KUALA
LUMPUR: Kerajaan Persekutuan gagal mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus tahun ini sebagai syarat untuk
menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Timbalan
Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.
“Unjuran kadar pertumbuhan KDNK tahunan yang realistik adalah antara
4.5 peratus hingga lima peratus bagi 2011 dan lima hingga 5.5 peratus
bagi 2012, kedua-duanya di bawah sasaran.
“Malah, Gabenor Bank Negara meramalkan pertumbuhan KDNK tahunan bagi
2011 adalah kurang lima peratus iaitu nilai lebih rendah dari julat
ramalan iaitu lima hingga enam peratus,” katanya pada kenyataan media,
hari ini.
Azmin berkata, angka itu mengulangi kitaran kegagalan sasaran
pertumbuhan ekonomi yang dilalui Malaysia pada dekad lalu apabila
pertumbuhan sebenar sentiasa lebih rendah daripada sasaran yang
dicanangkan.
“Ini jelas menandakan kegagalan dasar ekonomi pentadbiran kerajaan
Persekutuan sejak peringkat awal,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang lembap pada suku
kedua tahun 2011 – KDNK merosot kepada hanya 4 peratus berasaskan tahun
ke tahun, paling perlahan sejak suku keempat 2009 – menunjukkan tanda
membimbangkan.
“Mudah untuk menyalahkan kelembapan pertumbuhan berpunca dari iklim
ekonomi global tetapi penelitian terperinci menunjukkan wujud faktor
domestik yang mempengaruhi hasil pertumbuhan dalam suku kedua 2011,”
katanya.
Azmin berkata, suasana ekonomi negara yang terlalu bergantung kepada
pendapatan dari sumber hidrokarbon yang kian berkurangan hanya berupaya
menjana ekonomi Malaysia sehingga ke dekad akan datang.
“Ketaksuban kerajaan terhadap industri minyak dan gas perlu dilihat
dengan berhati-hati kerana ini akan menganggu tumpuan terhadap
pembangunan sektor ekonomi lain yang lebih mampan untuk generasi akan
datang.
“Meskipun industri minyak dan gas memberi pulangan tinggi dalam jangka masa singkat; ketagihan terhadap hasil keuntungan
petroleum untuk meningkatkan pertumbuhan sektor-sektor lain yang lembap adalah berbahaya,” katanya.
keadilandaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan