10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Satu ketika dulu, laungan “Hidup Melayu” sungguh gah dan keramat apabila kedengaran, malah sedikit pasti terdetik perasaan gentar kaum lain mendengarnya. Itu dulu dan keadaan kini sudah jauh berubah, hampir tiada lagi kedengaran anak muda dengan bangganya melaungkan slogan itu. Hanya tinggal sekali sekala terdengar apabila parti bersidang di PWTC juga apabila panglima NGO Melayu melakukan demo bantahan. Mereka yang melaungkan slogan berbaur perkauman ini, bukan hanya bendera apa yang dikibarkan, malah hingga ke peribadi dan tahap pemikiran mereka juga boleh diduga.
Daripada 12 juta pengundi berdaftar untuk pilihanraya akan datang ini, 38.8 peratus jumlah tersebut adalah golongan muda yang terdiri dari mereka yang berumur 40 tahun kebawah. Generasi Y, iaitu mereka yang lahir sekitar penghujung tahun 70-an hingga lewat 80-an mendominasi kategori ini. Apa yang menariknya pada golongan muda dan ganerasi Y ini adalah cara dan suasana mereka menjalani proses kematangan.
Mereka membesar dalam ketika negara kita pesat berubah dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada pembangunan perindustrian seterusnya mengalami revolusi teknologi maklumat. Golongan muda ini mempunyai naluri keinginan “inquiry” serta sifat melawan yang luar biasa terhadap sesuatu perkara melibatkan kepentingan mereka. Golongan ini juga tersemai perasaan ingin bersaing, berani mencuba sesuatu yang baru serta melakukan perubahan. Ini merupakan nilai positif yang dimiliki dan dibanggakan oleh golongan muda. Maka tidak hairanlah jika kita lihat amat ketara perbezaan cara pemikiran golongan muda masakini berbanding ganerasi X yang terdahulu dari mereka.
Umum ketahui bahawa PRU13 bakal menjadi pilihanraya paling sengit dalam sejarah kerana kekuatan pengaruh pembangkang kini berada pada kedudukan terbaik dalam usaha mengambil alih pemerintahan dan Putrajaya. Pemimpin utama dalam PR seperti TGNA, Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh dilihat sudah cukup masak dengan asam garam dalam politik setelah berkecimpung sekian lama. Harus diingat dari lima tahun akan datang, aku kira dari sudut usia, mereka tidak lagi sesuai memimpin parti apatah lagi sebuah kerajaan. Lupakan usia mantan PM kita yang lalu! Justeru PRU 13 merupakan pentas akhir bagi penglibatan politik mereka ini sebelum bersara.
Tidak menjadi masalah yang terlalu besar bagi PR sekiranya memenangi PRU13 seterusnya mentadbir kerajaan jika dinilai aspek kredibiliti tokoh yang ada serta dibuktikan dengan keupayaan mereka mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang. Namun apa yang dibimbangi adalah halatuju serta kepimpinan PR jika gagal merampas Putrajaya dalam PRU13 nanti. Ini kerana wujudnya jurang kepimpinan antara tokoh utama PR berbanding dengan pemimpin lapisan kedua (second liner).
Gabungan PR juga mempunyai banyak nama besar lain seperti saudara Mohd Sabu, Mahfuz Omar, Nizar Jamaludin dan Husam Musa dari PAS, manakala PKR dengan Azmin Ali, Khalid Ibrahim, Tian Chua dan Rafizi serta Guan Eng, Tony Pua, Teresa Kok dan Ronnie Liu bagi DAP.
Namun aura kepimpinan mereka sering dibayangi oleh pemimpin senior parti dalam Pakatan Rakyat. Pemimpin lapisan kedua ini memerlukan sedikit lagi masa untuk mereka benar benar membuktikan keupayaan yang mereka miliki dalam menerajui parti seterusnya kerajaan. Minat pengundi dari golongan muda sebenarnya lebih terarah dan dipengaruhi dengan kezuhudan yg dimiliki oleh TGNA, kewibawaan saudara Anwar sebagai “de facto leader” serta ketulenan perjuangan demokrasi dari Lim Kit Siang. Jika pengaruh dari kepimpinan utama ini tidak diimbangi oleh pemimpin lapisan kedua, maka benarlah PR akan terus menjadi pembangkang untuk 50 tahun lagi seandainya PR tewas dalam PRU 13 akan datang.
Lantaran sedar akan peluang serta kemungkinan yang akan berlaku, maka tidak hairanlah golongan muda hari ini mahukan melakukan eksperimentasi seterusnya mencetuskan perubahan dalam politik serta pentadbiran negara. Anak muda tidak lagi hairan dan gentar pada momokan seperti isu hudud, hak orang Melayu, kalimah Allah, perdana menteri bukan Melayu serta tidak termakan dengan fitnah dan tohmahan. Menggantikan “Hidup Melayu”, slogan yang jauh lebih “cool” serta bersesuaian dengan jiwa muda kini dengan penuh bersemangat dan yakin melaungkan slogan INIKALILAH...
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan -The Malaysian Insider.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan