24 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
LAMBIR – Batu 1f Sungai Jaung terletak dalam kawasan DUN Lambir. Kebanyakan penduduk di situ berketurunan Malayu asal dari suku kaum Jati Miriek, Kadayan dan terdapat juga kaum Iban. Tanah merupakan satu-satunya harta pusaka yang sangat berharga bagi kaum peribumi Sarawak.
Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk asal peribumi Sarawak terutama bangsa Melayu dan Dayak adalah tanah mereka sekarang semakin terhakis akibat pembalakan dan perladangan dari syarikat swasta yang dikuasai oleh kroni pihak pemerintah.
Pihak kami telah menerima aduan dari salah seorang peneroka tanah temuda di kawasan Lambir yang mengatakan yang tanah mereka yang berjumlah ratusan hektar telah dicerobohi oleh syarikat perladangan yang menanam kelapa sawit di sekitar kawasan tanah temuda mereka.
Menurut salah seorang dari peneroka tanah tersebut yang dikenali sebagai Nordin Jukin memberitahu pihak kami yang tanah mereka sudah lama diterokai oleh datuk nenek moyang mereka puluhan tahun yang lalu semasa zaman penjajahan British tetapi sampai sekarang pihak kerajaan atau Jabatan Tanah dan Ukur tidak memberi hak milik tanah kepada penduduk asal tersebut.
Apabila mereka mengadu dan memohon hak milik dari pihak Jabatan Tanah dan Ukur langsung tidak memberi jawaban yang positif sebaliknya mereka terus menanti dengan penuh pengharapan agar tanah datuk nenek moyang mereka dulu tidak dirampas atau dimiliki oleh syarikat perladangan.
Tanah seluas 1236.03 ekar di Batu 1f Sungai Jaung jalan Miri Bintulu itu telah pun disukat dan dimiliki oleh seramai 83 orang penduduk tempatan di kawasan Lambir. Tanah mereka telah mula dicerobohi oleh sebuah syarikat perladangan yang menanam kelapa sawit dalam kawasan tersebut.
Mereka juga mengadu kepada pihak kami yang mereka sudah banyak kali mengadu masalah ini kepada pihak berkuasa, Jabatan Tanah dan Ukur, wakil rakyat, pihak polis serta pihak Suhakam tetapi masalah ini masih belum dapat diselesaikan. Mereka amat khuatir yang status tanah mereka yang telah diteroka oleh datuk nenek moyang mereka dulu akan hilang begitu saja dirampas oleh syarikat perladangan yang telah diberi peruntukan untuk memajak atau ‘Provision Lease (PL)’
Tanah yang dimiliki oleh penduduk asal sepatutnya diiktiraf oleh kerajaan dan Jabatan Tanah dan Ukur bukannya diberi kepada syarikat perladangan yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akan nasib masa depan anak cucu penduduk asal yang tiada tempat untuk tinggal nanti sekiranya tanah mereka dirampas.
Mereka bertekad akan terus mempertahankan tanah hak milik mereka sekiranya pihak kerajaan tidak mempedulikan akan nasib mereka kerana mereka sudah bosan dengan janji-janji kosong pihak pemerintah untuk membantu mereka tetapi hakikatnya hanya mementingkan pihak syarikat dari rakyat sendiri.
Tanpa kebenaran pihak pemerintah sudah pasti pihak syarikat tidak berani menceroboh atau merampas tanah rakyat dengan sewenang-wenangnya. Mengapa pihak pemerintah lebih pentingkan pihak syarikat dari rakyat sendiri yang perlu tempat tinggal dan tempat untuk bertani. Sepatutnya rakyat didahulukan bukannya dipinggirkan begitu saja tanpa sebarang pembelaan dari pihak berkuasa.
Kami mengesa pihak berkuasa terutama sekali pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai dan kembalikan semula hak rakyat tanpa pilih kasih.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
1 ulasan:
Waah , tanah pusaka harus di jaga dan di lestarikan
Catat Ulasan