ada perbezaan status dan prejudis. 

Saya tinggalkan tafsiran al-Alusi dan Sayyid Qutb ini untuk kita fahami sendiri secara kritikal. Kini, saya ingin mengajak pembaca untuk melihat dengan lebih dekat ayat ini dalam konteks iklim sosial dan politik semasa di negara kita. Tariq Ramadan di dalam tulisan beliau berulangkali menegaskan kepentingan umat Islam hari ini, walau di mana mereka berada, untuk kembali kepada pedoman wahyu (nas) dan menghayatinya dalam kontek masa kini. Kegagalan memahami nas dalam konteks masa kini akan menyebabkan kita mengambil panduan nas secara literal dan paling malang kita tidak berupaya memahami realiti semasa.  

Permulaan ayat 58 menyebut: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”, merujuk kepada amanah kepimpinan dan tugas eksekutif iaitu setiap individu ataupun kumpulan organisasi memberikan amanah, kepercayaan serta hak kepada seseorang yang layak untuk melaksanakan sesuatu tugasan ataupun menjawat sesuatu jawatan. 

Secara mudahnya Allah mengingatkan kita semua dalam sekecil-kecil urusan seperti mencari pembantu rumah ataupun pekerja gerai, melantik penghulu di kampung, memilih JKKK baru ataupun lama, guru besar ataupun para pendidik, ketika memilih pegawai yang bakal memegang amanah syarikat institusi, menemuduga dan memperakukan mereka yang layak mendapat tender, melantik pegawai kewangan untuk menguruskan baitulmal dan wang zakat, hartanah pekebun atau peneroka, pengurus sumber pendapatan carigali dan banyak lagi posisi eksekutif dalam institusi kerajaan ataupun agensi lain. Sehinggalah dalam urusan yang lebih besar yang melibatkan kepentingan lebih ramai pihak seperti membentuk sebuah kerajaan untuk mentadbir urus negara, maka hendaklah hanya mereka yang selayaknya sahaja dipilih. 

Secara idealnya, arahan Allah ini merujuk kepada menempatkan seorang yang ahli ataupun pakar untuk menguruskan sesuatu tugas. Dalam konteks amalan pilihan raya, rakyat mengundi (memilih dan memberi kuasa) untuk menempatkan wakil rakyat di dalam dewan undangan negeri dan parlimen mewakili rakyat memutuskan keputusan dan membuat rancangan demi kemaslahatan mereka semua. 

Soalnya ialah siapakah yang selayaknya dilantik. Mencari jawapan soalan ini bukan mudah namun ia menjadi kewajipan semua untuk mendapatkannya. Ayat ke-58 surah al-Nisa’ menggariskan dua ciri pemimpin berhak dipilih untuk dilantik. Pun begitu, terdapat ayat-ayat lain yang menyenaraikan ciri-ciri tambahan untuk ditekuni. Contohnya, di dalam ayat yang lain Allah gilirkan ciri amanah (amin) dengan ciri berkemampuan ataupun ada kekuatan (qawwiy).“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil sebagai pekerja ialah yang kuat (berkemampuan) lagi amanah” (Surah al-Qasas, ayat 26). 

Syarat pertama dalam ayat 58 ini merujuk kepada orang yang ahli, iaitu pemimpin yang berkelayakan (sama ada berpengetahuan, pakar, menguasai bidang/tahu selok-belok posisi tersebut) serta dipercayai untuk menanggung tugas tersebut. (Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya). 

Manakala syarat kedua ialah adil kepada dan/untuk semua rakyat. (…dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil). 

Dua perkataan ‘al-Amanah’ dan ‘al-Nas’ di dalam ayat ini amat ringkas tetapi signifikan. Ia memberikan gambaran hanya pemimpin yang punya integriti yang tinggi mampu memikul amanah Allah, rakyat dan negara. Kesan positifnya ialah mereka ini apabila menghukum dan mentadbir negara kelak bukan hanya berkhidmat untuk rakyat yang menyokong, mengundi ataupun hanya memberikan perhatian agenda bangsa mereka semata-mata tetapi mewakili seluruh masyarakat tanpa melihat kepada jurang perbezaan, status sosio-ekonomi, agama, perbezaan politik,  gender, usia ataupun tahap pendidikan. Ini sesuai dengan firman Allah: 

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum (pihak yang lain) itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah, ayat 8).

Perkataan ‘al-Nas’ di dalam ayat ini seakan memberikan pukulan maut kepada konsep 1Malaysia Kerajaan Pusat bahawa seluruh rakyat tanpa mengira asal negeri mereka perlu ‘didahulukan’ tanpa sebarang prejudis, penganiayaan ataupun disebabkan oleh perbezaan politik. 

Akhir-akhir ini kita dapati, kegagalan konsep ini dalam menyatukan rakyat telah timbul sedikit demi sedikit. Bermula daripada ketidakadilan pembiayaan kewangan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang seperti pemberian wang bantuan untuk penduduk termiskin di Kelantan, isu wang ehsan dan royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sehinggalah pendirian yang berbaur rasis kepada pihak yang tidak menyokong ataupun mengkritik kerajaan. Contoh terkini ialah kes pelajar UUM berketurunan India, Bawani yang telah mengkritik pengurusan kewangan pendidikan negara. Respon biadab yang beliau terima daripada presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) tempohari menunjukkan kegagalan yang paling ketara konsep 1Malaysia yang asalnya untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa. 

Sepatutnya seorang pemimpin sebuah perkumpulan menjadi teladan menghormati orang lain. Malangnya, telah berlaku sebaliknya. Padahal Rasulullah SAW amat menitikberatkan hubungan antara kaum dalam masyarakat. 

“Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

Sebenarnya ayat ke 58 al-Nisa’ bukan semata-mata melihat kepada seorang ataupun dua orang calon terbaik yang dilantik untuk memimpin masyarakat. Tetapi menuntut kita sebagai rakyat, memikirkan langkah berikutnya iaitu membentuk kerajaan yang terbaik dan adil untuk semua. Justeru, bukan semata-mata memilih calon paling layak sebagai pemimpin namun bagaimana kesemua calon daripada sebuah ataupun beberapa buah parti terbaik membentuk kerajaan yang akan menjadi nadi, suara dan benteng menjaga kebajikan seluruh rakyat.

Setelah mengkaji huraian kepada ayat ini dapatlah saya simpulkan bahawa pembentukan sebuah kerajaan yang adil ini bermula daripada rakyat. Kuasa rakyat memilih pemimpin ini amat penting diberikan perhatian yang serius. Bahkan, Allah menjelaskan isu kepimpinan ini di dalam banyak ayat al-Quran (berkaitan tugas Khalifah dan mereka yang diberikan amanah memimpin masyarakat). “Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu”.

Selain itu, dirumuskan bahawa kepimpinan sama ada pada peringkat eksekutif dan legislatif adalah elemen pelaksana yang penting menjadi enjin dan pemandu kerajaan. Mereka inilah yang bertungkus-lumus menjadi ‘khadam’ rakyat menggerakkan jentera negara. Sekiranya berlaku pengabaian, kecuaian ataupun kerosakan pada ‘enjin’ dan ‘pemandu’ sewaktu menjalankan amanah mereka akan diperbaiki ataupun ditukar ganti. Sebagai Khadam, pemimpin negara haruslah insaf bahawa kuasa mereka tidak bertahan. Rakyat boleh menukar mereka dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih diyakini.  Oleh itu, sedarlah wahai pemimpin di semua peringkat, kalian sentiasa berada dalam pengawasan dan tidak lepas daripada rekod audit semasa lebih-lebih lagi terdapat pengawasan yang lebih cekap dan efektif daripada para malaikat katibin dan Allah SWT. “Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat ”.

Jelaslah, konsep sebuah Negara yang Adil ini bukan baru timbul setelah munculnya Pakatan Rakyat. Malah telah dihidupkan kembali dengan nafas baru sesuai dengan konteks semasa dan iklim negara. Konsep ini menjelaskan kepada masyarakat bahawa PAS tidak tunduk kepada sesiapa dalam mengemukakan ataupun mempertahankan konsep negara bersifat Baldatun Tayyibah melainkan mematuhi perlembagaan parti yang sedia ada iaitu perlembagaan yang meletakkan nas al-Quran dan Sunnah sebagai asas tindakan dan keputusan mereka. 

Kajian terhadap teks ayat ini juga mendapati untuk memahami nas al-Quran secara efektif, kita haruslah mengkaji wahyu ini secara menyeluruh dengan melihat kepada pentafsiran para ulama tradisi dan kontemporari, mengkaji latar turunnya ayat, ataupun sirah nabawiyah kemudian berusaha untuk mengaitkannya dengan pengalaman semasa ataupun kontek masa kini. Gabungan yang rapat tiga elemen ini iaitu gabungan fiqh al-Nas (teks wahyu), fiqh al-Sirah (sejarah/kisah yang berkaitan sewaktu zaman nabi) serta fiqh al-Waqi’iy (konteks semasa) akan memandu kefahaman kita untuk memahami tuntutan sebuah Kerajaan yang adil dan menterjemahkannya secara praktikal.

Penulis berasal dari Kota Bharu Kelantan. Kini berada di Springvale, Victoria Australia dan sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah di University of Aberdeen, Scotland. United Kingdom. 

Pelajar menang RM10,000 pertandingan menulis Harakahdaily

24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


AMPANG: Bertempat Di Hotel De Palma, Ampang, teka-teki siapakah pemenang RM10,000 bagi Peraduan Menulis Esei Politik Berdasarkan Ayat Al-Quran akhirnya terjawab.

Tempat pertama dimenangi oleh Najah Nadiah binti Amran. Beliau merupakan Pelajar PhD di University of Aberdeen, Scotland, United Kingdom dan berasal dari  Kota Bharu, Kelantan.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh Mohd Azmir Maideen dari Meru, Klang. Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000. Sementara tempat ketiga dimenangi oleh Noraini Ismail yang berasal dari Terengganu.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Yang berikut adalah senarai 17 lagi penulis yang menerima hadian saguhati RM100.

1. Muhammad Fakhrurrazi Bin Ahmad    
2. Nik Muhammad Nasri Bin Nik Malek    
3. Abdul Karim Bin Ahmad Fauzi
4. Muhamad Helmi Bin Hashim
5. Zuraidah Bt Othman    
6. Shukeri Bin Mohamad     
7. Mohamad Aiyad Bin Ramli    
8. Hasri Bin Harun    
9. Mohammad Suffian Bin Fauzi    
10. Ahmad Safuan Bin Zakaria    
11.Hanafi Bin Jamil    
12. Izzati Farhana Mahadzir        
13.Siti Nur Solehah Bt Juma’at    
14. Nik Azri Nik Mohamed Arriff    
15. Sujaidi Dasuki    
16. Abdul Hafiz Mohamed    
17. Mohd Nizam Sahad

Tahniah diucapkan kepada pemenang.


Harakahdaily/-

Kunyah gula-gula getah baik untuk otak

24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


TOKYO 4 Feb. - Tabiat mengunyah gula-gula getah di khalayak ramai, mungkin menimbulkan rasa kurang selesa bagi sesetengah individu, namun satu kajian saintifik terkini mendedahkan perlakuan mengunyah itu sebenarnya baik untuk kecergasan otak.

Kajian oleh Institut Sains Radiologi Kebangsaan Jepun dan beberapa institusi sains itu membuktikan, sekurang-kurangnya lapan tempat pada otak manusia boleh mendapat manfaat daripada perlakuan tersebut.

Ketua penyelidik, Profesor Andy Smith, berkata, mengunyah gula-gula getah, mampu meningkatkan ghairah dan mengundang tindakan sementara kepada aliran darah dalam otak.

Menurutnya, responden yang terlibat diberi tugas ketika mengunyah gula-gula getah dan tidak mengunyah serta bahagian otak mereka diimbas untuk melihat bahagian mana yang paling aktif.

Ketika sesi ujian selama 30 minit dijalankan, responden akan menekan butang dengan ibu jari bagi memberi tindak balas terhadap soalan yang diberi pada skrin.

Responden yang tidak mengunyah gula-gula getah mengambil masa 545 mili saat untuk memberi tindak balas, berbanding 493 mili saat oleh responden yang mengunyah gula-gula getah.

Menurut beliau, kawasan otak yang paling aktif ketika mengunyah merupakan kawasan yang terlibat dengan pergerakan dan pemerhatian.

"Satu kes yang boleh dijadikan contoh, situasi pengurus bola sepak kelab Manchester United, Alex Fergusson yang sentiasa mengunyah gula-gula getah ketika pasukannya beraksi. Mungkin ia hanya kebetulan, namun, tindakan itu dilihat sangat tepat dalam keadaan yang getir seperti itu," katanya.

Jelas beliau, keputusan ujian mencadangkan kunyahan meningkatkan paras keghairahan dan kewaspadaan yang menjana kawalan motor, sekali gus membantu meningkatkan persembahan kognitif individu. - AGENSI



23 maut dalam serangan berani mati di Baghdad

24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


BAGHDAD 5 Feb. - Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dan 44 lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri ketika askar upahan yang memerangi kumpulan militan al-Qaeda sedang mengambil gaji di sini, semalam.

Serangan itu berlaku di pekan Taji, kira-kira 25 kilometer di utara Baghdad, dan kebanyakan mangsa merupakan askar dari kumpulan Sahwa yang ditugaskan memburu militan al-Qaeda.
Beberapa anggota tentera Iraq turut dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut. - AFP



04 Februari 2013

250,000 akaun Twitter digodam

Populariti  Twitter menurun?23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Populariti Twitter menurun?
NEW YORK - Sebanyak 250,000 akaun Twitter dilaporkan digodam, kelmarin sekali gus ia dilihat sebagai gangguan keselamatan berprofil tinggi terbaru terhadap rangkaian internet.

Pengarah maklumat keselamatan Twitter, Bob Lord berkata, penggodam itu berjaya memecah masuk lebih 200,000 akaun laman sosial termasuk nama pengguna, alamat emel dan kata laluan.

"Twitter turut mengesan beberapa cubaan pencerobohan melibatkan data pengguna," katanya.

Dua minggu lalu, beberapa syarikat terkemuka termasuk Apple dan Mozilla terpaksa menutup perkhidmatan Java mereka bagi mengurangkan risiko digodam.

Lord berkata, pengguna Twitter yang berhadapan masalah ini perlu membetulkan semula kata laluan sebelum diberi akses seperti biasa. - Al-Jazeera

Kelab IPT BN: Pesan saya, Khairy letak jawatan

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Pesan saya kepada Khairy, letak jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno dan daftarlah di mana-mana IPT tempatan untuk melayakkan anda menjadi Pengerusi Kelab IPT Barisan Nasional,” kata Syis Abdul Kadir.

Bagi Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) itu, mahasiswa telah bijak untuk membuat penilaian dan pilihan.

Justeru, ujarnya jika Khairy Jamaludin (gambar) sibuk menubuhkan Kelab IPT Barisan Nasional (Kibar) dengan meletakkan sasaran keahlian 5,000 ia bukan idea asli mahasiswa itu sendiri.

“Kenapa Ketua Pemuda UMNO yang bersungguh-sungguh menubuhkan kelab penyokong?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Kerajaan UMNO sekarang ini sangat terdesak untuk meraih simpati dan undi termasuklah dari mahasiswa. Pindaan AUKU dan terbaru pengumuman kelab IPTA BN merupakan sekadar kosmetik supaya kerajaan UMNO/BN ini dilihat mesra mahasiswa serta ingin membawa perubahan dalam universiti.

Jika kerajaan benar-benar ingin menghargai suara mahasiswa mansuhkan AUKU. Itulah kunci yang menyekat pemikiran dan nilai aktivis mahasiswa. Kalau serius kerajaan ingin membawa agenda perubahan kepada universiti perlu disemak kembali polisi pengajian tinggi negara.

Pernyataan saya ini berdasarkan apa yang berlaku dalam penggal ini. Boleh dikatakan 4 tahun kebelakangan ini sekurang-kurangnya 20 orang mahasiswa dijatuhkan hukuman berdasarkan akta rimba AUKU.

Bahkan menurut laporan dari SUARAM aktivis mahasiswa yang paling ramai ditangkap oleh pihak berkuasa berbanding dengan aktivis masyarakat dan politik bagi tahun 2011.

Apa maknanya pindaan terhadap AUKU jika dalam masa yang sama masih ada sekatan-sekatan terhadap mahasiswa di peringkat universiti. Contohnya berkenaan AUKU pindaan 2012 yang membenarkan pelajar universiti memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan di dalam dan di luar kampus. Tetapi tetap ada sekatan buat mahasiswa diperingkat universiti dengan peraturan yang dinamakan Kod Tatakelakuan yang tidak membenarkan mahasiswa untuk terlibat aktiviti-aktiviti politik luar. Jadi pindaan ini sekadar gula-gula untuk kerajaan ini dilihat mesra mahasiswa dan membawa agenda perubahan. Mahasiswa tidak bodoh!

Pada saya mahasiswa telah bijak untuk membuat penilaian dan pilihan. Jika Khairy Jamaludin sibuk menubuhkan Kelab IPT Barisan Nasional (BN) (KIBAR) dengan meletakkan sasaran keahlian 5,000 pada saya ia bukan idea asli mahasiswa itu sendiri. Kenapa Ketua Pemuda UMNO yang bersungguh-sungguh menubuhkan kelab penyokong? Jika sekadar kelab semestinya tiada suara untuk berperanan sebagai decision maker di dalam parti. Tidak lain hanya untuk meraih simpati dan sokongan mahasiswa. Ini tindakan terdesak untuk menghadapi PRU 13. Sehingga kini tidak diumumkan organisasi tertinggi dan agenda kelab penyokong ini. Yang dilihat bersungguh-sungguh dalam penubuhan kelab ini hanya Khairy sendiri. Kesian!

Penubuhan kelab ini bukannya ruang untuk meraikan suara mahasiswa tetapi untuk memastikan mahasiswa tunduk dan ikut telunjuk UMNO/BN. ini adalah projek pembodohan!

Pesan saya kepada Khairy, letak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan daftarlah di mana-mana IPT tempatan untuk melayakkan anda menjadi Pengerusi Kelab IPT Barisan Nasional.

harakah/-

PAS Perak ada ramuan untuk menang PRU13

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa PAS akan sentiasa komited dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kuasa Umno BN yang sudah lama bertapak di Malaysia khususnya di Perak.

Menurutnya, perjuangan melalui landasan dimensi baru oleh Pakatan Rakyat ini adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Kata beliau, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat tidak akan larut serta termakan dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh BN khususnya Umno menjelang pilihanraya.

Abu Bakar menjelaskan, idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.

"PAS Perak akan mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang digunakan Umno selama ini dalam menghalang masyarakat bukan melayu melihat Islam sebagai suatu agama yang indah dan baik," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Ujar beliau, pertautan kerja erat antara kaum dalam Pakatan Rakyat Perak adalah ramuan utama bagi mencapai kemenangan di Perak dalam PRU13 ini.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi calon-calon PAS, Abu Bakar berkata, secara dasarnya semuanya telah selesai tanpa sebarang permasalahan.

Semua calon katanya sudah digerakkan bersama dengan setiap segmen masyarakat dan membuat kerja kebajikan yang melibatkan kepentingan masyarakat.

"Calon-calon yang akan bertanding mewakili PAS di Perak pada kali ini terdiri dari gabungan kekuatan ulama, pemuda, dan muslimat.

“Alhamdulillah, kesemuanya dibahagikan dengan seimbang dan saya yakin ramuan ini akan memberi kekuatan kepada PAS," jelas beliau.

Jadi secara keseluruhannya, beliau berkata, calon dan jentera pilihanraya PAS Perak sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar menegaskan, rakyat Perak masih bersama dan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat walaupun kerajaan yang tertubuh atas sokongan rakyat pada PRU12 lalu telah dirampas oleh BN.

"Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerana pilihan rakyat tetapi oleh perancangan zalim Umno BN bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Saya yakin BN tidak mampu mempertahankan kerajaan sekarang kerana ianya bukan ditubuh atas kapasiti suara rakyat tetapi atas dasar kezaliman dan tidak menghormati hak rakyat.

"Kelompok rakyat yang selama ini menjadi talian hayat mereka juga sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat," jelasnya lagi.

BN juga katanya tidak lagi ada kekuatan dan hanya mengharapkan saki baki kekuatan Umno yang mendominasi pengundi di kampung-kampung namun ianya tidak mampu untuk memenangkan BN dalam PRU13 nanti.

"MCA, MIC dan Gerakan di Perak sudah lumpuh dan hilang pengaruh kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India sudah hilang kepercayaan kepada BN.

"Umno sudah hilang tonggak kekuatan mereka menyebabkan terpaksa menggunakan sentimen perkauman bagi meraih undi simpati orang Melayu dan ianya menyebabkan pengundi bukan Islam semakin benci kepada BN," jelas Abu Bakar.

harakah/-

Lawat Bishop: PAS tonjol kemanusiaan melangkaui perbezaan

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -





KUALA LUMPUR: PAS menerima konsep kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini dan sentiasa melihat perbezaan tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan dalam membina tamadun negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, biarpun wujud perbezaan dari sudut kepercayaan, kaum dan budaya, namun PAS tidak pernah meletakkan ianya sebagai halangan untuk saling hormat menghormati.

Menurutnya, tindakan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melawat Pengerusi DAP, Karpal Singh, serta Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis sebagai satu contoh bagaimana PAS tidak pernah memisahkan prinsip kemanusiaan.

"Itu satu terjemahan kepada orang Islam yang tak faham bahawa Islam tidak memisahkan kemanusiaan dengan kaum lain. PAS pecahkan dinding perkauman.

"Juga memberi faham kepada orang bukan Islam bahawa inilah (cara) Islam dalam menangani masyarakat majmuk. Islam bukan tertutup dalam muamalah dengan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Harakahdaily baru-baru ini.

Ketika berkunjung ke kediaman Karpal di Jelutong, Pulau Pinang sebelum ini, TG Nik Aziz diraikan ahli parlimen Bukit Gelugor itu penuh mesra dan akrab.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut diminta memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulang tahun kelahirannya ke-82.

Dalam kunjungan terhadap Francis Sebastian pula, TG Nik Aziz juga telah dihadiahkan sebiji kek untuk dipotong.

Kedua-dua kunjungan spontan tersebut dilihat memberi kesan mendalam kepada keharmonian antara agama di negara ini yang cuba dimainkan pihak tertentu.

Ianya juga mencerminkan bahawa hubungan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat yang lain sangat ampuh dan berbeza dengan apa yang cuba digambarkan media arus perdana yang dikawal Umno BN.

Selain itu, TG Abdul Hadi sendiri sebelum ini memperlihatkan sikap toleransi PAS apabila turun melawat tiga buah gereja yang terbakar termasuk gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju pada 2010 lalu yang dipercayai angkara perbuatan khianat.

harakahdaily/-

Arab Saudi cipta beg sekolah pintar

Arab Saudi cipta beg sekolah pintar23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Arab Saudi cipta beg sekolah pintar
 
RIYADH - Arab Saudi memperkenalkan rekaan inovatif dalam dunia pendidikan apabila berjaya mencipta beg pintar untuk pelajar.

Pereka, Khalid al Jabal, 31, berkata, beg pintar itu berupaya meringankan beban guru dalam pembelajaran seharian apabila ianya lengkap dengan sistem perisian khas terdiri daripada modul pembelajaran.

“Beg ini mengandungi komputer tablet, seberat dua kilogram. Peranti tablet ini mengandungi sistem program.

sinar/-

Mumia berusia 4,000 tahun diimbas

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


RICHMOND, Virginia - Para kakitangan Muzium Seni Halus Virginia di sini menganalisis mumia lelaki yang berusia 4,000 tahun pada Jumaat lalu.

Pihak muzium itu bekerjasama dengan sebuah pusat perubatan untuk membuat analisis itu dengan menggunakan mesin imbasan tomografi berkomputer.

Imbasan itu dibuat di Pusat Pengimejan HCA Virginia di sini.

Penggunaan mesin berkenaan akan membolehkan imej tiga dimensi mumia tersebut diperoleh dan membentuk semula wajah lelaki itu.

Pakar-pakar berharap mereka akan dapat mengetahui umur mumia yang bernama Tjeby dengan tepat, diet dan punca kematiannya menerusi data-data pengimejan mesin itu.

Mereka juga mahu mengetahui bahan yang digunakan untuk mengawet mayat lelaki tersebut dan organ-organ badan yang telah dikeluarkan.

Mumia itu ditemui di sebuah kawasan kubur di Sheikh Farag, Mesir dan digali pada tahun 1923.
Penyelidikan yang dilakukan sebelum ini mendapati si mati mungkin berusia antara 23 hingga 40 tahun. - Agensi


Digilis bas sekolah lepas jatuh motor

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

FotoShah Alam: Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis sebuah bas sekolah selepas motosikal ditungganginya bergesel motosikal lain sebelum terjatuh di Kilometer 8.3 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Seksyen 7, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd Faiz Tasnim Mohd Roshidi, 19, mati di tempat kejadian selepas parah di kepala dan beberapa bahagian badan akibat digilis bas yang gagal mengelak.

Mangsa yang juga operator kilang di Klang dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dilanggar bas berkenaan yang datang dari Kuala Lumpur.

Ketua Trafik Shah Alam Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, mangsa tidak dapat mengawal motosikal sebelum bergesel motosikal lain yang berada pada kedudukan sama.

Akibatnya, mangsa terbabas dan terjatuh.

“Sebuah bas dari belakang gagal mengelak mangsa dan melanggarnya sehingga terseret beberapa meter.
MAYAT mangsa di bawah bas.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat, manakala seorang lagi penunggang cedera ringan dan mendapatkan rawatan di hospital sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemandu bas berkenaan sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

metro/-

Briged tentera pertama wanita

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Tentera wanita Assad.
Tentera wanita Assad.
Tentera wanita Assad.
Tentera wanita Assad.
Tentera wanita Assad.
Tentera wanita Assad.
Unit pertama wanita Angkatan Pertahanan Kebangsaan Nasional Syria, diasaskan di bandar Homs mempunyai 500 anggota dari usia 18 dan 50 tahun.

Pengarah Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, rejim mencipta pasukan separa tentera itu untuk menambah tentera dalam memerangi pemberontak.

“Ia digelar modal revolusi oleh pembangkang.

Homs adalah lokasi pertama kebangkitan rakyat melepaskan serangan di kawasan dikuasai pemberontak sejak 22 bulan lalu hingga menyebabkan banyak bangunan musnah dan kematian,” katanya.

Selain itu, Homs juga adalah kawasan dihuni 1.5 juta penduduk fahaman Sunni, Kristian dan Alawites.

Sebanyak 80 peratus daripada penduduk Homs adalah fahaman Sunni dan menyokong tentera pembebasan manakala 10 peratus adalah Alawites seperti Presiden Assad dan Kristian di lima peratus kebanyakannya menyokong rejim Assad.

Abir Ramadan

Pada usia 40 tahun, Abir Ramadan menyertai unit separa tentera Syria yang merupakan kuasa baru dalam ketenteraan rejim Assad. Beliau berikrar akan terus setia kepada Assad dalam perjuangan bersenjata terhadap cubaan untuk menggulingkan presiden itu.

Berpakaian celorong-celoreng, beliau berarak di sebuah stadium di pusat bandar Homs sambil genggaman tangan dan melaungkan “ALLAH, Syria, Bashar wa ukiran” (ALLAH, Syria, Bashar - itu sahaja), dengan penuh semangat .

Beliau adalah salah seorang pengawal di pintu masuk pusat pemeriksaan ke bandar Homs. Mereka menonjolkan diri sebagai fedayat, dalam bahasa Arab bermaksud orang yang mengorbankan diri mereka bersebab.

“Suami memberikan galakkan untuk menjadi tentera wanita. Beliau menghantar saya ke pusat pengambilan tentera,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tidak ditugaskan di pusat pemeriksaan, beliau ditempatkan di makmal radiologi di kem tentera yang tidak di beritahu.

“Sebelum ini saya tidak tahu mengendalikan senjata dan tidak berani tinggal di rumah berseorangan. Kini, saya yakin dan lebih berani. Saya mahu belajar dan membantu secara sukarela kerana negara saya kini sedang menderita,” katanya.

Nada Jahjah

Bagi Komander Nada Jahjah yang bertanggungjawab sebagai jurulatih anggota baru berkata, Homs dipilih kerana bandar itu sungguh tragis dan 90 peratusnya musnah akibat dari pertempuran.

“Ini bukan perang biasa. Ia lebih teruk dari peperangan menentang Israel pada 1973 di mana kami tahu siapakah musuh kami. Kali ini, musuh adalah dari keluarga sendiri.

Negara-negara jiran membekalkan senjata dan menyebarkan pemikiran fundamentalis. Mereka membunuh rakyat Syria. Ini adalah perang ganas,“ katanya.

Beliau berkata, wanita di kem ini dilatih menembak dengan senapang Kalashnikovs, mesingan, mengendalikan bom, strategi menyerang pusat pemeriksaan pembangkang, mengawal pos kawalan, menjalankan serbuan
dan menyertai kursus taktik ketenteraan.

“Mereka bertugas mengikut syif iaitu empat jam pada waktu pagi atau pada waktu petang. Selepas waktu bertugas tentera wanita itu boleh menjalankan tugasan mereka sebagai seorang isteri dan ibu.

Etidal Hamad

Etidal Hamad, 34, adalah ibu kepada tiga anak perempuan. Beliau berkata, suaminya mendorong dan memberi motivasi kepadanya untuk menyertai pasukan ketenteraan ini.

“Saya mengikuti latihan selama tiga bulan selepas itu, saya sungguh bersemangat untuk mempertahankan tanah air,” katanya.

Sejak protes anti-rejim pada 2011, pihak berkuasa Syria telah menolak pemberontakan sebagai konspirasi asing yang dibiayai dan dirujuk kepada aktivis pembangkang dan pemberontak bersenjata sama ada sebagai pengganas sekutu Al Qaeda.

harakah/-

TV3 lapor 100,000 hadiri wacana Ustaz Azhar Idrus di Kuantan

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Akhirnya kebenaran itu tetap menang dan mengatasi kebatilan, ulas blogger Muslimeen United.

Menurut blogger itu, jika sebelum ini fenomena Ustaz Azhar Idrus cuba disembunyi dan dinafikan oleh media massa arus perdana, tetapi tiba-tiba malam tadi, ada slot berita di dalam Buletin Utama TV3 untuk Ustaz Azhar Idrus.

Malah pembaca berita TV3 turut menyebut wacana yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu dihadiri oleh 100,000 orang terutama anak muda.

Rasanya ini kali pertama TV3 menyebut angka yang betul di dalam laporannya untuk aktiviti dan majlis yang bukan dianjurkan UMNO BN.

harakah/-

Samseng UMNO BN Ganggu Pesta Ponggal Di Alor Gajah

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Melaka 4 Feb: Sekumpulan samseng Umno BN cuba menganggu sambutan Pesta Ponggal bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah, petang semalam.

Lebih 20 samseng berkumpul kira-kira 50 meter dari tapak program dan menaikkan sepanduk provokasi serta memaki hamun dengan kata-kata kesat.

Tiada kejadian buruk berlaku berikutan penyokong Pakatan Rakyat tidak menghiraukan provokasi mereka, sebaliknya menumpu perhatian terhadap atur cara sambutan.

Anwar menyifatkan gangguan berkenaan membuktikan Umno BN semakin terdesak berikutan kebangkitan rakyat yang menolak mereka.

“Jadi, upah orang-orang ini untuk kacau supaya rakyat jangan dengar apa yang kita ingin sampaikan.

“Kita datang untuk cerita apa yang akan kita lakukan bila perintah kelak. Apakah ia salah?

“Nasib rakyat tidak boleh diubah dengan upah RM20 untuk ganggu dan buat kacau. Negeri ini bukan milik Umno BN tapi milik rakyat.

“Kamu di seberang sana boleh kata macam-macam tapi saya tidak akan berganjak untuk menyampaikan agenda keperubahan pada rakyat,” katanya.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian depan lebih 1,000 rakyat tempatan yang menyertai program berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Najwan Halimi, Exco AMK, Ginie Lim dan pimpinan lain.

Anwar kesal kerana Umno BN terus mengamal budaya politik maki hamun sedangkan Pakatan membawa amalan politik menjaga ehwal rakyat.

“Tapi saya percaya – walaupun diganggu – kehadiran ramai rakyat membuktikan mereka mahukan perubahan,” katanya. -KD