22 Mac 2013

Tan Sri lawan Tan Sri di Johor Baharu?

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Selepas mengumumkan tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah Isnin lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi Johor Baharu pada pilihan raya umum ke-13.

NONEPengumuman itu dijadual dibuat oleh Anwar yang juga ketua pembangkang esok di Johor Baharu.

Desas desus kini bertiup kencang apabila bekas panglima tentera darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein - yang baru menyertai PKR pada 6 Mac lalu - dikatakan akan bertanding di kerusi itu.

Md Hashim dijangka bertanding menentang penyandangnya Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Johor Baharu merupakan kubu kuat Shahrir sejak sekian lama dan beliau pernah bertanding atas tiket bebas dan menang dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil akhir 1980-an.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrir - tokoh Umno yang berpengalaman dan pernah menjadi menteri kabinet - menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Sementara itu sumber-sumber memberitahu Malaysiakini beberapa lagi tokoh baru dalam PKR disebut-sebut akan bertanding kerusi parlimen di negeri selatan Semananjung Malaysia itu.


'Payung terjun' di Batu Pahat

Dikatakan seorang lagi bekas panglima tentera darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid disebut-sebut akan bertanding di kerusi Pasir Gudang. Manakala menurut satu lagi sumber, kedudukannya bertanding di situ masih belum dimuktamadkan.

Pasir Gudang diwakili Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin. Beliau menang dengan majoriti 17,281 undi menentang calon PKR Md Rizan Mohd Saman.

Lebih mengejutkan apabila nama naib presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan bekas pemimpin Abim, Datuk Idris Jauzi turut disebut-sebut untuk bertanding di Batu Pahat.

Bagaimanapun, hal tersebut dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong ketua cabang PKR Batu Pahat Syed Hamid Ali - adik kepada bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali.

Mereka mewujudkan laman sosial Facebook menyokong Syed Hamid sebagai calon PKR di parlimen itu dan menolak calon "payung terjun" yang didakwa bergelar "dato".

"Bertahun-tahun Pak Habib buat kerja, sekarang orang lain pula mahu kutip hasilnya. Calon 'payung terjun' ini ialah seorang "dato" yang mengaku dirinya sebagai calon PKR Parlimen Batu Pahat.

"Kononnya Syed Hamid Ali (Ketua Cabang PKR Batu Pahat) telah setuju beri laluan kepadanya! Satu lagi pembohongan!" poster itu dipetik.

Chua Jui Meng disebut lwn Subra
Pada pilihan raya umum lalu, Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi menang dengan majoriti 12,968 menentang calon PKR Muhammad Abdullah.

NONESementara itu, sumber juga memberitahu nasib Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Datuk Seri Chua Jui Meng turut akan bertanding di Johor tetapi tidak dapat dipastikan kerusi parlimen mana.

Khabar angin menyebut beliau yang juga bekas menteri kesihatan akan bertanding di parlimen Segamat yang kini diwakili oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S Subramaniam. Beliau menang dengan majoriti 2,991 menentang calon DAP Pang Hok Liong.

Sebelum ini Anwar telah mengumumkan beberapa tokoh PKR yang akan bertanding termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution di Kulim Bandar Baharu, Naib Presiden N Surendran (Padang Serai) dan Pengerusi PKR Perak Datuk Mohd Nor Manuty di Bagan Serai.

Malaysiakini/-

Pakatan Rakyat Perlis lancar manifesto malam ini

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KANGAR: Pakatan Rakyat Perlis akan melancarkan manifestonya malam ini bertempat di Dataran Restoran Anjung Keli, Behor Pulai dekat sini bermula jam 9 malam.

Majlis pelancaran manifesto ini akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang akan turut menyampaikan ceramah.

Sebagai gimik pelancaran, wakil-wakil PAS, PKR dan DAP akan membentangkan tawaran-tawaran Pakatan Rakyat Perlis disusuli tayangan multimedia.

Terdapat tujuh agenda utama Pakatan Rakyat Perlis yang bakal dibentangkan kepada orang-ramai pada majlis tersebut.

Orang ramai dijemput hadir ke majlis tersebut.

Harakahdaily/-

Cemas rumah diceroboh

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sandra

Sandra
Cemas rumah diceroboh

Keadaan bilik yang berselerak akibat diselongkar perompak.
SENAWANG – Seorang wanita bersama tiga anaknya berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Seri Mawar, dekat sini diceroboh empat lelaki bersenjatakan parang, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sandra, 47, berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi sewaktu dia dan anak-anaknya sedang tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, dia tersedar apabila salah seorang perompak tersebut mengejutnya dengan nada bengis sehingga menyebabkan dia terkejut.

“Kesemua memegang parang menakutkan saya dan anak-anak, sebelum bertindak menyelongkar dalam rumah ini," katanya,

Katanya, mulutnya ditutup dengan pelekat, manakala kaki dan tangan pula diikat dengan tali.

"Kesemua perompak itu masuk ke rumah dari sebuah tingkap kecil di bilik air kerena terdapat kesan umpil di situ," katanya yang mendakwa kerugian RM12,000 selepas telefon bimbit, barang kemas, tablet dan komputer riba dibawa lari pencuri terbabit.

Sinar harian/-

'Rambo' dipenjara 133 tahun

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


'Rambo' dipenjara 133 tahun

Rabidin
RAUB - Perogol bersiri yang menggemparkan negara hingga digelar 'Rambo' terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga 133 tahun, apabila dia menerima hukuman 18 tahun lagi penjara kerana kesalahan mencederakan anggota polis pada November tahun lalu.

Hakim mahkamah sesyen,  Shahrizat Ismail menetapkan Rabidin Satir, 42, perlu menjalani hukuman tambahan itu sebaik sahaja berakhir tempoh 115 tahun penjara yang ditetapkan sebelum ini.

Rabidin didapati bersalah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari dia ditangkap, 14 November lalu.

Shahrizat menjatuhkan hukuman tersebut setelah Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah membuat pengakuan bersalah mencederakan seorang anggota polis yang cuba menahannya.

Menurut Shahrizat, kesalahan itu berat memandangkan mangsa adalah anggota polis yang bertugas menjaga ketenteraman awam.

Walaupun Rabidin membuat rayuan supaya hukumannya diringankan, tetapi mahkamah tetap dengan keputusan itu sebagai pengajaran kepadanya dan juga orang lain.

Pada 5 Februari lalu, di mahkamah sama, Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara termasuk 50 sebatan ke atas Rabidin setelah dia mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan liwat.

Kesemua hukuman itu diperintah berjalan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap.

Dalam pendakwaan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan masyarakat hidup dalam ketakutan.

Sinar harian/-

Bekas SB: Tukar k'jaan, pulihkan wibawa polis

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kerajaan sedia ada perlu ditukar jika rakyat benar-benar serius mahu mengembalikan kewibawaan pasukan polis, kata seorang bekas pegawai kanan polis, malam tadi.

Mantan pengarah polis Cawangan Khas Sabah Mohd Yousoff Babjee berkata, pasukan polis kini menerima terlalu banyak campur tangan politik sehingga mengganggu tugas-tugas mereka.

NONE"Untuk memulihkannya saya rasa kita tukarlah kerajaan. Saya rasa jangan (ada) masuk campur tangan politik (dalam polis).

"Kalau campur tangan politik jadi susah kita nak laksanakan (tugas). (Ada arahan) Orang ini boleh tangkap, orang ini tak boleh tangkap. Orang ini boleh tuduh, orang ini tak boleh tuduh," kata dalam forum "Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara" di Kuala Lumpur malam tadi.

Forum melibatkan 700 peserta itu dimudah cara oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan dianjurkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa kesalnya dengan pasukan polis yang kini dilihat bersikap pilih kasih dalam menjalankan tanggung jawab mereka.

'Kenapa bacul bertindak?'

Menurutnya, polis dilengkapi latihan secukupnya namun menjadi bacul kerana "menerima arahan" sehingga gagal bertindak terhadap keganasan pada ceramah politik dan serangan terhadap ibu pejabat parti politik.

"Saya tertanya-tanya kenapa polis tidak bertindak. Siapa yang bagi arahan? Ini satu perkara yang tidak adil, dan pasukan polis terbawa-bawa (kepatuhan menerima arahan) seperti pejabat PKR yang dibaling batu, telur dan sebagainya.

"Balai polis sebelah sahaja (tetapi) saya malulah (mereka tidak bertindak). Mesti ada satu arahan kalau tidak mereka tak akan begitu. Mereka ini ada latihan dan ada pelajaran.

"Kenapa boleh jadi sedemikian sehingga mereka ini bacul hendak ambil tindakan?" katanya.

Menurutnya lagi, keberkesanan polis membanteras jenayah juga sepatutnya diukur daripada persepsi orang ramai terhadap tahap keselamatan mereka, dan bukan berdasarkan statistik yang dikeluarkan kerajaan.

"Kejayaannya (pengurangan kadar jenayah) sepatutnya dirasai masyarakat sendiri sama ada kita , anak-anak kita dan keluarga kita berasa selamat atau pun tidak.

"Kalau kita ada perasaan selamat, barulah polis itu berjaya, bukan polis yang cakap," katanya.

Dua hari lalu, Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri dalam laporannya mengumumkan kadar jenayah berjaya diturunkan sebanyak 27 peratus dalam masa tiga tahun Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan.

'Tentang Komunis, bawa batalion ke Namibia'
Laporan sama juga menyatakan persepsi pengurangan jenayah semakin meningkat walau pun sesetengah rakyat mendakwa sebaliknya.

Menurut Yousoff, perasaan selamat masyarakat terhadap persekitaran mereka sebenarnya tidak banyak berubah di antara dahulu dan sekarang.

Sebaliknya, masyarakat kini kurang yakin dengan keupayaan polis mengurangkan kadar jenayah.

"Perasaan selamat dahulu dan sekarang tak banyak beza.

"Hanya kepercayaan terhadap polis (yang berbeza), sama ada kita yakin (terhadap) mereka atau pun tidak," katanya.

Seorang lagi ahli panel, mantan timbalan panglima angkatan tentera, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghaffir Abdul Hamid membidas kenyataan pihak yang mempertikai kritikan beliau terhadap cara kerajaan menangani pencerobohan Lahad Datu.

"Semasa saya menjadi pegawai pemerintah, saya berkhidmat menentang pengganas komunis di kawasan hutan Perak.

"Paling istimewa sekali, saya membawa satu batalion tentera ke Namibia," kata Ghaffir merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilapor menolak kritikannya atas alasan beliau sendiri tiada pengalaman berperang.

Ghaffir sebelum ini berkata pencerobohan Sulu boleh ditamatkan lebih awal jika terdapat arahan jelas dari kerajaan.

Malaysiakini/-

Pesawat bawa pasukan Itali disambar petir

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Cesare Prandelli

Cesare Prandelli
PEMAIN dan pegawai skuad kebangsaan Itali menempuh saat cemas apabila pesawat mereka disambar petir ketika dalam perjalanan menuju ke Switzerland, semalam.

The Azzurri berlepas ke negara berkenaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brazil.

Bagaimanapun tiada kerosakan dan kecederaan dilaporkan, namun insiden berkenaan benar-benar mengejutkan semua penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut.

"Semua orang terkejut. Ini pengalaman yang mengerikan," kata pemain Juventus, Claudio Marchisio. Sementara itu, pengendali Itali, Cesare Prandelli mahu segera melupakan insiden berkenaan.

"Ada bunyi letupan yang kuat ketika petir menyambar sayap pesawat. Ini pengalaman paling mengerikan kerana semua orang dalam ketakutan," katanya.

Sinar harian/-

Masa anak muda memilih — Azhar Mohamed Salleh

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Satu ketika dulu, laungan “Hidup Melayu” sungguh gah dan keramat apabila kedengaran, malah sedikit pasti terdetik perasaan gentar kaum lain mendengarnya. Itu dulu dan keadaan kini sudah jauh berubah, hampir tiada lagi kedengaran anak muda dengan bangganya melaungkan slogan itu. Hanya tinggal sekali sekala terdengar apabila parti bersidang di PWTC juga apabila panglima NGO Melayu melakukan demo bantahan. Mereka yang melaungkan slogan berbaur perkauman ini, bukan hanya bendera apa yang dikibarkan, malah hingga ke peribadi dan tahap pemikiran mereka juga boleh diduga. 
Daripada 12 juta pengundi berdaftar untuk pilihanraya akan datang ini, 38.8 peratus jumlah tersebut adalah golongan muda yang terdiri dari mereka yang berumur 40 tahun kebawah. Generasi Y, iaitu mereka yang lahir sekitar penghujung tahun 70-an hingga lewat 80-an mendominasi kategori ini. Apa yang menariknya pada golongan muda dan ganerasi Y ini adalah cara dan suasana mereka menjalani proses kematangan. 
Mereka membesar dalam ketika negara kita pesat berubah dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada pembangunan perindustrian seterusnya mengalami revolusi teknologi maklumat. Golongan muda ini mempunyai naluri keinginan “inquiry” serta sifat melawan yang luar biasa terhadap sesuatu perkara melibatkan kepentingan mereka. Golongan ini juga tersemai perasaan ingin bersaing, berani mencuba sesuatu yang baru serta melakukan perubahan. Ini merupakan nilai positif yang dimiliki dan dibanggakan oleh golongan muda. Maka tidak hairanlah jika kita lihat amat ketara perbezaan cara pemikiran golongan muda masakini berbanding ganerasi X yang terdahulu dari mereka.
Umum ketahui bahawa PRU13 bakal menjadi pilihanraya paling sengit dalam sejarah kerana kekuatan pengaruh pembangkang kini berada  pada kedudukan terbaik dalam usaha mengambil alih pemerintahan dan Putrajaya. Pemimpin utama dalam PR seperti TGNA, Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh dilihat sudah cukup masak dengan asam garam dalam politik setelah berkecimpung sekian lama. Harus diingat dari lima tahun akan datang, aku kira dari sudut usia, mereka tidak lagi sesuai memimpin parti apatah lagi sebuah kerajaan. Lupakan usia mantan PM kita yang lalu! Justeru PRU 13 merupakan pentas akhir bagi penglibatan politik mereka ini sebelum bersara.  
Tidak menjadi masalah yang terlalu besar bagi PR sekiranya memenangi PRU13 seterusnya mentadbir kerajaan jika dinilai aspek kredibiliti tokoh yang ada serta dibuktikan dengan keupayaan mereka mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang. Namun apa yang dibimbangi adalah halatuju serta kepimpinan PR jika gagal merampas Putrajaya dalam PRU13 nanti. Ini kerana wujudnya jurang kepimpinan antara tokoh utama PR berbanding dengan pemimpin lapisan kedua (second liner).
Gabungan PR juga mempunyai banyak nama besar lain seperti saudara Mohd Sabu, Mahfuz Omar, Nizar Jamaludin dan Husam Musa dari PAS, manakala PKR dengan Azmin Ali, Khalid Ibrahim, Tian Chua dan Rafizi serta Guan Eng, Tony Pua, Teresa Kok dan Ronnie Liu bagi DAP. 
Namun aura kepimpinan mereka sering dibayangi oleh pemimpin senior parti dalam Pakatan Rakyat. Pemimpin lapisan kedua ini memerlukan sedikit lagi masa untuk mereka benar benar membuktikan keupayaan yang mereka miliki dalam menerajui parti seterusnya kerajaan. Minat pengundi dari golongan muda sebenarnya lebih terarah dan dipengaruhi dengan kezuhudan yg dimiliki oleh TGNA, kewibawaan saudara Anwar sebagai “de facto leader” serta ketulenan perjuangan demokrasi dari Lim Kit Siang. Jika pengaruh dari kepimpinan utama ini tidak diimbangi oleh pemimpin lapisan kedua, maka benarlah PR akan terus menjadi pembangkang untuk 50 tahun lagi seandainya PR tewas dalam PRU 13 akan datang.
Lantaran sedar akan peluang serta kemungkinan yang akan berlaku, maka tidak hairanlah golongan muda hari ini mahukan melakukan eksperimentasi seterusnya mencetuskan perubahan dalam politik serta pentadbiran negara. Anak muda tidak lagi hairan dan gentar pada momokan seperti isu hudud, hak orang Melayu, kalimah Allah, perdana menteri bukan Melayu serta tidak termakan dengan fitnah dan tohmahan.  Menggantikan “Hidup Melayu”, slogan yang jauh lebih “cool” serta bersesuaian dengan jiwa muda kini dengan penuh bersemangat dan yakin melaungkan slogan INIKALILAH...
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan -The Malaysian Insider.

Ragu sekatan boleh minta kad kuasa polis

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kedutaan asing di negara ini menghargai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes jenayah yang melibatkan warga negara mereka, dan turut mengiktiraf polis Malaysia pasukan terbaik dalam menangani kes jenayah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pengiktirafan itu diberi atas usaha PDRM menangani beberapa kes seperti samun, culik dan rogol yang melibatkan warga mereka.

"Baru-baru ini kita ada selesaikan kes pelancong asing warga Jepun yang diculik. Mereka menghantar surat penghargaan kepada PDRM. Jadi kita mendapat pengiktirafan. Cuma kita tidak uar-uarkan sahaja," katanya kepada pemberita pada wawancara khas sempena Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 12 Mac lepas, seorang jurutera warga Jepun diculik sekumpulan warga asing bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah US$50,000 (RM156,000) dan telah diselamatkan polis.

Mohd Bakri berkata PDRM turut menerima surat penghargaan daripada Kedutaan Netherlands yang menyatakan PDRM membantu mereka secara professional untuk menyelesaikan kes jenayah melibatkan warga negara itu.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengenai kes terbabit.

Mengenai rondaan dan sekatan jalan raya yang sering diadakan oleh polis, Mohd Bakri berkata orang ramai perlu memahami tanggungjawab yang perlu dijalankan PDRM.

Setiap sekatan jalan raya yang dibuat bertujuan memburu penjenayah atau mengesan rompakan di samping mengurangkan kadar jenayah, katanya.

"Sekatan jalan raya akan membantu polis membuat siasatan dan mengesan penjenayah yang sedang diburu atau dikehendaki polis," katanya.

Mohd Bakri berkata oleh itu, semua pihak perlu membantu PDRM, dan tidak menganggap rondaan dan sekatan jalan raya itu sebagai menyusahkan dan membebankan orang ramai.

Bagi mereka yang meragui bahawa sekatan jalan raya itu dilakukan oleh PDRM, mereka boleh meminta kad kuasa polis sebagai pengesahan dan bukti bahawa polis yang menjalankan tugas itu, katanya.

- Bernama

Pengikut buru Agbimuddin

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Pengikut buru Agbimuddin Anggota polis membawa keluar salah seorang daripada lapan pengganas selepas dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam.
Lahad Datu: Ketua pengganas, Agbimuddin Kiram, yang belot dan meninggalkan pengikutnya untuk berhadapan dengan pasukan keselamatan dipercayai menyembunyikan diri di sebuah pulau kecil di selatan Filipina.

Agbimuddin yang mengetuai serangan di Lahad Datu, cabut lari sejak 11 Mac lalu, seminggu selepas Ops Daulat dilancarkan. 


Tindakan diplomasi 


Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata maklumat itu diperoleh hasil risikan pasukan keselamatan yang mendapati dia kini bersembunyi di pulau kecil selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pasukan keselamatan negara berkenaan.

Katanya, Agbimuddin dipercayai bersembunyi daripada dikesan pengikutnya di selatan Filipina kerana bimbang keselamatannya terancam berikutan tindakan meninggalkan kumpulan pengganas pimpinannya di FELDA Sahabat.

“Dia sekarang bergerak dengan kumpulannya dari pulau kecil ke pulau kecil lain dan berapa jumlah pengikutnya kita tidak pasti,” katanya di sini, semalam. 
Mengulas dakwaan sebuah blog yang mengatakan ketua pengganas itu mati ditembak pengikutnya sendiri sebelum dikebumikan, Zulkifeli manafikan dakwaan itu.

“Kita tidak tahu sumber saluran berita itu... maklumat yang kita dapat, dia masih hidup. Kita tidak pasti ia disebarkan hanya untuk mengelirukan pengikutnya,” katanya.

Zulkifeli berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pasukan keselamatan menjejaki ketua pengganas itu di Filipina kerana itu luar bidang kuasa ATM.

Berita Harian/-

Ulama Pro-Assad antara 42 terbunuh serangan pengebom nekad di dalam masjid

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Ulama Pro-Assad antara 42 terbunuh serangan pengebom nekad di dalam masjidMASJID Eman musnah berikutan serangan pengebom nekad yang meletupkan diri di dalamnya ketika umat Islam sedang menunaikan solat pada sebelah petang di daerah Mazraa, Damsyik, Syria. Kejadian itu mengakibatkan lebih 42 mangsa terbunuh termasuk ulama terkenal di kalangan warga Syria, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti, 84 tahun. - Foto AP
DAMSYIK: Serangan pengebom nekad di dalam Masjid Eman yang terletak di tengah-tengah ibu kota Syria awal pagi tadi (waktu Malaysia) meragut 42 nyawa termasuk ulama terkenal Sunni negara itu, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti yang difahamkan cenderung kepada rejim pemerintah. 

Serangan yang dilakukan pada sebelah petang itu menyaksikan pengebom nekad meletupkan dirinya sendiri ketika Mohamed al-Bouti sedang mengadakan ceramah agama untuk pelajarnya. 

"Jumlah kematian susulan serangan pengganas ini meningkat kepada 42 di mana 84 mangsa lain mengalami kecederaan. 

Kematian Mohamed al-Buti disifatkan satu tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad, di mana beliau sedang berusaha menamatkan ancaman pemberontak di negara itu. - AFP 

SPR jamin undi rahsia '100 peratus'

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar

Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan pihak tertentu bahawa suruhanjaya itu boleh mengetahui calon yang dipilih pengundi pada pilihan raya umum ke-13.
   
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kerahsiaan undi setiap pengundi terjamin.
   
"Kerani SPR di pusat pengundian tidak dibenarkan dan tidak boleh mencacat, menulis nombor atau apa-apa. Ini ialah undang-undang," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya, ketua penguatkuasa SPR dan ketua polis daerah di Perak, di sini semalam.
   
Beliau menjelaskan, apabila pengundi masuk ke tempat pengundian, kerani akan menyemak nama dan mengesahkan bahawa individu berkenaan ialah pengundi sebenar sebelum dakwat dicalit pada jari pengundi dan diberi kertas undi.
   
"Dalam setiap buku, ada 50 kertas undi dan ia akan diberikan mengikut turutan. Jangan pula ada pengundi yang kata dia tak nak kertas undi pertama, hendak yang tengah. Itu melanggar undang-undang dan peraturan.

"Kertas undi ada nombor siri. Sebagai contoh, nombor siri 100. Apabila kita buka mana-mana helaian buku kertas undi, nombor sirinya ialah 100 kerana nombor itu unik dan digunakan untuk saluran mengundi berkenaan sahaja," katanya.
   
Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan pengiraan kertas undi yang diberikan kepada pengundi dan memudahkan SPR mengesan kemungkinan pengundi menggunakan kertas undi berkenaan di saluran lain.
   
"Di saluran lain akan guna nombor siri lain pula, takut kalaulah ada orang mengambil kesempatan bawa kertas undi daripada saluran lain masuk dalam poket, konon nak tambah kertas undi, pergi masukkan ke dalam peti undi di saluran lain," katanya.
   
Oleh itu, katanya tidak ada pihak yang boleh mengetahui calon mana yang di pilih oleh pengundi.
   
"Orang yang datang mengundi, kita bukan tahu pukul berapa dia nak datang. Pusat pengundian dibuka satu hari daripada jam 8 pagi hingga 5 petang. Macam mana boleh buat imaginasi boleh 'match' (padankan) orang yang datang mengundi dengan benda ini (kertas undi)," katanya.
   
Beliau turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan supaya tidak mengajar 'ajaran sesat' kepada pengundi dengan memberi maklumat salah berhubung pengundian bertujuan menimbulkan kesulitan dan kekecohan. 

- Bernama

PAS ajak rakyat sokong kempen Earth Hour

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat mengajak rakyat Malaysia agar jangan lupa mematikan elektrik pada 23 Mac, esok selama satu jam bermula 8.30 hingga 9.30 malam sebagai sokongan kepada kempen Earth Hour.


Pengerusinya Zulkifly Mohamad Omar berkata, Earth Hour ialah program untuk menangani isu perubahan cuaca dunia, di mana sebanyak 7,000 bandar daripada 152 buah negara telah mengadakan sambutan setiap tahun yang dikendalikan Tabung Alam Sedunia (WWF).



"Mematikan lampu selama satu jam, atas kesedaran bertindak terhadap perubahan cuaca. Haba yang dibebaskan menyebabkan kecairan air akhirnya berlaku kenaikan paras air laut," katanya kepada Harakahdaily. 



Jelasnya, gelombang haba atau 'heat waves' lebih panas di mana seramai 1,300 saintis di Amerika Syarikart telah menjangkakan kenaikan suhu pada abad seterus dari 2.5 ke 10 darjah fahrenheit yang menyebabkan kesan kepada hasil tanaman dan bekalan makanan dunia.



"Kekerapan banjir khususnya di pesisiran pantai, kekurangan sumber air bersih dan kemarau merupakan fenomena akan berlaku," katanya. 



Justeru Lajnah Alam Sekitar PAS PUsat berharap supaya program hijaukan bumi dengan penanaman semula kawasan hutan yang diteroka, penggunaan bahan bakar dan tenaga dikawal dan diselia dengan baik.



"Sikap tamak haloba dan penebangan secara haram  hutan simpan boleh mengundangberlakunya pemanasan global," katanya.



Kempen ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya penjimatan eletrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini. Menjimatkan eletrik bererti menjimatkan tenaga dan sekaligus akan menyelamatkan bumi ini.



Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap penggunaan eletrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa henti yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.

Harakahdaily/-

Roket amaran buat Obama sebelum ke Gaza

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Roket amaran buat Obama sebelum ke Gaza


Penduduk Israel membakar bendera AS di Baitulmaqdis.
BAITULMAQDIS - Tentera Israel mendakwa Palestin melepaskan empat roket di selatan Israel pada hari kedua lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke negara itu.


Menurut laporan Reuters, jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, dua roket meletup di hadapan sebuah rumah di bandar sempadan Sderot menyebabkan kerosakan teruk tetapi tiada kecederaan dilaporkan.



“Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab tetapi kami yakin roket itu disasarkan ke wilayah yang dikuasai Hamas,” katanya.



Sementara itu, The Jerusalem Post melaporkan, letupan ketiga dan keempat berlaku di Semenanjung Gaza lewat petang kelmarin.



“Roket itu sebagai tanda amaran dari penduduk Palestin selepas Obama dijadualkan akan melawat Tebing Barat pada Sabtu ini,” menurut laporan itu. 

Sinar harian/-

Rafizi kagum dengan keberanian Tee Keat tapi...

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata beliau mengagumi keberanian Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mendedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), namun masanya sudah tiba untuk bekas bos MCA itu menjadi lebih berani.

Menurutnya, Ong kini perlu memandang ke hadapan melangkaui keberaniannya membongkar skandal PKFZ.

"Keberanian yang paling besar sekarang untuk kita menuju perubahan. Perubahan kali ini antara BN atau Pakatan Rakyat.

"Harapnya beliau cukup berani untuk bersama Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Tambahnya, keberanian Ong akan hanya teruji jika beliau bersama gelombang perubahan rakyat yang mahukan "perubahan daripada yang lama kepada yang baru".

Ini kerana, kata Rafizi, pilihan raya akan datang antara Pakatan dan BN, dan bukannya di antara mana-mana individu lagi.

"Ia bukan tentang beliau atau saya. Saya ini hanya 'ikan bilis' yang tiada apa-apa," kata Rafizi.

'Tiada perhatian MCA'


Beliau mengulas kenyataan Ong dalam wawancara bersama Malaysiakini yang menegaskan, walaupun beliau dan Rafizi sama-sama mendedahkan dakwaan salah guna kuasa, namun mereka tidak dapat disamakan.

Rafizi sudah diumumkan sebagai calon PKR di Pandan sementara Ong masih berharap diberikan peluang mempertahankan kerusi itu oleh MCA, walaupun dikatakan tidak disenangi presidennya sendiri Datuk Seri Chua Soi Lek.

Menurut Ong, pendedahan beliau bersangkutan dakwaan salah guna kuasa dalam partinya sendiri sedangkan Rafizi mensasarkan seteru politiknya di luar PKR.

Menurut Rafizi, Ong adalah seorang pemimpin BN yang mempunyai prestasi lampau yang cukup membanggakan sewaktu menjadi menteri.

Bagaimana pun, suara Ong kini tidak lagi diberi tempat dalam BN dan seandainya beliau berjaya mempertahankan kerusinya sekalipun, bekas presiden MCA itu tidak akan mampu membawa perubahan kepada rakyat menerusi BN.

"Kalau beliau menang sekali pun, agak sukar untuk beliau berbuat apa-apa.

"Ia amat jelas yang suara beliau tidak diberikan perhatian dalam MCA," kata Rafizi.

Malaysiakini/-

Kereta terbabas ‘sapu’ dua motosikal

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kereta terbabas ‘sapu’ dua motosikal

Keadaan kenderaan Proton Iswara dinaiki mangsa rosak teruk akibat terhumban ke dalam parit di Batu 6, Jalan Baharu kelmarin
KUALA KURAU, Kerian - Seorang warga tempatan cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Batu 6, Jalan Baharu di sini, kelmarin.

Lebih memburukkan keadaan, kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa berusia lingkungan 50-an turut merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan sehingga menyebabkan kedua-duanya hampir musnah.

Saksi kejadian enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Parit Buntar dari arah pekan Kuala Kurau sebelum gagal mengawal kenderaannya dalam kemalangan jam 10 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum ke laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

"Lori kemudiannya terhumban ke parit berhampiran bersama dua motosikal yang terheret.

“Kejadian itu menyebabkan bunyi dentuman kuat sebelum saya bersama beberapa penduduk meninjau tempat kejadian dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa cedera parah di beberapa bahagian badan setelah terperangkap di dalam kereta itu lebih setengah jam dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut,” katanya sewaktu ditemui media semalam.

Saksi kejadian berkata, kejadian menimpa kedua-dua motosikal jenis Honda EX-5 hanya disedari pemiliknya sejam selepas kejadian berlaku.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau yang tiba beberapa minit selepas kejadian turut membantu mengeluarkan kedua-dua motosikal yang terhimpit di balik kereta terbabit.

“Melihat keadaan motosikal selepas dinaikkan, saya rasa kedua-duanya mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Sinar harian/-